Ahad, 22 November 202622 Nov 2026
Mutiara Islam

Pengepungan Acre 1191 – Dendam Salibi Terhadap Salahuddin

Tinta sejarah telah
terpahat bahawa suatu ketika dahulu, muncul susuk tubuh pemimpin Islam yang
menjadi igauan ngeri bagi ketumbukan tentera Salib. Beliaulah Sultan Salahuddin
Al Ayyubi, penegak Dinasti Ayyubiyah yang berjaya membebaskan Baitulmaqdis dari
tangan pemerintahan Salibi pada tahun 1187. Jatuhnya Baitulmaqdis menandakan
kedudukan tentera Salib di dunia Arab semakin goyah.

Berita kegagalan tentera
Salib dalam mempertahankan Baitulmaqdis pantas mendapat reaksi seluruh kerajaan
Eropah. Paus Gregory VIII menyifatkan kekalahan tersebut merupakan suatu
malapetaka buat dunia Kristian. Maka dengan itu, beliau telah meniup api
semangat yang baru bagi melancarkan kempen Perang Salib Ketiga. Tujuannya hanya
satu ; mahu merampas kembali tanah suci daripada Salahuddin.

Semboyan Pope pantas
mendapat reaksi positif dari monarki Eropah. Frederick I Barbarossa (Maharaja
Empayar Rom Suci) menjadi pihak paling awal yang menyahut seruan jihad itu.
Baginda telah mempersiapkan angkatan seramai 200,000 tentera bagi menawan
kembali Baitulmaqdis. Baginda telah memilih jalan darat dimana perjalanannya
melalui Anatolia dan menuju ke Sicilia. Kemudian, kempen perang ini mendapat
penyertaan daripada Philip II dari Perancis dan Richard the Lionheart dari
England.

Kenapa Acre Penting?        

Acre
merupakan kota yang terletak di persisiran pantai Laut Mediterranean. Kedudukan
yang strategik ini telah memberi nilai ekonomi yang sangat lumayan kepada Acre.
Bukan itu sahaja, Acre merupakan pintu utama bagi kuasa-kuasa Eropah untuk
menakluk Baitulmaqdis yang terletak di bahagian selatan kota tersebut. Maka
dengan itu, kempen Perang Salib Ketiga ini dimulai dengan menyasarkan Acre
terlebih dahulu.

Kepungan
terhadap Acre telah dimulakan pada tahun 1189 lagi dimana ia dipimpin oleh Guy
of Lusignan, bekas Raja Baitulmaqdis. Guy dibebaskan oleh Salahuddin ketika
beliau tewas dalam Peperangan Hittin, seterusnya menjadikan beliau seorang raja
yang tidak mempunyai kerajaan. Maka, beliau telah memulakan pengepungan Acre
ini bagi menebuskan kembali kekalahan memalukan dengan Salahuddin.

Kerana
dendam terhadap Salahuddin, Guy sanggup untuk berganding dengan musuh
tradisinya, Conrad of Montferrat untuk sama-sama mengepung Acre. Pada Ogos
1189, Guy telah memimpin sebuah ketumbukan ketenteraan berjumlah 700 infantri,
400 tentera berkuda dan armada laut Pisan. Sesampainya di Acre, Guy dengan
segera mendirikan sebuah markas di Bukit Toron. Namun, beliau mendapat
perkhabaran bahawa angkatan laut Pisan gagal dalam menembusi armada Saladin
yang mengawasi persisiran Acre.

Pada ketika ini, Guy masih enggan melakukan sebarang serangan memandangkan kekuatan tenteranya masih lemah, mahu tidak mahu dia harus menunggu menunggu bantuan ketenteraan dari Eropah tiba. Kesabarannya terbalas apabila pada awal September, sejumlah 12,000 tentera dari pelbagai negara Eropah tiba di Acre.

Untuk memulakan pengepungan, Guy telah mengarahkan bahawa parit digali mengelilingi kota Acre bagi mengelakkan serangan darat oleh Saladin. Parit yang dalam itu dipenuhi oleh cebisan-cebisan kayu dan besi yang sangat tajam, menjadikan musuh gentar untuk melepasinya.

Reaksi Salahuddin       

Salahuddin
dengan pantas menyiapkan tenteranya sebaik mengetahui Acre telah dikepung dari
arah laut dan darat. Namun, baginda tidak dapat mengerah seluruh aset
ketenteraannya ke kota itu kerana pada sebelumnya, sebahagian tentera telah
diutus ke Syria untuk berhadapan dengan Barbarossa. Maka dengan kekuatan yang
sedia ada, baginda tetap melancarkan serangan-serangan dari darat namun tidak
memberikan kesan yang signifikan terhadap pihak Salib.

Dari
dalam kota, tentera elit Salahuddin bertempur dengan sengit dalam menghadapi
serangan Guy. Berbekalkan dinding kota yang sangat ampuh, tentera Guy ternyata
buntu bagaimana mahu menawan kota tersebut. Guy telah memutuskan untuk membina
menara panjat yang bersaiz raksasa – tingginya 30 meter dan diperbuat daripada
bahan kalis api bagi menahan serangan Greek Fire dari dalam kota Acre.

Sebanyak
tiga buah menara panjat telah dibina. Sebaik siap, puak Salib terus memulakan
serangan habis-habisan. Pada awalnya, serangan Greek Fire dari dalam kota tidak
memberi apa-apa kesan ke atas menara panjat tersebut kerana bahan yang diperbuatnya
ialah kalis api. Salahuddin yang kebuntuan itu terus segera melancarkan
serangan infantri ke atas markas Guy bagi mengalih perhatian mereka dari terus
menyerang ke dalam kota.

Ketika
pertempuran inilah salah seorang daripada tentera Salahuddin bernama Ali telah
menawarkan dirinya untuk menyusup masuk ke dalam kota Acre. Beliau meyakinkan
sultan bahawa beliau mampu membakar menara panjat milik Salibi itu berdasarkan
kepakaran kimia yang dimiliki. Salahuddin membenarkan hasratnya itu dan Ali
terus menyusup ke dalam kota bagi membantu tentera Acre melawan puak Salib.
Akhirnya, ketiga-tiga menara panjat itu berjaya dibinasakan dengan serangan
Greek Fire yang diubah suai oleh Ali.

Pengepungan Yang Sengit Dan
Buntu 

Sepanjang
pengepungan, kedua-dua pihak terpaksa menghadapi cuaca musim sejuk yang
melampau. Bahkan, ada dalam kalangan mereka yang mati kerana penularan penyakit
di mana najis mereka terdapat mukus dan darah. Setelah musim sejuk berakhir,
pertempuran kembali berlaku dan keadaan masih buntu, baik Guy yang menyerang,
Salahuddin yang mati akal bagaimana mahu memecahkan barisan pertahanan Guy
serta penduduk Acre yang semakin lama semakin kekurangan bekalan makanan.

Pertempuran di laut juga tidak kurang hebatnya. Kadang-kadang armada Salahuddin yang menang, ada tikanya armada Salibi. Situasi baik di laut dan darat sememangnya sangat buntu, yang tersiksanya penduduk Acre yang kekurangan bekalan serta tentera yang sangat keletihan mempertahankan kota.

Namun apa yang menariknya, tentera Acre pernah menawarkan mahu menyerahkan diri dengan syarat-syarat tertentu namun ditolak mentah-mentah oleh Guy kerana beranggapan dia mampu menakluk kota itu secara pertempuran. Namun, keangkuhannya itu memakan diri kerana sehingga kini, bukan mudah mahu merobek kota Acre itu.

Di
pihak Salahuddin pula, baginda telah melakukan pelbagai cara bagi merencatkan
serangan Guy. Namun ia seakan-akan tidak berhasil. Kedua-dua pihak telah
menanggung jumlah kematian dan kerugian yang amat besar, namun tiada hasil
signifikan yang terhasil.

Richard the Lionheart – The Game
Changer

Akhirnya
pada Jun 1191, angkatan tentera yang dipimpin oleh Richard dan Philiph telah
tiba di Acre dengan kekuatan armada lebih dari 200 kapal perang, makanan,
kelengkapan perang dan 17,000 tentera. Bantuan ketenteraan ini memberi
kelebihan kepada puak Salib untuk menatijahkan kepungan ke atas Acre. Kehadiran
200 armada Richard sekaligus menewaskan armada Salahuddin dari Mesir dan
menyebabkan penguasaan laut kembali kepada tentera Salib.

Kini,
jumlah tentera Salib adalah seramai 25,000 orang. Richard mengarahkan senjata
pemusnah catapult dibina dan menyerang kota itu siang malam tanpa henti.
Baginda juga mengupah penggali agar menggali tanah di bawah benteng Acre supaya
ianya dapat diruntuhkan. Akhirnya, Menara Maledicta telah binasa menyembah bumi
akibat penggalian tersebut. Di sinilah harapan Salahuddin terhadap Acre hancur,
tiada apa-apa mampu baginda lakukan, selain melihat kota penting itu jatuh.

Kejatuhan Acre

Jatuhnya
Acre ke tangan pihak Salib adalah kerana kurangnya kesatuan dalam kalangan
kerajaan-kerajaan Islam. Kerajaan Muwahhid di Maghribi enggan untuk memberikan
bantuan laut kerana hubungan buruk dengan Salahuddin. Hal ini menyebabkan
tentera Salib bebas memilih mana-mana lokasi di persisiran di Utara Afrika
sebagai markas tentera. Kerana itulah, bantuan ketenteraan sentiasa sampai
melalui jalan laut menuju ke Acre.

Salahuddin
juga kehilangan sokongan dari anak saudaranya sendiri, Taqi al Din yang memilih
untuk ‘buat kepala sendiri’ apabila mahu mendirikan kerajaan sendiri di selatan
Turki. Baginda juga tidak mendapat perkhabaran terkini bahawa Barbarossa pada
awalnya telah mati lemas di Sungai Saleph, selatan Sicilia yang mengakibatkan
sebahagian besar tenteranya kucar-kacir.

Kejatuhan Acre sememangnya tidak dapat dielakkan lagi. Maka, pada tanggal 12 Julai 1191, setelah hampir dua tahun Acre dikepung, rakyat dan tentera kota itu menyerah diri kepada tentera Salib. Satu perjanjian antara Salahuddin dan Richard telah dimeterai di mana orang Kristian dibenarkan melawat Baitulmaqdis, puak Salib menguasai pantai Syam serta True Cross milik Kristian dipulangkan kembali.

Pertempuran
di Acre menandakan bermulanya siri Perang Salib yang ketiga. Namun, pada
akhirnya puak Salib masih gagal dalam usaha mereka untuk menawan kembali
Baitulmaqdis dari tangan umat Islam.

Ikuti penulis di laman sosial yang berikut:

Facebook:https://www.facebook.com/haikal.hazwan.37669Instagram:https://www.instagram.com/haikal.haz/Twitter: https://twitter.com/HaikalHazwan10

RUJUKAN:

Hamka. Sejarah Umat Islam
Edisi 2016. Daulat Osmaniah. PTS Publishing.

Cartwright, Mark (2018). The Siege of Acre, 1189-91 CE.https://www.ancient.eu/article/1263/the-siege-of-acre-1189-91-ce/

King and Generals. Fall of Acre 1191 – Third Crusade DOCUMENTARY. https://www.youtube.com/watch?v=a2V50GGyXy8

Perhatian sebentar.

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami. Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM5.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM5 / RM10 / RM50

Kongsi

No comments yet