Rasanya semua dah tahu, Iran lancarkan serangan udara paling kompleks terhadap Israel. Lebih 200 peluru berpandu dan 200 dron dilancarkan dari jarak lebih 1500 km. Dunia saksikan bukan sekadar serangan, tapi pameran teknologi persenjataan strategik buatan sendiri.
Antara peluru berpandu utama yang digunakan ialah Fattah-1 hypersonik. Ia capai kelajuan Mach 13 hingga Mach 15, jarak operasi 1400 km dan dilengkapi sistem MaRV yang boleh ubah trajektori semasa reentry untuk elak sistem pertahanan. Varian baru, Fattah-2 dan Khorramshahr-4, sedang dibangunkan.
Haj Qassem MRBM pula capai Mach 12 dengan dua peringkat bahan api pepejal, muatan 500 kg dan jarak sekitar 1400 km. Ia dilancarkan bersama Qassem Basir yang lebih tepat menggunakan panduan elektro-optik dan sistem MaRV, menjadikannya sukar dikesan atau diganggu radar.
Dalam serangan ini, strategi Iran jelas tiga fasa: gangguan radar dan komunikasi oleh dron Mohajer-10, serangan peluru berpandu hypersonik Fattah, dan diakhiri dengan peluru berpandu MRBM seperti Haj Qassem dan Qassem Basir pukul sasaran utama.
Dron Mohajer-10 bukan sekadar untuk tinjauan. Ia digunakan untuk perang elektronik. Dengan jangkauan 2000 km dan muatan 300 kg, ia mampu buat kerja pengintipan dan ganggu sistem pertahanan lebih awal sebelum missile utama tiba.
Arsenal Iran meliputi peluru berpandu Shahab-3, Sejjil, Rezvan, Khorramshahr, Fateh-110, Zolfaghar dan Kheibar Shekan. Jarak operasi dari 300 hingga 2500 km. Bahan api pepejal dan cecair digunakan bergantung kepada jenis dan misi.
Iran juga hasilkan peluru berpandu anti-kapal supersonik, Khalij-e Fars. Ia capai Mach 4, muatan 650 kg dan jarak 300 km. Target utama ialah kapal perang dan pelabuhan strategik.
Israel pertahankan ruang udaranya dengan sistem pelapis. Arrow-3 tangkis peluru berpandu di luar atmosfera. Arrow-2 kendalikan reentry. David’s Sling hadkan ancaman pada jarak sederhana (40-300 km) dan Iron Dome cegah ancaman jarak dekat (4-70 km). Boleh rujuk artikel semalam.
Namun dalam serangan bertubi-tubi dan koordinasi kompleks, pertahanan Israel jadi tepu. Analisis awal kata 5-10% peluru berpandu menembusi perisai dan sebabkan kemusnahan di Tel Aviv, Haifa, Bat Yam dan Rishon Lezion.
Serangan ini didahului oleh gangguan teknikal pelbagai arah. Radar awam juga kesan pergerakan dari Jordan, UAE, Cyprus dan Teluk Parsi. Ini bukan konflik dua pihak, tapi jaringan operasi tentera antarabangsa. Cuma, siapa berpihak kepada siapa?
Amerika, UAE, Perancis dan UK terlibat dalam pemantauan. USS Carl Vinson, jet Rafale dari UAE dan Typhoon serta F-35 dari Cyprus aktif di kawasan lintasan misil. Walau begitu, tetap ada peluru yang lepas. Seolah-olah Iran melawan dunia seorang diri?
Iran hasilkan sendiri senjata ini walaupun kena sekatan. Kerjasama teknikal dari Korea Utara, China dan Rusia bantu lajukan pembangunan. Mereka juga bangunkan kemudahan bawah tanah seperti Khojir dan Modarres bagi elak serangan awal.
Beberapa pakar luar dakwa Iran mungkin lebih-lebihkan kemampuan hypersonik mereka. Tapi selepas serangan ini, ramai mula terima bahawa mereka benar-benar ada keupayaan tersebut. Hasil kejuruteraan tempatan.
Iran juga hasilkan senjata pintar seperti bom pintar Qased seberat 900 kg. Ia boleh dipasang pada F-4 atau dron. Ini beri kelebihan untuk lakukan serangan tepat pada kos rendah.
Kos pertahanan Isr***l sangat tinggi. Setiap “interceptor” boleh mencecah USD 1 juta. Sedangkan satu peluru berpandu serangan dari Iran hanya sekitar USD 100 ribu. Dalam perang asimetrik, kelebihan ini beri impak besar.
Sejak hari pertama, Iran konsisten lancarkan serangan berlapis: dron, MRBM, hypersonik dan gangguan radar. Ini cabaran nyata kepada sistem pertahanan mana-mana negara.
Walaupun banyak misil ditangkis, ada yang tetap sampai dan korban tetap berlaku. Sehingga kini ramai yang dilaporkan maut dan puluhan cedera. Ini kesan nyata dari ketidaksempurnaan sistem bertahan.
Iran kini miliki barisan peluru berpandu terbesar di Asia Barat. Pelbagai jenis, pelbagai kelajuan, pelbagai panduan dan taktik. Strategi mereka sangat fleksibel dan adaptif.
Taktik dua fasa antara yang paling berkesan: fasa pertama untuk kelirukan radar dan buka ruang, fasa kedua serangan tepat. Ini beri peluang besar untuk sekurang-kurangnya sebahagian missile lepas masuk ke sasaran.
Isr**l dan sekutunya ada pelbagai sistem: Arrow, Patriot, THAAD, David’s Sling, Iron Dome. Tapi setiap sistem ada had. Dan bila semuanya diserang serentak, ia tetap boleh gagal.
Kosnya pula besar. Walau ada bantuan AS, tekanan logistik tetap membebankan. Bila dron dan peluru murah digunakan secara besar-besaran, sistem canggih jadi tidak cukup.
Malaysia boleh ambil iktibar dari situasi ini. Kita belum ada sistem secanggih itu. Tapi kita ada pilihan untuk mulakan dari sekarang.
R&D pertahanan, latihan strategi, pusat kawalan krisis, dan sistem berlapis perlu dibina secara tempatan. Kerjasama dengan negara lain tak salah, tapi jangan bergantung sepenuhnya.
Iran buktikan walau kena sekatan, mereka tetap hasilkan sendiri. Ini kerana ada fokus, ada tekad, dan ada keberanian untuk berdikari. Kita juga boleh.
Malaysia perlu mula dengan penghasilan dron pengintip, peluru berpandu pertahanan pantas dan simulasi perang udara. Dari situ kita belajar dan bangunkan sistem sendiri.
Latihan kecemasan dan respons serantau perlu dikemas kini. Supaya bila serangan datang, kita tak kaku tunggu bantuan luar. Tapi mampu bertindak ikut sistem sendiri.
Jiran kita ada yang sedang bina armada laut agresif. Yang lain pula beli sistem drone secara besar-besaran. Kita jangan tunggu sampai konflik datang depan pintu baru nak bersiap. Malahan, jiran kita pun ada “bunker” tau.
Kalau peluru Iran boleh sampai 1500 km, maknanya mana-mana lokasi dari luar perairan kita pun dalam risiko.
Kekuatan sebenar ialah bila kita sedia hadap, bukan bergantung pada siapa yang datang tolong.
Kita perlu rancang dari sekarang. Supaya bila dunia bergoncang, Malaysia tetap tegak berdiri, bukan goyah tunggu simpati. Sejarah dah pun mengajar kita. Tidak ingatkah kita sewaktu negara kita dijarah dan dijajah?
Hentikanlah berbalah dalam negara. Fokus kepada pembangunan. Semua pihak wajib bantu membantu.
Nota: Spesifikasi sistem persenjataan seperti peluru berpandu, dron dan sistem pertahanan udara mungkin berbeza mengikut sumber terbuka, kenyataan rasmi atau laporan ketenteraan terkini. Banyak data bersifat sulit atas faktor keselamatan, jadi angka jarak, kos, kelajuan atau keupayaan sebenar boleh berubah mengikut versi, konteks operasi dan perkembangan semasa.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami untuk mempopularkan ilmu dan kebenaran kepada masyarakat umum.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham bahawa tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.