Slogan Veni! Vidi! Vinci! (Saya datang! Saya lihat! Saya tawan!) tidak dapat lari dengan perihal Julius Caesar. Inilah mesej ringkas yang dihantar beliau kepada Senat di Rom selepas berjaya mengalahkan Raja Pharnaces dari Pontus. Ramai menganggap mesej tersebut sebagai tanda keangkuhan Caesar tetapi ada juga melihat ia bersesuaian dengan imejnya sebagai panglima tentera yang digeruni. Pada mulanya ramai menyanjungnya kerana keupayaannya untuk memimpin dan kemahiran ketenteraannya, lama-kelamaan beliau menimbulkan rasa bimbang akan kemunculannya sebagai diktator. Kerana inilah, rakan menjadi lawan dan Caesar akhirnya mati dalam keadaan mengerikan. Tetapi pembunuh-pembunuhnya tidak sedar mereka sebenarnya menyediakan Rom ke arah pemerintahan autokratik di bawah pimpinan cucu saudara merangkap anak angkatnya, Augustus.

Caesar merupakan antara pemimpin tersohor pada zamannya. Sebagai panglima tentera, beliau bertanggungjawab memimpin tentera Rom memenangi 50 pertempuran penting, sesetengahnya membantu mengukuhkan kuasa Rom sebagai sebuah empayar. Sebagai pentadbir pula, Caesar bertanggungjawab mengukuhkan kekuasaan kerajaan pusat, meletakkan had tempoh pentadbiran gabenor wilayah dan menambah bilangan majistret. Ramai rakyat Rom menyayanginya kerana membanteras kegiatan jenayah, menyediakan peluang pekerjaan melalui pelbagai projek awam, menyediakan makanan kepada penduduk miskin dan menempatkan mereka di wilayah-wilayah baru seperti Anatolia dan Greece. Caesar turut bertanggungjawab membina sebuah perpustakaan awam, membuat kalendar baru dan menyediakan permainan gladiator serta jamuan kepada rakyat.

Kebanyakan reformasi yang digerakkan beliau sememangnya meningkatkan lagi rasa kasih rakyat terhadap Caesar. Namun bagi kelompok elit terutama rakan-rakannya sendiri, ia sudah mencetuskan situasi panik lebih-lebih lagi selepas Caesar diisytiharkan sebagai diktator seumur hidup pada Februari 44 Sebelum Masihi (BC). Bagi mereka, ini petanda republik Rom yang dikenali sudah tidak wujud lagi dan dikawal oleh seorang diktator. Keangkuhannya saja sudah membuatkan ramai anggota Senat menggeleng kepala. Antara tindakan Caesar yang dikecam ramai ialah tindakannya berarak sekitar Rom selepas menewaskan musuh ketatnya, Pompey di Sepanyol. Perarakan tersebut sebenarnya tidak perlu diadakan kerana Pompey dianggap antara tokoh bertanggungjawab membawa Rom ke puncak kekuasaannya selain Caesar. Atas sebab itu sesetengah tidak mahu berdiri seperti Pontus Aquila apabila Caesar berjalan, sesuatu yang menimbulkan kemarahan diktator tersebut.

Walaupun ramai menyimpan perasaan tidak puas hati terhadap Caesar, masih ramai yang memberi penghormatan terhadapnya. Hari lahirnya dijadikan sebagai hari cuti, diberi gelaran pembebas dan komander, bulan kelahirannya Quinctilus dinamakan semula Julai sempena namanya, dinamakan sebagai bapa kerajaan Rom dan dilantik sebagai konsul selama 10 tahun. Dalam setiap perarakan, patung Caesar dibawa bersama patung-patung dewa-dewi Rom dan semua ini dilakukan tanpa bantahan beliau. Dan sekiranya Caesar datang ke Senat, beliau memakai pakaian diraja raja-raja Rom lama dan duduk di atas kerusi emas yang dibuat khas untuk beliau. Dan jika ada anggota Senat cuba menghampirinya, Caesar tidak akan bangun langsung. Kemarahan anggota Senat semakin membara apabila beliau membina istana peribadinya di Bukit Quirinal. Ramai percaya Caesar sudah hilang pertimbangan dan dianggap gila, terlalu kuat bekerja atau mengalami keletihan.

Sementara bagi sesetengah yang merana gara-gara keangkuhannya, ada juga yang mengangkatnya sebagai dewa dan ini menjadi perintis kepada kewujudan kultus yang memuja tokoh-tokoh diraja untuk tahun-tahun mendatang. Bagaimanapun, ketidakpuasan hati dalam kalangan musuh dan rakannya mula mempersoalkan mengapa Senat membenarkan penyelewengan ini berlaku. Apakah Caesar layak mendapat semua penghormatan ini? Bagi mereka, Caesar dilihat kepada raja berbanding sebagai pentadbir dan tidak lagi tunduk kepada kehendak rakyat dan Senat. Caesar sendiri sedar akan perkara ini dan cuba mengelakkan polemik berkenaan kedudukannya berterusan. Pada satu festival tahunan Lupercalia yang diadakan pada Februari, rakan karib merangkap panglima tentera Rom Mark Antony cuba meletakkan mahkota di kepada beliau tatkala memakai pakaian diraja berwarna ungu dan duduk di kerusi emasnya di Forum. Namun Caesar menolak tindakan Anthony dan berpandangan yang layak diangkat sebagai raja hanyalah Dewa Jupiter. Bagaimanapun, tidak semua melihat penolakannya itu bersifat ikhlas dan tindakan tersebut sebenarnya sudah dirancang. Bagi ahli politik dan peguam Rom, Cicero, tindakan tersebut merupakan penamat kepada kewujudan Rom.

Atas sebab itu, sekumpulan individu ini berkumpul dan merancang plot mereka terhadap Caesar. Kebanyakan mereka datang dari pelbagai latar belakang berbeza. Sesetengah daripadanya merupakan bekas penyokong Pompey seperti Brutus dan Cassius. Ada juga merupakan rakan rapat Caesar sendiri seperti Decimus yang pernah diceritakan dalam satu artikel The Patriots tidak lama dahulu. Dan ada juga merupakan kelompok idealis yang mahukan kemuliaan Republik dan tradisi lamanya dikembalikan. Kesemua individu ini mempunyai agenda berbeza-beza tetapi bersatu atas dasar menyelamatkan Republik. Dan satu-satunya cara untuk mereka berbuat demikian ialah dengan membunuh Caesar.

Dua rakan Caesar yang menyertai plot ini ialah Decimus dan Gaius Trebonius. Mereka berdua merasakan dengan jasa mereka, mereka patut layak mendapat ganjaran lebih besar. Decimus merupakan gabenor Gaul (Perancis moden) sementara Trebonius pula merupakan praetor dan konsul. Dua individu dari kelompok penyokong Pompey ialah Cassius yang pernah berkhidmat sebagai komander tentera laut Crassus dan Pompey. Sementara Brutus pula abang ipar Cassius dan ramai mengesyaki beliau sebenarnya anak luar nikah Caesar sendiri kerana pada satu ketika, beliau menjalinkan hubungan dengan ibu Brutus, Servilia. Dua penikam Caesar ialah Casca bersaudara (Publius dan Gaius Servilius) sementara Gabenor Bithynia, Lucius Tillus Cimber yang memberi isyarat kepada pembunuhan tersebut.

Bagi Brutus, ramai sebenarnya menyokong plot pembunuhan tersebut. Untuk mengelak rancangan mereka dihidu Caesar atau mana-mana individu yang rapat dengannya, mereka berkumpul secara rahsia dan dalam kumpulan kecil. Peluang mereka juga semakin cerah selepas Caesar memutuskan untuk menghentikan khidmat pengawal peribadi dari Sepanyol pada Oktober 45 BC kerana percaya tiada siapa akan menyerangnya. Beliau turut melihat ini sebagai satu langkah publisiti yang menunjukkan beliau sedia dan mudah didekati rakyat jelata. Brutus melihat sebarang serangan mesti bersifat pantas memandangkan Caesar bakal meninggalkan Rom dan menuju ke Parthia sebagai sebahagian kempen ketenteraan ke atas Empayar Parthia. Sesetengah mencadangkan memintas beliau semasa berada di Appian Way atau semasa berjalan melalui Via Sacra. Ada juga yang mencadangkan serangan dibuat semasa Caesar pergi menonton perlawanan gladiator, satu taktik yang kemudian digunakan untuk membunuh Maharaja Caligula. Selepas beberapa lama berdebat, mereka memutuskan untuk menyerang semasa beliau menghadiri persidangan Senat di Teater Pompey pada 15 Mac 44 BC (Ides of March). Dewan Senat tidak dapat digunakan ketika itu kerana sedang menjalani proses penambahbaikan. Dan untuk mengelakkan tindakan mereka dikesan ramai, mereka memilih pugio atau pisau bermata dua sepanjang lapan inci sebagai senjata pembunuhan. Ia dipilih kerana sesuai untuk pembunuhan jarak dekat dan boleh disembunyikan dalam pakaian mereka.

Pada hari kematiannya, Caesar sebenarnya sudah mendapat pelbagai petanda wujudnya satu peristiwa buruk akan berlaku pada hari itu. Kuda-kudanya yang meragut rumput di tebing Sungai Rubicon tiba-tiba menangis, seekor burung yang membawa tangkai laurel ke Teater Pompey tetapi dimakan seekor burung yang lebih besar dan seorang ahli nujum bernama Spurrina memberi amaran tentang Ides of March. Bagaimanapun, Caesar tidak mengendahkan semua itu dan memutuskan untuk pergi ke persidangan Senat. Sejarawan Rom Suetonius menulis, “Petanda-petanda ini dan keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan membuatkannya terfikir sama ada datang atau membatalkan kehadiran ke persidangan Senat.” Tetapi Decimus datang ke kediaman Caesar dan memujuknya hadir untuk tidak menghampakan penyokongnya di Senat.

Kumpulan besar orang ramai mengiringinya ke Senat. Tatkala Caesar mahu masuk ke situ, seorang lelaki bernama Artemidorus cuba memberi amaran dengan memasukkan satu kertas kecil di tangan beliau tetapi tidak diendahkannya. Mark Antony yang cuba mengikuti Caesar dihalang oleh Trebonius seperti dirancang. Selepas mengambil tempat di Senat, Cimber datang kepadanya dan menyerahkan petisyen berkenaan saudaranya yang duduk dalam buangan. Seperti biasa, Caesar tidak bangun dari tempat duduknya. Tiba-tiba Cimber memegang kain beliau dan menariknya ke belakang. Terkejut dengan tindakan Cimber, Caesar berkata, “Mengapa bersikap ganas sebegini?” Publius Servilius Casca orang pertama yang menikam disusuli oleh anggota-anggota konspirasi lain. Dalam peristiwa itu, Caesar ditikam sebanyak 23 kali dan mati ironinya di kaki patung musuhnya, Pompey. Para senator yang melihat insiden tersebut bertempiaran lari dari teater. Decimus melindungi anggota konspirasi dengan mengarahkan gladiator yang dilatihnya sebagai pengawal mereka dan ditempatkan di Bukit Capitoline sehingga keadaan kembali pulih.

Ada sesetengah musuh Caesar yang cuba mengambil kesempatan dengan mencampakkan mayatnya ke Sungai Tiber, semua gelarannya ditarik balik dan merampas hartanya. Tetapi Mark Antony berusaha mengekalkan keamanan Rom dan mahukan semua undang-undang yang diluluskan Caesar dikekalkan. Pihak tentera pada mulanya menyokong kelompok ini tetapi berubah haluan selepas melihat kekuatan penyokong Caesar yang diketuai Antony dan Augustus, cucu saudara beliau. Bagi Decimus sendiri, pendedahan wasiat Caesar membabitkan Augustus dan dirinya menaikkan lagi kemarahan orang ramai. Dalam wasiat tersebut, Augustus diangkat sebagai anak angkat beliau dan sekaligus, pewaris kepada keseluruhan hartanya. Jika Augustus mati, kesemua harta tersebut jatuh ke tangan Decimus yang dianggap Caesar seperti anak kandungnya sendiri.

Seluruh bandar Rom meratapi pemergian pemimpin kesayangan mereka itu. Mayatnya dibakar dan abunya ditempatkan di Field of Mars berhampiran makam keluarganya. Suetonius yang turut bertanggungjawab menulis buku The History of Twelve Caesars berpandangan Caesar sudah tahu plot pembunuhan tersebut dan tahu keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan itu membuka peluang kepada pembunuhan tersebut. Suetonius menulis, “Kebanyakan orang berkuasa percaya Caesar menerima cara kematiannya itu. Beliau benci kepada kematian yang bersifat berlarutan dan mahukan pengakhiran yang cepat.”

Kebanyakan anggota konspirasi berpandangan pembunuhan Caesar akan mengembalikan semula kedudukan Republik. Tetapi tidak semua berkongsi idea tersebut dan membenci kelompok pembunuh yang diketuai Brutus dan Decimus. Untuk mengelakkan lebih banyak pertumpahan darah, atas desakan Antony, Senat memberi pengampunan kepada semua pembunuh Caesar sebagai pertukaran kepada pengekalan undang-undang Caesar dan pengiktirafannya sebagai dewa. Bagaimanapun, prospek keamanan yang cuba diwujudkan tidak berlaku dan kebanyakan mereka terpaksa melarikan diri dan mati dalam keadaan menyedihkan. Suetonius menulis satu babak berkenaan semua pembunuh ini, “Semua dihukum mati dan menemui ajal dalam pelbagai cara. Ada yang mati akibat kapal karam, ada yang terbunuh di medan pertempuran, ada juga ditikam dengan pisau sama digunakan untuk membunuh Caesar tetapi bezanya ia digunakan untuk membunuh mereka.”

Bagi Augustus pula, perjalanannya sebagai Maharaja bukanlah sesuatu yang mudah. Ini kerana selepas menghapuskan semua pembunuh Caesar, beliau berhadapan pula dengan cabaran Mark Antony yang bersekutu dengan bekas kekasih Caesar, Ratu Cleopatra dari Mesir. Selepas berjaya mengalahkan mereka, barulah Augustus tidak berhadapan sebarang masalah menaiki takhta dan ditabalkan sebagai Maharaja Rom pertama. Semasa pemerintahan baginda inilah bermulanya Pax Romana, tempoh keamanan yang menyaksikan Rom berkembang maju sebagai sebuah empayar selama 200 tahun. Siapa sangka niat murni pembunuh-pembunuh Caesar sebenarnya membawa kepada kelahiran sistem autokratik yang akan menguasai Rom untuk tahun-tahun mendatang. Siapa sangka juga, sistem autokratik inilah yang mengangkat Rom di zaman kemuncaknya.

SUMBER

  1. L. Wasson, Donald. (2015). Ancient.eu. The Murder of Julius Caesar. https://www.ancient.eu/article/803/the-murder-of-julius-caesar/
  2. Oliver, Mark. (2017). Listverse. Top 10 Facts About The Men Who Killed Julius Caesar. http://listverse.com/2017/05/13/top-10-facts-about-the-men-who-killed-julius-caesar/
  3. Strauss, Barry. (2018). History.com. Julius Caesar’s Forgotten Assassin. https://www.history.com/news/julius-caesar-assassin-ides-of-march

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.