Colobraro kelihatan seperti sebuah perkampungan biasa Eropah di Itali. Dengan suasana desa yang menenangkan, nampak seperti satu lagi destinasi pelancongan menarik yang harus dikunjungi pelancong. Hakikatnya, Colobraro menyimpan rahsia gelap terima kasih kepada sumpahan yang dibuat pada tahun 40-an.
Legenda sumpahan ini dikatakan bermula pada tahun 40-an membabitkan datuk bandar mereka, Biagio Virgilio. Dalam satu mesyuarat bersama ahli-ahli majlis perbandaran, beliau berkata, “Semoga lampu candelier ini jatuh sekiranya aku tidak bercakap benar.” Beberapa saat selepas itu, sebuah lampu candelier yang besar jatuh menghempap kepalanya lalu mengakibatkan Virgilio m4ti di tempat kejadian.
Bagi yang kurang percaya dengan cerita ini, mereka memberitahu ia berpunca daripada kelemahan pemasangan lampu candelier sehingga mengakibatkan ia jatuh. Tetapi ramai bimbang datuk bandar Colobraro itu telah membuat sumpahan terhadap bandar mereka.
Sejak peristiwa itu, pelbagai tragedi yang tidak boleh dijelaskan sebab kejadian berlaku sehingga mengundang keresahan bukan saja penduduk Colobraro tetapi penduduk sekitarnya. Mereka sangat takut dengan hal ini sehinggakan mereka enggan menamakan bandar mereka jika ditanya orang luar dan hanya merujuknya sebagai perkampungan tanpa nama.
Anda sangka paranoia ini mengarut? Karut tak karut, ia sudah bikin kegemparan dalam kalangan penduduk sekitar. Menurut seorang penduduk yang enggan mendedahkan namanya, semasa dia makan di sebuah restoran di bandar berhampiran, orang ramai enggan duduk berdekatan dengannya. Ini berlaku selepas mereka mengetahui dia berasal dari Colobraro.
Asal-usul nama Colobraro sendiri mempunyai maksud menakutkan. Nama Colobraro dikatakan berasal dari perkataan coluber yang bermaksud ular-ular dan mengikut sesetengah penduduk tempatan, ia dikatakan punca kuasa jahat wujud. Ada pula mengatakan perkampungan tersebut pernah dihuni oleh masciare atau bomoh wanita yang mempunyai kemahiran sihir yang luar biasa.
Masciare dilayan seperti tabib di mana mereka menjadi rujukan penduduk tempatan bagi merawat penyakit seperti sakit kepala atau mengendali isu ghaib seperti membuang sumpahan. Bagi membuang sumpahan, mereka menggunakan campuran air, arang dan garam dan meletakkannya di dahi pesakit sebelum ia dibuang di tepi jalan.
Sekiranya ada individu berjalan dan terkena air buangan yang dibuang oleh masciare itu, maka mereka pula yang akan mengalami sumpahan seperti pesakit sebelumnya. Walaupun masciare sudah tidak wujud, ramai amat takut dengan kuasa mereka.
Justeru jika ada yang cuba menanya perihal mereka ini, jika bernasib baik mungkin ada segelintir saja yang sedia berkongsi cerita. Cubalah kalau berani menanyakan perkara sama pada waktu malam kepada penduduk di situ. Silap haribulan, ada yang kena kejar dengan penyapu!
Walaupun ramai bimbangkan sumpahan yang menimpa Colobraro, sumpahan tersebut hanya terkena kepada para pelawat. Di sebalik legenda ini, ramai menyifatkan peristiwa yang menimpa Virgilio sebagai mengarut dan langsung tiada kaitan dengan sumpahan yang kononnya membelenggu bandar berkenaan.
Di sebalik pertentangan dua pendapat ini, ia dimanfaatkan penduduk tempatan sebagai inisiatif menarik kehadiran pelancong. Setiap tahun terutama pada bulan Ogos, mereka meraikan sejarah Colobraro dengan penduduk berpakaian sebagai ahli sihir, masciare atau serigala jadian. Bagi pelancong yang datang, mereka diberi azimat khas untuk agar terlindung daripada sumpahan berkenaan.
RUJUKAN:
Lavender, Jane. (2020). Cursed town so evil locals won’t say its name – and terrifying way it manifests in visitors. Daily Mirror. https://www.mirror.co.uk/news/world-news/cursed-town-evil-locals-wont-22008426
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih