Pada abad ke-16, Empayar Inca dilanda perang saudara antara Maharaja Atahualpa dengan saudaranya Huascar. Perang saudara ini melemahkan kerajaan itu sekaligus membuka peluang kepada Conquistador menakluk kerajaan itu. Ia juga menjadi pencetus kisah harta karun terkenal orang Inca, Llanganatis.
Walaupun berjaya menewaskan saudaranya itu, Atahualpa kemudiannya berjaya diakali oleh Conquistador Francisco Pizarro. Akibatnya, baginda dipenjarakan di sebuah istana di Cajamarca. Tetapi di sinilah, Pizarro mendapat tahu tentang kekayaan Inca yang melimpah-ruah termasuk logam bernilai berupa emas dan perak daripada Atahualpa.
Tetapi maklumat itu ada harganya. Sebagai tukaran kepada emas dan perak yang dimiliki, Conquistador perlu bersedia melepaskan baginda, Selepas bersetuju dengan perjanjian itu, Atahualpa mengarahkan seorang panglima tentera bernama Ruminahui untuk mengumpul emas dari seluruh empayar untuk dihantar kepada Pizarro.
Malangnya, Conquistador itu menyangka Ruminahui diutus untuk membebaskan maharaja Inca itu daripada tahanan mereka. Lantas, Pizarro mengarahkan Atahualpa dibunuh dengan mayatnya dibakar.
Sebaik mendengar berita tersebut, Ruminahui mengarahkan semua emas yang dikumpul disembunyikan di satu kawasan di utara Ecuador yang dikenali sebagai Llanganates, Walaupun beliau kemudiannya ditangkap oleh Conquistador, Ruminahui terus menyimpan rahsia lokasi Llanganates. Rahsia tersebut dibawa sehingga ke akhir hayatnya.
Llanganates merupakan satu kawasan banjaran gunung terpencil dengan ketinggian sekitar 2,500 hingga 4,500 meter di atas paras laut. Ia terletak di timur Lorong Gunung Berapi di mana kawasan tanah tinggi tengah Ecuador bercampur dengan kawasan hutan hujan Amazon yang tebal. Akibatnya, kawasan muka bumi Llanganates dianggap mencabar kerana ia sentiasa basah sepanjang tahun.
Misteri harta karun Llanganatis mula tercetus menerusi kisah seorang bishop bernama Jose Valverde. Valverde yang juga bishop pertama di Amerika Selatan bertuah kerana berkahwin dengan seorang wanita tempatan di Latacunga. Sebagai hadiah perkahwinan, bapa mentuanya Cacique de Pillaro membawanya ke satu kawasan di Llanganates.
Di situlah, de Pillaro menunjukkan apa yang didakwa sebagai harta karun Atahualpa yang hilang. Peristiwa yang berlaku 50 tahun selepas insiden Pizarro-Atahualpa ini menjadikan Valverde orang kaya dalam sekelip mata.
Apabila beliau berada di penghujung nyawa, beliau menulis panduan bagaimana mendapatkan harta tersebut agar dapat disampaikan kepada Raja Sepanyol ketika itu, Raja Philip II. Selepas membaca panduan yang dikenali sebagai ‘Derrotero de Valverde’ itu, satu ekspedisi diutus ke Ecuador. Bagaimanapun, ia berakhir dengan kegagalan terutama selepas seorang friar lemas di kawasan paya sekitar Llanganates.
Lebih 300 tahun selepas itu, kisah Valverde menggamit perhatian seorang ahli botani British bernama Richard Spruce. Spruce berada di Ecuador ketika itu bagi mencari pokok kuinin, ramuan utama untuk ubat demam malaria. Dari tahun 1849 hingga 1864, beliau merekodkan pelbagai jenis tanaman beracun dan bersifat halusinogen di Amazon serta 21 bahasa puak orang asli yang mendiami kawasan berkenaan.
Semasa di sebuah bandar bernama Banos, Spruce mendapat tahu tentang keterangan Valverde dan peta lokasi harta karun Llanganatis. Peta ini dikatakan dilukis oleh seorang ahli botani Sepanyol bernama Anastacio Guzman berpandukan petunjuk yang dinyatakan Valverde beberapa tahun selepas kematiannya. Kedua-dua maklumat ini diterbitkan dalam Journal of the Royal Geographic Society of London pada 1861.
36 tahun selepas ia disiarkan dalam Journal of the Royal Geographic Society of London, seorang pemburu harta karun mendakwa telah menemui harta karun Llanganatis. Barth Blake dan rakan kongsinya Leftenan George Edwin Chapman menggunakan manuskrip Spruce sebagai cara untuk sampai ke Llanganates.
Walaupun Chapman mati semasa dalam perjalanan, itu langsung tidak mematahkan semangat Blake. Sebaik tiba di lokasi yang dinyatakan, beliau mendakwa menemui harta karun berharga termasuk era Inca dan pra-Inca. Ini direkodkan menerusi siri surat antara Blake dengan rakan-rakannya di London.
Disebabkan jumlah harta yang terlalu banyak, beliau merancang untuk pulang ke New York terlebih dahulu sebelum kembali mendapatkannya pada kunjungan kedua. Bagaimanapun, hasrat Blake tidak kesampaian. Namanya selepas itu tidak lagi didengar dengan ada mendakwa beliau ditolak keluar dari kapal sebelum mati lemas.
Seabad kemudian, dua pendaki iaitu Joe Brown (Britain) dan Hamish MacInnes (Scotland) berharap dapat mengikut laluan Valverde sekaligus menemui harta karun Llanganatis. Bagaimanapun, ekspedisi pertama mereka berakhir dengan kegagalan pada 1979 akibat masalah kesihatan yang menimpa kumpulan yang diketuai Brown dan MacInnes serta lupa mendapatkan khidmat pemandu tempatan.
Cubaan kedua mereka pada 1980 juga berakhir dengan kegagalan. Kegagalan pendaki-pendaki Eropah mendengar nasihat pemandu tempatan mereka mengakibatkan perjalanan mereka bermasalah. Bagaimanapun, ia tidaklah berakhir dengan tangan kosong apabila sebahagian laluan dikatakan menuju ke kawasan lombong emas orang Inca.
Usaha terakhir mereka pada 1981 dianggap peluang terakhir menemui harta karun Llanganatis. Keghairahan mereka memburu harta karun Llanganatis atau lombong emas Inca mengakibatkan mereka terlupa membawa pakar arkeologi untuk memeriksa kawasan yang dinyatakan. Pada akhirnya, Brown dan MacInnes pulang dengan tangan kosong.
Selama bertahun-tahun, ramai orang mencuba nasib mencari harta karun milik Atahualpa itu. Tetapi semua percubaan mereka itu tidak berhasil. Sehubungan dengan itu, ramai menganggap kisah ini sebagai satu lagi mitologi sekelas dengan El Dorado atau Cibola.
RUJUKAN
Leigh-Howarth, J. (2022, 21 Mac). Lost Inca Gold: The Quest for the Llanganatis Treasure. Ancient-Origins.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih