Kejatuhan Turki Uthmaniyah diisytiharkan tumbang secara rasmi pada 3 Mac 1924 apabila institusi Khalifah dijatuhkan. Ketika itu, Turki dijenamakan sebagai sebuah negara republik dengan polisi negara yang berubah kepada mengadaptasikan sistem yang lebih terbuka.
Ini termasuklah sistem yang lebih liberal dan mengamalkan dasar-dasar bersifat sekular kerana agama ketika itu tidak lagi menjadi epistemologi yang mendasari polisi pentadbiran negara.
Tatkala itu, muncul satu sosok yang telah mengubah kerajaan 360 darjah dalam segenap bidang bagi menyokong usahanya untuk memodenisasikan Turki. Mustafa Kamal Ataturk turut bertindak mengendoskan dasar-dasar sekular bagi mencapai matlamat tersebut.
Pembinaan negara Turki moden semasa pemerintahan Ataturk (1923-1938) turut disusuli dengan penguatkuasaan di atas nama pemodenan. Proses sekularisasi dan pembaratan telah dilakukan di dalam pelbagai aspek.
Ini termasuklah dalam bidang perundangan, pendidikan, pentadbiran dan sosial. Tradisi Uthmaniyyah yang bercirikan Islam cuba dilenyapkan secara habis-habisan dalam usaha pembinaan negara Turki moden kerana Islam dianggap membawa kemunduran kepada bangsa Turki.
Pembaharuan demi pembaharuan yang dilakukan telah memberi kesan yang sangat besar kepada Umat Islam ketika itu. Tidak ketinggalan, pembaharuan ini telah menyebabkan amalan-amalan dan budaya Islam dilupakan serta digantikan dengan budaya masyarakat barat yang jauh daripada nilai-nilai Islam.
Kod Pemakaian: Pemakaian Topi Pada tahun 1925
Motif utama dalam perubahan ini ialah bagi mengubah penampilan masyarakat Turki agar tidak kelihatan ketinggalan zaman serta seiring dengan fesyen barat yang dianggap terkini. Memakai pakaian yang dianjurkan Islam atau bertudung dilihat sebagai “sesuatu yang pelik” oleh Mustafa Kamal.
Undang-undang ini turut melarang masyarakat Turki daripada memakai tarbus, fez (kopiah bulat berwarna merah) atau serban yang menjadi simbol “ketinggalan zaman” di mata masyarakat Barat.
Pemakaian ini bagi Mustafa Kamal boleh menyebabkan masyarakat Turki ketinggalan dari sudut etika pemakaian. Oleh kerana itu, Bowler atau topi barat dipakai oleh kaum lelaki sebagai ganti kepada serban dan fez serta dijadikan pakaian rasmi kerajaan.
Ini penting bagi melambangkan negara republik baru namun sama sekali bertentangan dengan ketamadunan dan kebudayaan Islam.
Tambah menyedihkan ialah memakai pakaian yang dianjurkan oleh Islam adalah satu kesalahan dan jenayah di zaman ini. Jika anda memakainya di era tersebut, anda boleh diberhentikan daripada perkhidmatan kerajaan serta-merta.
Pembaharuan Undang-Undang: Menerima Kod Undang-Undang Switzerland pada tahun 1926
Kod undang-undang sivil Switzerland telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Turki dengan sedikit pengubahsuaian dan diterima pakai sebagai undang-undang sivil yang baru bagi Republik Turki pada 17 Februari 1926.
Kod undang-undang ini dilihat sebagai “kod sivil yang terbaru, terbaik, dan paling demokratik” di antara kod undang-undang yang wujud ketika itu pada pandangan Mustafa Kamal.
Di samping Kod Undang-Undang Sivil Swiss, Mustafa Kamal turut menerima kod penal yang baru (New Penal Code) berdasarkan kod undang-undang Itali dan Jerman pada tahun yang sama. Usaha pembaharuan ini adalah untuk memansuhkan Undang-undang Islam daripada mempunyai kuasa dan autoriti dalam perundangan negara
Bagi Mustafa Kamal, mewujudkan negara sekular adalah lebih mudah untuk direalisasikan dengan menghapuskan Islam dalam perundangan negara. Mustafa Kamal percaya bahawa pemodenan dan sekularisasi negara akan tercapai dengan menjadikan penolakan terhadap undang-undang Islam sebagai keutamaan.
Undang-undang sivil telah memperuntukkan persamaan hak antara lelaki dan perempuan. Ini termasuklah persamaan hak dalam harta dan perkahwinan serta wanita turut mempunyai hak dalam penceraian.
Jika anda berada di zaman ini, lupakan hasrat untuk berpoligami kerana ianya turut diharamkan.
Penguatkuasaan undang-undang ini telah menyebabkan penentangan sebahagian rakyat terhadap dasar baru. Meskipun begitu, Mustafa Kamal telah mengerakkan tenteranya untuk menangkap rakyat yang bangkit melawan dasar baru kerajaannya atas nama pemodenan.
Penghapusan Institusi Islam dan peranan Ulama
Sebagaimana diketahui umum, selama berzaman dibawah pemerintahan Kerajaan Uthmaniyyah, golongan ulama telah mendapat tempat dalam pemerintahan negara. Mereka turut menjadi pakar rujuk dalam hal ehwal agama, perundangan, Pendidikan dan lain-lain lagi.
Penghormatan yang sangat besar diberikan apabila mereka turut menjadi penasihat kerajaan termasuklah dalam bidang kemasyarakatan dan ketenteraan.
Jawatan-jawatan penting turut diwujudkan seperti Qadi, Mufti atau Syeikhul Islam dan yang paling penting Syariah yang diangkat sebagai undang-undang rasmi kerajaan.
Ini menjadi faktor kewujudan mahkamah yang mengendalikan permasalahan rakyat berpandukan Islam. Manakala institusi zakat dan kharj turut diwujudkan bagi memastikan kebajikan dan keadilan sosial masyarakat terjamin.
Bermula era pemerintahan Mustafa Kamal, beliau telah mengorak langkah dengan menghapuskan jawatan-jawatan ulama seperti Mufti atau Syeikhul Islam. Institusi berunsurkan keagamaan kebanyakkannya turut dihapuskan.
Mahkamah Syariah digantikan dengan Badan Kehakiman Sivil Turki yang disesuaikan dengan Sistem Perundangan Sivil Swiss yang diwujudkan. Penghapusan institusi-institusi rasmi ini memberi impak besar kepada amalan dan nilai agama dalam kalangan masyarakatTurki.
Walau bagaimanapun, gelombang sekularisasi dan pembaratan kurang memberi kesan dan pengaruh terhadap masyarakat di luar bandar. Ini berlaku dek kerana mereka terus mengamalkan tradisi Islam dalam pelbagai aspek kehidupan dan pada masa yang sama mengasimilasikan tradisi Islam dengan peraturan sivil,
Mohammad Khalis Ibrahim & Mohd Roslan Mohd Nor menyatakan bahawa masyarakat di luar bandar turut mengamalkan kesufian yang merupakan tradisi masyarakat Islam Turki sejak ratusan tahun tanpa menghiraukan ancaman kerajaan baru.
Meskipun dikala itu masyarakat di bandar semakin berkurang dalam mengamalkan kesufian berikutan perundangan Turki yang melarang rakyatnya untuk terlibat dengan kegiatan tersebut.
Sebagai kesimpulan, pembaharuan serta usaha sekularisasi Mustafa Kamal bertujuan untuk memesongkan rakyat Turki daripada berpegang teguh terhadap ajaran agama Islam. Ini dibuktikan dengan kemuncak usaha sekularisasi Ataturk apabila Perlembagaan Turki 1924 dalam Artikel 2 yang menyatakan bahawa “Agama bagi negara Turki adalah Islam” dimansuhkan.
Pemansuhan berlaku apabila dipinda dalam Perlembagaan 1937 yang menjelaskan bahawa Turki adalah sebuah negara sekular secara rasmi. Maka, terpadamlah ketika itu identiti Islam pada masyarakat Turki yang sudah terpancar berzaman lamanya di bawah pemerintahan Uthmaniyyah yang dirindui.
*Nantikan Siri ke-2 yang akan membincangkan usaha-usaha sekularisasi Mustafa Kamal dalam Pendidikan dan beberapa aspek lain .Temasuklah isu menarik di mana azan turut dilaungkan dalam Bahasa Turki serta usaha pembaratannya dalam bidang teknologi dan ekonomi.
A.R.KASA
Mahasiswa Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam,
Universiti Malaya.
RUJUKAN:
1.Abdullah Azzam. Turki Negara Dua Wajah, Pengkhianatan Ataturk terhadap dunia Islam. Kuala Lumpur: Alam Raya Enterprise, 2007.
2.Asyraf Hj Ab Rahman, Daud Ismail, Fadzli Adam, Noor Raihan Ali & Wan Ibrahim Wan Ahmad. Modernization of Turkey under Kamal Ataturk. Jurnal Sains Sosial Asian 11, No. 4 (2015). 202-205.
3.Abu Hanifah Haris & Mohammad Redzuan. Kamal Ataturk Dan Pembaharuan Di Turki: Polemik Dalam Akhbar Dan Majalah Melayu Pada Tahun 1920-An Dan 1930-An. Jurnal Sejarah, Vol.19. No.19. 107-109.
4.Gazi Dogan. The Establishment Of Kemalist Autocracy And Its Reform Policies In Turkey. (PhD Diss.). Universiti Kansas, 2016. https://core.ac.uk/download/pdf/33381143.pdf.
5.Muhammad Khalis Ibrahim & Mohd Roslan Mohd Nor. Perkembangan Islam di Turki Menerusi Pendekatan Politik: Satu Sorotan Sejarah. Jurnal Online Penyelidikan dalam Islam. Vol. 5 No. 2 (2018): 17-34.
6.Roderic H. Davison. Turkey: A Short History . Beverly: The Eothon Press,1981.
7. http://studentsrepo.um.edu.my/342/2/BAB1.pdf
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih