Tatkala dunia Islam menikmati kegemilangan Zaman Keemasannya, di sebelah barat, ada saja perkara aneh dan menjelikkan dilakukan oleh para pemerintah ketika itu atas nama agama. Percaya bahawa aktiviti sihir berleluasa pada Zaman Pertengahan, para pemerintah Eropah menggerakkan sekumpulan individu untuk memburu bomoh. Mereka ini digelar pemburu bomoh.
Asal-usul pekerjaan ini dikatakan bermula pada abad ke-15 – lebih tepat di Jerman. Pada ketika itu, rahib-rahib seperti Heinrich Kramer diarah memburu orang-orang yang murtad oleh gereja Roman Katolik. Mana-mana individu yang dianggap murtad ditahan termasuk pendeta Kristian yang mempunyai pandangan berbeza.
Dan dalam kalangan individu yang ditahan ini, ada yang didakwa melakukan amalan sihir. Orang-orang ini didakwa mempunyai pengetahuan tentang magis dan syaitan serta dikatakan sebahagian daripada komuniti baru yang melakukan perkara sama.
Rahib-rahib yang digelar Inquisitor ini bimbang komuniti bomoh ini bakal menggugat kesucian agama Kristian. Lantas, mereka memaksa semua individu ini mengaku melalui pelbagai cara termasuk penipuan dan penyeksaan. Kesemua aktiviti ini kemudiannya direkodkan dalam sebuah buku khas berkenaan syaitan (demonology). Pendek kata, buku demonology ialah buku panduan tentang bagaimana mencari ahli sihir.
Kramer amat obses dalam memburu bomoh. Buktinya, beliau sentiasa mencari kaitan antara aktiviti sihir dengan kehidupan seksual wanita yang ditahan. Pertanyaan sama ada wanita-wanita ini masih dara atau tidak amat memalukan wanita yang ditahan. Lebih memilukan, mereka dipaksa berbogel dan diseksa menggunakan alat penyeksaan bagi memaksa mereka mengaku mengamalkan sihir.
Obsesi Kramer bagaimanapun menimbulkan kebimbangan bukan saja dalam kalangan orang ramai tetapi dalam kalangan pegawai-pegawai gereja. Mereka menuduhnya tidak mempunyai sasaran lain kecuali pengamal sihir dan menganggapnya sudah sewel. Tetapi itulah juga permulaan pertukaran jawatan Inquisitor kepada pemburu bomoh.
Tetapi mengapa nama Kramer seperti pernah didengar? Beliau merupakan pengarang buku demonology yang paling terkenal iaitu The Malleus Malaficarum. Buku ini turut disebut dalam satu adegan filem arahan Ron Howard, The Da Vinci Code.
Semasa tempoh ini, aktiviti memburu bomoh tersebar di seluruh Eropah. Menjelang abad ke-16 dan ke-17, aktiviti sihir dianggap satu kesalahan jenayah di England, Ireland dan Scotland. Susulan itu, perbicaraan membabitkan bomoh tidak lagi membabitkan pegawai gereja tetapi hakim mahkamah sekular.
Ini bermakna majistret tempatan (baillie di Scotland) bertanggungjawab menyiasat dakwaan pengamal sihir. Mana-mana individu yang disiasat dan didapati bersalah akan dihadapkan ke mahkamah dengan barisan juri menghakimi si tertuduh. Tetapi seperti mana kes Kramer, ada yang menjadikan usaha memburu bomoh sebagai satu obsesi.
Antara yang obses dengan hal ini ialah seorang majistret bernama Brian Darcy pada 1580-an. Selepas membaca buku demonology yang dikarang seorang peguam Perancis bernama Jean Bodin, beliau mencuba salah satu teknik yang diajar: tahan anak-anak wanita yang disyaki pengamal sihir.
Teknik ini dicuba pada 1582 melalui soal siasat Darcy ke atas lima orang anak suspek Alice Hunt yang beusia antara enam hingga 10 tahun. Phoebe, 8 tahun, mendakwa ibunya mempunyai dua makhluk aneh kecil persis kuda di mana kedua-duanya menikmati makanan dalam pinggan kayu. Apabila Darcy menggunakan maklumat ini terhadap Alice, ini memaksa wanita itu mengaku dengan tuduhan yang dilemparkan.
Jika ini tidak berkesan, majistret menggunakan pelbagai kaedah lain seperti:
- memaksa pesalah untuk tidak tidur dan berjaga untuk jangka masa lama. Kebiasaannya, pesalah akan merasa letih dan bersedia melakukan apa saja asal dapat tidur. Ini termasuk mengakui tuduhan yang dilemparkan terhadapnya.
- pemeriksaan badan. Pesalah akan dipaksa berbogel dan menanggalkan semua barang miliknya termasuk pakaian dan barang kemas. Lelaki akan memeriksa pesalah lelaki dengan pesalah wanita diperiksa kaum wanita. Kebiasaannya, kemaluan pesalah akan diperiksa kerana kebanyakan tanda ahli sihir tersembunyi di situ. Jika perlu, rambut dan bulu mereka dicukur bagi memastikan semua tempat diperiksa.
- alat penyeksaan. Kaedah normal bagi penguatkuasa undang-undang Zaman Pertengahan memaksa pesalah mengakui kesalahan mereka.
- Cucukan jarum. Pemburu bomoh akan mencucuk jarum pada tempat yang kurang sensitif pada badan. Mereka percaya ia merupakan tanda perjanjian antara syaitan dengan bomoh. Tetapi hakikatnya, kawasan yang kurang sensitif wujud pada badan disebabkan oleh pengagihan saraf yang tidak sekata. Dalam sesetengah kes, ada yang menggunakan tipu helah bagi memastikan dakwaan dapat dibuat. Ini kerana bagi pemburu bomoh, jika kes mereka berjaya, mereka akan dibayar oleh kerajaan.
- Memaksa suspek berenang. Suspek akan dipaksa berenang dengan tali diikat pada pemburu bomoh. Kononnya memandangkan upacara pembaptisan dilakukan dalam air, bomoh yang anti-Kristian akan terapung bila dipaksa berenang. Kaedah ini dianggap berisiko kerana boleh menyebabkan suspek mati lemas.
Pemburu bomoh bukan sahaja dilakukan oleh kaum Adam tetapi turut dilakukan oleh kaum Hawa. Tetapi peranan mereka lebih kepada pencari bukti fizikal suspek wanita yang didakwa sebagai bomoh. Bagi sesetengah wanita, tindakan mereka ibarat satu pengkhianatan. Tetapi pada masa sama, ia memberi mereka peranan dari segi pentadbiran dan penguatkuasaan undang-undang ketika itu.
Jika sudah tidak ada pemburu bomoh wanita, maka majistret boleh memanggil mana-mana wanita untuk memainkan peranan itu. Walaupun ia tugas yang sukar, ia dilakukan oleh mereka yang dipilih dengan penuh tanggungjawab. Ini kerana mereka diberi kuasa oleh majistret untuk memeriksa suspek walaupun suspek merasa tidak selesa dengan tindakan mereka.
Mungkin ada menganggap pemburu bomoh sebagai orang gila, sadis dan tidak berperikemanusiaan. Hakikatnya, mereka bekerja menggunakan logik akal dan berniat baik dengan memelihara komuniti daripada individu sebegitu. Pendek kata, ia merupakan satu perkhidmatan keselamatan dan kesejahteraan awam.
Pada masa lalu, ia boleh diterima. Tetapi dengan semua teknik dan kaedah yang dianggap sama dengan teknik soal siasat kejam agensi perisikan dan keselamatan di beberapa negara hari ini, ia masih lagi menggerunkan buat penduduk Zaman Pertengahan.
RUJUKAN
Gibson, M. (2022, 8 Mac). Witchfinding: what drove the hunters’ cruel crusade and what methods did they use?. History Extra.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih