Ketika umat Islam di Madinah sedang diancam oleh serangan tentera bersekutu (tentera Al-Ahzab) antara gabungan kaum Musyrikin Makkah dan puak Yahudi dari Madinah sendiri, seorang sahabat Rasulullah s.a.w iatu Salman Al Farisi r.a telah mencadangkan kepada Rasulullah s.a.w  dan tentera Islam supaya menggali parit besar di sekeliling kota Madinah untuk mengekang ancaman tentera bersekutu tersebut.

Rasulullah s.a.w  bersetuju dengan cadangan Salman Al Farisi r.a itu, lalu menghimpunkan kaum Muslimin untuk menggali tanah di sekeliling kota Madinah untuk membuat parit. Pada bulan Syawal tahun 005 Hijrah bersamaan tahun 627 Masihi, pembinaan parit besar oleh umat Islam Madinah mula dijalankan, sebagai strategi peperangan menghadapi tentera bersekutu.

Tersebutlah kisah apabila kerja penggalian parit sedang berlangsung, seorang sahabat menghadapi kesukaran memecahkan sebuah batu besar. Batu itu cuba dipecahkan oleh kaum Muslimin yang lain namun gagal. Mereka memanggil Rasulullah s.a.w untuk menyelesaikan masalah tersebut. Diriwayatkan baginda memecahkan batu besar tersebut dengan tongkatnya lalu retak dan mengeluarkan tiga kilauan cahaya yang berpancar menuju ke arah yang berbeza.

Rasulullah s.a.w memberitahu para sahabat bahawa setiap cahaya tersebut terpancar menuju ke tiga buah istana pemerintah yang berpengaruh di rantau tersebut. Satu menghala ke istana pemerintah Yaman, satu lagi ke arah istana Kisra Parsi dan satu lagi ke istana Maharaja Rum. Baginda mengisyaratkan bahawa ketiga-tiga istana pemerintah tersebut akan jatuh ke tangan umat Islam suatu masa nanti. In sha Allah….

Dan sudah pasti janji pesuruh Allah itu benar dan akan menjadi kenyataan…….

Dipendekkan kisahnya, selepas kemangkatan Rasulullah, kuasa empayar Islam di bawah khalifah-khalifah di kalangan sahabat baginda (yang digelar sebagai Khulafa ar Rasyidin menurut sejarah) mula berkembang luas. Kerajaan Islam Madinah berjaya melemahkan dan menjatuhkan penguasaan Empayar Rom Bizantium (Rum) dan Empayar Parsi Sassanid di rantau Timur Tengah.

Sebelum kedatangan agama Islam, Rom Bizantium dan Parsi Sassanid adalah dua kuasa besar paling berpengaruh di Timur Tengah masa itu, dan mereka juga saling berperang dan bertelingkah antara satu sama lain.

Yaman berjaya diletakkan dalam kuasa kerajaan Islam sekitar tahun 630 Masihi. Semasa pemerintahan Khalifah Umar bin al Khattab r.a (634~644 M), istana Kisra Empayar Parsi Sassanids di Ctesiphon (berdekatan Baghdad kini) berjaya dimasuki oleh tentera Islam di bawah pimpinan Saad bin Abu Waqqas r.a pada tahun 637 Masihi. Satu persatu kuasa besar yang berpengaruh di situ jatuh ke tangan tentera Islam, membenarkan perkataan Nabi s.a.w sebelum itu.

Hanya satu sahaja istana yang disebut dalam hadis Nabi s.a.w yang masih belum ditakluk oleh orang Islam, iatu istana Maharaja Rum. Rum yang dimaksudkan oleh Nabi s.a.w itu bukannya merujuk pada Rome di Itali itu, sebaliknya ianya merujuk pada kotaraya Konstantinople yang merupakan pusat pentadbiran kepada Empayar Rom Bizantium (atau lebih dikenali sebagai Rom Kedua).

Sebaik-baiknya Raja

Seperti mana sabda junjungan Nabi Muhammad s. a. w;

“Kota Konstantinniah (Constantinople) akan jatuh ke tangan orang Islam.  Pemimpin yang menaklukkannya itu adalah sebaik-baik pemimpin dan tentera yang berada di bawah pimpinannya itu adalah sebaik-baik tentera . ”

(Hadis riwayat Ahmad Ibnu Hanbal)

Selepas kewafatan Rasulullah s. a. w, ramai pemimpin dan pembesar Islam berusaha mengumpulkan bala tentera yang besar untuk menyerang dan menakluk Constantinople. Semuanya berharap untuk merealisasikan sabda Nabi s.a.w tersebut menjadi kenyataan. Usaha telah dibuat oleh Khalifah Muawiyah bin Abu Sufian dari Kerajaan Bani Umaiyah untuk menakluk kota tersebut pada tahun 674 hingga tahun 678 Masihi.

Salah seorang sahabat Nabi s.a.w  sendiri yang menyertai peperangan tersebut, Abu Ayub al Ansari r.a sempat berwasiat kepada tentera Islam untuk mengebumikan jenazahnya di sebalik tembok kota Constantinople jika beliau gugur dalam pertempuran tersebut. Apabila ditanya sebabnya, beliau hanya ringkas menjawab;

“Aku ingin sekali mendengar derapan tapak kaki kuda yang ditunggang oleh sebaik-baik raja yang memimpin sebaik-baik tentera yang akan menakluk kota ini satu hari nanti, seperti yang disabdakan oleh Rasulullah dahulu.”

Ternyata telahannya benar, Abu Ayub al Ansari r.a akhirnya gugur syahid dalam pertempuran tentera Islam menentang tentera Bizantium di luar kota Constantinople. Untuk menunaikan wasiatnya, para sahabat sanggup menyelinap secara sembunyi pada waktu larut malam, melalui bawah tembok kota Constantinople lalu mengebumikan jenazah Abu Ayub al Ansari r.a di sana.

Pelbagai serangan cuba dilakukan oleh tentera para khalifah dan pemimpin Islam ke atas kota Constantinople dari semasa ke semasa namun selalu menemui kegagalan. Ini disebabkan oleh pertahanan kota Constantinople yang sangat kuat kerana kota tersebut dikelilingi oleh tembok yang besar serta tinggi.

Penakluk Muda Dan Tentera Yang Gagah Berani

Sehinggalah pada satu hari yang dijanjikan di istana kerajaan Uthmaniyah selepas kemangkatan Sultan Murad II di Edirne pada tahun 1451. Putera baginda dimahkotakan sebagai sultan kerajaan Uthmaniyah dengan gelaran Sultan Mehmet II. Sultan Mehmet II menaiki takhta kerajaan pada usia 19 tahun, dan pada masa itu kerajaan Uthmaniyah telah menguasai seluruh Asia Kecil, sebahagian wilayah Eropah Timur dan pesisiran Laut Hitam.

Sultan Mehmet II berazam mahu meneruskan legasi arwah ayahandanya dalam menakluk Constantinople dan menjadikan perkataan Nabi s.a.w itu menjadi realiti. Pada awal pemerintahannya, sistem ketenteraan Uthmaniah diperbaiki, terutama sekali armada tentera laut. Baginda juga mengarahkan seorang pembuat meriam bernama Orban dari Hungary untuk membuat sebuah meriam gergasi yang akan digunakan dalam ekspedisi ketenteraan nanti. Baginda juga membina sebuah kubu tentera yang kuat bernama Rumelihisari yang terletak di tebing Sungai Bosphorus, berhampiran Constantinople.

Setelah merasakan bahawa tenteranya telah bersedia, Sultan Mehmet II bersama 200 000 orang tentera dan 320 kapal perang menuju ke Constantinople. Tentera Bizantium yang mengetahui hal ini mengarahkan supaya rantai besi dipasang di perairan Tanduk Emas (Golden Horn) berhampiran Selat Bosphorus di Constantinople, untuk menghalang kemasukan kapal perang Uthmaniyah. Rantai besi itu pula dikawal dan dijaga oleh dua puluh lapan kapal perang Bizantium yang lengkap bersenjata.

Laksamana Sulaiman Baltoghlu yang merupakan pemimpin armada tentera laut yan ditugaskan memasuki Tanduk Emas itu lalu mengadukan masalah tersebut kepada Sultan Mehmet II. Baginda yang terkenal sebagai seorang pemerintah yang muda lagi cerdas akalnya mengarahkan semua kapalnya ditarik menggunakan jalan darat di Galata menuju ke seberang Tanduk Emas di sebelah utara.

Pada waktu malam, seluruh tentera Uthmaniah bekerja keras menarik semua kapalnya melalui tebing tinggi menuju ke seberang Tanduk Emas. Dikatakan Sultan Mehmet II sendiri juga turut menolong tenteranya menarik kapal-kapal. Menjelang waktu subuh, semua kapal Uthmaniah sudah berada di perairan Tanduk Emas yang terletak berhampiran dengan pintu utama Constantinople.

Hal ini sama sekali mengejutkan tentera Bizantium dan rakyat Constantinople, khususnya pemerintah mereka, Constantine IX Palaiologos sendiri. Pemerintah Bizantium kecundang dan gentar melihat betapa ramainya tentera Uthmaniah yang berkumpul di luar tembok Constantinople, terutama sekali pabila waktu solat.

Untuk menimbulkan kegerunan pada pihak musuh, tentera Uthmaniah akan berkumpul beramai ramai untuk solat berjemaah di luar tembok Constantinople. Selepas bersolat, mereka akan berzikir dengan suara lantang. Gema padu yang dihasilkan oleh tentera Uthmaniah itu sememangnya menimbulkan kegerunan kepada tentera Bizantium yang berkubu di sebalik tembok Constantinople. Terdetik di hati mereka bahawa kali ini bahawa orang Islam sendiri sudah menjadi semakin kuat untuk menakluk kota mereka, dan mereka sememangnya tidak boleh dihalang lagi.

Akhirnya setelah lebih sebulan mengepung kota tersebut, tentera Uthmaniah melakukan serangan yang terakhir. Sebanyak 70 pucuk meriam besar membedil tembok kota Constantinople, termasuklah meriam yang paling terbesar sekali yang dicipta oleh Orban, berukuran 8.2 meter panjang dan mampu membedil bola peluru sejauh 1. 6 kilometer.

Tentera Uthmaniah telah mula memanjat tembok Constantinople dan antaranya ialah seorang pemuda bernama Hassan Ulubati, yang berjaya naik ke atas salah satu menara kawalan tembok tersebut lalu menegakkan bendera Uthmaniah di atasnya. Pemanah tentera Bizantium yang melihat peristiwa itu lalu memanah Hassan Ulubati sehingga beliau gugur syahid di atas menara tersebut sambil tangannya memegang erat bendera. Hassan Ulubati ialah antara tentera Uthmaniah yang paling awal menempah syahid pada tarikh tersebut.

Gugurnya Hassan Ulubati bukannya menurunkan semangat tentera Uthmaniah yang lain, sebaliknya menaikkan semangat mereka untuk menakluk kota tersebut dan ingin mati syahid seperti beliau. Tentera Uthmaniah terus memperhebatkan serangan manakala meriam-meriam tentera Uthmaniah terus membedil kota tersebut. Kapal-kapal Uthmaniah telah mengepung perairan di sekeliling kota tersebut, termasuklah Tanjung Emas.

Akhirnya, tentera Bizantium menyerah kalah. Tentera Bizantium tidak dapat berbuat apa-apa apabila mengetahui tentera Uthmaniah telah meluru masuk ke dalam kota. Maharaja Cionstantine IX Palaiologos yang ketika itu sedang berada di dalam Gereja Hagia Sophia dibunuh.

Pada tarikh keramat itu, nyatalah kota Constantinople telah jatuh secara rasminya kepada kuasa Islam. Kata-kata Nabi s.a.w yang diucapkan 800 tahun lalu menjadi kenyataan. Sultan Mehmet II yang terkenal sebagai seorang raja yang alim lagi warak berarak masuk ke dalam Constantinople bersama tenteranya.

Sultan Mehmet II mengistiharkan kepada semua penduduk Constantinople yang beragama Kristian yang berfahaman Greek Ortodoks, bahawasannya mereka akan selamat dari diapa-apakan dan bebas mengamalkan kepercayaan masing-masing. Hal ini sangatlah berbeza degan apa yang dilakukan oleh Count Baldwin of Flanders yang pernah mengetuai tentera Salib untuk menakluk Constantinople pada tahun 1204, di mana banyak saudara seagama mereka sendiri mati disembelih oleh tentera Salib sepanjang mereka menguasai kota tersebut.

Sangatlah layak Sultan Mehmet II dan tenteranya digelar sebagai “sebaik-baik raja” dan “sebaik-baik tentera” sepertimana hadis Nabi s.a.w itu. Sultan Mehmet II digambarkan sebagai seorang raja yang sangat alim. warak, baik hati dan tidak pernah mengabaikan hukum Allah dalam pemerintahannya. Baginda tidak pernah meninggalkan solat wajib mahupun slat sunat, termasuklah solat sunat tahajjud pada waktu malam.

Semoga Allah membalas jasa dan pengorbanan mereka dengan sebaik-baik ganjaran.

Al-Fatihah untuk Sultan Mehmet II dan tentera-tenteranya


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Raja Ariff Danial bin Raja Azhar, bernasabkan Bugis berbangsakan Melayu. Seorang anak Parit Buntar, Perak yang baru sahaja mencapai umur layak mengundi, kini sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang Sejarah di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor. Seorang pencinta sejarah, dan sentiasa berusaha mendalami ilmu sejarahnya selagi masih diizinkan bernyawa olehNya.

Leave A Reply