Setiap kali mendengar idea pengklonan haiwan yang telah pupus terutama dinosaur, imej Dr Ian Malcolm (Jeff Goldblum) muncul dalam kepala penulis. Dalam filem Jurassic Park dan Jurassic World: Fallen Kingdom, Malcolm antara orang pertama menolak idea sebegini dan menyifatkan sesiapa yang melakukannya cuba mencabar kekuasaan Tuhan. Malah, beliau turut menegaskan kesilapan ini bakal menyumbang kepada kepupusan manusia di atas muka bumi ini.
Begitupun, masih ada yang menyifatkan idea sebegini sebagai satu idea yang hebat. Baru-baru ini, pengasas bersama Neuralink, Max Hodak mengeluarkan ciapan di Twitter bahawa idea Jurassic Park dalam filem tersebut sebagai tidak mustahil. Neuralink sememangnya dikenali dengan idea radikal seperti meletakkan cip pada otak babi dan monyet. Tetapi tidak diketahui sama ada mereka berminat merealisasikan idea pengklonan haiwan.
Sekiranya ciapan Hodak merujuk kepada komuniti saintifik yang terlibat dalam usaha ini, maka prospeknya ada walaupun ia bakal berdepan halangan sukar. Bukan satu rahsia beberapa spesis haiwan telah diklon oleh saintis seperti kambing biri-biri (Dolly), serigala, anjing dan kucing. Malah, saintis di Amerika Syarikat berjaya mengklonkan spesis feret berkaki hitam yang dikelaskan sebagai spesis haiwan yang dian>cam kepupusan.
Tetapi untuk mengklonkan haiwan yang telah pupus ialah satu cabaran yang berbeza. Misalnya, untuk pengklonan dinosaur, para saintis memerlukan DNA dinosaur yang tulen tetapi ia sukar untuk diperoleh. Menurut Dr Susie Maidment dari Muzium Alam Semulajadi AS, walaupun sesetengah bahan boleh didapati pada lalat dan nyamuk yang dilindungi oleh ambar, ia hanya melindungi kulit dan bukan tisu lembut serangga-serangga itu.
Satu cara untuk menghasilkannya semula ialah pembiakan dan kejuruteraan genetik. Dalam filem Jurassic Park, saintis-saintis InGen menggunakan DNA katak sebagai medium pengklonan dinosaur. Begitupun, menurut Dr Maidment, itu dianggap mustahil kerana untuk menjayakan apa yang dinyatakan dalam filem berkenaan memerlukan set genom haiwan yang lengkap. Tanpa set genom yang lengkap, ia amat sukar untuk menghasilkan haiwan yang sempurna fizikalnya.
Tetapi jika ada saintis yang mempunyai set genom haiwan yang lengkap, maka sebarang kelompangan fragmen perlu diisi dengan haiwan yang hampir sama dari segi biologinya. Bagi dinosaur misalnya, lompang fragmen DNA mereka boleh diisi sama ada dengan DNA burung atau DNA buaya. Dua DNA haiwan ini sesuai untuk pengklonan dinosaur kerana burung sememangnya dinosaur dan buaya pula berkongsi moyang sama dengan dinosaur.
Ketika ini, usaha pengklonan mamot giat dijalankan dengan harapan ia dapat mengembalikan semula moyang gajah yang telah pupus itu. Bagaimanapun, dengan kos yang dilaburkan dikatakan mencecah jutaan dolar, Profesor David Ehrenfeld dari Universiti Rutgers di New Brunswick, New Jersey merasakan lebih baik ia disalurkan kepada projek pemuliharaan ekosistem alam. Tambahnya, kerja sebegini bersifat sia-sia dan langsung tidak membantu usaha memulihara alam sekitar.
RUJUKAN:
Smith, A. (2021). ‘WE COULD PROBABLY BUILD JURASSIC PARK,’ SAYS CO-FOUNDER OF ELON MUSK’S NEURALINK. The Independent.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih