Demikian hari seorang saintis Perancis bergurau di Twitter. Beliau menciapkan sekeping gambar digital katanya bintang Proxima Centauri yang dirakam Teleskop James Webb (JWST). Punyalah sembang JWST tangkap gambar begitu jelas dengan warna kemerah-merahan bagai. Kemudian saintis tersebut mengaku itu gambar sepotong sosej. Niatnya cuma bergurau – tetapi orang ramai ambil serius pula.
Benda sebegini pernah berlaku suatu masa dahulu. Tidak ramai tahu yang Amerika Syarikat pernah merepek pasal hal angkasa juga. Pada 25 Ogos 1835, akhbar The Sun menyiarkan rencana tergempar katanya saintis menemui sebuah tamadun di Bulan. Katanya juga, Bulan mempunyai flora dan fauna yang sangat rumit dan unik. Dan Bulan mempunyai kehidupan seakan-akan manusia yang bersayap. Tidak cukup dengan dakwaan ini, akhbar tersebut menunggang nama Sir John Herschel yang senang kata diheret untuk mengukuhkan hujah (Vida, 2012).
Para pembaca terkejut habis sampai golongan cerdik pandai pun jatuh jadi bangang. Penemuan ini menjadi buah mulut begitu ramai. Dan akhbar-akhbar lain mula mencetak semula (reprinting), sekali gus meluaskan lagi jaringan cerita tersebut. Dalam masa beberapa minggu, Amerika Syarikat dan Eropah terduduk habis katanya ada spesis luar biasa di Bulan.
Matlamat Yang Menghalalkan Cara
Kisah ini disiar beberapa abad lalu pada zaman yang tiada apa-apa akta untuk menjaminkan ketelusan dan moral. Jadi kelompangan ini menjadi kesempatan yang diambil penulis Richard Adams Locke, seorang wartawan yang mengaku bertanggungjawab (Goodman, 2008). Niat Locke adalah untuk menaikkan jualan akhbar The Sun… dan juga sekadar menyindir saintis zaman itu. Umumnya pada tahun 1824, seorang saintis Jerman menerbitkan kertas kajian Discovery of Many Distinct Traces of Lunar Inhabitants, Especially of One of Their Colossal Buildings.
Sebelum itu, kami ingin menjemput kalian beli buku THE HUMAN’S COMPLEX. Buku ini akan membawa kita menyelami logik di sebalik minda dan kelakuan manusia melalui eksperimen-eksperimen yang telah dijalankan oleh saintis dan pakar psikologi. Link pembelian: https://bit.ly/3C6Grjb
Buku ini juga dijual dalam bahasa Inggeris yang mungkin lebih diminati kalian. Link pembelian: https://bit.ly/3Pu6d3P
Kertas kajian ini adalah laporan penyelidikan katanya ada jalan raya dan bandar di Bulan. Locke kiranya buat satira tergempar, juga menyindir seorang paderi bernama Thomas Dick yang menerbitkan buku the Christian Philosopher. Dick berpendapat Sistem Suria ini adalah 21.9 trilion penghuni – dan Bulan saja sudah ada 4.2 bilion penduduk (Simon, 2014). Gam apalah mereka hisap agaknya…
Kesinambungan Pasca-Laporan
Sir John Herschel asalnya tidak marah pun. Tetapi banyak soalan mula diajukan pada beliau; semuanya pasal laporan The Sun. Itu yang membuatkan beliau naik meluat. Ramai pakat tanya tentang Vespertilio-Homo, yakni Orang Kelawar yang kononnya menghuni Bulan… ataupun memerang berjalan seperti manusia yang mendukung anak macam bayi. Dan seangkatan kambing berwarna biru.
Saban minggu, orang ramai sendiri mula mempertikai logik di sebalik penemuan ini. Pertama sekali, mereka tidak dapat faham teleksop yang digunakan. Herschel sebagai pakar astronomi terbukti mempunyai teleskop berkuasa tinggi. Namun teleskop ini adalah untuk mengkaji bintang, bukan penghuni planet… tambah pula tiada siapa tahu apa bendanya ‘teleskop berlensa hidro-oksigen’ yang sememangnya tidak wujud (Kindy, 2022).
Kemudian golongan profesional mula kutip akal yang bertaburan di atas lantai dan membalas dengan fakta. Journal of Commerce yang berbicara pasal perdagangan global sendiri jadi bidan terjun dan menghentam kisah Moon Hoax ini setaraf dengan fiksyen Robinson Crusoe dan Gulliver’s Travels. Kemudian New York Herald pula kecoh – mereka berhujah pasal sumber The Sun, iaitu Edinburgh Journal of Science (EJS). Mana mungkin The Sun boleh petik sumber ini sedangkan EJS sendiri sudah gulung tikar dua tahun sebelumnya.
Perlahan-lahan Great Moon Hoax ini hilang akar sensasinya. Ilmu sains berkembang lebih pesat, membuktikan dengan kukuh ia suatu satira dan jenaka semata-mata… bahawasanya Bulan sunyi macam segelintir dalam kalangan pembaca sekarang yang tiada peneman. Namun apa yang saintis Perancis buat dengan sepotong sosej itu mengingatkan balik – betapa mudahnya dunia tersungkur diperdaya karya tulisan tidak berasas. Benda ini sudah cukup untuk bantu pemahaman kenapa orang ramai mudah percaya teori konspirasi bagai.
RUJUKAN:
Goodman, M. (2008). The Sun and the Moon. Basic Books. Halaman 274.
Kindy, D. (2022, Ogos 14). Great Moon Hoax of 1835 convinced the world of extraterrestrial life. The Washington Post.
Simon, M. (2014, Disember 10). Fantastically Wrong: The Scientist Who Thought 22 Trillion Aliens Live in Our Solar System. Wired.
Vida, I. (2012). The Great Moon Hoax of 1835. Hungarian Journal of English and American Studies. 18 (1/2): 431-441.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih