Sejak ribuan tahun dahulu, arak merupakan minuman penting bagi masyarakat purba – baik sebagai minuman harian mahupun minuman khusus buat upacara keagamaan. Bagi masyarakat Mesopotamia, arak malah dijadikan sebagai upah kepada golongan buruh.
Di dalam Epik Giglamesh, seorang watak lelaki bernama Enkidu disifatkan sebagai “tidak pandai memakan roti dan meminum arak”. Bahagian kedua pada frasa ini seakan-akan menunjukkan betapa meminum arak itu dianggap sebagai satu kualiti bagi insan yang bertamadun, persis seperti kita mengatakan seseorang itu tidak pandai membaca misalnya. Dalam teks-teks Sumeria, perkataan arak disebutkan dalam pelbagai aspek, meliputi agama, perubatan dan juga mitos.
Arak bijirin dianggarkan telah pun wujud sejak bijirin kali pertama ditanam kira-kira tahun 10 000SM dahulu. Di Cina, dipercayai bahawa arak yang diperbuat daripada beras, madu dan buah-buahan tertua dihasilkan sekitar 7000SM (9000 tahun dahulu).
Namun, bukti arkeologi (bukti fizikal) berkaitan arak yang paling tua ditemukan di Godin Tepe, Pergunungan Zagros, Iran yang bertarikh 3500-3100SM. Laman Ancient Origins memberikan pentarikhan yang lebih selamat, dengan menyebutkannya sebagai 4000SM.
Kebiasaannya,
ahli-ahli arkeologi yang mengkaji tentang kepentingan arak di zaman purba hanya
menemukan sebutan tentang arak pada tulisan mahupun lukisan. Penemuan berbentuk
artifak (fizikal) sangat sukar untuk didapatkan. Justeru penemuan balang atau
tembikar di tapak Godin Tepe merupakan pencapaian arkeologi yang dianggap
signifikan bagi mengenali lebih lanjut tentang sejarah arak di zaman purba.
Bukti ukiran bergambar pula didapati daripada penemuan tablet tanah liat Sumeria yang dianggarkan bertarikh 4000-3400SM. Tablet ini menggambarkan sekumpulan masyarakat sedang menyedut arak daripada tembikar dengan menggunakan straw rumput.
Tablet-tablet daripada tamadun Mesopotamia turut merakamkan bahawa kebanyakan penghasil arak adalah kaum wanita. Pekerjaan tersebut dihormati oleh masyarakat di zamannya, mungkin berdasarkan daripada kepercayaan terhadap Dewi Ninkasi yang bakal dirincikan sepintas lalu di bawah.
Gambaran Dewi Ninkasi (kiri) dan gambaran masyarakat menyedut arak daripada tembikar menggunakan straw rumput (kanan)
Sementara itu, piawai resepi penghasilan arak paling tua dikreditkan kepada masyarakat Sumeria menerusi bukti yang terkandung di dalam puisi berusia 3900 tahun yang dikenali sebagai Puisi Buat Ninkasi (Hymn to Ninkasi, 1800SM). Ninkasi merupakan dewi arak, kesuburan dan penuaian masyarakat Sumeria.
Walaupun tiada penerangan tentang proses penghasilan secara terperinci, puisi ini ada menjelaskan bagaimana bappir, iaitu roti masyarakat Sumeria digabungkan dengan beberapa jenis bahan untuk berfungsi sebagai tapai. Puisi Buat Ninkasi ini merangkumi dua buah tablet tanah liat dan ianya diterjemahkan oleh seorang ahli kaji Sumer dari Universiti Chicago yang bernama Miguel Civil.
Menerusi rekod
bertulis dan juga kesan-kesan arak pada tembikar yang ditemukan oleh arkeologis,
sejumlah pengilang arak moden berupaya menghasilkan semula arak berkenaan.
Antaranya seperti Achor Brewing Company yang berpusat di San Francisco, dimiliki
oleh Fritz Maytag. Begitu juga dengan Great Lakes Brewing Company yang bertapak
di Ohio yang melakukannya pada tahun 2013.
Syarikat ini menggunakan bahan-bahan sama yang digunakan oleh masyarakat Sumeria, seperti ketumbar, buah pelaga, buah ara, kurma dan delima. Selain itu, mereka turut meniru proses penghasilannya di zaman purba. Arak yang memiliki sejarah berusia hampir 5000 tahun, yang dihasilkan semula oleh syarikat GLBC ini bahkan dihidangkan di dalam bekas tanah liat yang persis seperti bekas yang digunakan oleh masyarakat Sumeria.
Walau bagaimanapun, projek penghasilan semula arak Sumeria ini bukanlah dibuat atas dasar komersial, sebaliknya bagi tujuan pendidikan atau lebih tepat, hanya terhad semasa karnival-karnival yang diadakan di Cleveland dan Chicago pada hujung musim panas tahun 2013.
“Bagaimana boleh
anda berada dalam perniagaan ini, tanpa ada langsung minat untuk mengetahui
bagaimana nenek-moyang anda menghasilkan arak di zaman mereka?” ujar pemilik
bersama syarikat GLBC, iaitu Pat Conway kepada media ketika ditemuramah tentang
projek penghasilan semula arak Sumeria itu yang dilakukan dengan kerjasama
dengan Universiti Chicago.
Kenyataan ini
sangat mengagumkan kerana jelas terkandung di dalamnya nilai kesedaran dan
semangat cintakan sejarah yang dimiliki oleh beliau. Keadaan ini juga sangat
menarik untuk diambil sebagai iktibar, di mana pemain industri bergerak rapat
dengan kumpulan arkeologis sambil berkongsikan hasil kerjasama tersebut kepada
masyarakat awam. Kesannya, penemuan-penemuan sejarah tidak hanya berlegar dalam
kalangan ahli arkeologi ataupun sejarahwan, akan tetapi turut dekat dengan
masyarakat hasil penglibatan-bersama pemain-pemain industri.
Pat Conway dan Nate Gibbon dari makmal Universiti Chicago sedang menghasilkan arak Sumeria
Pengunjung syarikat Great Lakes Brewing Company sedang menikmati arak Sumeria, dan juga ukiran daripada meterai Silinder Sumeria yang menggambarkan sekumpulan manusia sedang meminum arak.
RUJUKAN
April Holloway. (11
Julai 2017). Sip Like a Sumerian: Ancient Beer Recipe Recreated from
Millenia-Old Cuneiform Tablets. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/news-history-archaeology/sip-sumerian-ancient-beer-recipe-recreated-millennia-old-cuneiform-tablets-021492
Ancient Pages.
(23 Januari 2016). Oldest Evidence of Beer was Found on a Sumerian Tablet in
Mesopotamia.
http://www.ancientpages.com/2016/01/23/oldest-evidence-beer-found-sumerian-tablet-mesopotamia/
Alok Bannerjee.
(22 September 2017). The World’s Oldest Known Beer Recipe Comes From Ancient
Mesopotamia. Realm of History.
https://www.realmofhistory.com/2017/09/22/oldest-beer-recipe-mesopotamia-ninkasi/




No comments yet