Tahukah anda, siri Dune ditulis sebelum manusia mendarat di bulan lagi! Timbul persoalan, apakah inspirasi untuk world-building fiksyen angkasa yang masih baru itu?
Herbert, menulis Dune secara berkala untuk majalah sains fiksyen pada sekitar 1963. Pada masa itu, sudah ada fiksyen seperti Close To Critical karya Hal Clement yang menceritakan sebuah planet dengan graviti yang kuat.
Namun, inspirasi terbesarnya adalah sains ekologi. Sebelum menjadi penulis, Herbert bekerja sebagai wartawan. Pada satu hari, dia pergi ke Oregon bertugas di sebuah kawasan pasir gumuk (dune). Gumuk ialah bukit pasir yang terbina sama ada dengan angin atau aliran air.
Pada masa itu, Kementerian Pertanian Amerika Syarikat sedang cuba untuk menanam rumput di atas pasir gumuk. Tujuannya agar pasir gumuk itu dapat disesuaikan menjadi tanah pertanian. Kejadian ini menyentak fikiran Herbert. “Mengapa alam kena tunduk dengan paksaan manusia?”
Justeru, Herbert meneroka tema pergelutan di antara alam dengan kemodenan. Dia juga mendapati banyak agama besar seperti Islam, Kristian dan Yahudi muncul di kawasan berpadang pasir. Tak hairanlah, banyak istilah Arab dipakai dalam siri Dune.
Kalau korang perasan, Paul Atreides hampir menyerupai watak T.E. Lawrence, seorang pejuang revolusi yang berganding dengan kabilah arab memerangi Khilafah Turki Uthmaniyah. Herbert tak melihat keciciran mereka dalam teknologi sebagai kekurangan, malahan ia menjadi inspirasi tentang semangat mereka yang bersumberkan kuasa mistik.
Korang boleh mengagak, planet Arrakis dalam Dune seakan-akan planet Marikh. Menariknya, pada masa tersebut, tiada satu pun gambar planet Marikh yang pernah ditangkap. Maka, gambaran dalam novel Dune adalah mengikut imaginasi Herbert tentang Marikh.
Dune ditulis ketika teknologi penerokaan angkasa sedang berkembang di tahap asas. Ia terbit pada 1965, tak lama sebelum Apollo 8 mendarat di bulan dan menangkap gambar pertama di angkasa. Maka, teknologi angkasa menjadi zeitgeist iaitu semangat zaman yang kuat dalam Dune. Boleh dikatakan, Herbert telah merevolusi sains fiksyen angkasa.
Oleh: Zaki Sapuan al-Hafiz




No comments yet