Sebut nama Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, pasti ramai mengingati baginda sebagai Bapa Kemerdekaan dan Bapa Malaysia. Bagaimanapun, untuk mencapai dua perkara sedemikian bukannya sesuatu yang mudah. Ia memerlukan keazaman, ketabahan dan paling penting, soal budi-Islam yang membolehkan kemerdekaan dan penubuhan Malaysia bukan satu khayalan pada ketika itu tetapi satu realiti.

Mengapa saya tekankan budi-Islam? Ini kerana budi ini merupakan sebahagian daripada identiti dan budaya Melayu yang sudah wujud sejak zaman-berzaman lagi. Selagi mana ia wujud di Alam Melayu, ia diamalkan oleh semua tanpa mengira sama ada orang itu Melayu atau tidak. Elemen budi ini membentuk orang Melayu menjadi orang yang berhemah dan bertimbang rasa.

Walaupun berhadapan dengan kesusahan atau konflik, mereka masih dapat menahan rasa marah dan mengekalkan sikap berhemah dalam mengutarakan pandangan mereka. Dan ini mempengaruhi sistem politik Melayu terutama membabitkan soal kesetiaan, kerjasama dan kehormatan. Ini menjadi teras kepada sikap dan pendirian ramai pemimpin Melayu terutama dalam diri Tunku Abdul Rahman.

Diputerakan pada 8 Februari 1903 di Alor Setar, Kedah, walaupun datang dari latar belakang keluarga diraja, Tunku Abdul Rahman sememangnya dikenali sebagai anak raja berjiwa rakyat. Baginda suka bermain bola sepak bersama rakan-rakannya dari kampung dan tidak suka dibawa ke mana-mana oleh khadam.

Minatnya terhadap sukan bola sepak membolehkan baginda dilantik sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan memegang peranan tersebut selama 20 tahun. Dan selepas melanjutkan pelajaran ke London dalam jurusan undang-undang, Tunku Abdul Rahman dikenali sebagai seorang yang mesra dan mudah berkawan dengan sesiapa saja.

Sikap dan pendiriannya ini diteruskan sekembalinya baginda ke Kedah selepas gagal lulus dalam pengajiannya. Tunku Abdul Rahman berkhidmat dalam perkhidmatan awam negeri dan di sinilah, baginda membantu rakyat terutama kelompok fakir miskin menyelesaikan permasalahan harian yang dihadapi dan berusaha membantu menambahbaik taraf kehidupan mereka.

Ini menyebabkan ramai menyanjung baginda kerana tidak lokek membantu sesiapa saja yang dalam kesusahan. Di sini, sudah kelihatan elemen budi-Islam yang sememangnya amat kuat dalam masyarakat Melayu yang menjadi intipati kepimpinan baginda di kemudian hari.

Selepas akhirnya lulus pengajian undang-undang tahap pertama pada tahun 1939, ini membuka ruang kepada Tunku Abdul Rahman untuk berkecimpung dalam bidang perundangan. Tetapi semua itu berubah bila Perang Dunia Kedua berlaku atau lebih tepat, serangan Jepun ke atas Tanah Melayu. Menyedari situasi tidak menentu di Kedah, pihak istana memanggil baginda kembali ke kampung halaman dan membantu negeri bersiap sedia menghadapi pendudukan negara kuasa Axis itu.

Zaman pendudukan Jepun di Tanah Melayu terutama di negeri Kedah merupakan suatu era yang payah dan menjerihkan. Dan ini sesuatu yang disedari baginda sebaik Jepun sudah berjaya menguasai sepenuhnya Tanah Melayu. Untuk mengelak berlakunya penjarahan terutama di kawasan pentadbirannya, Kulim pada hari-hari awal pendudukan Jepun (Tunku Abdul Rahman ketika itu berkhidmat sebagai Pegawai Daerah Kulim), baginda memanggil semula Pasukan Sukarelawan Kedah dan membentuk pasukan peronda untuk menjaga keselamatan daerah tersebut.

Tunku Abdul Rahman juga melihat pentingnya kerabat diraja terutama Sultan untuk terus kekal bersama rakyat pada masa senang dan susah. Ini kerana menurut baginda, komitmen sedemikian merupakan tanda kecintaan pemerintah terhadap rakyat dan ini sekaligus menambah kesetiaan rakyat terhadap raja. Atas sebab itu, baginda tidak bersetuju dengan keputusan kekandanya merangkap bakal Sultan Kedah, Tunku Badlishah untuk memindahkan ayahanda mereka, Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah ke Pulau Pinang.

Malah, baginda sendiri menggadai nyawa dengan memberi perlindungan kepada pekerja-pekerja Landasan Keretapi Maut yang melarikan diri dan memberi mereka makanan. Selain itu, Tunku Abdul Rahman bertanggungjawab mendapatkan surat jaminan keselamatan dari ketua tentera Jepun bagi menjamin keselamatan masyarakat Melayu sekiranya mereka terserempak dengan kelompok tentera penjajah itu. Sekali lagi, sudah kelihatan elemen budi-Islam yang terserlah pada ciri kepimpinan baginda.

Selepas tamat perang, sudah timbul keinginan rakyat melihat negara merdeka dari cengkaman penjajah. Britain cuba memperkenalkan model pemerintahan sendiri versi mereka iaitu Malayan Union. Tetapi sistem berkenaan dilihat mengancam kuasa Raja-Raja Melayu dan hak istimewa bangsa Melayu sehingga menimbulkan protes besar-besaran di seluruh negara.

Dan bila timbul perkhabaran Raja-Raja Melayu dipaksa atau dipujuk menandatangani surat yang menyatakan persetujuan kepada pembentukan Malayan Union, kemarahan orang Melayu semakin membuak-buak termasuk dari kalangan pertubuhan Melayu seperti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (PEKEMBAR/UMNO) yang dipimpin Datuk Onn Jaafar. Peristiwa itu turut melonjakkan nama Tunku Abdul Rahman ke arena politik kebangsaan bila dilantik sebagai Pengerusi UMNO Negeri Kedah. Baginda dipilih kerana karisma dan sumbangannya kepada masyarakat di Kedah ketika itu.

Tetapi parti berantakan gara-gara tindakan Datuk Onn mahu membuka keahlian parti kepada semua kaum. Selepas cadangan berkenaan ditolak kelompok akar umbi dan kepimpinan parti, beliau meletak jawatan dan menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) untuk meneruskan aspirasinya. Bagi Tunku Abdul Rahman pula, walaupun sedar cadangan itu kurang dipersetujui semua, ia masih boleh direalisasikan dalam bentuk kerjasama antara kaum atau lebih tepat, parti-parti politik lain.

Ini kerana baginda sedar jika Malaya mahu mencapai kemerdekaan, ia perlu dimulakan dengan perpaduan kaum di negara ini. Atas sebab itulah, Tunku Abdul Rahman membentuk pakatan dengan MCA dan mereka berjaya memenangi pilihan raya majlis perbandaran pada tahun 1952 dan 1953.

Dan bila prospek kemerdekaan Malaya semakin menjadi kenyataan, UMNO dan MCA bergabung dengan MIC dan membentuk parti Perikatan. Pakatan tersebut berjaya menguasai 51 kerusi di peringkat persekutuan, satu manifestasi bahawasanya perpaduan amat penting dalam menjayakan sebarang agenda. Dengan elemen budi-Islam yang diterapkan baginda, Tunku Abdul Rahman dianggap wira dan juara dalam soal perpaduan rakyat.

Elemen budi-Islam ini turut terserlah semasa Rundingan Baling antara pihak kerajaan dengan Parti Komunis Malaya (PKM/CCM). Tunku Abdul Rahman, Tun Tan Cheng Lock dan David Marshall bertindak sebagai wakil kerajaan manakala Chin Peng, Chen Tien dan Rashid Maidin sebagai wakil PKM.

Bagi membolehkan Malaya mencapai kemerdekaan, Britain mengenakan syarat perang dengan PKM harus dihentikan. Ini yang mendorong baginda mengajak Chin Peng untuk menyerah diri dan semua anggota PKM diberi pengampunan tanpa syarat. Menurut Noel Barbel, tindakan mulia Tunku Abdul Rahman menunjukkan kemuliaan dan keikhlasan hatinya untuk mendapatkan keamanan.

Ini diakui sendiri oleh Chin Peng yang melihat baginda enggan menggunakan terma-terma yang bersifat menghina seperti penghina yang dilemparkan Marshall terhadapnya, sekaligus membuka ruang kepada jalan perdamaian. Chin Peng turut menambah sekiranya rundingan hanya disertai PKM, Tunku Abdul Rahman dan Tun Tan Cheng Lock, perjanjian damai boleh saja dicapai tanpa sebarang masalah.

Tetapi rundingan tersebut berakhir dengan kegagalan gara-gara ego Chin Peng dan keengganannya untuk berkompromi. Setiausaha Agung PKM itu melihat rundingan peluang untuk mengesahkan kedudukan parti dan ideologi PKM di Malaya tetapi Tunku Abdul Rahman tidak berminat dengan visinya itu.

Kerana menurut baginda, matlamat baginda ialah memulihkan kembali keamanan dan itu nampaknya tidak akan berlaku. Ini mengukuhkan lagi hasrat baginda memerangi PKM dan menamatkan keganasan parti tersebut ke atas orang awam. Pendekatan Tunku Abdul Rahman yang halus tetapi penuh berhikmah sudah cukup mendorong Britain memberi mandat kuasa kepada baginda dan membawa kepada laungan keramat Merdeka sebanyak tujuh kali di Stadium Merdeka pada 31 Ogos 1957. Pendekatan sebegini membawa kepada pengembalian kedaulatan negara tanpa perlu menumpahkan darah dan sama sekali berbeza dengan apa yang berlaku di Indonesia dan Myanmar menurut Profesor Emeritus Khoo Kay Kim.

Dan selepas menjawat jawatan Perdana Menteri, ia sama sekali langsung tidak mengubah sikap baginda terutama usaha membentuk Malaysia yang membabitkan Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak. Walaupun sedar usahanya mendapat tentangan dari negara jiran terutama Indonesia, Tunku Abdul Rahman berusaha menyelesaikan isu tersebut secara berhemah dan diplomatik walaupun ia membawa kepada kempen Ganyang Malaysia yang dilancarkan Sukarno. Selepas pengisytiharan tersebut dibuat, rakyat yang berang menurunkan lambang Pancasila dari Kedutaan Indonesia dan membawanya ke kediaman baginda di Jalan Dato Onn.

Bila mereka sampai, mereka memanggilnya keluar dan mendesak Tunku Abdul Rahman memijak lambang negara Indonesia itu. Dan seperti para pembaca The Patriot sedia maklum dalam beberapa artikel sebelum ini, baginda enggan berbuat demikian sehingga terkeluar kata-kata ini, “Awatlah hampa buat aku macam ini.”

Ini saja sudah cukup sebagai petunjuk kuatnya elemen budi-Islam dalam diri Tunku Abdul Rahman. Walau bagaimanapun, itu tidaklah bermakna baginda berdiam diri saja. Seperti mana apa yang dilakukannya terhadap PKM dan Chin Peng, baginda berikrar akan melawan kempen konfrontasi tersebut dan antara sasaran utama kempen kerajaan ialah Partai Komunis Indonesia (PKI) diketuai D.N Aidit. Konfrontasi hanya berakhir selepas Sukarno digulingkan dan hubungan diplomatik kedua-dua negara kembali pulih seperti sediakala semasa pemerintahan Suharto.

Sebagai konklusi, elemen budi-Islam yang dipamerkan para pemimpin Melayu terutama Tunku Abdul Rahman seharusnya dijadikan sebagai teladan dan ikutan generasi pemimpin seterusnya. Ini kerana elemen sebegini membantu kita menangani apa saja konflik atau kesusahan yang dihadapi. Dan selagi mana hak bangsa Melayu dan agama Islam tidak diancam atau ditekan secara provokasi, elemen ini akan terus menjadi teras kekuatan orang Melayu terutama barisan pemimpinnya.

Jika dua perkara berkenaan diusik, ini yang mendorong orang Melayu bangkit seperti mana ditonjolkan dalam kes pemberontakan Dol Said dan pembunuhan J.W.W Birch di Perak. Dalam erti kata lain, toleransi dan hormat bukan bermakna sesebuah bangsa itu boleh diperkotak-katik begitu saja. Sebaliknya, ia sebenarnya menunjukkan kekuatan dan keberanian sesebuah bangsa secara rahsia di mana ia hanya digunakan pada masa atau keadaan tertentu sahaja. Persoalannya, apakah elemen budi-Islam masih ada dalam diri orang Melayu? Atau hanya menanti masa untuk kembali bangkit dan menjadi teras kejayaan orang Melayu?

RUJUKAN:

1. Chua, Jack. (2016). Leaderonomics.com. The Reinvention Of Malaya: Lessons from Tunku Abdul Rahman. https://leaderonomics.com/leadership/lessons-from-tunku-abdul-rahman

2. Wan Husin, Wan Norhasniah. (2016). FutureAcademy.org.uk. The Influence of Budi-Islam Values on Tunku Abdul Rahman

(Tunku) Leadership. https://www.futureacademy.org.uk/files/images/upload/3_3671_5919_fullText_1_30_edited.pdf


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.