Semua sedia maklum dengan situasi penyakit Koronavirus Baru yang melanda dunia ketika ini. Berdasarkan situasi semasa, di China sahaja telah mencatatkan lebih 4,500 kes jangkitan dan 106 kes kem4tian. Di negara kita pula, sudah ada tujuh kes positif membabitkan Koronavirus Baru. Dengan situasi sebegini, ini menimbulkan persoalan bagaimana Islam memberi panduan dalam berhadapan dengan situasi menakutkan ini?
Suka atau tidak, sesebuah masyarakat itu perlu mempunyai kesedaran bersama walau apapun jenis wabak yang melanda. Kesedaran masyarakat terhadap wabak yang boleh merebak dengan cepat seharusnya menjadi tunjang utama dalam langkah pencegahan dan pengawalan.
Penyakit seperti Koronavirus Baru bukan sekadar perlu dilihat sebagai wabak penyakit, tetapi harus dipandang sebagai satu tanggungjawab dan amaran kepada manusia untuk menjaga persekitaran, ahli keluarga dan masyarakat supaya bebas daripada sebarang jangkitan merbahaya. Perkara ini perlu disemai dalam setiap anggota masyarakat bagi meningkatkan peluang bukan saja keluar daripada situasi wabak tetapi juga mencegahnya daripada terus berulang.
Kejadian wabak penyakit dalam masyarakat kita perlu diambil sebagai pengajaran bersama dan bukannya dijadikan alasan untuk saling menuding jari seperti dilakukan sesetengah pihak. Seringkali masyarakat bersikap seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing apabila berlaku sesuatu wabak dan saling menyalahkan. Lebih buruk, ada pula yang mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang tidak masuk akal hanya semata-mata untuk berlepas diri daripada tanggungjawab.
Selagi mana ahli keluarga tidak dijangkiti penyakit, maka mereka memandang mudah malah merasakan bukan tanggungjawab mereka untuk mengambil langkah pencegahan dan pengawalan. Sikap sebegini perlu dikikis dalam diri masing-masing. Malah, semua pihak dari kerajaan hingga masyarakat harus bermuafakat dalam menghadapi isu wabak ini secara bersama.
Apabila terdapat jangkitan wabak terhadap diri atau keluarga, seseorang perlu mempunyai pengetahuan untuk bertindak sewajarnya. Reaktif terhadap apa yang berlaku dan tidak panik adalah kunci bagi memastikan wabak yang melanda itu tidak mudah merebak dan mengelakkan keseriusannya dengan mendapatkan rawatan segera.
Selain kesedaran masyarakat, ilmu pengetahuan juga amat penting dalam menangani penularan ketika berlakunya wabak. Dua kompenen ini perlu digabungjalinkan dalam merencanakan langkah pengawalan dan pencegahan yang melibatkan program mobilisasi sosial.
Malangnya dalam masyarakat hari ini, wujud sesetengah anggota masyarakat yang bersikap lebih sudu daripada kuah termasuk mengaku dirinya pakar dalam pelbagai bidang dan menyebarkan berita palsu sehingga mencetuskan keributan dalam masyarakat. Perkara sebegini amat memalukan dan menyukarkan lagi usaha mem3rangi wabak kerana sumber yang diperuntukkan untuk perkara berkenaan perlu disalurkan kepada perkara sebegini rupa.
Setiap individu perlu tahu dan peka terhadap perkembangan semasa dan ketersediaan vaksin terbaharu daripada pihak berkuasa kesihatan terutamanya apabila melibatkan penyakit cegahan vaksin. Kerajaan juga perlu banyak mengadakan kempen-kempen pencegahan wabak dan turun padang dalam melaksanakan program pencegahan dan pengawalan. Ini merupakan peluang untuk masyarakat mengambil tahu dan mengikuti nasihat yang disarankan oleh pihak berkuasa.
Kerajaan juga perlu mengelak daripada mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang boleh mencetuskan panik dan menjadikan agenda mem3rangi wabak sebagai agenda utama. Ini berikutan sikap sesetengah anggota kerajaan yang masih bersikap acuh tak acuh dan tidak melihat perkara ini sebagai keutamaan. Sikap sebegini perlu diubah kerana usaha mem3rangi wabak hanya akan berjaya bila semua pihak bekerjasama menjayakannya.
Jika kita kembali kepada ajaran Islam, kebersihan amat dititikberatkan. Ia merupakan salah satu langkah pencegahan dan perlu bermula daripada diri sendiri. Rasulullah SAW pernah bersabda dalam sebuah hadis, “Bersihkanlah halaman rumah kalian, jangan samakan diri kalian dengan bangsa Yahudi”. Menjaga kebersihan persekitaran menjadi perkara penting selain daripada menjaga kesihatan jasmani dan rohani.
Untuk hidup sihat, tempat kediaman dan persekitaran juga perlu bersifat sihat dan bersih. Rumah kediaman perlu bebas daripada tempat takungan air, pembuangan sampah sarap yang tidak terurus, bau busuk dan udara yang kotor. Ini kerana faktor-faktor sebegini yang akan menggalakkan pembiakan lebih banyak haiwan yang dijangkiti virus dan bakteria yang seterusnya meningkatkan peluang jangkitan ke atas manusia.
Dalam Islam, pencegahan menjadi asas utama penjagaan kesihatan yang baik di samping mengamalkan gaya hidup secara bersederhana dan tidak berlebih-lebihan. Manakala bidang kesihatan moden yang berasaskan kaedah penyelidikan dan pembuktian saintifik turut memberi penekanan terhadap pencegahan dan rawatan dalam menghadapi sesuatu wabak penyakit. Dan ia menjadi asas dalam disiplin kesihatan awam.
Dalam satu hadis lain, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud, ”Apabila kamu mendengar penyakit taun berjangkit di sesuatu negeri, maka janganlah kamu memasuki negeri itu, demikian juga jika berjangkit di negeri tempat kamu tinggal, maka janganlah kamu keluar dari negerimu kerana melarikan diri dari penyakit itu.” (Riwayat Bukhari) Dalam konteks perubatan pencegahan dan rawatan pada hari ini, kuarantin dikenakan ke atas pesakit yang terkena jangkitan yang mudah berjangkit.
Kekhuatiran ini disebabkan wujud kemungkinan individu yang disyaki sebagai pembawa penyakit menjangkitkan pula penyakit berkenaan kepada orang lain. Dan dilarang untuk seseorang melawat kawasan yang terkena wabak supaya tidak menjangkiti diri. Bentuk pencegahan ini juga dilaksanakan oleh pihak kerajaan yang mewartakan larangan ke negara-negara yang dilanda wabak ataupun mengambil langkah pencegahan awal dengan mengenakan suntikan vaksin sebelum melawat ke luar negara atau kembali dari negara tertentu.
Pencegahan sebegini sudah wujud semasa era pemerintahan Khulafa’ ar-Rashidin atau lebih tepat semasa era Umar bin al-Khattab r.a. Pada satu ketika, beliau mengadakan lawatan ke bumi Syam apabila mendapat berita Syria dan wilayah barat Iraq teruk dilanda wabak. Selepas mendapat berita itu, Umar r.a memilih kembali ke Madinah selepas bertemu dengan komander lapangan t3ntera Islam ketika itu, Abu Ubaidah bin al-Jarrah r.a di sempadan Syam kerana teringat pesanan Rasulullah s.a.w berkenaan wabak.
Bila beliau merancang melantik Abu Ubaidah r.a sebagai penggantinya, sahabat Nabi yang tersenarai dalam 10 sahabat yang dijanjikan syurga itu memilih untuk menolak. Abu Ubaidah r.a berbuat demikian bukan saja kerana tidak mahu meninggalkan rakyatnya yang bergelut dengan wabak tetapi kerana mengingati pesanan baginda dalam hadis yang sama. Beliau bimbang sekiranya beliau menuruti perintah khalifah dan kembali ke Madinah, wujud risiko wabak yang melanda Syam dan Iraq ketika itu akan merebak pula ke Semenanjung Tanah Arab termasuk Madinah.
Islam menegah umatnya daripada terlibat dengan sebarang perkara yang menjerumuskan kepada kemudaratan, kesengsaraan dan kerosakan. Maka dalam konteks menangani pelbagai wabak yang kian menular dalam masyarakat kita, langkah pencegahan dan pengawalan perlu bermula daripada diri sendiri, keluarga dan seterusnya komuniti setempat.
Selain kesedaran yang wujud, ilmu dan maklumat yang tepat dapat menjamin keberkesanan langkah pencegahan dan rawatan penyakit. Komitmen padu antara masyarakat, pelbagai agensi kerajaan, swasta dan NGO dalam melaksanakan program serta usaha pencegahan menjadi benteng kepada penularan sesebuah wabak. Semoga Allah memudahkan usaha semua pihak dalam menangani krisis penyakit Koronavirus Baru.
RUJUKAN:
Awang, Norkumala. (2017). Tangani Wabak Bermula Diri Sendiri. Institut Kefahaman Islam Malaysia. http://www.ikim.gov.my/index.php/2017/08/29/tangani-wabak-bermula-diri-sendiri/
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih