Bagi ahli arkeologi Itali Enrico Gallochio, tugas sehariannya ialah memantau kerja-kerja ekskavasi di tapak lama kota Rom bernama Baiae. Tetapi Baiae tidak seperti sesetengah tapak ekskavasi Rom yang biasa. Baiae yang terletak berhampiran Naples itu sebenarnya berada di bawah laut dan kini merupakan taman arkeologi bawah laut Itali.

Penemuan demi penemuan di kawasan itu membuktikan telahan penduduk sekitarnya bahawa terdapat sesuatu yang istimewa tersembunyi di Teluk Naples. Para nelayan pada abad ke-19 sekali-sekala menemui artifak Rom apabila memeriksa tangkapan mereka. Tetapi semua itu berubah apabila aktiviti pengorekan pada 1920-an menemukan sebuah patung berukir yang diperbuat daripada batu marmar.

Apabila berita tersebut sampai ke pengetahuan Benito Mussolini, beliau mengarahkan kawasan tersebut dikeringkan bagi mengetahui apa lagi khazanah yang tersembunyi. Tetapi ia tidak pernah dilaksanakan dan penulis percaya salah satu sebabnya ialah Pe.ra.ng Dunia Kedua (WWII).

Keinginan Mussolini sudah pasti lebih membara selepas melihat gambar-gambar udara yang diambil juruterbang ten.te.ra udara Raimundo Baucher pada tahun 40-an. Semasa terbang rendah di satu kawasan yang pernah menjadi pelabuhan Portus Julius, dia terkejut apabila terdapat banyak tinggalan bangunan berada dalam air. Ini termasuk jalan-jalan, tiang-tiang marmar dan dinding-dinding tembok.

Rajah 1: Penyelam memeriksa mozek vila lama di Baiae. Sumber: Andreas Solaro/AFP

Gambar-gambar ini menjadi batu asas kepada usaha ekskavasi yang dijalankan sekitar Baiae. Sejak itu, puluhan artifak dibawa keluar dari kawasan teluk. Ini termasuk penemuan terbaru, sebuah tiang marmar yang besar. Apabila ditanya tentang persepsi pertamanya berkenaan Baiae, Gallochio menyamakannya dengan Monte Carlo hari ini.

Pada era Rom, di sinilah golongan atasan Rom bercuti dan menikmati suasana santai di bandar percutian tersebut. Menariknya, maharaja-maharaja Rom seperti Augustus, Caligula dan Nero turut mempunyai istana di Baiae. Malah, artifak-artifak dari vila percutian milik nenda Augustus, Julius Caesar kini menjadi bahan pameran Muzium Arkeologi Campi Flegrei.

Semasa ia diasaskan, Baiae terletak di cerun gunung berapi super Campi Flegrei. Pada awalnya, ia dikenali kerana mempunyai kolam-kolam air panas yang dianggap baik untuk kesihatan. Malah, menurut rekod sejarah, Maharaja Hadrian menghembuskan nafas terakhirnya di situ. Gallochio percaya pada tahun-tahun akhir pemerintahannya, baginda jatuh gering dan melihat khasiat kolam air panas Baiae sebagai cara memulihkan kesihatannya.

Tetapi dalam catatan penulis seperti Cassius Dio dan Suetonius, Baiae boleh diibaratkan Las Vegas versi Rom. Di sinilah, golongan hartawan berpesta kadang-kadang selama beberapa hari, mempunyai hubungan sulit dan menayangkan kekayaan mereka. Bandar ini juga menjadi lokasi rancangan pembu.nu.han Nero direncana oleh senator Gaius Calpurnius Piso.

Rajah 2: Contoh tapak tiang marmar di Baiae. Sumber: Andreas Solaro/AFP

Menjelang abad keempat Masihi, sebahagian besar kawasan Baiae mula tenggelam akibat aktiviti gunung berapi. Aktiviti gunung berapi yang dikenali sebagai ‘bradyseism’ ini mengakibatkan paras tanah naik dan turun. Fenomena ini memberi kesan kepada seluruh kawasan teluk. Justeru, tidak hairanlah sebahagian bandar ini kemudiannya tenggelam ke dasar laut sekaligus diberi gelaran Atlantis versi Itali.

Apabila gambar Baucher diketahui oleh komuniti arkeologi pada ketika itu, ia menjana minat yang tinggi. Tetapi kerja-kerja ekskavasi ditangguhkan sehingga tahun 1959 apabila peralatan menyelam ketika itu semakin canggih. Pada tahun tersebut, pasukan penyelam dihantar untuk meninjau dan membuat peta arkeologi kawasan tersebut.

Kerja-kerja ekskavasi sebenar bermula pada tahun 80-an. Artifak pertama yang dikeluarkan ialah patung-patung marmar dari nymphaeum. Patung-patung ini dihasilkan atas arahan Maharaja Claudius. Kini, replika patung-patung ini yang diletakkan di Baiae dengan yang original menjadi bahan pameran di Muzium Arkeologi Campi Flegrei.

Selain itu, pasukan pengkaji turut menemui rumah-rumah mandian era Rom, pancuran air dan bekas kolam ikan. Kolam-kolam sebegini digunakan untuk menternak belut-belut untuk dijadikan sebagai hidangan eksotik golongan atasan Rom. Sebut pasal Gaius Calpurnius Piso, pasukan pengkaji turut menemui paip yang mengandungi ukiran namanya.

Rajah 3: Sebahagian tembok batu-bata Rom yang masih utuh di Baiae. Sumber: Andreas Solaro/AFP

Tetapi sayang, disebabkan nilai yang tinggi di pasaran gelap, banyak artifak Baiae dicuri sebelum sempat dikaji. Sesetengah daripadanya kini menjadi bahan pameran beberapa muzium di seluruh dunia termasuk Muzium Getty di Los Angeles, California. Tidak mahu perkara ini berulang, Baiae diisytiharkan sebagai kawasan perlindungan marin pada 2002.

Kawasan tersebut kini diawasi oleh kamera-kamera litar tertutup sepanjang masa. Pasukan penyelam polis dari divisyen je.na.yah kesenian turut memeriksa Baiae dari semasa ke semasa bagi mencegah aktiviti ro.mp.akan artifak. Walaupun tidak terbukti 100%, ia berjaya mengekang aktiviti tidak bermoral itu.

Ketika ini, pelancong boleh turun menyelam dengan setiap selaman diketuai oleh pemandu arah yang berdaftar. Terdapat tujuh tapak selaman termasuk Portus Julius dan nymphaeum milik Claudius. Dan pihak berkuasa taman sedang berkira-kira membeli bot dengan bahagian bawahnya diperbuat daripada kaca. Ini membolehkan pelancong dapat melihat artifak-artifak dan tinggalan monumen sekitar Baiae.

Gallochio sedar usaha mengekskavasi kawasan ini dijangka memakan masa bertahun-tahun. Tetapi beliau percaya, lebih banyak penemuan akan dapat ditemui di Baiae walaupun kecil seperti serpihan marmar.

RUJUKAN

Giuffrida, A. (2021, 30 Oktober). Tourists marvel at ancient Rome’s party town, now buried by the sea. The Guardian.

Berminat dengan sejarah Tamadun Rom? Kami nak cadangkan buku terbaru kami, Kitab Tamadun Rom pada pautan di bit.ly/pratempahktmktr


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.