Pada zaman ini, setiap kali menjelang hari raya, duit raya merupakan antara perkara yang memerlukan peruntukan khas. Duit raya diberikan kepada kanak-kanak sama ada keluarga sendiri ataupun anak rakan-taulan.
Senario duit raya ini memperlihatkan satu tanggapan kepada kita khasnya kepada golongan kanak-kanak bahawa hari raya kurang meriah jika tidak ada duit raya. Bagi golongan yang memberi pula, sejumlah wang memang sudah diperuntukkan untuk pemberian duit raya.
Anak sendiri, anak buah daripada sebelah suami, daripada sebelah isteri, anak-anak saudara sepupu, dua pupu, tiga pupu, dan kanak-kanak yang lain merupakan senarai penerima duit raya. Jumlah yang diberi bergantung kepada kemampuan si pemberi.
Kanak-kanak zaman 80-an dan 90-an belum begitu mengutamakan duit raya. Kanak-kanak pada zaman berkunjung ke rumah jiran tetangga atau saudara-mara dengan penuh kegembiraan berhari raya. Satu keseronokan jalan bersama kawan-kawan dari satu rumah ke satu rumah menikmati pelbagai juadah tanpa memahatkan dalam minda dan hati akan menerima duit raya.
Berbeza dengan kanak-kanak zaman ini, bertandang ke rumah keluarga atau jiran atau sahabat ibu bapa, dalam hati mereka mengharapkan duit raya. Jika tuan rumah tidak memberikan duit raya dan menggantikan duit raya dengan satu uncang kecil yang berisi gula-gula atau coklat, jelas kehampaan terpapar pada wajah cilik mereka. Terdapat juga segelintir kanak-kanak yang berani mengeluh atau merungut di hadapan tuan rumah jika mereka dapati bahawa duit yang tertdapat di dalam sampul hanya sedikit jumlahnya.
Adakah pemberian duit raya ini wajib setiap kali menjelang hari raya? Konsep memberi duit raya kepada ibu bapa, kaum kerabat, serta kanak-kanak pada 1 Syawal dikatakan sebagai menepati perbuatan sedekah di dalam Islam.
Bahkan perbuatan sedekah kepada ibu bapa termasuk di antara ibadah yang sangat menguntungkan kerana amalan tersebut menghasilkan tiga bentuk pahala amalan soleh iaitu birrul walidain (berbuat baik kepada dua ibubapa), mengeratkan silaturahim, serta pahala bersedekah itu sendiri.
Demikianlah juga jika ia diberikan kepada kaum kerabat, sanak saudara dan umpamanya. Ia turut mendapat dua pahala iaitu pahala bersedekah dan juga pahala menghubungkan silaturahim. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Sa’d bin Abi Waqqas R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :
إِنَّكَ لَنْ تُنْفِقَ نَفَقَةً تَبْتَغِي بِهَا وَجْهَ اللَّهِ إِلَّا أُجِرْتَ عَلَيْهَا حَتَّى مَا تَجْعَلُ فِي فَمِ امْرَأَتِكَ
Maksudnya : Sesungguhnya kamu tidaklah membelanjakan nafkah yang kamu harapkan redha Allah dengannya (nafkah tersebut) melainkan kamu akan diberikan ganjaran ke atasnya, sekalipun jua nafkah yang kamu jadikannya di dalam mulut isteri kamu.
Riwayat Al-Bukhari (56)
Bagi segelintir masyarakat bukan Islam khasnya masyarakat bukan Melayu, ada yang beranggapan bahawa amalan duit raya merupakan saduran daripada budaya ‘hong bao’ atau angpau atau sampul merah yang diamalkan oleh masyarakat Cina setiap kali perayaan Tahun Baharu Cina.
Bezanya, dalam masyarakat Cina pula, pemberian angpau hanya boleh dilakukan oleh mereka yang sudah berkahwin manakala penerima angpau bukan sahaja terdiri daripada kanak-kanak tetapi juga golongan dewasa yang belum berkahwin tidak kira berapa pun usianya. Atas sebab ini, ada juga segelintir masyarakat Islam yang mengatakan bahawa amalan duit raya merupakan satu tasyabbuh.
Berkenaan persoalan tasyabbuh ini pernah dijawab oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dengan menjelaskan bahawa tidak terdapat sebarang unsur tasyabbuh di antara keduanya. Ini kerana pemberian duit raya ada asasnya di sisi Islam iaitu termasuk dalam kategori sedekah yang sunat hukumnya. Justeru, tidak timbul isu tasyabbuh di sini. Adapun berkenaan penggunaan sampul raya, maka ia kembali kepada hukum asal sesuatu sebagaimana yang dinyatakan dalam kaedah fekah ;
الأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَة
Maksudnya: Hukum asal bagi setiap sesuatu (yang bukan ibadah) adalah harus.
Justeru, amalan pemberian duit raya kepada kaum keluarga, serta jiran tetangga yang hadir berkunjung ke rumah pada 1 Syawal adalah HARUS hukumnya. Hal ini bertepatan dengan usaha menzahirkan syiar Islam menerusi kegembiraan memberi dan menerima sedekah, mengeratkan silaturahim, serta budaya kunjung-mengunjung. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa garis panduan dalam pemberian duit raya iaitu :
- Pemberian duit raya yang diberikan tidaklah dilakukan secara takalluf (memaksa diri) untuk memberi dengan jumlah yang besar.
- Golongan yang menerimanya perlulah bersyukur dengan kadar yang diterima dan tidak diungkit-ungkit. Sebaliknya bersyukur dan mendoakan kebaikan untuk pemberi.
- Hendaklah diutamakan pemberian kepada golongan fakir, miskin, dan mereka yang memerlukan. Ini kerana, asnaf untuk sedekah yang wajib iaitu zakat, adalah merupakan asnaf yang sama untuk kita beri keutamaan semasa memberikan sedekah sunat.
Walau apa sekali pun, pemberian duit raya mempunyai sisi baik dan sisi tidak baik. Terdapat segelintir pihak yang beranggapan bahawa pemberian duit raya ini harus diberhentikan kerana ada pihak yang berasa terbeban untuk menyediakannya. Zaman dahulu kanak-kanak menerima dan kelihatan sangat gembira apabila kita hulurkan 50 sen.
Akan tetapi keadaan ini tidak dapat kita lihat sekarang kerana kanak-kanak berani merungut dan mengeluh di hadapan tuan rumah, “50 sen je?” Secara tidak langsung, keadaan ini menyemai ketidaksopanan dalam diri kanak-kanak. Terdapat juga keadaan yang kita lihat ibu itu sendiri yang bertanyakan jumlah duit dalam sampul yang diterima oleh anaknya lalu mengeluh apabila jumlah kecil padahal mereka baru hendak memakai kasut dan masih berada di hadapan pintu rumah orang.
Selain itu, disebabkan duit raya ada kanak-kanak yang mengabaikan keselamatan. Mereka berjalan dalam kumpulan dan bertandang ke rumah orang yang jauh dari rumah mereka. Rumah orang yang tidak dikenali. Sikap ini membolehkan mereka terdedah kepada penculikan atau kemalangan. Adakalanya, ada kanak-kanak yang berani memberitahu tuan rumah agar tidak perlu bersusah payah menghidangkan juadah kerana mereka masih kenyang dan tidak dahaga. Ayat itu merupakan ayat tersirat bagi kanak-kanak yang meminta duit raya daripada tuan rumah.
Dalam hal ini, ibu bapa seharusnya mengingatkan anak-anak agar tidak bertandang ke rumah orang yang tidak dikenali. Ibu bapa juga seharusnya menasihati anak-anak agar tidak mengeluh atau merungut terhadap jumlah duit raya yang diterima. Ajari anak itu tentang nilai kesyukuran. Bagi anak-anak yang sudah berusia 8 hingga 10 tahun seharusnya sudah boleh mengerti jika kita nasihatkan bahawa bukan semua orang mampu memberikan duit raya. Jika ada dilhulurkan, terima dengan syukur dan jika tidak ada, usah meminta.
Walau bagaimanapun, duit raya mampu memupuk nilai murni dalam diri anak-anak. Hal ini kerana sebelum menerima duit raya, anak-anak akan menyalami tuan rumah terlebih dahulu. Budaya bersalam ini merupakan satu cara menunjukkan rasa hormat kanak-kanak terhadap orang yang lebih tua di samping mengeratkan lagi hubungan mereka yang bersalam.
Akan tetapi, ibu bapa haruslah mengajar anak-anak tentang mahram dan menekankan hanya yang mahram sahaja dibenarkan bersalam, yang bukan mahram, adalah haram pula untuk bersalam. Justeru, pemberian duit raya sempena Aidilfitri ini merupakan satu budaya yang mempunyai baik buruknya. Tiada masalah untuk memberi duit raya sekiranya niat bersedekah, namun yang tidak bagus apabila ia dianggap sebagai perkara wajib dan paling utama setiap kali menjelang Aidilfitri.
RUJUKAN:
AL-KAFI #637 : HUKUM MEMBERIKAN DUIT RAYA. http://muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/777-hukum-memberikan-duit-raya
Budaya Pemberian Duit Raya. https://pnc.ump.edu.my/index.php/ms/aktiviti/artikel/43-umum/157-budaya-pemberian-duit-raya
‘Ole-ole’ hari raya. https://www.hmetro.com.my/hati/2018/06/348502/ole-ole-hari-raya
Duit raya, bersalam eratkan silaturahim. https://www.bharian.com.my/node/68151
Pemberian duit raya bagai dipaksa. http://www.utusan.com.my/rencana/utama/pemberian-duit-raya-bagai-dipaksa-1.351474
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih