1. THOMAS PLUNKET

Pada tahun 1809, tahun tersebut merupakan sebahagian daripada dekad kempen perang Napoleon Bonaparte di Eropah. Dalam satu pertempuran di Cacabelos, seorang askar dari Rejimen Raifal Ke-95 British bernama Thomas Plunket melakukan sesuatu yang tidak disangka-sangka iaitu menembak mati Briged Jeneral Auguste-Marie-Francois Colbert dari jarak 600 meter dengan menggunakan raifal Baker. Mengapa ia dianggap sesuatu yang mengejutkan? Raifal Baker dikenali sebagai senjata yang tidak boleh diharap dari segi jarak tembakan. Untuk mengelak tanggapan Colbert mati akibat tembakan nasib saja, Plunket menembak mati seorang mejar tentera Perancis yang cuba membantu Colbert. Pembunuhan briged jeneral Perancis itu mencetuskan situasi huru-hara dalam kalangan tentera Perancis dan membolehkan pihak British berundur dengan kekuatan mereka tidak terjejas sama sekali.

2. ROZA SHANINA

Dianggap antara penembak hendap wanita paling berbahaya dalam kalangan anggota Red Army. Shanina menyertai tentera Soviet selepas abangnya terbunuh semasa mempertahankan Leningrad (St. Petersburg moden) yang ketika itu dikepung tentera Wehrmacht sebagai sebahagian daripada objektif Operasi Barbarossa. Kemahiran menembaknya menjadikan Shanina sebagai antara penembak terbaik dalam unitnya mengatasi tentera lain yang lebih berpengalaman. Walaupun tidak berkhidmat lama bersama Red Army, beliau berjaya membunuh 59 anggota tentera Nazi Jerman. Shanina kemudiannya terbunuh akibat terkena peluru artileri semasa kempen tentera Soviet di Prussia Timur pada Januari 1945.

3. CARLOS HATHCOCK

Semasa Perang Vietnam, seorang penembak hendap Amerika Syarikat menempa namanya dalam sejarah dan menjadi legenda dalam kalangan penembak hendap. Carlos Hathcock amat digeruni Tentera Vietnam Utara (NVA) dan Vietcong kerana berjaya membunuh lebih 90 orang (angka rasmi) atau 400 orang (angka tidak rasmi) tentera musuh. Mereka amat takut dengan beliau sehinggakan sanggup menawarkan $30,000 kepada sesiapa yang dapat membunuh Hathcock dan menghantar beberapa unit dengan tujuan menghapuskannya tetapi gagal. Beliau juga dikenali kerana memegang rekod tembakan membunuh paling jauh di dunia pada jarak 2,500 kaki dan rekod tersebut bertahan sehingga tahun 2002. Selain dikenali dengan ketepatan menembak, Hathcock juga seorang yang berani kerana sanggup membantu krew kereta kebal yang terperangkap selepas kereta kebal mereka terlanggar periuk api kereta kebal.

4. ADELBERT WALDRON

Selain Hathcock, NVA dan Vietcong juga amat takut dengan Adelbert Waldron. Waldron yang pernah berkhidmat dengan Tentera Laut Amerika Syarikat sebelum menyertai Tentera Darat Amerika Syarikat menjadi mimpi ngeri kepada pihak musuh menerusi pembunuhan 109 tentera musuh dalam tempoh lapan bulan. Malah, semasa beliau ditugaskan menjadi penembak bot PBR yang meronda Delta Mekong, Waldron pernah menembak mati tentera musuh dari bot bergerak dengan jarak 900 kaki. Selepas kembali ke Amerika Syarikat, beliau berkhidmat sebagai pengajar penembak hendap di Fort Bening, Georgia tetapi memutuskan untuk meninggalkan tentera pada tahun 1970.

5. ZHANG TAOFANG

Semasa Perang Korea, semua sedia maklum pembabitan kuasa-kuasa besar ketika itu seperti Amerika Syarikat, China dan Kesatuan Soviet. Tetapi dalam kes China dan Kesatuan Soviet, pembabitan mereka perlu dirahsiakan bagi mengelak situasi perang yang berlarutan di Semenanjung Korea menjadi lebih buruk. Namun, itu tidak menghalang China membekalkan tentera yang diperlukan Korea Utara dalam kempen tersebut. Salah satu tentera yang mengukir namanya dalam sejarah ialah Zhang Taofang dengan rekod pembunuhan 214 tentera musuh. Tetapi tidak ramai tahu sebelum dihantar ke Semenanjung Korea, Taofang langsung tidak mempunyai sebarang latihan dalam menembak hendap dan kebanyakan tembakannya tersasar sehingga disedari pihak musuh. Tetapi penembak ini cepat belajar dan dalam tempoh 32 hari berjaya membunuh 214 tentera musuh dengan senapang Mosin-Nagant dengan purata 6.7 pembunuhan sehari.

6. VASILI ZAYTSEV

Figure 1: Vasili Zaytsev (dua dari kiri)

Bagi yang pernah menonton filem Enemy at the Gates, pasti sedia maklum lakonan Jude Law sebagai Zaytsev. Walaupun filem tersebut tidaklah sepopular filem-filem Perang Dunia Kedua lain, ia sudah cukup memperlihatkan reputasi Zaytsev sebagai antara penembak hendap Soviet yang digeruni pihak Wehrmacht. Sebelum turun di Stalingrad sebagai penembak tepat, beliau sebenarnya bekerja sebagai seorang kerani tentera. Selepas mengetahui situasi yang melanda Stalingrad yang diancam tentera Wehrmacht pimpinan Field Marshal Friedrich Paulus, Zaytsev menawarkan diri berkhidmat di situ di bawah panji Rejimen Raifal Ke-1047. Antara Oktober 1942 hingga Januari 1943, beliau berjaya menembak mati 242 tentera Nazi. Pihak Wehrmacht cuba melancarkan kempen serangan balas tetapi tidaklah seagresif seperti yang dipaparkan dalam filem berkenaan.

7. CHRIS KYLE

Chris Kyle boleh dianggap legenda dan setaraf dengan kehebatan Hathcock semasa di Vietnam. Bekas anggota pasukan khas Tentera Laut SEAL ini terlibat dalam banyak kempen semasa Perang Iraq dan membunuh lebih 150 orang (angka rasmi Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat) atau 255 orang pihak musuh.

Salah satu tembakan Kyle yang dikenali ialah tembakan yang membunuh seorang pemberontak yang bersenjatakan pelancar roket ke atas konvoi tentera dari jarak 2,100 kaki. Reputasinya sudah cukup menakutkan militan Iraq sehinggakan mereka bersedia membayar wang ganjaran antara $20,000 hingga $80,000 kepada sesiapa yang berjaya membunuhnya. Dan bagi membolehkan sesiapa mengenalinya, mereka turut meletakkan gambar tatu salib pada lengannya sebagai tanda pengenalan Kyle.

Beliau meninggalkan US Navy pada tahun 2009 dan mempunyai karier sebagai ahli perniagaan. Kyle turut menghasilkan autobiografi bertajuk American Sniper terbitan HarperCollins pada tahun 2012. Buku tersebut kemudian diadaptasi dalam bentuk filem American Sniper yang diarahkan Clint Eastwood dengan Bradley Cooper memainkan peranan sebagai Kyle. Bekas penembak tepat SEAL ini dibunuh bersama rakannya Chad Littlefield di sebuah lapang sasar di Erath County, Texas oleh veteran Kor Marin Eddie Ray Routh.

8. LYUDMILA PAVLICHENKO

Figure 2: Lyudmila Pavlichenko (tengah) bersama Franklin Delano Roosevelt dan Eleanor Roosevelt

Sejak kecil lagi, bakat Lyudmila Pavlichenko sebagai penembak sudah terserlah. Pada usia 14 tahun selepas mendengar anak lelaki jirannya bercakap besar tentang kemampuan menembaknya, beliau mahu membuktikan wanita seperti dirinya juga mahir menembak. Ini mendorongnya menyertai OSOAVIAKhIM, sebuah pertubuhan sukan separa tentera yang melatih anak-anak muda kemahiran senjata dan etika.

Selepas Adolf Hitler memutuskan untuk melanggar Perjanjian Molotov-Ribbentropp dan menggerakkan Operasi Barbarossa, Pavlichenko turut bersedia mengangkat senjata untuk melindungi Motherland dari ancaman perang kilat Wehrmacht. Namun penyertaan awalnya dalam tentera dinafikan atas alasan jantina. Ini kerana mereka mahu beliau menjadi jururawat dan menggelakkan hasratnya yang mahu menggunakan raifal dan melawan tentera Nazi Jerman. Tetapi selepas membuktikan keupayaannya membunuh dua warga Romania yang disyaki tali barut Nazi di lapang sasar dari jarak jauh, itu sudah cukup menyakinkan pegawai atasannya meletakkannya dalam Divisyen Raifal Ke-25 Chapayev.

Bila Pavlichenko dihantar ke Greece dan Moldova, seperti dijangka ramai tentera Nazi Jerman tumbang di tangan beliau. Dalam tempoh 75 hari saja, beliau berjaya membunuh 187 orang tentera Wehrmacht. Tetapi namanya menjadi sebutan dalam kalangan tentera Soviet semasa Pertempuran Sevastopol. Pihak Soviet memberinya satu tugas sukar iaitu membunuh penembak-penembak tepat Wehrmacht yang dihantar ke medan Sevastopol. Walaupun sesetengah lawannya itu bukan calang-calang dan dianggap penembak elit dalam kalangan tentera Wehrmacht, itu tidak menghalang Pavlichenko membunuh 36 penembak tepat musuh. Pihak Nazi Jerman yang terdesak bersedia menawarkannya gula-gula dan keselesaan sekiranya beliau berpaling tadah dan menyertai mereka.

Angka rasmi pembunuhan Pavlichenko ialah 309 tentera musuh. Selepas tidak bertugas di perbatasan, beliau menjadi pengajar penembak tepat bagi generasi baru penembak tepat Soviet. Malah, Pavlichenko juga merupakan tentera Soviet pertama yang diberi penghormatan melawat Rumah Putih dan bertemu dengan Presiden Franklin Delano Roosevelt dan isterinya Eleanor Roosevelt. Selepas tamat perang, beliau menamatkan pengajian dan bekerja sebagai seorang sejarawan.

9. FRANCIS PEGAHMAGABOW

Siapa sangka anak jati Ontario, Kanada berdarah Orang Asli Amerika ini merupakan penembak yang digeruni tentera Jerman semasa Perang Dunia Pertama. Francis Pegahmagabow dikatakan bertanggungjawab membunuh lebih 380 tentera Jerman dan menawan 300 tentera musuh. Dan beliau juga dikenali dengan keberaniannya mendapatkan bekalan peluru untuk unitnya dalam keadaan diserang bertubi-tubi pihak musuh. Peristiwa tersebut merupakan sebahagian daripada Kempen Serangan 100 Hari pihak Bersekutu untuk memaksa tentera Jerman berundur. Pegahmagabow mendapat banyak penghargaan atas jasanya semasa perang tersebut termasuk Bintang 1914-1915, Pingat Perang British dan Pingat Kejayaan.

10. FYODOR OKHLOPKOV

Sebelum dikenali sebagai penembak tepat dan menjadi mimpi ngeri tentera Wehrmacht, Fyodor Okhlopkov pada mulanya berkhidmat sebagai operator mesingan. Tetapi semua itu berubah selepas abang/adiknya terbunuh dalam satu pertempuran dan ini mendorong beliau menjadi penembak hendap. Sepanjang tempoh perkhidmatannya bersama tentera Soviet, Okhlopkov membunuh lebih 400 tentera musuh. Tetapi disebabkan latar belakangnya sebagai orang asli Yakut, jasanya kepada Kesatuan Soviet hanya diiktiraf 20 tahun kemudian. Okhlopkov diberi gelaran Wira Kesatuan Soviet pada tahun 1965 dan turut mendapat penghargaan Order of Lenin. Kesatuan Soviet turut menamakan sebuah kapal kargo sempena namanya pada tahun 1974.

11. IVAN SIDORENKO

Seperti mana Taofang semasa Perang Korea, Ivan Sidorenko melatihnya dirinya menembak tepat dan menjadi mimpi ngeri tentera Wehrmacht semasa Pertempuran Moscow. Kehebatan beliau menarik perhatian kepimpinan tentera Soviet dan mahukan Sidorenko melatih tentera lain bagi menambah kekuatan Soviet di barisan hadapan. Untuk mendapatkan penembak tepat yang dimahukan Motherland, Sidorenko memilih penembak berdasarkan tiga kriteria iaitu tahap penglihatan, pengetahuan tentang senjata api dan ketahanan semasa di medan perang.

Bila kehebatan beliau diketahui pihak Nazi Jerman, mereka menghantar penembak hendap mereka sendiri untuk membunuh Sidorenko dan menghapuskan ancaman terbaru yang dihadapi jentera Wehrmacht. Walaupun kebanyakan masanya diperuntukkan untuk mengajar, adakalanya beliau turut turun ke medan perang dan membantu operasi Red Army. Salah satu kejayaannya ialah memusnahkan sebuah kereta kebal dan tiga buah traktor dengan peluru berapi. Selepas tercedera semasa kempen di Estonia pada tahun 1944, Sidorenko terpaksa berada di hospital sehingga tamat perang. Bagaimanapun, itu tidak menghalang Moscow menganugerahkan gelaran Wira Kesatuan Soviet tahun yang sama. Berdasarkan statistik, Sidorenko membunuh lebih 500 orang dengan menggunakan raifal Mosin-Nagant.

12. MATTHAUS HETZENAUER

Salah seorang penembak hendap elit Wehrmacht ialah Matthaus Hetzenauer. Hetzenauer yang datang dari keluarga yang terkenal dengan tradisi tentera dan memburu menjadi mimpi ngeri kepada tentera Soviet semasa di Medan Timur. Walaupun didraf dalam tentera pada usia 17 tahun, ia langsung tidak menggentarkannya. Beliau bertanggungjawab membunuh lebih 300 tentera Soviet dan memegang rekod tembakan membunuh paling jauh dalam sejarah Wehrmacht pada jarak 1,200 kaki. Namun nasibnya tidak baik apabila ditawan oleh tentera Soviet dan dipenjarakan dalam kem mereka selama lima tahun. Selepas itu, Hetzenauer dibebaskan dan kembali ke Austria untuk menjalani kehidupan biasa. Beliau meninggal dunia pada tahun 2004.

13. SIMO HAYHA

Tidak sah sekiranya nama penembak tepat Finland ini tidak tersenarai dalam senarai ini. Simo Hayha amat ditakuti tentera Soviet semasa Perang Musim Sejuk membabitkan Soviet dan Finland sehinggakan mereka menggelarnya The White Death. Dengan kemahirannya sebagai pemburu, maka tidak hairanlah satu persatu askar Soviet tumbang di tangan Hayha. Pihak Soviet yang terdesak menggunakan serangan mortar dan artileri tetapi kebanyakan serangan mereka tidak mengenai sasaran. Sebaliknya, sasaran mereka itu berjaya melepaskan diri tanpa sebarang kecederaan parah. Malah Hayha juga sentiasa merancang helah terbaru bagi memerangkap mana-mana tentera Soviet yang berada dalam zon sasarannya.

Salah satu kejayaannya yang diingati ialah 39 askar Soviet mati ditembak Hayha pada 21 Disember 1939. Akhbar tempatan yang melaporkan berita tersebut meletakkan tajuk ‘Hadiah Krismas Simo Hayha Kepada Finland’. Apa yang dilakukan Hayha dilihat menyumbang kepada usaha Finland mempertahankan kedaulatannya selepas mengisytiharkan kemerdekaanya dari Soviet dan secara tidak langsung, memberi keyakinan kepada Hitler meneruskan agenda Operasi Barbarossa. Sepanjang khidmatnya bersama tentera Finland, beliau berjaya membunuh lebih 500 tentera musuh.

SUMBER

1. Saksena, Abhishek. (2017). India Times. 14 Of The World’s Deadliest Snipers. https://www.indiatimes.com/culture/who-we-are/14-of-the-world-s-deadliest-snipers-248066.html


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.