Juliana Marins datang dari Brazil dengan impian menawan puncak Rinjani. Usianya baru 26 tahun. Seorang gadis pengembara yang suka alam, suka cabaran. Gunung Rinjani di Indonesia menjadi pilihannya kerana keindahannya yang luar biasa. Tapi siapa sangka, itulah pendakian terakhir dalam hidupnya.
Rinjani adalah gunung berapi aktif dengan ketinggian 3,726 meter. Dari jauh ia memukau. Tapi bila kau mendaki, kau tahu ini medan yang garang. Jalannya sempit, curam dan berbatu. Cuacanya keras, tak menentu. Setiap tahun, ribuan orang cuba. Tapi tak semua pulang dengan cerita indah.
Juliana mendaki bersama pemandu dan beberapa orang lain. Dalam perjalanan, dia berasa sangat penat dan minta untuk berehat. Tapi yang mengejutkan adalah dia ditinggalkan bersendirian lebih sejam. Dalam dunia pendakian, ini satu kesalahan besar. Tak boleh tinggal pendaki seorang diri, lebih-lebih lagi di kawasan curam dan berbahaya.
Tak lama selepas itu, dia hilang. Jatuh dari cerun setinggi ratusan meter. Tiada siapa nampak bagaimana ia berlaku. Tapi anggaran awal, dia tergelincir ketika cuba ubah posisi di kawasan yang tanah dan batunya mudah runtuh. Sekali terlepas, tubuhnya meluncur lebih 500 meter ke dasar.
Pasukan penyelamat guna dron dan jumpa kelibatnya tergantung di lereng. Mengejutkan, dia masih hidup ketika itu. Ada video tunjuk dia gerakkan tangan, cuba tarik perhatian. Tapi kabus tebal, tanah licin, dan risiko tanah runtuh halang penyelamat. Helikopter tak dapat turun. Usaha darat terlalu lambat.
Empat hari. Dia tunggu. Dalam keadaan lapar, sejuk, dan mungkin ada kecederaan dalaman. Tiada khemah, tiada makanan. Ada laporan kata bantuan dihantar, tapi keluarga ragui cerita tu. Malah ada yang dakwa video bantuan palsu. Kita tak tahu sepenuhnya, tapi satu jelas adalah dia dah terperangkap terlalu lama.
Juliana ditemui tidak lagi bernyawa pada 24 Jun, selepas empat hari terperangkap di lereng maut. Pasukan SAR ambil masa lima jam untuk mengangkat jenazahnya dengan meredah cerun curam, mengikat tali pada batu licin, mengawal setiap langkah dari tergelincir.
Dengan penuh hati-hati, mereka bawa tubuhnya ke pos Sembalun, sebelum diserahkan kepada wakil Brazil untuk dibawa pulang dalam diam, tanpa sempat ucap selamat tinggal.
Gunung Rinjani pernah meletus beberapa kali. Kali terakhir pada 2016. Tapi walaupun tiada letusan besar sejak itu, medan di situ masih hidup. Kadang-kadang ada gegaran kecil. Kadang-kadang bunyi dari perut gunung. Itu semua buat laluan jadi lebih berisiko. Tak hairan bila ada bahagian tanah tiba-tiba runtuh.
Cuaca di sana sangat sukar dijangka. Tengah hari mungkin cerah, tapi menjelang petang, kabus tebal boleh menyelubung tiba-tiba. Kalau tak biasa, kau mudah hilang arah dalam hanya beberapa minit. Ramai pendaki sesat atau terjatuh kerana menyangka laluan itu selamat, padahal keadaan boleh berubah bila-bila masa.
Pihak keluarga kecewa. Mereka tuntut penjelasan. Kenapa dia ditinggalkan? Kenapa penyelamat lambat bertindak? Kenapa tak guna dron hantar bekalan awal-awal? Ini persoalan yang masih belum ada jawapan jelas. Tapi ramai bersetuju bahawa ini kegagalan sistem.
Ramai pendaki juga persoalkan SOP pendakian di Rinjani. Bila gunung tu makin popular, jumlah pendaki meningkat. Tapi standard keselamatan tak berubah. Kalau dulu guide kenal semua laluan, sekarang ramai cuma ikut GPS. Itu pun belum tentu tepat bila kabus tebal.
Juliana memang ada semangat, dan itu sesuatu yang ramai kagumi. Tapi dalam dunia pendakian, semangat sahaja belum cukup. Ia perlukan ilmu, ketahanan fizikal, dan sokongan pasukan yang saling menjaga. Ini bukan sekadar aktiviti santai. Dalam medan seperti ini, satu kesilapan kecil boleh membawa akibat yang tak terjangka.
Gunung itu memang indah, tidak dapat dinafikan. Tapi keindahan itu juga menyembunyikan bahaya yang boleh meragut nyawa. Sudah ramai yang terkorban di Rinjani, termasuk dari Malaysia, Singapura, dan Perancis. Puncanya berbeza. Ada yang cuai, ada yang terperangkap dalam cuaca buruk, ada yang ditimpa runtuhan. Persoalannya, adakah kita benar-benar belajar daripada semua tragedi itu?
Juliana datang jauh dari Brazil. Dia ingin rasa keindahan Asia Tenggara. Dia bawa senyuman, semangat dan keinginan untuk melihat dunia dari puncak. Tapi dia tak sempat turun. Dia tak sempat peluk keluarganya semula. Yang tinggal cuma jasad dan kenangan.
Media seluruh dunia laporkan kisahnya. Dari Brazil ke Indonesia ke Eropah. Ramai simpati. Ramai marah. Tapi semua setuju bahawa kisah ini tak patut berulang. Ada nyawa yang perlu dilindungi. Ada sistem yang perlu dibaiki.
Gunung bukan musuh. Tapi dia ajar kita satu perkara agar jangan sesekali sombong. Hormat alam. Rancang betul-betul. Pastikan guide tak tinggal kita. Pastikan SOP diikuti. Jangan kejar puncak sampai lupakan keselamatan.
Kes Juliana mungkin akan ubah cara dunia lihat Rinjani. Mungkin lepas ini, ada SOP lebih ketat. Mungkin laluan bahaya akan ditutup semasa cuaca ekstrem. Tapi semua itu tidak akan pulangkan Juliana. Dia sudah pergi, dan pergi dengan tragis.
Gadis berjiwa besar itu tidak kembali ke tanah air. Tapi dia tinggalkan pengajaran paling besar bahawa alam itu cantik, tapi jangan sesekali dipandang enteng. Juliana Marins kini sebahagian dari kisah Rinjani. Dan kisahnya akan terus hidup, di setiap langkah pendaki yang datang selepasnya.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.