Baru-baru ini, rancangan 101 East terbitan Al-Jazeera menyiarkan sebuah dokumentari bertajuk ‘Locked Up in Malaysia’s Lockdown’. Sejak itu, ia mencetuskan kemarahan ramai pihak termasuk kerajaan yang menggesa media antarabangsa yang berpangkalan di Qatar itu memohon maaf.

Tatkala Al-Jazeera sibuk menjaja kononnya keburukan negara ketika dilanda Covid-19, mereka terlupa rekod negara itu terhadap pekerja-pekerja migran. Atau lebih tepat, pekerja-pekerja migran yang ditugaskan membina stadium-stadium yang bakal menjadi lokasi perlawanan untuk Piala Dunia 2022 yang bakal dianjurkan di negara Teluk itu.

Kisah layanan buruk negara Teluk itu terhadap pekerja-pekerja migrannya semasa pembinaan stadium bukan satu rahsia. Contoh paling mudah pada tahun 2013, pendedahan eksklusif yang dibuat akhbar The Guardian berkenaan layanan Doha terhadap pekerja-pekerja yang berasal dari Nepal. Siasatan akhbar tersebut mendapati ramai pekerja dari negara itu dieksploitasi bak hamba zaman moden.

Salah seorang yang menjadi mangsa ialah Ram Kumar Mahara, 27. Dia mendedahkan segala-galanya, “Kami bekerja dengan perut kosong untuk 24 jam; 12 malam bekerja dan berlapar pada waktu malam. Bila saya mengadu, pengurus akan memukul saya, menghalau saya keluar dari kem buruh yang dihuni dan enggan membayar saya. Saya terpaksa merayu meminta makanan daripada pekerja-pekerja lain.”

Mahara berkongsi kisah sama dengan rakan-rakan senegaranya: berhutang besar dari Nepal dengan tujuan membayar ejen-ejen buruh yang mendapatkan pekerjaan untuk mereka.

Kewajipan membayar hutang dicampur dengan kegagalan membayar gaji, merampas dokumen pengenalan dan perjalanan serta pekerja tidak dibenarkan meninggalkan tempat kerja mereka boleh didefinisikan sebagai buruh paksa, salah satu bentuk perhambaan moden.

Rajah 1: Nasib pekerja migran seperti Mahara ibarat gantung tak bertali. Sudahlah dipaksa bekerja macam kuli abdi, malah dinafikan hak yang sepatutnya dijamin sebagai pekerja. Sumber: https://www.nepalisansar.com/immigration/fifa-2022-world-cup-1400-nepali-work

Situasi sebegini amat menggusarkan Nepal sehinggakan duta mereka ke Doha ketika itu, Maya Kumari Sharma menggelar Qatar sebagai penjara terbuka. Dan tanpa sebarang dokumen rasmi, mereka boleh dianggap sebagai pendatang asing tanpa izin (PATI). Silap haribulan, mereka boleh saja dicekup pihak berkuasa dan dihantar pulang ke negara asal.

Situasi ini menyebabkan ramai enggan meninggalkan tempat kerja mereka kerana bimbang ditahan pihak berkuasa. Jika ada yang cuba melarikan diri sekalipun, majikan akan menggantung pembayaran gaji kadang-kadang sehingga berbulan-bulan bagi menghentikan sebarang cubaan berkenaan. Nak bertukar kerja pula, mereka tidak boleh berbuat demikian tanpa izin syarikat yang menaja pekerjaan mereka yang dibuat menerusi sistem kafala.

Selepas dihentam bertubi-tubi oleh komuniti antarabangsa akibat layanan buruk terhadap pekerja migran, pada tahun 2014, Qatar berjanji akan mengubah sistem buruh mereka termasuk membenarkan pekerja bertukar pekerjaan atau meninggalkan negara tanpa rasa bimbang.

Namun, berdasarkan laporan Amnesty International pada tahun 2015, Qatar dilihat masih tidak berubah dan dilihat terus menafikan hak mereka. Bagi penyelidik hak asasi migran rantau Teluk untuk Amnesty, Mustafa Qadri menyifatkan Doha tidak serius menangani isu ini dan kenyataan dibuat pada 2014 sebagai satu cubaan memulihkan kembali imej awam mereka.

Rajah 2: Di sebalik janji membanteras eksploitasi buruh pada tahun 2014, Amnesty menyifatkan tidak banyak berubah dalam laporannya pada tahun 2015. Sumber: https://www.amnestyusa.org/reports/promising-little-delivering-less-qatar-and-migrant-labor-abuse-ahead-o

Di sebalik kenyataan tegas Doha bahawa reformasi sistem buruh sedang giat dijalankan, jawapan tersebut bersifat sandiwara semata-mata. Terbaru, tatkala Qatar memutuskan semua bentuk perhimpunan diharamkan bagi mencegah penularan Covid-19, aktiviti pembinaan projek-projek Piala Dunia 2022 tetap diteruskan seperti biasa.

Seperti biasa, bas-bas penuh dengan pekerja bergerak ke tapak dan ada yang mengadu terpaksa bekerja lama dengan pemeriksaan kesihatan yang terhad di tapak projek. Di sebalik kebimbangan penularan Covid-19, majikan bersikap acuh tak acuh lebih-lebih lagi kurang 1,000 hari lagi sebelum Piala Dunia 2022 bermula.

Pada 19 Mac lepas, Qatar mengumumkan semua aktiviti perkumpulan tidak dibenarkan termasuk di taman-taman awam, bank, panggung wayang dan pantai. Tetapi larangan itu tidak terpakai kepada sektor ekonomi lain seperti sektor swasta dan sektor pembinaan.

Apabila notis larangan tersebut muncul di laman media sosial, ia mengundang reaksi marah pekerja dari sektor-sektor berkenaan. Seorang pengguna menulis, “Bagaimana buruh pembinaan mengekalkan penjarakan sosial? Tiada siapa kisah tentang keselamatan kami. Anda fikir kami tak mahu hidup? Anda fikir kami tak mahu melihat keluarga kami semula?”

Seorang lagi pengguna mendedahkan dia sudah berada di tapak projek selama sembilan jam. Dia menulis, “Kami bukan robot. Kami tidak kebal dari jangkitan virus.” Di samping isu Covid-19, ramai pekerja migran turut berdepan isu tekanan haba semasa bekerja. Jadi, jangan terkejut jika mendengar kes buruh binaan di Qatar m4ti mengejut akibat tekanan haba.

Berikutan sikap majikan dan pihak berkuasa yang bersikap acuh tak acuh terhadap aspek kebajikan dan kesihatan pekerja migran terutama buruh binaan, sudah ada laporan buruh yang m4ti akibat kemalangan atau penyakit seperti Covid-19.

Pada 25 Jun lepas, seorang pekerja berusia 50 tahun disahkan m4ti akibat Covid-19 dan tidak menunjukkan sebarang simptom. Dan sehingga Mac 2020, data yang diakses oleh The Guardian menunjukkan 34 orang m4ti di tapak pembinaan projek-projek membabitkan Piala Dunia 2022. Daripada 34 kes, 31 daripadanya membabitkan kem4tian akibat sebab bukan kerja seperti sakit jantung (berkemungkinan daripada isu tekanan haba di tempat kerja).

Walaupun kerajaan-kerajaan Teluk termasuk Qatar mengambil langkah pencegahan bagi menangani isu ini, ia seolah-olah dipandang remeh oleh majikan. Jika mereka berhenti lebih lama daripada tempoh yang ditetapkan majikan, maka bersedialah pekerja dipaksa bekerja lebih lama walaupun mereka hanya mengikut tempoh yang ditetapkan kerajaan.

Selain itu, kisah pekerja-pekerja asing tinggal di asrama pekerja bak ikan sardin bukan sesuatu yang baru. Sudahlah bersesak-sesak dalam keadaan yang kotor, ada yang tidak mendapat akses bekalan air bersih. Dan tempat-tempat sebegini boleh saja menjadi kluster baru Covid-19 jika tiada tindakan segera diambil.

Rajah 3: Di sebalik dakwaan kebajikan pekerja migran terjaga di Qatar, realitinya ia merupakan satu penipuan. Sumber: https://archinect.com/news/article/93393287/qatar-introduces-higher-standards-for-world-cup-migrant-workers

Walaupun Qatar bertindak pantas dengan mengenakan perintah berkurung di sesetengah kem dan menawarkan kelonggaran untuk syarat pekerjaan, ia dilihat masih lagi tidak mencukupi. Ya, pekerja diberi hak perubatan yang dijamin kerajaan akibat pandemik Covid-19 tetapi itu tidak bermakna ia akan dipatuhi majikan yang terlalu mengejar keuntungan.

Ya, Doha mengumumkan skim pinjaman bernilai 656 juta paun sterling bagi membolehkan pekerja yang dikuarantin atau berada di kawasan yang dikenakan perintah berkurung dibenarkan terus bekerja. Tetapi bagi sesetengah pekerja, mereka terus bergelut bukan saja kerana kehilangan pendapatan tetapi juga keputusan bekalan makanan di sebalik penghantaran 1,000 lori makanan setiap hari ke kawasan-kawasan kem.

Kes pekerja tidak dibayar gaji? Ada! Misalnya, 100 pekerja subkontraktor Qatar Meta Coats (QMC) masih menanti bayaran gaji yang tidak dilunaskan selama berbulan-bulan daripada majikan mereka. Selepas perkara tersebut didedahkan oleh Amnesty dan dilaporkan kepada Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) dan Doha, barulah mereka menerima sebahagian gaji yang dijanjikan.

Bagi Ketua Bahagian Ekonomi dan Keadilan Sosial Amnesty, Steven Cockburn, ini menunjukkan eksploitasi pekerja masih berlaku di Qatar di sebalik janji reformasi buruh yang dilaksanakan sepenuhnya tahun ini. Ini menunjukkan keperluan reformasi sistem buruh Doha yang menyeluruh termasuk pertambahan gaji minimum bersifat tetap dan ini seharusnya menjadi fokus utama mereka berbanding penyelesaian yang bersifat sementara.

Mungkin sebab itulah kerana bimbang kisah sebegini menjejaskan imej mereka, Qatar sekali lagi menegaskan mereka tetap menjaga hak pekerja migran semasa berdepan Covid-19 termasuk mengenakan tindakan tegas terhadap majikan yang culas. Tetapi nasi sudah jadi bubur dan orang semakin tidak percaya keikhlasan Doha terhadap isu pekerja migran dilayan bak hamba moden.

Justeru, sedikit nasihat kepada Qatar dan Al-Jazeera. Tatkala anda sibuk mengaibkan negara orang, cerminlah diri terlebih dahulu. Paku dulang, paku serpih. Mengata orang, dia yang lebih. Sekurang-kurangnya, Malaysia dalam melawan Covid-19 tidak pernah berhenti menyantuni orang lain termasuk PATI dan golongan berisiko. Anda apa cerita?!

RUJUKAN:

Kelly, Annie et. (2019). Revealed: hundreds of migrant workers dying of heat stress in Qatar each year. The Guardian. https://www.theguardian.com/global-development/2019/oct/02/revealed-hundreds-of-migrant-workers-dying-of-heat-stress-in-qatar-each-year

Atalayar. (2020). Qatar confirms first coronavirus death among World Cup 2022 workers. https://atalayar.com/en/content/qatar-confirms-first-coronavirus-death-among-world-cup-2022-workers

BBC. (2015). Amnesty: Qatar ‘still failing’ migrant workers. https://www.bbc.com/news/world-middle-east-32821733

(2020). Qatar 2022 World Cup migrant workers went ‘unpaid for months’ — Amnesty. https://www.dw.com/en/qatar-2022-world-cup-migrant-workers-went-unpaid-for-months-amnesty/a-53772320

Chulov, Martin. (2020). Migrant workers bear brunt of coronavirus pandemic in Gulf. The Guardian. https://www.theguardian.com/world/2020/apr/19/migrant-workers-bear-brunt-of-coronavirus-pandemic-in-gulf

Pattisson, Pete. (2020). Despite coronavirus, it’s ‘business as usual’ for World Cup workers in Qatar. The Guardian. https://www.theguardian.com/global-development/2020/mar/26/despite-coronavirus-its-business-as-usual-for-world-cup-workers-in-qatar

Pattisson, Pete dan Sedhai, Roshan. (2020). Qatar’s migrant workers beg for food as Covid-19 infections rise. The Guardian. https://www.theguardian.com/global-development/2020/may/07/qatars-migrant-workers-beg-for-food-as-covid-19-infections-rise


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.