Pada kurun ke-19, Afrika umpama segerombolan kerbau. Bertanduk dan kental, tapi berbadan gempal. Dapat pula rata-rata saling berlaga kerana mahu peraga kuasa. Maka apa lagi, kuasa kolonial yang sekian lama bertapak di kawasan pantai pun mendubuk ke dalamlah jawabnya. Sampai habis digonggong kanan-kiri.

Ini yang terjadi selepas Konferens Berlin 1884-1885 diadakan. Di mana, ia secara rasmi memecahperintahkan Afrika kepada 13 buah negara Eropah tidak termasuk Amerika Syarikat – sekali gus memicu era ‘Perebutan Afrika’ (1881-1914).

Ikutkan, istilah ‘merebut’ ini terlalu lembut. Sebab masa itu, pelbagai ‘dosa’ dilakukan oleh mereka. Antaranya pembantaian hampir 100,000 suku asli di Namibia di tangan Jerman. Itu baru Jerman. Belum negara kolonial lain lagi.

Dah nyawa orang dibantai, segala sumber Afrika pun habis dilunyai. Tidak pasti seberapa besar jumlah yang diangkut keluar. Tapi kalau buat perbandingan sejarah, boleh ramal yang ia cukup besar. Sebab di India misalnya, British Raj cekau sampai $45 trillion dalam tempoh 100 tahun. Sepanyol pula pernah rembat sehingga 181 tan emas dan perak (bernilai $11 billion) dari Amerika sepanjang 1500-1650.

The Patriots berada di PBAKL 2022 bermula 3 June sehingga 12 June. Jumpa di sana!

Memang kalau tengok tempoh, ‘Perebutan Afrika’ berlangsung kurang 40 tahun. Tapi jangan dilihat sekejapnya. Lihat pada kesannya. Sampai sekarang pun, benua itu masih bergelut. Hinggakan dalam 27 buah negara yang disenarai berpendapatan rendah, ada 23 daripadanya terletak di Afrika. Cukup itu petanda betapa barai Afrika dikerjakan.

Geografi Adalah Takdir

Dalam ramai-ramai yang mengerjakan, sebetulnya ada satu kuasa besar Eropah yang ketinggalan. Bayangkan; Itali dan Belgium yang ‘kecil anak’ itu pun boleh ikut merebut Afrika, boleh Empayar Russia yang besar gedabak tak sentuh walau sekelumit pun. Dia punya menghairankan itu dah macam ada berlaku isu gempar di Malaysia, tapi Sharnaz Ahmad tak komen sepatah-dua pun. Apa cerita?

Semua berbalik pada geopolitik. Bak kata Ayman Rashdan Wong dalam Dunia Tanpa Tembok III, “Geografi adalah takdir.” Dengan lokasi yang terlalu jauh, pergerakan Empayar Russia ke benua Afrika memang sukar. Justeru, situasi Russia dalam hal ini sama saja macam “Kenapa Uthmaniyah tidak menjelajah ke Amerika?”  Ia kerana geografi dan keadaan politik yang tidak memihak.

Russia dari 1533-1894

Ikutkan, ada tiga laluan laut untuk Russia sampai ke Afrika. Pertama, melalui Laut Hitam dan melintasi Selat Bosforus – sebelum masuk ke Laut Marmara dan seterusnya ke Laut Mediterranean. Cuma itulah, laluan ini memerlukan Russia menghadapi Uthmaniyah. Sedangkan masa itu, Russia baru sahaja kalah dengan Uthmaniyah dalam Perang Krimea (1853-1856).

Jadi, memang ralat kalau Russia guna laluan ini. Mana tidak, fans MU kalah game pun mesti lari masuk gua. Inikan lagi kalah perang. Dan kalau Uthmaniyah jenis selamba sekali pun, Russia tetap perlu harungi Terusan Suez yang dijaga oleh British (sekutu Uthmaniyah dalam perang tersebut). Jadi mahu tidak mahu, laluan ini perlu diketepikan walau ia paling singkat.

Laluan kedua pula adalah Laut Atlantik. Yakni dari St. Petersburgh, masuk ke Laut Baltik, kemudian ke Laut Utara dan harungi Laut Atlantik untuk sampai ke Afrika Barat. Namun, laluan ini amat terdedah kepada serangan. Baik dari British mahupun seteru Eropah lain.

Maka, tinggal lah laluan ketiga. Iaitu, dari Vladivostok (sempadan paling timur), turun ke Laut China Selatan, berpusing ke Selat Melaka, kemudian masuk ke Laut Hindi. Ikutkan, laluan ini memang paling kurang risiko serangan. Tapi jadi satu kerja gila pula nak kena tempuh jarak yang berkali ganda.

Bendera koloni Russia di Afrika

Kalau Tsar Tak Endah, Kita Jelajah Saja Sendiri

Ringkas kata, merebut Afrika sangat tidak menguntungkan Russia. Sebab itu Tsar Alexander III (1881-1894) buat tak endah saja fasal ‘Perebutan Afrika’. Supaya tidak berlaku situasi “yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.” Macam yang berlaku pada Alaska tahun 1867, di mana Russia terpaksa menjualnya kepada US pada harga $7.2 juta.

Namun, bukan semua bersetuju dengan dasar tak endah begitu. Terutama kalangan hartawan dan agamawan. Bagi mereka, Afrika adalah lubuk emas dan dakwah. Lantas demi visi tersebut, seorang lelaki pun dikambinghitamkan.

Namanya Nikolai Achinov. Ikutkan, Achinov ini bukanlah orang sembarangan. Dia ada kedudukan dalam arena politik. Hinggakan pernah dihantar ke Ethiopia sebagai diplomat pada usia seawal 28 tahun (1883) dan pulang enam tahun kemudian.

Achinov

Sebagai diplomat, dia memang calon paling sesuai untuk mengetuai penjelajahan di Afrika. Misi ini ditanggung penuh oleh sekumpulan hartawan. Achinov cuma tinggal pasang badan. Lantas pada 10 Disember 1888, dia berangkat bersama 165 orang anak buah dari Odessa ke Iskandariah. Tentunya, dengan melalui Laut Hitam.

Dari Iskandariah, Achinov kemudian menyambung perjalanan ke Pelabuhan Said (timur laut Mesir) dan seterusnya tiba di Teluk Tadjoura (di Djibouti) pada 6 Januari 1889. Di sinilah pasukannya menemui sebuah kampung berbenteng yang usang, dikenal sebagai Sagallo. Nama Sagallo kemudian diubah menjadi New Moscow dan lantas bermulalah kisah koloni Russia di Afrika.

Dipalau Raja Sendiri

Ikut sejarah, Sagallo dari dulu lagi menjadi persinggahan antarabangsa. Misalnya dari Phoenicia, Parthia, Saba’, Nabat, dan Rom. Ia kemudian dinaungi Uthmaniyah selama tiga kurun… sebelum penguasa tempatan menyerahkan Teluk Tadjoura kepada Perancis pada 1862. Kawasan itu lantas dikenali sebagai French Somaliland.

Bayangkan, kita dekat sini pun boleh kecoh bila pemilik flat selamba buat bangunan tambahan siap berpagar bagai. Inikan lagi Achinov yang ibarat bina pondok di tanah lot milik orang. Memang angin lah Perancis bila lihat ada bendera Russia berkibar di kawasan naungannya. Tambah pula anak-anak buah Achinov ini tak reti jaga kelakuan. Sampai diserangnya kampung sebelah (Danakil) dan curi ternakan buat makan.

Benteng Sagallo

Perancis pun apa lagi, terus saja panggil duta Russia ke Paris untuk dapatkan penjelasan. Respon Russia dalam bahasa ringkas, “Mamat ini buat palatao. Jadi, palau saja dia.” Kira macam bagi lesen pada Perancis untuk buatlah apapun pada Achinov, tsar tak kisah.

Lantas pada 5 Februari 1889, Perancis hantar tiga buah kapal perang ke New Moscow. Kata dua diberikan; menyerah atau kami bedil. Achinov yang ambil ringan keadaan memilih untuk buat selamba. Memang silaplah. Habis 6 orang hilang nyawa sambil 22 yang lain tercedera. Bila dah ada yang mati, barulah Achinov buka mata.

Mana-mana yang menyerah kemudian ditangkap, lalu dihantar pulang ke Russia. Termasuklah Achinov. Setiba saja, semua pun dipenjara sebagai harga memandai-mandai. Lantas, impian membina koloni Russia di Afrika pun terbengkalai… bersama persoalan, “Andai tsar pilih untuk bela Achinov, agak-agak bagaimana pula ceritanya?”

 

RUJUKAN

Ahonsi, Victor. (2022, April). Sagallo, A Short-Lived Russian Colony in Africa, Decades Ago. Opera News.

Dasgupta, Prateek. (2022, 28 March). The Forgotten Russian Colony in Africa. History of Yesterday.

RFERL. (2015, 2 April). Sagallo, Russia’s Short-Lived Cossack Colony in Africa.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Leave A Reply