Tidak banyak boleh cakap pasal tindakan Majlis Bandaraya Shah Alam. Bagi yang tertinggal bas, kronologinya senang saja – tetapi kesannya sangat besar sampai seluruh negara sedang beri pendapat panas. Mungkin menjadi lumrah semulajadi para peniaga – cubit paha kanan, paha kiri terasa juga.
Kesnya begini.
Seorang lelaki bernama Mohd Asri Hamid menjalankan perniagaan Hot Burger Malaysia di Sungai Buloh. Beliau didapati meninggalkan peralatan perniagaan selepas waktu operasi (Harian Metro, 2020).
Menurut Timbalan Datuk Bandar MBSA, teguran sudah diberi tetapi “tidak diendahkan” dan memberikan kesan “sehingga menyebabkan masalah lalu lintas”.
Malah Asri juga didapati melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) kerana berniaga melebihi pukul 12 tengah malam.
Jadi Apa Masalahnya?
Isu mula timbul selepas akaun Facebook Hot Burger Malaysia mendakwa premis perniagaan warga-warga Acheh kebal daripada tindakan MBSA kerana mereka jual rokok seludup (Harian Metro, 2020).
Dakwaan juga dibuat kononnya pihak berkuasa menutup sebelah mata kerana menerima habuan daripada perniagaan mesin judi (Harian Metro, 2020). Dari sinilah semua masalah tercetus. Menurut Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, dakwaan ini adalah fitnah (Safeek, 2020).
Superintendan Shafa’aton Abu Bakar juga mengatakan bahawa pihak polis tidak dimaklumkan tentang kewujudan premis judi dan jualan rokok seludup oleh warga Acheh. Masalah mula menjadi lebih rumit apabila pihak polis dan MBSA sendiri membuat laporan polis tentang hal ini.
Kerana tuduhan sedemikian menurut Shafa’aton boleh mencalarkan imej polis yang sedang berusaha kekang judi haram (Farik, 2020). Dan Mohd Asri Hamid tidak berdiam diri. Beliau membalas kenyataan pihak polis, “saya adalah penduduk asal di situ dan masyarakat sekitar juga tahu mengenai kewujudan premis judi itu.” (Hidayah, 2020).
Asri telah membawa perhatian seluruh Malaysia kepada Jalan Besar Bandar Baru Sungai Buloh yang dikatakan ada kegiatan jenayah yang selama ini disembunyikan.
Rintihan Asri sebenarnya berasas juga. Konteksnya begini: Tiada masalah saman aku, tetapi berlaku adil: saman semua yang melanggar arahan. (Hidayah, 2020). Membaca perkongsian dalam page Hot Burger Malaysia, banyak yang terdiri daripada komen-komen organik (bukan akaun palsu) yang menyokong hujah Asri ini.
Ramai berpihak kepada Asri, yang menceritakan kesungguhannya pergi ke Bukit Aman untuk melawan judi. Dan beliau menyatakan bahawa pemilik judi tersebut tahu Asri yang melaporkan perniagaan haramnya (Malakat Tribune, 2020).
Isu Yang Boleh Dikendalikan Lebih Arif
Sekecil-kecil api jika dibiarkan boleh mengundang bala yang besar. Mohd Asri Hamid hanyalah seorang usahawan burger yang mempunyai 100 cawangan. Beliau hanya menyatakan isi jiwanya kerana tidak berpuas hati kereta niaganya disita. Alasan tidak simpan peralatan perniagaan pun tidak diterima, kerana rakan niaga Asri (Otai Burger) yang menolak kereta niaga ke lorong belakang bank pun dikutip juga.
Persoalan Asri menambat perhatian seluruh negara kerana beliau berjaya meyakinkan unsur ketidakadilan dalam pengendalian pihak berkuasa. Soalan beliau berulangan tanpa jawapan: kenapa tidak dialih kedai-kedai Acheh?
Dan isu menjadi berhabuk lagi (no pun intended) apabila Facebook Polis Daerah Sungai Buloh memuatnaikkan sekeping gambar elektronik yang logiknya jauh menyimpang. Hujah ini sukar diterima akal kerana bersifat k0mb4tif terhadap emosi orang ramai.
Pihak polis sepatutnya menggunakan data-data rasmi untuk melawan prasangka dan persepsi. Logik di sebalik habuk ini mentah-mentah akan ditolak. Secara saintifiknya, graviti boleh menurunkan semua zarah di udara hanya dalam masa 10 minit. Yang bersaiz antara 15 µm hingga 100 µm mengambil masa dalam seminit sahaja untuk turun (Voss & Alfano, 2016).
Malah hujah Asri tentang Bukit Aman juga memberikan tempias bahawasanya ini boleh jadi gambar lama pun. Maka sekali lagi, pihak polis patut membawa isu ini dengan bijak kerana silap langkah sahaja, akan merosakkan imej polis.
RUJUKAN:
Farik, Z. (2020, Ogos 9). Sungai Buloh police deny allegations of inaction over illegal gambling activities. The Star Online. Retrieved from https://www.thestar.com.my/news/nation/2020/08/09/sungai-buloh-police-deny-allegations-of-inaction-over-illegal-gambling-activities
Harian Metro. (2020, Ahad 9). Gerai burger disita selepas nasihat tak diendah: MBSA. Retrieved from https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/08/608484/gerai-burger-disita-selepas-nasihat-tak-diendah-mbsa
Hidayah, B. (2020, Ogos 9). ‘Hak polis untuk nafi tapi saya penduduk asal di situ’ – peniaga burger [METROTV]. Harian Metro. Retrieved from https://www.hmetro.com.my/utama/2020/08/608614/hak-polis-untuk-nafi-tapi-saya-penduduk-asal-di-situ-peniaga-burger-metrotv
Malakat Tribune. (2020, Ogos 9). Temubual Eksklusif “Saya ter4ncam” – Peniaga burger tular rakam aktiviti haram di Sg Buloh. Facebook. Retrieved from https://www.facebook.com/watch/?v=2458834701073509
Safeek, A.R. (2020, Ogos 9). KPD Sungai Buloh sifatkan dakwaan judi fitnah. Berita Harian. Retrieved from https://www.bharian.com.my/berita/kes/2020/08/719463/kpd-sungai-buloh-sifatkan-dakwaan-judi-fitnah
Voss, A., & Alfano, S. (2016, Jun 20). The Dirt on Dust, Part I. Pro Remodeler. Retrieved from https://www.proremodeler.com/dirt-dust-part-i
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih