Kekayaan Nabi Sulaiman a.s menjadi obsesi pengkaji sejarah sejak dahulu lagi. Dan ada yang mengadakan teori bahawasanya sesetengah daripada harta baginda masih tersembunyi dan menanti masa untuk ditemui semula.
Sebelum kita melihat perkara ini dengan lebih lanjut, ayuh kita meneliti terlebih dahulu skala kekayaan Nabi Sulaiman a.s. Kekayaan baginda sememangnya luar biasa dan dinyatakan dengan jelas dalam al-Quran.
Firman Allah s.w.t dalam ayat 16, Surah an-Naml, “Dan Nabi Sulaiman mewarisi (pangkat kenabian dan kerajaan) Nabi Daud dan (setelah itu) Nabi Sulaiman berkata: Wahai umat manusia, kami telah diajar mengerti bahasa pertuturan burung dan kami telah diberikan serba sedikit dari tiap-tiap sesuatu (yang diperlukan); sesungguhnya yang demikian ini adalah limpah kurnia (dari Allah) yang jelas nyata.”
Sementara dalam Book of Kings (salah satu komponen kitab Old Testament) pula menceritakan pada satu ketika, baginda menerima penghantaran emas berjumlah 666 talent atau 22 tan. Jika diterjemahkan dalam nilai emas hari ini, nilai tersebut ialah AS$1 bilion (RM4.13 bilion).
Dalam catatan yang lain, Book of Kings turut merekodkan takhta baginda diperbuat daripada gading dan diselaputi dengan emas, tiga paun emas digunakan untuk menghasilkan perisai baginda dan semua gelasnya diperbuat daripada emas. Ini menunjukkan kekayaan baginda tidak boleh disaingi mana-mana pemerintah pada ketika itu.
Antara harta Nabi Sulaiman a.s yang menjadi buruan ramai sehingga mencetuskan legenda ialah tabut/The Ark of the Covenant dan cincinnya dengan nama Tuhan diukir pada cincin berkenaan. Dikatakan menerusi cincin ini, baginda boleh memanggil jin untuk melakukan tugas yang diminta baginda.
Satu legenda yang paling terkenal membabitkan harta baginda ialah meja emasnya. Menurut legenda ini, ia dikatakan ditemui oleh Tariq bin Ziyad selepas berjaya mengetuai ekspedisi ket3nt3raan kerajaan Bani Umayyah di Andalusia pada tahun 711 Masihi. Mengikut rancangan, Gabenor Afrika Utara ketika itu Musa bin Nusayr sepatutnya bergabung dengan beliau di Jabal Tariq (kini Gibraltar) sebelum meny3rang kedudukan Visigoth di Semenanjung Iberia.
Tetapi Tariq tidak menunggu Musa dan berjaya mengalahkan pemerintah Visigoth, Roderick seterusnya men4klvk Toledo. Dalam kempen inilah, angkatan beliau menemui meja emas yang dikatakan dibawa dari Baitulmaqdis dan ia menjadi sebahagian daripada ghanimah (harta rampasan p3r4ng) mereka. Begitupun, cerita meja emas yang ditemui tersebar ke pelosok tempat dan diketahui Musa sebaik mendarat di Iberia.
Beliau mahukan meja emas tersebut agar boleh dibawa pulang ke Damsyik sebagai persembahan kepada khalifah Bani Umayyah ketika itu, al-Walid bin Abdul Malik. Perebutan meja tersebut tercetus sehingga mengakibatkan salah satu daripada kaki meja emas patah. Tidak mahu perkara ini diketahui oleh khalifah, Musa memerintahkan sebuah meja emas baru dibuat.
Bagaimanapun, Tariq tahu helah tersebut tidak akan berhasil. Ini kerana kualiti meja emas yang dihasilkan artisan tidaklah mencecah piawaian kualiti meja emas Nabi Sulaiman a.s. Justeru, tidak hairanlah apabila ia dibawa di hadapan al-Walid di Damsyik, baginda sedar meja yang patah itu sebenarnya diambil oleh Tariq terlebih dahulu dan meja yang dibawa Musa adalah palsu.
Mengikut legenda, beliau diberi ganjaran lumayan oleh pengganti al-Walid, Sulaiman sementara Musa pula dihukum kerana enggan mematuhi perintah baginda menyerahkan semua ghanimah kepada kerajaan. Selain itu, nama beliau terus pudar gara-gara nasib malang yang menimpa dua puteranya, Abdul Aziz dan Abdullah yang m4t1 semasa menjawat jawatan Gabenor Afrika Utara. Musa kembali ke rahmatullah pada musim haji 715-716.
Sementara dalam Tales of Alhambra yang dikarang Washington Irving, ada satu anekdot menarik dalam salah satu bab iaitu Legenda Putera Ahmed al-Kamel. Dalam bab tersebut, dikatakan tersembunyi sebuah permaidani yang diperbuat daripada sutera dalam perbendaharaan (baitulmal) Toledo dan boleh terbang di udara.
Irving mendakwa permaidani tersebut sebenarnya merupakan salah satu harta Nabi Sulaiman a.s yang hilang. Mengikut riwayat, permaidani ini digunakan oleh baginda yang membolehkannya tiba dengan pantas di sesebuah destinasi.
Perkara ini turut disebut dalam kitab Qala’id-al-Jawahir di mana Sheikh Abdul Qadir al-Jailani melihat sejadah terbang di udara semasa menyeberangi Sungai Tigris. Melihat kelibat sejadah itu di atas langit, beliau menyamakannya dengan permaidani terbang yang digunakan Nabi Sulaiman a.s semasa mengembara. Kisah permaidani terbang ini turut dicatatkan dalam kisah 1001 Malam.
Bagaimanapun, lokasi sebenar harta karun milik Nabi Sulaiman a.s tidak diketahui sehingga hari ini. Ini kerana selepas s3r4ngan Babylon ke atas Baitulmaqdis pada tahun 589 SM, s3r4ngan tersebut mengakibatkan kemvsn4han besar terhadap kota berkenaan. Sejak itu, ia tidak lagi dilihat sehingga hari ini.
Berdasarkan keterangan Treatise of the Vessels, sebahagian harta ini dikatakan berjaya dibawa keluar dari Baitulmaqdis termasuk tabut. Ini membawa kepada pelbagai teori ke mana harta-harta ini dibawa. Ada yang mendakwa ia dibawa lari ke Ethiopia dan ada juga yang mendakwa sebahagian harta tersebut telah dibawa ke tanah besar Eropah.
Bagi peminat siri dokumentari The Curse of Oak Island terbitan History, pasti sudah masak dengan pelbagai teori harta apa yang ditanam di pulau tersebut. Salah satu teori harta yang dikatakan ditanam di Oak Island ialah sebahagian harta karun Nabi Sulaiman a.s termasuk tabut dibawa lari oleh Kn1ghts Templar untuk menyelamatkan diri daripada kempen k3j4m Raja Philip IV dari Perancis.
RUJUKAN:
DHWTY. (2015). The Lost and Coveted Treasures of King Solomon. Ancient-Origins. https://www.ancient-origins.net/artifacts-other-artifacts/lost-and-coveted-treasures-king-solomon-004560
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih