Jangan buat main dengan minda penulis fiksyen, baik novel atau cerpen. Semua benda gila boleh bersarang dalam kepala. Kalau tidak percaya, cuba baca hasil carian (search history) penulis. Memang mengucap panjang jadinya. Kalau ada alat pemantau, entah berapa ramai penulis fiksyen kena tangkap untuk membantu siasatan. Tetapi dalam kes Nancy Brophy, lain pula perginya. Bukan hasil carian yang bermasalah. Hasil tulisan yang membawa padah.
Nancy berkahwin dengan seorang tukang masak bernama Daniel Brophy yang mengajar di Institut Kulinari Oregon. Pada pagi 2 Jun 2018, Daniel ditemui mati di dapur tempat kerja. Siasatan mendapati dua kesan tembakan pada badannya (Voorhees, 2018). Jadi secara rasmi, ini adalah kes bunuh.
Bukti Kebetulan Yang Menghukum
Polis dari awal mengesyaki Nancy Brophy. Pertama sekali mereka tidak menemui sebarang bukti pergaduhan. Bukti rompakan pun tiada. Jadi ini bukan kes rakan kerja buat hal – atau cinta yang tidak berbalas. Kedua pula, keluarga Brophy melanggan insurans nyawa yang bernilai AS$1.5 juta (Pelisek, 2020). Jumlah insurans ini sememangnya tinggi. Ikut pengalaman penyiasat, insurans selalu menjadi motive of murder (tujuan pembunuhan).
Walau bagaimanapun, tujuan saja tidak cukup. Undang-undang Amerika Syarikat membahagikan pembunuhan ikut akta: murder dan manslaughter (pembunuhan tanpa niat). Murder dibahagi kepada first degree (dengan niat dan dirancang) dan second degree (dengan niat tanpa rancangan). Huraian ini memang membosankan tetapi sangat penting untuk pihak hakim, pendakwa raya dan juri.
Pihak pendakwa raya dan polis sangkut dengan niat. Kalau betul Nancy bunuh Daniel, apa niat sebenarnya?
Memandangkan tiada bukti secara langsung (direct evidence), mereka mula mencari bukti kebetulan (circumstantial evidence). Daripada usaha inilah mereka terjumpa cerpen How To Murder Your Husband – ditulis Nancy beberapa tahun sebelum pembunuhan.
Membina Jambatan Kes
Cerpen ini masih tidak mengukuhkan kes. Tetapi mereka sekarang nampak Nancy ada niat membunuh. Mereka tidak mahu tergopoh-gapah. Dalam senyap, mereka membina kes ini ibaratkan satu demi satu bata. Dan pada tahun 2020, mereka terjumpa bukti langsung iaitu rakaman CCTV yang mendedahkan sesuatu tentang Nancy. Pada waktu pembunuhan, Nancy katanya sedang berjalan pagi sebelum pulang ke rumah untuk mandi. Kenyataan ini rupanya suatu pembohongan.
Rakaman CCTV mendapati Nancy ada di institut kulinari selama 13 minit. Apabila disoal, Nancy cuba tutup cerita katanya tidak ingat apa-apa kerana terlalu stres. Pihak polis menyerahkan segala bukti kepada pendakwa raya, yang berpendapat rakaman CCTV sudah cukup untuk membuktikan niat. Kes sudah lengkap berhubung – ada niat; ada motif… dan ada senjata pembunuhan, iaitu sepucuk pistol Glock yang dibeli daripada eBay.
Nancy diheret ke muka pengadilan bermula April 2022. Segala maklumat dibentangkan sebagai hujah dan bukti kesalahan. Pihak pendakwa bersetuju yang Nancy sedang stres teruk… kerana ada masalah kewangan. Jadi untuk menyelesaikan masalah kewangan, lagi senang bunuh suaminya saja. Dapat insurans AS$1.5 juta – rumah pun dapat (Cabral, 2022).
Pembentangan pihak pendakwa sangat tersusun rapi. Pihak juri sebulat suara berpuas hati dan mendapati Nancy bersalah atas tuduhan second-degree murder. Hujahnya jelas. Nancy ada niat membunuh tetapi tidak merancang. Sekadar bawa pistol saja tidak cukup. Rancangan kena betul-betul teratur, seperti siksaan atau tunggu untuk ambush misalnya. Pihak hakim menjatuhi hukuman penjara seumur hidup pada 14 Jun 2022.
Kes sebegini adalah contoh bahawasanya kebahagiaan adalah penting dalam rumahtangga. Siapa sangka Johnny Depp boleh berfalsafah begitu kemas? Beliau pernah berkata: penjara paling teruk adalah rumahtangga yang tidak bahagia. Cuba kaitkan falsafah Depp dengan kes ini. Nampak sangat perkaitannya.
RUJUKAN:
Cabral, S. (2022, Jun 14). ‘How to murder your husband’ writer sentenced for murdering husband. BBC.
Pelisek, C. (2020, April 29). Oregon Romance Novelist Allegedly Killed Husband for $1M insurance policy: prosecutors. People.
Voorhees, C. (2018, Jun 3). Former students, friends mourn loss of Oregon Culinary Institute chef killed in shooting. The Oregonian.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih