Bulan Ramadan merupakan bulan yang paling dinantikan umat Islam saban tahun. Inilah bulan di mana pahala amalan kebaikan ditambah berkali ganda, pintu syurga dibuka seluas-luasnya dan pintu neraka ditutup serapat-rapatnya serta syaitan dirantai. Namun bagi para atlet terutama pemain bola sepak, ia merupakan tempoh yang mencabar lebih-lebih lagi yang terlibat dengan kejohanan besar seperti Piala Dunia 2018 di Rusia. Bagaimana mereka ini mengendalikan situasi sebegini?

Umum sedia maklum berpuasa pada bulan Ramadan merupakan salah satu daripada lima Rukun Islam. Dan pemain seperti umat Islam lain perlu menahan diri dari makan dan minum serta perkara-perkara yang membatalkan puasa. Malah puasa mempunyai banyak hikmah seperti mengurangkan sifat keras hati, melahirkan rasa insan dan prihatin sesama manusia serta meningkatkan ketaqwaan kepada-Nya. Bagaimanapun agama turut memberi keringanan kepada penganutnya dalam soal puasa sekiranya membabitkan isu seperti musafir, haid, nifas atau ibu mengandung.

Bagi yang bermain di negara-negara Islam, ini tidaklah menjadi isu tetapi berbeza pula bagi yang berpuasa di negara asing. Ini ditambah pula dengan kurangnya pemahaman sesetengah pengurus dan jurulatih yang mempersoal tindakan sesetengah pemain berlatih dan bermain dalam keadaan berpuasa. Contohnya pada tahun 2009 semasa pengurus Manchester United, Jose Mourinho yang ketika itu menguruskan pasukan Inter Milan, beliau mengeluarkan Sulley Ali Muntari selepas setengah jam bermain semasa mereka seri dengan Bari. Alasan Mourinho berbuat demikian ialah Muntari dikatakan tidak lagi bertenaga selepas berpuasa. Kenyataan tersebut dikecam ramai pihak termasuk Pengerusi Persatuan Komuniti Islam Itali, Mohamaed Nour Dachan dan pelatih peribadi pemain itu sendiri, Stefano Tirelli. Mourinho kemudian membetulkan kenyataannya dengan berkata, “Keputusan Muntari tidak patut dikritik kerana ia membabitkan soal agama dan akidah. Ini bermakna saya menerimanya. Saya tak pernah kata Muntari seharusnya melupakan agamanya dan berlatih.”

Bagi pemain-pemain yang mempunyai perwatakan warak seperti Muhamad Salah (Liverpool) dan bekas penyerang Sevilla, Freddie Kanoute, ia tidaklah menjadi satu masalah pun. Kanoute yang sudah bersara menceritakan setiap kali tibanya bulan Ramadan, rakan-rakan sepasukannya akan mengajukan pelbagai soalan tentang puasa. Beliau berkata, “Mereka merasa ingin tahu. Mereka tertanya-tanya mengapa saya tidak makan dan bertanya semua soalan ini tetapi kita kena jawab soalan mereka. Ia sebenarnya amat baik kerana mereka mengetahui tentang Islam dan kita boleh berbincang mengenainya. Mereka nampak saya bersolat di bilik persalinan, saya tak pernah fikir cara orang memandang saya. Saya berkelakuan seperti biasa dan itu cara saya. Islam membantu saya untuk menggapai cara ini, jadi ia normal. Inilah laluan yang diambil yang membawa kepada ketenangan, memikirkan tempat tinggal kita dan mencintai jiran tetangga kita. Ianya pelik bila saya dengar tentang semua gejala keganasan kerana itu berlawanan dengan kefahaman saya terhadap Islam.”

Sementara bagi para pemain seperti Mesut Ozil, Sami Khedira, Nicolas Anelka dan Marouane Chamakh pula, mereka pula mencari jalan kompromi. Bagi bekas penyerang Bordeaux dan Arsenal Chamakh, beliau tidak mempunyai masalah berpuasa pada bulan mulia itu. Chamakh menceritakan, “Saya tiada masalah berpuasa pada bulan Ramadan kerana itu sudah jadi norma. Pada hari sebelum perlawanan dan hari perlawanan, saya tidak berpuasa tetapi saya akan cuba gantikan puasa yang saya tinggalkan itu pada hari-hari berikutnya.”

Ada juga mengakui bermain pada bulan Ramadan amat mencabar berdasarkan pengalaman bekas pemain sayap Watford dan Fulham, Hameur Bouazza. Bagaimanapun, beliau menambah, “Saya bangga jadi seorang Muslim. Saya tidak kata bermain bola sepak dalam keadaan berpuasa itu senang. Ramadan memang sukar dan saya cuba lakukan yang terbaik pada setiap masa. Allah sentiasa ada untuk membantu kita, kita percaya kepada Dia dan Dia percaya kepada kita. Kita hanya perlu berdoa dan percaya kepada-Nya.”

Walau bagaimanapun, isu sebegini masih lagi menimbulkan konflik antara pemain dengan jurulatih. Misalnya pada tahun 2012 semasa temasya Sukan Olimpik berlangsung di London, majoriti pemain beragama Islam memberitahu jurulatih mereka tidak mahu mereka berpuasa. Dan pada tahun 2014, jurulatih pasukan Les Bleus Didier Deschamps menyifatkan topik sebegini topik yang sensitif. Sempena kempen Piala Dunia kali ini, jurucakap pasukan Perancis menganggap isu puasa satu perkara peribadi membabitkan bintang-bintang seperti Paul Pogba (Manchester United) dan N’Golo Kante (Chelsea).

Pelbagai kajian perubatan sudah dijalankan untuk mengkaji kesan puasa kepada prestasi atlet. Sesetengah kajian menyifatkan puasa boleh memberi kesan kepada pengambilan nutrien, kekurangan air dalam badan, kurang masa tidur dan mudah letih. Tetapi kebanyakan kajian yang dilakukan tidak bersifat konklusif dan komprehensif kerana ada yang bersifat bertentangan antara satu sama lain. Bagi sesetengah pemain, mereka menyifatkan puasa memberi faedah kepada kesihatan mereka. Bekas bek tengah Arsenal dan Manchester City, Kolo Toure menyifatkan puasa membuang toksin dalam badan sekaligus menjadikan beliau lebih kuat selepas Ramadan. Sementara bekas jurulatih penjaga gol Mesir, Zak Abdel menceritakan Mohamed Aboutrika mempunyai kekuatan mental yang hebat di mana beliau bermain baik semasa berpuasa.

Bagi doktor residen program pagi ITV This Morning, Dr Ranj Singh, beliau mempunyai beberapa tips bagi membantu individu yang terus aktif bermain atau berlatih pada bulan Ramadan walaupun semasa berpuasa:

  1. Pilih latihan atau senaman yang bersifat ringan seperti jalan pantas dan joging ringan. Pilih waktu yang bersesuaian seperti waktu awal pagi atau tempoh singkat senaman. Daripada memandu ke masjid atau surau, boleh memilih untuk berjalan atau menaiki tangga berbanding menaiki lif.
  2. Elakkan ambil diet pemakanan yang berminyak, bergula atau bergoreng. Pelbagaikan makanan yang diambil dari semua kumpulan makanan utama termasuk karbohidrat, buah-buahan dan sayur-sayuran. Pilih juga makanan yang melepaskan tenaga secara perlahan-lahan seperti oat dan makanan yang tinggi fiber.
  3. Sentiasa kekal hidrat dengan minum banyak air terutama semasa waktu bukan berpuasa. Tahap hidrasi akan mempengaruhi tenaga dan kecekapan individu pada siang hari.
  4. Dapatkan tidur yang cukup kerana orang yang mendapat tidur yang baik akan mengurangkan rasa ingin makan semasa berpuasa pada siang hari.

SUMBER

  1. Daily Mail. (2009). Jose Mourinho’s Ramadan row over fasting Inter Milan star Sulley Muntari angers Muslim leader. http://www.dailymail.co.uk/sport/football/article-1209182/Jose-Mourinhos-Ramadan-comments-fasting-Inter-Milan-star-Sulley-Muntari-angers-Muslim-leader.html
  2. Din, Tusdiq. (2011). The Independent. Fasting and football. How do top-flight Muslims cope? https://www.independent.co.uk/sport/football/news-and-comment/fasting-and-football-how-do-top-flight-muslims-cope-2342187.html
  3. BBC. (2016). How hard is it to be a Muslim footballer during Ramadan? https://www.bbc.co.uk/bbcthree/article/e25557ac-e76b-435f-9bfa-b069230fc68b
  4. Sajad, Kal. (2018). BBC. Ramadan: How to exercise, eat and sleep well while fasting. https://www.bbc.com/sport/get-inspired/43892309
  5. Bushnell, Henry. (2018). Yahoo Sports. As Ramadan nears, so do tough decisions for World Cup-bound Muslim players. https://sports.yahoo.com/ramadan-nears-tough-decisions-world-cup-bound-muslim-players-113121801.html
  6. Peck, Joshua. (2018). Daily Express. Liverpool vs Real Madrid: Mohamed Salah won’t break Ramadan fast. https://www.express.co.uk/sport/football/964337/Liverpool-Real-Madrid-Champions-League-Ramadan-fast

 

 

 

 

 

 

 

 

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.