Semasa menulis tentang kota paling tua dalam dunia yang terletak di bumi Palestin, terkeluar pula pasal penempatan paling tua di dunia. Lokasinya tidak jauh pun daripada bumi Palestin, terletak kemas di Syria yang memberi gambaran sangat luas perihal zaman prasejarah Timur Tengah.
Namun uniknya, lokasi kedua-dua tapak tertua ini berada dalam negara bergolak. Apa yang berlaku pada Syria amat menyayatkan hati. Negara ini dilengkapi dengan segala keperluan untuk berjaya.
Sayang seribu sayang, politiknya berpecah belah dengan bala sangat besar hingga ranap dibuatnya. Sedangkan Syria adalah lembah buruan orang prasejarah.
Di sinilah bumi dipijak dan langit menjadi junjungan. Dan di sini juga ada penempatan hebat pernah dibina, dibina dan dibina (maksudnya bina, hancur, bina, hancur) orang prasejarah. Memperkenalkan Tel al-Qarameh:
Kalau perasan, rupa bentuknya sangat janggal. Jauh sekali seperti sebuah bukit semulajadi. Sekilas pandang, macam bisul pun ada. Kalau tengok dalam bahasa arkeologi, memang ada perkataan “tel” yang dipinjamkan daripada budaya Arab.
Sebuah tel adalah gundukan buatan manusia (maka bukan semulajadi) oleh kerana terlalu ramai orang menetap di situ (Shaw, 2002). Ada satu perkara menarik tentang Tel al-Qaramel.
Ada perbezaan antara “buatan manusia” dan “binaan manusia”. Jangan terperangkap dalam jerat pendefinisian. Apabila sebuah kampung dibangunkan, ia biasanya berbentuk rata. Tetapi jika kampung (atau pekan) kerap dibina semula akibat kemusnahan disebabkan peperangan atau musibah semulajadi, apa yang akan berlaku?
Senang cakap, muka yang asyik ditampar pun akan ada lebam tertentu. Prosesnya mudah: sebuah penempatan dibina. Musuh datang menyerang. Penduduk lari menyelamatkan diri. Orang lain pula datang mengambil alih tempat tersebut. Proses ini berulangan hingga tempat tersebut digundukkan menjadi sebuah tel.
Tel al-Qaramel diburu kerana terletak di sebuah lembah berhampiran dengan sebatang sungai. Sumber air ini menjadi tarikan utama sebagai punca makanan, minuman dan perdagangan.
Memang amat merugikan kerana orang tidak dapat mengunjunginya sekarang. Kerana Tel al-Qaramel mempunyai penempatan barangkali antara paling tua dalam dunia.
Saintis masih sedang mencari titik paling awal mengenai penempatan di al-Qaramel. Makin lama mereka mencari.
Makin jauh pula garisan masa diperginya. Sekarang mereka yakin – Tel al-Qaramel sudah ada penempatan sejak 13,000 tahun dahulu. Banyak misteri sejarah yang timbul. Apa yang sahih sekarang adalah, Tel al-Qaramel menjadi penempatan manusia antara 11,000 S.M. hingga 9670 S.M. (Mazurowski, et al., 2009).
Manfaat Ilmu Daripada Penempatan Ini
Gundukan ini menyimpan rahsia sekalian alam tentang manusia prasejarah. Seramai 20 individu dikebumikan di Tel al-Qaramel. Semuanya adalah golongan dewasa, membawa teori bahawa mayat bayi dan kanak-kanak diuruskan dengan cara berlainan. Cuma yang mendebarkan saintis adalah keadaan rangka tersebut.
Pertama sekali, kebanyakannya tiada kepala. Saintis berpendapat ini mungkin kerana mereka dipancung terlebih dahulu. Walau bagaimanapun, pembunuhan dengan cara pancungan akan meninggalkan kesan berlainan. Semua mayat di sini didapati dipenggal selepas mati, barangkali kepala disimpan untuk tujuan penyembahan (Demand, 2012).
Penemuan mayat yang serba sedikit membangkitkan persoalan. Sama ada tempat ini memang kurang orang… ataupun ini saja mayat yang ada. Memang sini ada macam-macam, merentasi masa sejauh Zaman Paleolitik dengan orang prasejarah menetap dalam rumah berbentuk bulat, yang lengkap dengan dapur (Kanjou, 2000).
Sudah pasti struktur di sini tidak dibina semasa Zaman Paleolitik. Namun saintis mengenal pasti ada menara yang dibina 2,000 tahun sebelum pembinaan kota Jericho.
Populasi di Tell al-Qaramel disahkan menggunakan kuprum sebagai bahan semulajadi harian. Sebelum mengalami kejatuhan atas sebab yang tidak diketahui, populasi di sini masih belum menguasai kemahiran membuat logam.
RUJUKAN:
Demand, N. (2012). The Mediterranean Context of Early Greek History. John Wiley & Sons. Halaman 31.
Kanjou, Y. (2000). Archaeological Excavations at Tell Qaramel 1999-2011.
Mazurowski, R.F., et al. (2009). Chronology of the Early Pre-Pottery Neolithic Settlement Tell Qaramel, Northern Syria, In the Light of Radiocarbon Dating. Radiocarbon. 51 (2): 771-781.
Shaw, I. (2002). Tell. John Wiley & Sons. Halaman 566-567.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih