Umum mengetahui bahawa rempah merupakan antara bahan asli yang begitu besar perananya dalam mempengaruhi perjalanan sejarah dunia. Hal ini dikatakan demikian kerana, bahan asli tersebut mempunyai kegunaan yang amat meluas, antaranya adalah untuk menyedapkan masakan, menyembuhkan penyakit serta bermacam lagi kegunaan lain.
Sejak abad ke-17, Kepulauan Nusantara telah menjadi wilayah tumpuan oleh penjajah-penjajah barat bagi mendapatkan bahan ini. Hal ini menyebabkan, penjajah-penjajah barat seperti Portugis, Belanda dan Inggeris sanggup berkorban berbulan-bulan berlumba dengan berlayar meredah gelora lautan semata-mata ingin merebut bahan yang berharga lagi eksotik itu. Impaknya, perebutan bagi mendapatkan rempah ini telah mengakibatkan tercetusnya siri-siri perbalahan dan konflik sesama mereka.
Catatan sejarah telah menukilkan bahawa juara kepada perlumbaan rempah ini tidak lain tidak bukan ialah Belanda (ada juga pendapat lain mengatakan Portugis dan Inggeris). Hal ini dibuktikan menerusi kejayaan mereka dalam mencengkam sebahagian besar Kepulauan Nusantara yang merupakan pengeluar terbesar rempah pada ketika itu.
Seterusnya, antara peristiwa yang tercetus ekoran kerakusan kuasa-kuasa Eropah sewaktu berebut untuk menguasai perdagangan rempah adalah peristiwa pembantaian Amboyna. Amboyna merupakan sebutan dalam bahasa Inggeris lama yang merujuk kepada Pulau Ambon yang merupakan antara pulau yang membentuk gugusan pulau yang dikenali sebagai Kepulauan Maluku yang merupakan sebahagian daripada wilayah Indonesia pada hari ini.
Pembantaian Amboyna pula merupakan terma yang merujuk kepada sebuah peristiwa yang berlaku pada tahun 1623 di Pulau Amboyna. Peristiwa ini secara ringkasnya merupakan satu tragedi penyeksaan dan pembunuhan sekitar 20 orang mangsa yang didalangi oleh Belanda. Antara 20 orang yang terbunuh itu termasuklah warga Inggeris, warga Jepun serta seorang Portugis. Tragedi pembantaian ini dipercayai tercetus ekoran paranoid Belanda ke atas Inggeris pada waktu itu.
Latar Belakang
Menurut catatan sejarah, Portugis merupakan penjajah Eropah yang pertama tiba di Pulau Amboyna iaitu pada tahun 1512, setahun selepas mereka menakluk Kota Melaka. Malangnya, Portugis gagal mengawal dan menguasai serta menegakkan kekuasaan mereka ke atas pulau tersebut. Lalu pada tahun 1605, Portugis kemudiaannya telah dihalau keluar oleh Belanda dengan bantuan pemimpin tempatan. Bermula saat itulah Belanda mula menggenggam kemas Pulau Amboyna sehinggalah ia dirampas oleh Jepun sewaktu Perang Dunia Kedua.
Tidak dapat dinafikan bahawa penjajah serta sifat ketamakan seolah-olah merupakan gabungan dua unsur yang tidak dapat dipisahkan. Hal ini juga terpakai ke atas penjajah dari Belanda, perkara ini tampak jelas ekoran usaha-usaha yang dilakukan mereka untuk mengekalkan monopoli Belanda dalam perdagangan rempah di Pulau Amboyna serta Kepulauan Nusantara pada waktu itu.
Hal ini dapat dibuktikan apabila Belanda melarang penanaman pokok cengkih di semua pulau-pulau lain yang berada di bawah kekuasaan mereka. Menurut Belanda, hanya Pulau Amboyna sahaja yang boleh keluarkan cengkih, pulau lain tak boleh. Selain itu, Belanda juga melaksanakan dasar perhambaan ke atas penduduk pulau Amboyna sebagai salah satu langkah untuk memaksimukan hasil pengeluaran Belanda, sesiapa yang enggan tunduk dengan Belanda akan dihukum. Disamping itu, Belanda juga dikatakan tidak mahu berkompromi dengan mana-mana kuasa Eropah yang berhajat untuk menduduki pulau berkenaan.
Walaubagaimanapun, usaha mereka untuk mengekalkan monopoli tercabar dengan kehadiran orang Inggeris yang dilihat turut berminat untuk merompak kekayaan pulau itu. Sebelum ini, Inggeris pernah menyerang Belanda ketika di Pulau Jawa, namun serangan tersebut berjaya dipatahkan. Oleh yang demikian, kehadiran Inggeris di Pulau Amboyna sedikit sebanyak telah menggetarkan lutut Belanda.
Pada awalnya, Inggeris dan Belanda bersetuju untuk mengelak dari sebarang konflik antara mereka. Persetujuan itu telah diterjemahkan melalui sebuah perjanjian yang dimeterai bersama pada tahun 1619. Di dalam perjanjian tersebut, terdapat isi yang menyebut bahawa Inggeris dan Belanda akan berkongsi hasil pengeluaran rempah di Pulau Amboyna dan pulau-pulau lain disekitarnya. Walaubagaimanapun, perjanjian tersebut dilihat seolah-olah gagal meredakan api ketegangan di antara dua kuasa Eropah ini malah mereka dikatakan saling mencurigai antara satu sama lain.
Kisah bermula
Pada Februari 1623, seorang pengawal berbangsa Jepun telah ditangkap di atas dakwaan menjalankan pengintipan di salah sebuah kubu pihak Belanda di Pulau Amboyna. Perlu diketahui bahawa Belanda juga mengambil pengawal-pengawal dari Jepun untuk berkhidmat bersama mereka. Kisahnya dikatakan bermula apabila, pengawal berbangsa Jepun itu bertanyakan perihal jadual pengawalan yang dilakukan di kubu tersebut kepada pihak Belanda.
Lantas tidak semena-mena dia ditahan kerana bertanyakan soalan itu. Barangkali soalan itu diaju memandangkan dia merupakan seorang pengawal di kubu itu, jadinya dia berhak untuk mengambil tahu tentang tempat kerja dia. Namun, disebabkan paranoid yang sedang mengaburi Belanda pada waktu itu, mereka terus menangkap pengawal itu. Belanda percaya yang pengawal berbangsa Jepun itu sedang berkomplot dengan Inggeris.
Kemudian, pengawal itu disoal siasat dengan kaedah penyeksaan bagi mendapatkan pengakuan daripadanya. Pihak Belanda dikatakan telah menyeksa pengawal berbangsa Jepun itu dengan mengikat kaki dan tangannya pada bingkai pintu dengan posisi terbuka lalu dinyalakan lilin dibawah kedua-dua belah ketiaknya. Selain itu, Belanda juga menggunakan kaedah penyeksaan ‘waterboard’ sehingga melemaskan tahanan mereka itu.
Akhirnya, selepas diseksa dengan kejam, pengawal itupun buatlah satu pengakuan palsu seperti yang diharapkan oleh pihak Belanda. Pengakuan palsu itu mendedahkan kononnya pengawal berbangsa Jepun itu sedang berkomplot dengan beberapa pengawal Jepun yang lain bersama-sama dengan Inggeris ingin melancarkan sebuah rampasan kuasa bagi menggulingkan pentadbiran Belanda di Pulau Amboyat.
Dengan menjadika pengakuan palsu tadi sebagai bukti, pihak Belanda terus menahan beberapa orang Inggeris yang dipercayai turut terlibat dalam konspirasi khayalan Belanda itu. Orang-orang Inggeris yang ditahan itu dikatakan turut menerima seksaan yang serupa sepertimana pengawal berbangsa Jepun itu tadi. Adapun selepas selesai menyoal siasat, Pihak Belanda telah bertindak membebaskan sebahagian daripada mereka. Namun bagi yang masih ditahan, nasib yang amat buruk bakal menimpa mereka.
Akhirnya pada Pada 9 Mac 1623 baki-baki tahanan yang masih ditahan telah didakwa bersalah kerana terlibat dalam konspirasi palsu hasil daripada sifat paranoid Belanda. Mereka yang bersalah terdiri daripada sepuluh warga Inggeris, Sembilan warga Jepun dan seorang daripada mereka ialah berbangsa portugis. Kesemua mereka telah dijatuhi hukuman pancung.
Pada 1623, iaitu setelah setahun lebih kes ini berlalu, berita mengenai pembantaian ini telah sampai ke England. Hal ini susulan aduan yang dibuat oleh bekas tahanan yang dibebaskan tadi, mereka mendakwa bahawa Belanda telah menghukum orang-orang yang tidak bersalah. Belanda menghukum mereka dengan bersandarkan pengakuan palsu yang diperoleh hasil daripada seksaan yang dikenakan sewaktu menyoal siasat mereka.
Bahkan kes-kes yang didakwa itu pun merupakan sekadar fantasi yang lahir daripada paranoid mereka terhadap Inggeris. Impaknya, Tragedi pembantaian ini kemudiannya dijadikan antara asbab untuk ‘meghalalkan’ Inggeris melancarkan perang ke atas Belanda antara 1652 sehingga 1654. Dalam peperangan ini, Inggeris seolah-olah dapat membalas kematian warganya dipancung di Amboyat puluhan tahun yang lalu berikutan kejayaan mengalahkan Belanda.
RUJUKAN:
Barrow, I. J. (2017). The East India Company, 1600/1858 A short history with documents. Hackett Publishing Company, Inc.
Britannica, T. Editors of Encyclopaedia (2016, January 6). Amboina Massacre. Encyclopedia Britannica.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih