Tanggal 14 Febuari merupakan hari yang “berhantu” buat setiap pasangan kekasih yang sedang dilanda fenomena manisnya bercinta. Mahu atau tidak mahu, hari ini mesti akan disambut tidak kira apa jua keadaannya kerana itulah hari tersebut dinamakan sebagai “hari kekasih”. Pada hari tersebut kebanyakkan pasangan akan melakukan sesuatu yang istimewa buat insan yang mereka cintai. Ada yang memilih untuk meluangkan masa bersama-sama sepanjang hari, ada juga yang menjadikan tarikh tersebut sebagai hari untuk berkasih sayang dan menjadi lebih romantis terhadap pasangannya berbanding hari-hari yang lain. Tidak kiralah apa jua aktiviti yang dilakukan oleh setiap pencinta, yang pasti 14 Febuari akan terus dikenang sebagai hari kekasih, hari buat pencinta menzahirkan isi hati yang paling dalam buat individu yang dicintai.

Namun demikian, jika selama berabad-abad ini hanya manusia menyambut hari kekasih sebagai hari untuk memanifestasikan cinta mereka, bagaimanakah pula jika sebuah negara menyambut hari tersebut? Apakah bentuk cinta yang akan dizahirkan oleh negara itu? serta kepada siapakah cinta itu akan diluahkan?. Sudah tentu perkara ini tidak pernah terlintas difikiran kita. Akan tetapi itu tidak bermakna perkara tersebut tidak pernah berlaku. Untuk membuktikan bahawa perkara ini benar-benar pernah terjadi, mari kita menelusuri semula peristiwa yang telah berlaku 56 tahun yang lalu. Peristiwa ini berlaku pada tahun 1962, ketika itu Malaysia masih digelar Persekutuan Tanah Melayu kerana masih belum bergabung dengan Sabah dan Sarawak.

Kisahnya bermula dengan kemelut yang berlaku di Congo pada tahun 1960-an. Kekacauan yang berlaku di Congo tercetus apabila pihak Kolonial Belgium enggan memberikan status dan pangkat yang lebih tinggi kepada anak jati Congo yang berkhidmat dalam perkhidmatan ketenteraan. Perkara ini telah meletuskan huru hari di sekitar Congo sehingga menyebabkan berlakunya pemberontakan di seluruh wilayah Congo. Perkara ini telah mengundang campur tangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk meredakan dan menyelesaikan masalah yang berlaku. Antara inisiatif yang dijalankan oleh PBB ialah dengan menubuhkan United Nations Operation in the Congo (UNOC). Organisasi yang ditubuhkan oleh PBB ini telah menjadi medan pertama kepada Malaya untuk melibatkan diri dalam operasi pengaman PBB setelah negara mencapai kemerdekaan dan bebas daripada keadaan darurat.

 

Oleh yang demikian, bagi merealisasikan cita-cita Malaya untuk menyertai Operasi Pengaman PBB, Tunku Abdul Rahman telah menghantar seramai 613 orang tentera yang terdiri daripada 4 kontijen untuk berkhidmat di Congo. Pasukan yang dikenali sebagai Malayan Special Force (MSF) disana bermula 1960 hingga April 1963. Antara peranan yang perlu dilaksanakan semasa berada dibawah panji PBB ialah mengawal keamanan Republik Congo yang bergolak untuk mencapai kemerdekaan dan bukannya untuk berperang atau merampas kekuasaan Congo. Secara rasminya, tugasan pertama yang dipertanggungjawabkan kepada MSF disana ialah memberikan perlindungan ketenteraan di Lapangan Terbang Leopotville dan markas PBB.

Tidak cukup dengan itu, krisis yang berlaku di Congo ini juga telah menyebabkan PBB memerlukan sejumlah peruntukkan kewangan yang sangat besar. Menurut Mantan Setiausaha PBB, Encik U Thant, jumlah perbelanjaan yang ditampung oleh PBB bagi menyelenggara operasi di Congo telah menelan belanja sebanyak RM30 juta sebulan. Sekiranya perkara ini berterusan, PBB turut akan dilanda krisis kewangan yang teruk. Disebabkan itu, bagi melancarkan urusan UNOC, PBB telah merencanakan usaha dengan mengeluarkan bon berjumlah RM600 juta. Bon-bon yang dikeluarkan ini telah dibeli oleh 16 negara yang menyertai misi pengaman di Congo termasuklah Malaya. Menerusi aspek inilah kita dapat melihat bahawa Malaya bukan sahaja memberikan bantuan dalam aspek ketenteraan, malah  turut menzahirkan rasa cinta melalui pengorbanan wang. Demi cintanya terhadap keamanan, Malaya sanggup mengorbankan apa sahaja asalkan keamanan dapat dikembalikan. Akhirnya pada 14 Febuari 1962, Barisan Kabinet Persekutuan Tanah Melayu telah meluluskan peruntukkan sebanyak RM1,020,000 untuk membeli bon-bon yang dikeluarkan oleh PBB.

Begitulah besarnya pengorbanan yang diberikan oleh sebuah negara kecil yang bergelar Malaysia kepada masyarakat dunia. Tindakan yang dilakukan oleh negara kita ini bukan sahaja menunjukkan nilai-nilai murni yang baik buat teladan masyarakat dunia, malah ianya turut memberikan tamsilan yang baik buat negara dan anggota masyarakat yang menghuni di dalamnya. Disebabkan itu tidak hairanlah mengapa dunia luar sering memandang Malaya- Tanah Melayu- Malaysia sebagai sebuah negara yang istimewa. Pada hari yang sama dengan tarikh hari ini, 14 Febuari 56 tahun yang lalu Malaya telah menzahirkan cintanya, dan hari ini, apakah pula cara kita membuktikan cinta kepada negara?

Rujukan:

Arkib Negara Malaysia

Ahmad Farhan Bin Abdullah. Malaysia dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 1957-2003.

http://www.un.org/apps/news/story.asp?NewsID=54053


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Comments are closed.