Atlantis, nama yang sekian lama menjadi kontroversi dalam catatan sejarah dunia. Sejak nama ‘Atlantis’ ditulis oleh ahli falsafah Yunani bernama Plato dalam karyanya berjudul ‘Timaeus and Critias’, ramai sejarahwan, peneroka, serta pemburu harta karun mencari-cari pulau yang mempunyai tamadun paling canggih itu. Kisah tentang tamadun Atlantis oleh Plato ini sangat mengasyikkan sehingga ramai pembaca percaya bahawa tamadun tersebut benar-benar wujud. Tidak mungkin ahli falsafah ini bercerita dongeng kan?
Walau bagaimanapun, kewujudan Atlantis masih samar-samar dan ramai ahli akademik berspekulasi berkenaannya. Majoriti mereka menyatakan bahawa tamadun Atlantis hanyalah sekadar metafora untuk Plato sampaikan suatu pengajaran. Tidak kurang juga ramai ahli akademik beranggapan Atlantis itu adalah tamadun nenek moyang orang Yunani Kuno seperti tamadun Minoan.
Bagi golongan yang masih percaya akan kewujudan Atlantis, banyak lokasi-lokasi yang berpotensi kerana ciri-cirinya seiras dengan ciri-ciri yang terdapat pada Atlantis seperti kepulauan di Laut Mediterranean, utara Eropah, Lautan Atlantik, malah sejauh Asia Tenggara terutamanya Pulau Borneo.
Untuk artikel ini, kita bukan menceritakan tentang kewujudan Atlantis ini. Saya bentangkan tentang suatu lokasi pembentukan geologi di Afrika di mana bentuknya seakan-akan rupa kota Atlantis. Pembentukan geologi itu ialah Struktur Richat!
Sejarah Dan Ciri- Ciri Struktur Richat
Struktur Richat adalah pembentukan formasi batu yang ditemui di negara Mauritania, dikelilingi oleh gurun Sahara dan lokasinya dekat dengan kota Ouadane. Struktur Richat sebenarnya tidak dikenali dunia sehinggalah pada tahun 1960-an di mana NASA melakukan projek penerokaan angkasa bernama Projek Gemini. Para angkasawan dari projek tersebut telah meyaksikan kewujudan Struktur Richat dari orbit Bumi dan menangkap gambarnya. Dari penemuan dari angkasa inilah formasi tersebut diberi nama “Eye of the Sahara” dan “Eye of Africa”.
Rupa Struktur Richat ialah berbentuk kubah setinggi 198 meter. Bentuk kubah itu terdiri dari batu breccia iaitu sejenis batu yang terhasil dari gabungan batu-batuan kecil. Ahli geologi mengklasifikasikan pembentukan kubah ini sebagai pembentukan ‘domed anticline’ yang bermaksud batu-batuan dilipat sehingga membentuk rupa lengkung dan bahagian tengahnya terdiri dari batu-batuan lama. Manakala di dataran tinggi yang mengelilingi lengkungan batu tersebut juga membentuk menjadi lengkungan besar yang kemudiannya terhasilnya ‘mata’ yang dapat dilihat dari angkasa.
Struktur Richat ini begitu besar dengan keluasan 40 kilometer. Jadi, formasi ini amat jelas kelihatan seperti ‘mata Bumi’ dari langit. Walau bagaimanapun, sejarah pembentukan Struktur Richat masih diperdebatkan dalam kalangan ahli geologi.
Teori-Teori Pembentukan Struktur Richat
Para saintis sedang berusaha merungkaikan pembentukan ‘Mata Dari Sahara’ ini dengan membentangkan teori-teori yang berkait dengan aktiviti geologi di benua Afrika. Teori pertama yang dikemukakan ialah teori hempasan oleh meteor. Namun, setelah diteliti keadaan batu-batuan di sekitar formasi itu, tidak ada satu batu pun mempunyai kesan impak dari hempasan meteor.
Teori pertama telah ditolak. Teori seterusnya ialah saintis menyatakan bahawa Struktur Richat dibentuk pada 100 juta tahun dahulu oleh aktiviti volkanik. Di bawah permukaan formasi itu, gumpalan magma atau ‘bilik magma’ muncul menaik ke lapisan kerak Bumi. Dari sinilah wujudnya bentuk kubah Struktur Richat. Kemudian, beribu-ribu tahun kubah tersebut terhakis sehingga membentuk lengkungan seolah-olah cincin, manakala bahagian atas kubah mengeras dan membentuk batu breccia.
Tetapi, sekali lagi teori kedua diketepikan walaupun penjelasannya nampak munasabah. Ini kerana tidak ada satupun aktiviti volkanik di sekeliling Struktur Richat seperti kehadiran gunung berapi atau sebarang pembentukan geologi disebabkan oleh magma. Maka, formasi batu ini tidak terhasil oleh kehadiran magma di bawah permukaan Bumi. Sehingga kini, saintis masih berusaha merungkai pembentukan Struktur Richat.
Benarkah Struktur Richat Ini Ialah Tinggalan Kota Atlantis?
Terdapat sebuah video dari YouTube yang disiarkan oleh saluran Bright Insight. Video tersebut yang dihoskan oleh pengacara bernama Jimmy menyatakan bahawa Struktur Richat sebenarnya tapak di mana wujudnya kota Atlantis yang lagenda. Jimmy menjelaskan terdapat beberapa ciri terhadap Struktur Richat sama dengan ciri-ciri kota Atlantis. Antara ciri-ciri tersebut adalah:
1.Kota Atlantis telah ditenggelamkan pada 11,600 tahun lalu. Tempoh masa tersebut seiring dengan kejadian pencairan glasier besar-besaran sehingga paras air laut di Bumi menaik secara mendadak.
2.Plato menyatakan bahawa kota Atlantis berada di sebuah pulau yang terasing, dikelilingi dengan terusan dan penempatan berbentuk cincin, sama dengan rupa cincin dalam Struktur Richat.
3.Kota Atlantis seluas 127 stadia, bersamaan dengan 23 kilometer. Keluasan kota ini sama dengan keluasan Struktur Richat. Tetapi masalahnya ialah Jimmy mengukur melalui memlalui aplikasi ‘Google Maps’. Jadi ukuran Jimmy tersebut tidak berapa tepat.
4.Di utara Atlantis terdapat gunung yang membayangi kota tersebut, di mana terdapat sungai mengalir dari gunung ke kota itu. Ciri ini sejajar dengan Struktur Richat yang mempunyai sungai mengalir dari lembah.
5.Terdapat kesan kehadiran air di Struktur Richat, seperti mana terdapatnya terusan air mengelilingi kota Atlantis.
Walaupun hujah-hujah dari jimmy ini munasabah, namun ramai golongan termasuklah ahli akademik sendiri bersungguh-sungguh menolak kelima-lima hujah ini. Antara ulasan mereka ialah:
1.Pencairan glasier bermula sekitar 12,900 hingga 11,700 tahun sebelum tenggelamnya Atlantis. Glasier memerlukan masa selama 1,200 tahun untuk mencair dan menaikkan paras air laut Bumi. Manakala tempoh masa kota Atlantis tenggelam cuma sehari saja. Jadi, kedua-dua fakta ini tidak ada pertembungan seperti apa Jimmy dakwakan.
2.Pembentukan cincin dalam Struktur Richat sebenarnya tidak lengkap dan tidak ada sebarang pembinaan terusan menyerupai terusan dalam kota Atlantis.
3.Keluasan sebenar Struktur Richat ialah 40 kilometer saja, berbeza dengan keluasan kota Atlantis yang hanya sebesar 25 kilometer.
4.Lembangan di utara Struktur Richat bukanlah gunung yang Plato nyatakan tentang ciri-ciri kota Atlantis. Tidak ada sebarang pergunungan sekitar Struktur Richat selain gurun.
5.Gurun Sahara terbentuk pada 4.6 juta tahun lalu dan sejak dari tempoh itu tidak pernah sebarang lokasi sekitar gurun ditenggelami oleh air. Tambahan pula, tidak ada sebarang tapak arkeologi di sekitar Struktur Richat yang berkaitan dengan Atlantis.
Dengan kesemua hujah-hujah melawan hujah Jimmy ini, Struktur Richat bukan lokasi yang tepat untuk menemui peninggalan kota Atlantis yang Plato nyatakan. Struktur Richat hanyalah formasi batu yang unik di Gurun Sahara dan masih lagi misteri sejarah pembentukannya.
RUJUKAN:
Johnston, Mark. 21 June 2022. What Do Astronauts, Atlantis, and Africa Share? The Richat Structure! Ancient Origins.
Matton, Guillaume; Jébrak, Michel (2014). “The “eye of Africa” (Richat dome, Mauritania): An isolated Cretaceous alkaline–hydrothermal complex”. Journal of African Earth Sciences.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih