Pengeboman dari orbit atau orbital bombardment, ramai anggap ianya satu imaginasi semata-mata. Jika ada pun, ia hanya dalam lingkungan dunia filem atau permainan komputer. Bagi peminat siri G.I Joe, anda pasti mengingati Projek Zeus yang digunakan Cobra untuk memaksa pemimpin dunia tunduk pada permintaan mereka. Peminat Call of Duty pula pasti takkan lupa imej ODIN yang digunakan oleh Persekutuan Amerika untuk mengebom bandar-bandar di barat daya Amerika Syarikat dalam Call of Duty: Ghosts. Persoalannya, apakah ia masih bersifat fantasi atau sebenarnya sudah wujud?
Teori pengeboman dari orbit ini sebenarnya sudah difikirkan sejak tahun 1950-an lagi. Veteran tentera Amerika Syarikat dan pengkaji operasi Boeing pasca-Projek Manhattan dan ujian nuklear First Lightning Rusia, Jerry Pournelle membayangkan sistem persenjataan di mana peluru bukan lagi peluru konvensional atau bahan letupan kimia tetapi rod besar yang diperbuat daripada besi berat yang dijatuhkan dari orbit. Rod yang dipanggil tungsten kilat ini akan memberi kesan besar kepada mana-mana sasaran, sekaligus memberi kemusnahan besar termasuk bunker atau kubu, contoh reaktor nuklear negara-negara musuh atau bunker persembunyian sasaran bernilai tinggi (HVI).
Pengalaman Pournelle dalam bidang aeroangkasa membantu kariernya sebagai wartawan dan penulis genre sains fiksyen. Senjata super ini dipanggil Pournelle sebagai Projek Thor. Sementara sesetengah memanggil projek imaginasi ini sebagai Rod Dari Tuhan (Rods From God). Bagi pengkaji senjata, senjata super ini diklasifikasikan sebagai pelancar tenaga kinetik, sebuah pelancar tebal lagi pantas yang beroperasi tanpa memerlukan sistem kompleks dan bahan kimia yang memusnahkan semua yang berada di laluannya.
Jika ada kata idea ini sesuatu yang baru, ianya bukanlah sesuatu asing kerana konsep ini sudah digunakan sejak zaman-berzaman dari tamadun China hingga kempen Conquistadors yang diketuai Herman Cortes ke atas orang-orang Aztec. Semasa dan selepas Perang Dunia Kedua (WWII), tentera udara melancarkan bom-bom Lazy Dog di medan pertempuran di Korea dan Vietnam. Semasa Perang Vietnam, Lazy Dog ini jatuh dengan kelajuan 500 batu sejam dan boleh menembusi sembilan inci konkrit selepas dijatuhkan dari ketinggian 3,000 kaki.
Senjata ini sebenarnya kadangkala tidak memerlukan graviti. Dalam beberapa dekad ini, pihak tentera menggunakan penembus tenaga kinetik atau dikenali sebagai KEP, di mana kelongsong dibalut dengan sabot dan ditembak dengan kelajuan tinggi, daripada dijatuhkan dari udara dengan tujuan menembusi perisai atau kubu tentera. Konsep ini yang mendorong kepada pembangunan meriam elektromagnet yang boleh menembak pelancar kelajuan tinggi seberat 25 paun dengan kekuatan tenaga 32 megajul. Pelancar ini berkemampuan menembusi tujuh plat besi dan memusnahkan semua jenis perisai yang seharusnya boleh melindungi sasaran. Tak kira apa jenis pendekatan yang digunakan, ia masih menggunakan konsep sama: mengenai sasaran dengan sesuatu yang keras dengan kelajuan tinggi. Buktinya, pada tahun 2013, Skuadron Ujian Tentera Udara Amerika Syarikat 846 dan saintis-saintis dari Makmal Kebangsaan Lawrence Livermore menembak pelancar tenaga kinetik iaitu peluru tungsten dengan kelajuan 3,500 kaki sejam, lebih laju dari kelajuan bunyi di Pangkalan Tentera Udara Holloman di New Mexico. Dan baru-baru ini, Pentagon turut menguji pelancar kelajuan tinggi dengan bantuan meriam Howitzer Tentera Darat Amerika Syarikat. Pihak Tentera Laut Amerika Syarikat berharap apabila meriam tersebut siap, ia boleh melancarkan kelongsong pada kelajuan 4,500 batu sejam, enam kali ganda lebih laju dari kelajuan bunyi.
Menurut Matt Weingart, pengurus program pembangunan senjata di Lawrence Livermore menyifatkan bahan letupan nampak cantik dari segi kemusnahan sasaran tetapi ia sama sekali berbeza dengan KEP. Ini kerana pelancar ini mengambil kira soal fizik. Berbeza dengan bom di mana ia menyebarkan terlebih dahulu gelombang letupan disusuli serpihan bom tersebut, pelancar ini bergerak dengan pantas pada sasaran. Semasa ia mengenai sasaran, tenaga pelancar menggerakkan serpihan tanpa perlu menggunakan bahan kimia. Semakin laju pergerakan dan berat pelancar, impak kerosakan pada sasaran juga akan bertambah besar.
Bagi pegawai-pegawai tentera dan jabatan pertahanan, impak Projek Thor/Rod Dari Tuhan ini tidak dipandang sepi oleh mereka. Ini kerana mereka sedang melihat semua aplikasi bersesuaian berkenaan projek ini. KEP digemari mereka bukan saja nampak elegan dan berpatutan dari segi kos tetapi juga kerana ketepatan senjata ini. Pelancar ini boleh saja memusnahkan sasaran berperisai dan memusnahkan semua struktur dengan tepat, sama ada dengan artileri atau dari platform udara atau orbit. Menurut Weingart, idea ini dilihat mampu memusnahkan musuh tanpa perlu membahayakan anggota tentera atau kelengkapan mereka. Ketepatan KEP bukan saja dari segi sasaran tetapi juga dapat mengurangkan bilangan orang yang cedera atau terbunuh.
KEP juga dilihat menawarkan jalan tengah antara bom yang dipandu sistem pemanduan global (GPS) dengan bom bukan nuklear berkuasa tinggi seperti Massive Ordinance Air Blast (MOAB). MOAB baru-baru ini digunakan dalam kempen pengeboman Amerika Syarikat ke atas pengganas-pengganas Daish di Afghanistan pada April tahun ini. Dengan menentuukur ketumpatan KEP, tentera boleh memilih sama ada menyerang sebuah kereta kebal atau menghapuskan seluruh briged tanpa perlu risau kesan bom seperti yang ditinggalkan bom nuklear.
Tetapi persoalannya, mengapa pihak tentera beria-ia sangat nakkan KEP ini sebahagian daripada gudang senjata Amerika Syarikat? Ramai berpandangan ia merupakan sebahagian daripada taktik terkini Amerika dalam menangani ancaman nuklear Rusia seperti dinyatakan dalam Pelan Peperangan Generasi Baru Rusia oleh Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat. Dengan mengambilkira taktik serupa digunakan Rusia dalam kempen mereka di Ukraine dan Syria, maka tidak hairanlah mengapa pihak Amerika juga terdesak untuk menggunakan senjata serupa di medan perang.
Buat masa ini, Projek Thor/Rod Dari Tuhan ini masih lagi dalam lingkungan imaginasi manusia. Kalau ia wujud sekalipun, ia mungkin mengambil masa berdekad-dekad lamanya sebelum kita dapat lihat versi sebenar Zeus, ODIN atau Thor ini di angkasa lepas. Satu lagi halangan yang perlu diambilkira ialah Perjanjian Angkasa Lepas yang dimeterai 107 negara pada tahun 1967. Menerusi perjanjian ini, negara-negara tidak dibenarkan meletakkan sebarang jenis senjata dari atau dalam orbit bumi. Jika mana-mana kuasa besar mengada-ada mahu mewujudkan sistem persenjataan di orbit bumi seperti yang dibayangkan Ronald Reagan melalui Inisiatif Strategik Pertahanan (SDI), pasti akan wujud penentangan dari semua negara lain. Dan secara tidak langsung, jika ianya dibenarkan, ia sebenarnya mewujudkan satu lagi perlumbaan senjata ke tahap paling radikal pernah disaksikan manusia.
SUMBER
- Keller, Jared. (2017). Task and Purpose. The Pentagon’s New Super Weapon Is Basically A Weaponized Meteor Strike. http://taskandpurpose.com/kinetic-bombardment-kep-weaponry/
- Stillwell, Blake. (2017). Business Insider. The Air Force’s ‘rods from god’ could hit with the force of a nuclear weapon — with no fallout. http://www.businessinsider.com/air-force-rods-from-god-kinetic-weapon-hit-with-nuclear-weapon-force-2017-9/?IR=T
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih