Setiap kali menelusuri nama-nama pengembara dalam sejarah, nama seperti Marco Polo, Ibnu Battuta dan Ahmad ibnu Fadlan terpacul dalam kepala. Tetapi tidak ramai tahu pada abad ke-13, terdapat seorang pengembara dari China yang mengadakan perjalanan ke Timur Tengah dan Eropah. Nama pengembara ini ialah Rabban Bar Sauma.

Bar Sauma dilahirkan pada tahun 1220 di satu kawasan yang dikenali sebagai Zhongdu (kini Beijing), China dan berdarah Uighur. Gelaran Rabban yang diberi kepada beliau bermaksud Tuan dalam Bahasa Syriac Semitik. Ini merujuk kepada kedudukannya sebagai pendeta Gereja Nestorian pada usia 23 tahun dan menghabiskan sebahagian besar usianya sebagai tenaga pengajar. Tidak seperti Polo yang mula mengembara pada usia 17 tahun, Bar Sauma memulakan perjalanan ke barat pada usia 55 tahun.

Dalam perjalanannya ke Jerusalem, beliau ditemani oleh seorang anak muridnya bernama Rabban Marcos. Sebelum memulakan perjalanan, kedua-duanya menjual semua harta milik mereka untuk membiayai kos perjalanan. Seperti Polo, kedua-duanya bernasib baik era pendudukan Mongol membantu mengukuhkan Laluan Sutera menerusi penyatuan wilayah-wilayah di bawah kekuasaan mereka.

Bagaimanapun, itu tidak bermakna perjalanan Bar Sauma dan Marcos berjalan lancar. Bagi mengelak diganggu kumpulan-kumpulan pero.mp.ak di laluan-laluan biasa, mereka memilih meneruskan perjalanan dengan merentas padang pasir. Di Gurun Taklimakan misalnya, mereka perlu mendaki gumuk pasir setinggi 60 kaki dan mencari perlindungan daripada ribut pasir.

Selepas dua tahun berdepan pelbagai kepayahan dalam perjalanan, akhirnya Bar Sauma dan Marcos tiba di kota Baghdad. Baghdad pada ketika itu ditadbir oleh Abaqa Khan yang bercita-cita untuk menewaskan kerajaan Mamluk. Mamluk dianggap duri dalam daging kepada pihak Mongol lebih-lebih lagi selepas ia dipimpin Sultan Az-Zahir Baibars.

Bar Sauma dan Marcos menetap seketika di Baghdad dengan harapan dapat menjejakkan kaki ke Jerusalem. Bagaimanapun, konflik Pe.ra.ng Salib yang tercetus antara pihak Mamluk dan Salib menyukarkan usaha mereka untuk bertolak ke sana. Semasa berada di situ, Marcos dianugerahkan gelaran biskup oleh Patriarch Denha I.

Selepas Denha I meninggal dunia pada 1281, anak didik Bar Sauma itu dipilih sebagai pengganti dengan nama Yanballaha III. Selepas pemilihan dibuat, kedua-duanya bertolak ke Maragheh untuk menghadap Abaqa tetapi diberitahu baginda telah mangkat pada 1282. Kini, tampuk pemerintahan dipegang oleh puteranya Arghun selepas bapa saudaranya Ahmed Tekuder dihukum ma.ti pada Ogos 1284.

Rajah 1: Yanballaha III (Rabban Marcos) (paling kiri) semasa menerima lawatan Riccoldo da Monte di Croce

Baginda sedar satu-satunya peluang untuk mengekalkan kekuasaan Mongol ialah dengan membentuk pakatan dengan musuh-musuh Mamluk lain. Ini mendorong Arghun untuk mengutus Bar Sauma dan Isa Kelemichi sebagai duta ke negara-negara Eropah dengan tujuan membentuk pakatan ampuh melawan asakan pihak Mamluk. Justeru, kedua-duanya berangkat ke Constantinople pada 1287. (Jackson, 2014)

Di sini, tidak diketahui sama ada Bar Sauma boleh bertutur dalam bahasa-bahasa Eropah. Bagaimanapun, mengikut rekod sejarah, beliau boleh bertutur dalam Bahasa Cina, Turki dan Parsi. Justeru, sebarang komunikasi antara para pemerintah Eropah dengan beliau berkemungkinan dibuat dalam Bahasa Parsi. (Rosabbi, 2014)

Di situ, Bar Sauma merasa takjub melihat kota tersebut. Ini kerana ia merupakan kota Kristian pertama yang dilawatinya lebih-lebih lagi dengan gabungan keindahan Rom dan Byzantine. Beliau turut merasa kagum dengan keindahan Hagia Sophia yang dibina tujuh abad sebelumnya oleh Maharaja Justinian I.

Pada Jun 1287, Bar Sauma tiba di Rom dengan harapan mengadakan pertemuan dengan Paus Honorius IV. Bagaimanapun, beliau diberitahu Honorius IV telah tiada sekaligus mendorongnya mengadakan pertemuan dengan uskup-uskup gereja ketika itu. Memandangkan pengganti beliau belum dipilih, Bar Sauma menggunakan masa tersebut dengan melawat pelbagai monumen gereja seperti Basilika St Peter dan Makam St Paul.

Rajah 2: Contoh surat Arghun yang dihantar kepada Philip IV.

Dari Rom, beliau bertolak ke Paris dan tinggal di sana selama sebulan bagi mengadakan pertemuan dengan Raja Philip Si Tampan (Philip IV). Bar Sauma cuba memujuk baginda untuk membentuk pakatan dengan Mongol tetapi hanya mendapat janji kosong oleh baginda. Masa sebulan itu turut diperuntukkan untuk melawat universiti-universiti dan gereja-gereja seperti Basilika St Denis. Bagi membalas lawatan Bar Sauma, Philip mengutus sekumpulan pembesar dan pendeta Perancis diketuai Gobert de Helleville untuk mengiringinya pulang ke Mongol pada 1288. (Grousset, 2006)

Rajah 3: Raja Philip IV

Untuk lawatan terakhirnya di Eropah, Bar Sauma mengadakan lawatan ke Bordeaux untuk menghadap Raja England, Raja Edward I. Edward I bersedia menawarkan bantuan ekonomi dan keten.te.raan kepada pihak Mongol tetapi ia tidak pernah direalisasikan. Ini kerana baginda sendiri berdepan masalah pemberontakan terutama di Scotland dan Wales. Tetapi sebagai membalas lawatan duta Mongol itu, Edward I mengutus Geoffrey of Langley sebagai duta England ke Mongol pada 1291.

Rajah 4: Lukisan duta England, Geoffrey of Langley menghadap Arkhun pada 1291. Sumber: Bridgeman/ACI

Pada tahun 1288, Paus Nicholas IV dipilih sebagai pengganti Paus Honorius IV dan Bar Sauma cuba memujuk beliau meraih sokongan negara-negara Eropah untuk menyokong Mongol. Bagaimanapun, menerusi isi kandungan surat yang dihantar kepada Arghun, Nicholas IV menolak cubaan itu sambil menyifatkan kedudukan politik negara-negara Eropah ketika itu berkecamuk.

Begitupun, itu tidak bermakna Bar Sauma pulang dengan tangan kosong. Sebelum berangkat pulang ke tanah Mongol, beliau diberi peluang meraikan Mass mengikut tradisi Gereja Nestorian. Semasa sambutan tersebut berjalan, ramai orang gereja termasuk Nicholas IV sendiri perasan tradisi Mass Nestorian tidak jauh beza daripada Mass yang disambut di sebelah barat. Yang berbeza hanyalah penggunaan bahasa sahaja.

Bagi membalas lawatan yang dibuat Bar Sauma, Nicholas IV mengutus Giovanni da Montecorvino sebagai duta gereja ke pihak Mongol. Lawatan tersebut dibuat pada tahun 1289 dengan da Montecorvino menghadap Arghun sebelum kemudiannya menghadap pengganti Kublai Khan, Temur pada 1294. Bagaimanapun, lawatan beliau kurang disenangi oleh Gereja Nestorian kerana mereka telah bertapak lebih lama di China di bawah nama Jingjiao/Ching-chiao.

Selepas menyelesaikan misi diplomatiknya di Eropah, Bar Sauma kembali ke Baghdad bersama pelbagai hadiah dan tinggal di sana sebagai tetamu anak muridnya, Yahballaha III. Pada tahun-tahun terakhir hayatnya, beliau merekodkan anekdot perjalanannya dengan ia kemudian diterbitkan dalam Bahasa Perancis pada 1895 dan Bahasa Inggeris pada 1928.

Karya tersebut berjudul Monks of Kublai Khan, Emperor of China: Medieval Travels from China Through Central Asia to Persia and Beyond. Kerja penterjemahan karya ini dalam Bahasa Inggeris dibuat oleh Sir Ernest Alfred Wallace Budge. (Budge, 2020) Bar Sauma kembali ke balik papan pada tahun 1294 di Baghdad.

RUJUKAN:

Budge, E.A.W. (2020). Monks of Kublai Khan, Emperor of China: Medieval Travels from China Through Central Asia to Persia and Beyond. Bloombury Academic.

Pirazzini, G. (2021). This Chinese monk’s epic, east-to-west travels rival Marco Polo’s. National Geographic.

Rosabbi, M. (2014). From Yuan to Modern China and Mongolia: The Writings of Morris Rossabi. Brill. Halaman 385-386.

Jackson, P. (2014). The Mongols and The West. Routledge. Halaman 169.

Grousset, R. (2006). Histoire des croisades et du royaume franc de Jérusalem, Volume III. Halaman 718.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.