Pada 15 Mac 44 Sebelum Masihi (BC) yang dikenali orang Rom sebagai Ides of March, sekumpulan senator diketuai Brutus membunuh Julius Caesar tatkala beliau hendak menghadiri mesyuarat Senat. Caesar ditikam sebanyak 23 kali di hadapan senator lain yang ketakutan melihat insiden tersebut. Bagi kumpulan pembunuh dan saksi-saksi ini, mereka tidak sedar peristiwa ini sebenarnya merupakan hari-hari terakhir Rom sebagai sebuah republik. Dan kisah ini diabadikan dalam salah satu drama William Shakespeare. Tetapi siapa sebenarnya yang patut dipersalahkan?

Bagi peminat-peminat sastera, pasti semua tahu tatkala Caesar menghembuskan nafas terakhirnya, beliau memandang salah seorang pembunuh dan mengecamnya. Kata-kata terakhirnya ialah, “Et tu, Brute?” atau “Kau juga, Brutus?” Ini yang dinukilkan Shakespeare dalam drama The Tragedy of Julius Caesar. Dalam drama tersebut, beliau menggambarkan Brutus sebagai antara teman rapat Caesar. Hakikatnya, Brutus bukanlah teman rapat atau pengkhianat seperti yang digambarkan. Pengkhianat Caesar sebenarnya seseorang yang tidak disangka-sangka iaitu penasihat dan orang kanan Caesar, Decimus yang menjadi dalang pembunuhan diktator Rom itu, bukannya Brutus dan Gaius Cassius Longinus seperti yang didakwa Shakespeare.

Berdasarkan catatan sejarah, Decimus lebih rapat dengan Caesar berbanding Brutus dan Cassius. Malah semasa perang saudara meletus antara Caesar dengan Pompey, Decimus menyokong kempen Caesar dan menjadi orang kanan dalam kalangan orang kepercayaan beliau. Semasa perang saudara tercetus, Brutus dan Cassius menyokong Pompey dalam kempennya ke atas Caesar. Tetapi selepas diktator Rom itu semakin hampir mengatasi Pompey, kedua-duanya berpaling tadah dan menyokong Caesar. Sebagai ganjaran, mereka diberi peluang menjawat jawatan politik tetapi tidak pernah mendapat kepercayaan beliau.

Jika melihat latar belakang Decimus, beliau datang dari sebuah keluarga bangsawan Rom yang memerintah Rom dan empayar yang terbentang luas itu. Datuknya membantu mengembangkan empayar Rom sehingga ke pesisiran Lautan Atlantik. Tetapi bapanya mempunyai karier yang sederhana sementara ibunya pula lebih berminat dengan idea revolusi. Nampaknya Decimus tidak akan ke mana jika tidak kerana tawaran Caesar. Caesar menawarkan Decimus peluang untuk mengembalikan nama baik keluarganya di mata warga Rom. Dan itulah yang dilakukan beliau sebagai antara komander yang berkhidmat di bawah panji Caesar. Decimus melakukannya atas sebab meraih kesetiaan mereka, berkhidmat kepada rakyat dan meningkatkan lagi reputasinya. Semasa kempen Caesar di Gaul (Perancis moden), Decimus membantu beliau memenangi pertempuran laut di perairan Brittany dan memenangi kepungan di Alesia untuk mengesahkan kejayaan Rom di Gaul.

Dan apabila perang saudara tercetus berikutan tindakan senat mahu menarik balik semua kuasa Caesar, Decimus menjadi antara orang kepercayaan Caesar. Dan sekali lagi, beliau memenangi pertempuran laut di perairan Gaul, sekaligus mengukuhkan lagi kedudukan Caesar. Sebagai ganjaran pada kejayaan beliau, Decimus dilantik sebagai pemangku Gabenor Gaul sementara Caesar meneruskan kempennya di tempat lain. Selepas empat tahun berperang, beliau kembali ke Rom dengan Decimus di sisinya pada 45 BC. Jadi kenapa Decimus memutuskan untuk membunuh mentor dan rakan baiknya itu sembilan bulan kemudian?

Ramai orang Rom bimbang dengan kuasa Caesar yang dilihat sukar dicabar. Ini kerana Rom pada dasarnya masih lagi sebuah republik. Tetapi realitinya, Rom berada di ambang era diktator tentera. Dan dengan Caesar mengisytiharkan dirinya sebagai diktator seumur hidup, beliau boleh dianggap sebagai raja tetapi bukan pada nama. Malah beliau bertindak lebih berani dengan menjadikan Ratu Cleopatra sebagai gundiknya. Pada bulan di mana Caesar dibunuh, Cleopatra menetap di vila beliau di pinggir kota Rom sementara anaknya merupakan anak luar nikah Caesar. Bagi kelompok konservatif, ini sesuatu yang tidak boleh diterima. Ini ditambah pula kuasa perlantikan bukan lagi dalam kalangan senator atau praetor tetapi beralih arah kepada Caesar, para penasihat dan setiausahanya. Sesetengah daripada mereka ini baru saja menjadi rakyat Rom dan ada juga merupakan bekas hamba.

Sesetengah melihat pertambahan kuasa Caesar ini sebagai satu kebaikan. Mereka memuji namanya dan menganugerahkan pelbagai anugerah termasuk dijadikan sebagai dewa di mana sebuah kuil akan dibina dan para pendeta memujanya. Tetapi sesetengah pula melihat ia perlu dihalang maka perancangan untuk membunuh Caesar mula direncanakan. Alasan mereka ialah mereka mahu mengembalikan kuasa republik dan menentang impian monarki Caesar yang dilihat boleh mengancam kedudukan dan kuasa mereka. Perancangan pembunuhan tersebut mula dibuat seawal musim panas 45 BC tetapi ianya dapat dilaksanakan menjelang Februari 44 BC. Sekurang-kurangnya, 60 orang terlibat dalam operasi ini termasuk Brutus dan Decimus. Menurut Seneca, kebanyakan pembunuh ini bukanlah musuh Caesar tetapi rakan-rakan dan penyokong beliau. Jika Seneca merujuk kepada Decimus, maka ia satu kenyataan yang benar tetapi ia tidak boleh diaplikasikan kepada Brutus.

Figure 1: Brutus

Ibu Brutus merupakan bekas perempuan simpanan Caesar dan ada sejarawan termasuk Plutarch sendiri berpandangan beliau merupakan anak luar nikah Caesar. Apabila mencecah usia dewasa, Brutus menjadi antara penyokong kuat Pompey sehinggalah Pompey tewas kepada Caesar pada tahun 48 BC. Selepas ketuanya itu kalah, Brutus berpaling tadah dan memberi maklumat kepada Caesar bagaimana mahu mendapatkan Pompey selepas beliau melarikan diri dari pertempuran tersebut. Sebagai ganjaran seperti yang dinyatakan dalam perenggan sebelumnya, Caesar menawarkan jawatan tinggi dalam kerajaan pada beliau.

Tetapi pada musim sejuk 44 BC, penentang-penentang Caesar mahukan Brutus bangkit untuk mengangkat tradisi nenek moyangnya yang menghapuskan sistem monarki dan mengekalkan nilai republik beratus tahun dahulu. Selain itu, kehadiran isteri barunya, Porcia juga memarakkan lagi api anti-Caesar dalam diri Brutus. Porcia bukanlah orang lain dalam kehidupannya kerana beliau merupakan sepupu Brutus dan puteri musuh ketat Caesar, Cato. Kombinasi maruah, prinsip dan cinta yang menyebabkan Brutus menentang ketuanya itu.

Decimus pula bangkit menentang Caesar kerana merasakan dirinya dipinggirkan oleh diktator tersebut. Buktinya, beliau tidak mendapat satu perarakan untuk meraikan kejayaannya mengatasi puak Gallic. Sedangkan dua komander tentera Rom pula diberi peluang meraikan kejayaan mereka di Sepanyol dengan satu perarakan, satu tindakan yang dianggap luar biasa. Dan kuasa Decimus juga makin tercabar apabila Caesar melantik cucu saudaranya merangkap bakal maharaja Rom, Octavian sebagai orang kanan beliau untuk kempen ke atas Parthia. Sementara beliau pula diarah terus kekal di Gaul. Dan tidaklah mengejutkan pengaruh isterinya turut mempengaruhi Decimus menentang Caesar.

Bagi Cassius pula, beliau juga berasal dari keluarga bangsawan seperti Decimus. Seperti rakannya itu, Cassius bukan saja seorang tentera tetapi juga seorang cendekiawan sama seperti Brutus. Sebab beliau bangkit menentang Caesar ialah kegagalan diktator tersebut memenuhi janjinya melantik Cassius sebagai praetor urbanus di wilayah Syria. Sebaliknya, beliau melantik Brutus sebagai praetor urbanus di wilayah tersebut, sekaligus memarakkan api anti-Caesar dalam dirinya.

Kesemua anggota konspirasi merancang rapi operasi pembunuhan tersebut. Dan mereka memilih untuk membunuh sendiri Caesar, bukan mengupah pembunuh profesional. Dan untuk menunjukkan mereka ini membunuh bukan kerana atas sebab jahat, senjata yang dipilih juga dianggap simbolik dan praktikal. Tidak seperti apa yang dibayangkan, mereka memilih pugio, sejenis pisau belati yang digunakan oleh legion tentera Rom yang boleh disembunyikan dalam pakaian mereka dan boleh digunakan dalam jarak dekat. Mereka tidak memilih sicae, sejenis pisau pendek melengkung kerana pisau tersebut selalu digunakan oleh golongan penjenayah ketika itu.

Decimus turut memilih Dewan Senat Pompey sebagai lokasi pembunuhan rakannya itu atas satu sebab, menjamin keselamatan anggota konspirasi yang terlibat. Dewan senat ini merupakan sebuah kompleks besar terdiri daripada dewan senat, pentas teater, sebuah taman, serambi anjung yang tertutup, kedai-kedai dan pejabat-pejabat. Dan pada hari pembunuhan itu juga, pertarungan gladiator turut diadakan di ruang teater sekaligus membolehkan Decimus meletakkan para gladiatornya berhampiran dewan tersebut untuk melindungi rakan-rakan konspirasi lain. Ironinya, dewan tersebut dibina oleh musuh ketat Caesar, Pompey. Siapa sangka dewan ini menjadi saksi kepada kematian Caesar.

Selalunya, apabila Caesar menghadiri senat, beliau akan diiringi oleh seorang pengawal. Tetapi untuk menampakkan dirinya mudah didekati rakyat, khidmat pengawal dihentikan. Dan apabila Caesar memasuki senat, hanya senator saja dibenarkan masuk semasa mesyuarat berlangsung sekaligus menyebabkan mana-mana individu yang berkait dengan Caesar terpaksa menanti di luar. Ini menjadikan kedudukan Caesar terdedah tetapi mereka juga sedar kebanyakan senator dilantik merupakan pilihan beliau termasuk komander tentera. Sekiranya Caesar diserang, mereka pasti akan membantu beliau dan memaksa kumpulan pembunuh ini melarikan diri. Justeru sebagai tindak balas, kumpulan ini perlu menyerang dengan pantas, mengasingkan beliau dan membunuhnya. Sebelum Caesar duduk dalam tribunal, beberapa pembunuh akan berdiri di belakang kerusi sementara yang lain akan mengepungnya untuk menarik perhatian beliau. Hakikatnya, taktik itu sebenarnya mewujudkan perimeter pembunuhan.

Pada pagi peristiwa tragis itu berlaku, Caesar memutuskan untuk tidak menghadiri mesyuarat senat berikutan khabar angin wujud konspirasi terhadap beliau. Bagaimanapun, ia tidaklah sedramatik seperti yang digambarkan Shakespeare di mana ahli nujum memberitahu Caesar, “Hati-hati dengan Ides of March!” Amaran tersebut sebenarnya sudah diberi sejak dari 15 Februari hingga 15 Mac 44 BC tetapi ia tetap berlaku juga. Dan semua ini berkait kembali kepada Decimus. Dengan statusnya sebagai orang kepercayaan Caesar, Decimus datang ke kediaman Caesar dan memujuk beliau menghadiri mesyuarat tersebut walaupun ia dibimbangi oleh isterinya, Calpurnia.

Dan seperti yang dirancang mengikut senario yang digambarkan, bermulalah peristiwa tragis Ides of March. Tillius Cimber, seorang askar yang disukai Caesar memegang tangan beliau dan menarik toganya. Ia sebenarnya isyarat kepada pembunuhan bermula. Serangan pertama dimulakan oleh Publius Servilius Casca. Berang dengan tindakan Cimber, Caesar berteriak, “Mengapa, ini satu keganasan.” Selepas itu, beliau menyeranah Cimber tetapi tidak pernah mengungkapkan frasa, “Et tu, Brute?” atau “Kau juga, Brutus?” seperti diperkatakan Shakespeare. Sebaliknya, sesetengah sejarawan berpandangan apabila Caesar memandang Brutus, beliau mengungkapkan ayat bahasa Yunani, “Kau juga, anakku.” Tetapi ramai meragui kesahihan kenyataan tersebut.

Caesar cuba melawan semula dengan menikam Casca dengan stilus, sejenis alat menulis yang kecil dan tajam serta berjaya bangun semula. Dua penyokong beliau, Lucius Marcius Censorinus dan Gaius Calvisius Sabinus cuba menyelamatkan Caesar tetapi dihalang oleh anggota konspirasi dan memaksa mereka melarikan diri. Sementara di luar pula, seorang anggota konspirasi bernama Trebonius melengahkan Mark Antony dengan berbual bersamanya di luar Senat. Decimus tahu Antony seorang askar veteran yang kuat, berbahaya dan setia kepada Caesar. Sekiranya Antony berjaya masuk dalam Senat, pasti beliau akan bersama Caesar dalam tribunal dan membantunya semasa diserang.

Dengan Antony terhalang oleh Trebonius, Caesar tahu hayatnya sudah berada di penghujung. Pada hari itu, Caesar ditikam 23 kali dan sebelum menghembuskan nafas terakhirnya, beliau mengambil toganya dan menutup mukanya. Dan pada ketika itu juga, Caesar mati di kaki tugu musuh ketatnya, Pompey. Selepas Caesar dibunuh, Decimus memberi perlindungan keselamatan kepada mereka untuk hari-hari berikutnya. Pada mulanya, ramai yang bergembira dengan kematian Caesar tetapi suasana itu berubah apabila melihat bilangan penyokong beliau yang ramai. Decimus sendiri dikecam ramai kerana menggunakan kedudukannya sebagai orang kanan Caesar untuk membunuh diktator itu sekaligus menjadikannya sasaran utama penyokong Caesar. Dan lebih buruk dalam wasiatnya, Caesar turut menamakan Decimus sebagai pengganti bersama Octavian. Jika Octavian mati sebelum Caesar, pasti semua kekayaan beliau diwarisi oleh Decimus.

Untuk mengukuhkan kedudukannya, Decimus mengetuai tenteranya di utara Itali untuk mempertahankan motif republik yang diperjuangkannya. Walaupun pada mulanya beliau bermula dengan baik, pada akhirnya Decimus diperdayakan oleh Octavian. Ini kerana setahun selepas insiden tersebut, Decimus diarahkan senat untuk menyerahkan wilayah Itali-Gaul iaitu Gallia Cisalpina kepada Antony tetapi tidak diendahkannya. Akibatnya, Antony mengepung kota Mutina yang diduduki Decimus dengan harapan ia memaksa beliau keluar dari kota tersebut. Namun kepungan itu tidak bertahan lama apabila Antony diserang oleh angkatan tentera Octavian, memaksanya berundur kerana tidak mahu ulangan kemenangan Caesar ke atas Vercingetorix di Gaul berulang kepadanya.

Selepas kepungan berakhir, Decimus mengucapkan terima kasih pada Octavian tetapi tidak dilayan oleh beliau. Ini kerana Octavian menegaskan, beliau datang untuk menentang Antony dan bukan membantu pembunuh-pembunuh datuk saudaranya itu.  Decimus kemudian diberi arahan memerangi Antony tetapi kebanyakan askarnya berpaling tadah dan menyokong Octavian. Menyedari situasinya seperti telur di hujung tanduk, Decimus cuba melarikan diri ke Macedonia untuk bergabung dengan Brutus dan Cassius. Tetapi sebelum sempat beliau tiba di sana, Decimus dibunuh oleh seorang ketua puak Gallic yang setia kepada Antony.

Bagi Brutus dan Cassius, pengakhiran mereka amat tragis. Selepas Cassius dikalahkan Antony di Philippi, Greece, beliau membunuh diri pada Oktober 42 BC tanpa mengetahui Brutus berjaya mengalahkan Octavian. Selepas mendengar berita kematian Cassius, Brutus menggelarnya ‘Orang Rom Terakhir’ dan dikebumikan di Thasos. Sementara Brutus ditewaskan pada pertempuran kedua Philippi oleh Antony, Brutus membunuh diri dengan melanggar pedang yang dipegang oleh dua askarnya sendiri. Dan pada saat beliau menghembuskan nafas terakhirnya, Brutus menyumpah Antony, “Hukum, wahai Zeus, penulis penyakit-penyakit ini (Antony).” Bila mendengar perkhabaran Brutus membunuh diri, isterinya Porcia membunuh diri tetapi ramai termasuk Plutarch mempertikai sama ada berita tersebut benar atau tidak.

Selepas berjaya mengalahkan pembunuh-pembunuh Caesar, Octavian membentuk pakatan dengan Antony dan Lepidus untuk memerintah empayar Rom dengan Octavian memerintah kawasan Barat, Antony (Timur) dan Lepidus (Afrika). Lepidus tidak memainkan peranan utama dalam pakatan itu dan disingkirkan pada 37 BC. Sementara Antony pula mula menjalin hubungan istimewa dengan Cleopatra dan ianya terus berlaku walaupun selepas senat memaksanya berkahwin dengan adik Octavian, Octavia Minor. Selepas Octavia diceraikan pada 32 BC, Octavian mengisytiharkan perang ke atas Cleopatra. Pada 31 BC, angkatan tentera laut Octavian diketuai Agrippa berjaya mengalahkan angkatan tentera laut Antony dan Cleopatra. Kedua-duanya kemudian membunuh diri, sekaligus membuka ruang kepada Octavian atau nama barunya, Augustus untuk menjadi maharaja Rom pertama tanpa perlu rasa takut.

Satu soalan yang tinggal, mengapa Brutus saja yang diangkat dan bukan Decimus? Jawapannya, Brutus mahu memonopoli publisiti dari pembunuhan tersebut termasuklah membuat duit syiling baru untuk memperingati peristiwa tersebut. Ahli keluarga dan rakan-rakannya memperbaiki imej Brutus dalam bentuk penerbitan selepas kematiannya. Generasi-generasi Rom yang terkemudian mengagumi beliau dan ini menjadi punca mengapa Shakespeare menulis eulogi kepada Brutus sebagai orang Rom paling mulia dalam kalangan mereka. Bagi Decimus pula, beliau bukannya sasterawan seperti Brutus tetapi peranannya itu diingati menerusi koresponden surat antara Cicero dengan beliau.

SUMBER

  1. Oliver, Mark. (2017). Listverse. Top 10 Facts About The Men Who Killed Julius Caesar. http://listverse.com/2017/05/13/top-10-facts-about-the-men-who-killed-julius-caesar/
  2. Strauss, Barry. (2018). History Extra. The death of Caesar: do we know the whole story?. https://www.historyextra.com/period/roman/the-death-of-caesar-do-we-know-the-whole-story/
  3. Strauss, Barry. (2018). History. Julius Caesar’s Forgotten Assassin. https://www.history.com/news/julius-caesar-assassin-ides-of-march
  4. History.com. Augustus. https://www.history.com/topics/ancient-history/emperor-augustus
  5. History.com. This day in history. Brutus commits suicide. https://www.history.com/this-day-in-history/brutus-commits-suicide

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.