Pada tanggal 2 April 1982, dada-dada akhbar di seluruh dunia dipenuhi dengan berita mengenai pencerobohan pasukan tentera Argentina ke atas Pulau Falkland. Insiden pencerobohan yang didalangi oleh kerajaan tentera Argentina itu merupakan pencerobohan kali pertama yang berlaku ke atas wilayah British sejak berakhirnya Pe.rang Dunia kedua.
Untuk pengetahuan pembaca, Pulau Falkland merupakan salah sebuah daripada 14 buah Wilayah Luar Negeri British atau lebih dikenali sebagai ‘British Overseas Territory’.
Apa itu Wilayah Luar Negeri British?
Secara ringkasnya, Wilayah Luar Negeri British merupakan wilayah-wilayah yang dimiliki secara sah oleh United Kingdom. Wilayah-wilayah ini merupakan sisa-sisa tinggalan Empayar British, mereka tidak memperoleh kemerdekaan kerana majoriti penghuninya memilih untuk kekal berada di bawah penguasaan British.
Walaupun dimiliki oleh United Kingdom, namun wilayah-wilayah ini bukanlah sebahagian daripada United Kingdom. Kebanyakan wilayah tersebut mempunyai kerajaan sendiri yang dipimpin oleh seorang gabenor. Kerajaan ini berfungsi menjalankan kerja-kerja pentadbiran di wilayah berkenaan. Wilayah Luar Negeri British berkongsi ketua negara yang sama dengan United Kingdom iaitu Baginda Ratu Elizabeth II.
Kembali semula kepada Pe.rang Falkland. Keesokan harinya pada 3 April 1982, Pertubuhan Bangsa-Bangsa (PBB) menerusi Majlis Keselamatannya telah mengeluarkan Resolusi 502. Sebuah resolusi yang mengutuk pencerobohan yang dilakukan Argentina dan menuntut supaya pasukan tentera Argentina segera berundur dari pulau milik UK itu.
Kemudian pada 5 April 1982 Perdana Menteri UK pada waktu itu, Margaret Thatcher atau lebih terkenal dengan jolokan ‘the Iron Lady’, Lantas bertindak dengan menghantar pasukan ‘task force’ British sebagai tindak balas bagi merebut kembali wilayah mereka itu.
Ekoran daripada itu, pertempuran sengit telah meletus di antara kedua-dua buah negara yang berebut mahu mendapatkan pulau itu. Pe.rang ini menyaksikan kejayaan berpihak kepada UK. UK berjaya mengekalkan kedaulatan mereka ke atas pulau tersebut manakala kekalahan yang memalukan terpaksa ditanggung oleh Argentina khususnya kerajaan tentera yangbertanggungjawab memulakan pepe.rangan ini.
Secara keseluruhannya, pera.ng ini dilihat memberi kesan yang signifikan ke atas landskap politik tempatan kedua-dua buah negara terbabit. Jadi di dalam artikel ini, penulis akan menceritakan serba sedikit mengenai pera.ng ini dan kesannya kepada negara yang terlibat.
Argentina yang tersakiti
Pastinya pembaca tertanya-tanya mengapa Argentina bertindak sedemikian rupa? Faktor apakah yang mendorong tindakan berani junta tentera Argentina itu untuk ‘cari pasal’ mahu rampas pulau Falkland, sehinggakan berper.ang dengan UK. Oleh itu, bagi memudahkan pembaca memahami faktor kepada tindakan Argentina ini, penulis telah membahagikan faktornya kepada dua, faktor utama dan faktor segera.
Faktor utama sebenarnya berkait rapat dengan suatu tuntutan yang sudah lama dibuat oleh Argentina. Suatu tuntutan yang mendakwa Islas Malvinas atau Pulau Falkland adalah sebahagian daripada wilayah Argentina. Tuntutan oleh Argentina ini bukan saja-saja dibuat. Sebaliknya, Ada sejarah yang kita perlu tahu disebalik tuntutan ini.
Ringkasnya, Selepas Argentina memperoleh kemerdekaan daripada Sepanyol pada tahun 1816. Sepanyol telah menyerahkan Pulau Falkland kepada Argentina. Namun pada tahun 1830, peneroka British datang ke pulau tersebut lalu mengusir kesemua penduduk Argentina yang tinggal di situ. Peneroka British itu juga menghalang penduduk yang dihalau itu tadi daripada kembali ke Pulau tersebut.
Peneroka British bertindak sedemikian kerana dakwaan mereka bahawa pulau tersebut merupakan hak milik asal mereka dengan alasan mereka yang menerokanya terlebih dahulu sekitar abad ke-17. Seterusnya pada tahun 1840, UK dengan rasminya telah meletakkan Pulau Falkland dibawah jajahan mahkota British sekaligus menjadikan pulau itu sebagai hak milik mutlak British.
Impaknya, peguasaan UK ke atas Pulau Falkland telah mewujudkan ketegangan di antara UK dengan Argentina. Argentina yang tidak berpuas hati terus menerus menuntut bahawa pulau itu adalah hak milik mereka dan bukannya milik UK. Kemuncak kepada pertikaian ini berlaku pada tahun 1982 apabila kedua-dua buah negara ini berper.ang sesama sendiri dalam menentukan siapa yang layak menjadi tuan kepada pulau Tesebut.
Seterusnya mari kita lihat faktor segera kepada tindakan Argentina yang mahu rampas Pulau Falkland daripada UK. Terlebih dahulu, kita seharusnya melihat kembali keadaan negara Argentina pada tahun-tahun terakhir sebelum tercetusnya per.ang Falkland. Suasana ekonomi dan politik yang tidak stabil di Argentina pada waktu itu merupakan faktor segera mengapa mereka bertindak mahu merampas Pulau Falkland dari tangan UK.
Hal ini demikian kerana, sepanjang tempoh 1976–1983, Argentina berada di bawah kekejaman pemerintahan kerajaan tentera yang dikenali sebagai National Reorganization Process. Pentadbiran kerajaan tentera yang ternyata tidak berkesan telah mencetuskan pelbagai isu seperti krisis ketidakstabilan negara dan kegawatan ekonomi yang amat teruk.
Selain itu, krisis hak asasi manusia juga tercetus ekoran tindakan kerajaan tentera yang tanpa belas kasihan telah melancarkan pe.rang ke atas rakyatnya sendiri sebagai tindakbalas di atas penentangan mereka terhadap kerajaan tentera. Dampaknya, ribuan nyawa rakyat terkorban dalam ‘pepe.rangan’ yang dikenali sebagai ‘Dirty War’ ini.
Berikutan pentadbiran tentera yang dilihat kejam dan ditambah pula dengan kegagalan mereka dalam menguruskan ekonomi negara, Ianya sudah cukup untuk mencetuskan ketidakpuasan hati rakyat di seluruh negara. Rakyat mula memenuhi jalanan mengadakan proses terhadap kegagalan kerajaan tentera.
Kesannya, populariti kerajaan tentera di kalangan rakyat semakin menurun dan rakyat berpendapat bahawa pemerintahan tentera yang sedia ada perlu segera diganti dengan sebuah pemerintahan yang lebih demokratik.
Melihatkan kemarahan rakyatnya yang sedang membuak-buak dan tiada menunjukkan sebarang tanda-tanda untuk reda, diparahkan lagi dengan nilai populariti kerajaan tentera yang semakin merundum. Presiden Argentina pada waktu itu, Jeneral Leopoldo Galtieri berusaha mencari jalan bagi meredakan segala kekacauan ini. Kemudian sebuah rancangan telah berjaya dibentuk.
Sebuah rancangan untuk melunaskan suatu tuntutan yang pernah dibuat oleh pemerintah Argentina yang terdahulu, suatu tuntutan untuk mendapatkan kembali Pulau Falkland daripada UK. Rancangan untuk mendapatkan Pulau Falkland ini akan dilaksanakan melalui pencerobohan tentera. Namun di sebalik rancangan ini, perlu kita ketahui bahawa sebenarnya ada udang disebalik batu.
Hal ini demikian kerana, selain ingin mendapatkan Pulau Falklands, matlamat sebenar kerajaan tentera pada waktu itu hanyalah untuk mengalihkan pandangan rakyatnya daripada masalah-masalah tadi. Jika rancangan ini berjaya dilaksanakan, maka sudah tentu ianya dapat meningkatkan moral serta semangat patriotik di kalangan rakyat sekaligus dapat menebus kembali populariti kerajaan tentera untuk terus berada di tampuk pemerintahan.
Argentina begitu yakin bahawa mereka dapat merampas Pulau Falkland dengan mudah. Hal ini demikian kerana, menurut salah seorang ahli kerajaan tentera iaitu Panglima Anaya yang juga bertindak sebagai arkitek utama dalam rancangan pencerobohan ini, beliau berpendapat bahawa operasi ini dapat dilaksanakan dengan mudah berikutan bilangan tentera British yang sedikit di Pulau Falkland.
Selain itu, seperti yang kita ketahui selepas Per.ang Dunia kedua, Empayar British mengalami kemerosotan yang berterusan apabila satu persatu tanah jajahan mereka diberikan kemerdekaan.
Oleh itu, Argentina melihatkan kemerosotan yang dialami UK ini sebagai peluang untuk mereka mendapatkan Pulau Falkland. Argentina juga menganggap bahawa UK tidak akan sanggup berbuat apa untuk mempertahankan pulau tersebut disebabkan jaraknya yang beribu batu dari UK.
Akhirnya pada tanggal 2 April 1982, Argentina melancarkan operasi mereka untuk merampas Pulau Falkland daripada tangan UK. Operasi ini dikenali sebagai ‘Operasi Rosarrio’. Operasi pencerobohan ini bermula dengan pengerahan 600 orang tentera Argentina mendarat di sekitar Pelabuhan Stanley.
Pencerobohan ini kemudiannya ditentang habis-habisan oleh tentera British yang pada ketika itu hanya berkekuatan puluhan orang. Memandangkan Argentina mempunyai kelebihan dari segi bilangan tenteranya, tentera British terpaksa akur dan akhirnya menyerah diri, sekaligus membawa kejayaan kepada Operasi Rosarrio. Pencerobohan yang dilakukan pihak Argentina ini telah menandakan bahawa pe.rang diantara mereka dengan UK telahpun bermula.
Sebaik sahaja mendapat berita bahawa Pulau Falklands telah berjaya ditawan, Rakyat Argentina mula berhimpun di hadapan istana presiden bagi menyatakan sokongan dan kegembiraan mereka di atas kejayaan yang dicapai kerajaan tentera. Seperti yang diharapkan oleh kerajaan tentera, maklum balas postif daripada rakyat telah berjaya menaikkan kembali populariti Kerajaan tentera. Namun disebalik kejayaan dan kegembiraan yang singkat ini, kerajaan tentera Argentina tidak sedar bahawa mereka telah menempah ‘malapetaka’ daripada UK.
Sarang tebuan jangan dijolok
Tindakan Argentina yang menceroboh wilayah milik UK boleh diibaratkan dengan satu peribahasa Melayu yang berbunyi “Sarang tebuan jangan dijolok”. Maksud disebalik peribahasa ini jelas menggambarkan bahawa tindakan Argentina yang menceroboh dan merampas Pulau Falklands daripada UK adalah sebuah kesilapan yang besar malah merugikan. Sangkaan Argentina bahawa UK tidak akan berbuat apa-apa sekiranya mereka menceroboh Pulau Falkland ternyata salah. Ternyata Argentina telah melakukan kesilapan besar.
Hal ini demikian kerana, Perdana Menteri Britain pada waktu itu merupakan seorang wanita dan dia bukanlah calang-calang wanita untuk dicari pasal. Margaret Thatcher ialah seorang yang amat tegas pendiriannya lebih-lebih lagi dalam soal menjaga kepentingan nasional. Sehinggakan seorang wartawan Soviet menggelarkan Margaret sebagai “Wanita Besi” atau “The Iron Lady”, nama samaran yang dikaitkan dengan gaya kepimpinannya yang tegas dan tidak berkompromi.
Perlu diketahui bahawa, sebelum berlakunya pencerobohan Argentina ke atas Pulau Falkland pada 2 April 1982. Sebenarnya telah berlaku ‘ser.angan awal’ ke atas kedaulatan UK apabila sekumpulan saudagar Argentina telah bertindak menceroboh dan mengibarkan bendera Argentina di Pulau Georgia Selatan. Pulau Georgia Selatan merupakan sebahagian daripada Wilayah Luar Negeri British yang berdekatan dengan Pulau Falkland.
Tindakan provokatif ini dianggap sebagai ser.angan pertama ke atas UK. UK membalas ‘ser.angan kecil’ ini dengan menghantar kapal peronda mereka HMS Endurance sebagai amaran kepada pihak Argentina supaya menjauhi kawasan perairan di sekitar Pulau Georgia Selatan mahupun Pulau Falkland.
Insiden ini telah meletakkan UK dalam keadaan berwaspada akan mana-mana ancaman ke atas kedaulatan kedua-dua buah pulau berkenaan, terutamanya Pulau Falklands.
UK bertindak dengan pantas sebaik sahaja mendapat tahu bahawa Pulau Falkland telah dicerobohi pada 2 April. Mesyuarat kabinet tergempar telah diadakan bagi membincang akan isu ini.
Hasil daripada mesyuarat tersebut ialah suatu kelulusan telah diberikan bagi membentuk sebuah ‘task force’ yang akan memikul tanggungjawab untuk merampas kembali Pulau Falkland daripada Argentina.
Keputusan ini mendapat sokongan yang utuh dari ‘House Of Commons’. ‘Task force’ yang dibentuk itu berkekuatan 127 buah kapal yang merangkumi 43 Kapal Tentera Laut Diraja, 22 Bantuan Armada Diraja dan 62 buah kapal dagang biasa serta 2 buah kapal pengangkut pesawat.
Jikalau diperhatikan, tindakan pantas yang dilakukan oleh kerajaan UK ini. Ianya jelas memberi gambaran bahawa tekaan Argentina pada awalnya yang mengganggap UK tidak akan berbuat apa-apa untuk mempertahankan Pulau Falkland ternyata salah sama sekali. Hal ini demikian kerana, seperti yang dikatakan tadi, Margaret Thatcher adalah seorang ‘wanita besi’. Beliau sanggup berpe.rang beribu batu jauh dengan Argentina demi mempertahankan wilayah serta maruah UK daripada dicabuli.
Per.ang Bermula
Sebaik sahaja pasukan ‘task force’ British tiba di kawasan perairan Pulau Falkland, misi pertama mereka adalah menguasai perairan di sekitar Pulau Falkland. Bagi menjayakan misi pertama ini, mereka terlebih dahulu perlu menghalau kesemua kapal-kapal tentera laut Argentina yang berlayar di perairan tersebut.
Pada 2 Mei, sebuah kapal selam berkuasa nuklear British dihantar untuk melaksanakan misi ini. Kapal selam tersebut berjaya menenggelamkan sebuah kapal milik Argentina, ARA General Belgrano. Seramai 323 orang anak kapal General Belgrano terkorban dalam kejadian ser.angan itu. Kehilangan kapal itu ternyata memberi impak kepada pasukan tentera laut Argentina.
Hal ini demikian kerana, sejurus kapal ARA General Belgrano karam, Argentina bertindak mengundurkan semua kapal-kapal mereka dari perairan Pulau Falkland, sekaligus membuka laluan kepada Armada British untuk masuk menguasai perairan Pulau Falkland. Sehari selepas insiden se.rangan yang menimpa kapal Argentina tersebut, pasukan tentera udara Argentina pula melakukan sera.ngan balas dengan mengebom HMS Sheffield, sebuah kapal milik British.
Walaupun sudah berjaya menguasai laut, namun ada satu lagi masalah yang dihadapi tentera British. Selama seminggu, tentera udara Argentina memberi tentangan hebat dengan melakukan se.rangan udara ke atas kapal-kapal British yang berlayar di sekitar Pulau Falkalnd. Masalahnya, ruang udara Pulau Falkland pada waktu itu didominasi sepenuhnya oleh jet-jet pejuang Argentina.
Jika masalah ini tidak ditangani dengan segera, maka tidak mustahil armada British akan musnah hanya dengan ser.angan udara oleh Argentina. Oleh itu, Pasukan tentera udara Diraja British membalas dengan menembak jatuh jet-jet pejuang Argentina sebanyak yang mungkin. Sedikit sebanyak berjaya memecahkan dominasi tentera udara Argentina di udara.
Sementara pertempuran yang sengit sedang berlaku di udara, tentera british memilih San Carlos sebagai tapak pendaratan bagi tentera darat mereka. Operasi pendaratan yang dilaksanakan pada 21 Mei itu menerima tentangan hebat daripada tentera udara Argentina. Walaupun menerima se.rangan udara Argentina yang bertali arus sepanjang operasi pendaratan. Akhirnya seramai 4000 orang tentera British berjaya mendarat di Pulau Falkland untuk melakukan ser.angan darat ke atas tentera Argentina.
Seterusnya, pasukan tentera darat British dipecahkan kepada dua, pasukan pertama bergerak ke arah timur untuk menye.rang markas utama tentera Argentina di pelabuhan Stanley manakala pasukan kedua diarahkan untuk bergerak ke utara menuju Goose green. Sepanjang perjalanan tentera British ke tempat yang ditetapkan, mereka telah bertempur dengan tentera Argentina.
Walaupun Argentina mempunyai kelebihan dari segi bilangan tentera, namun majoriti tenteranya terdiri daripada tentera kerahan yang baru. Kebanyakan mereka tidak mendapat latihan yang secukupnya di kem latihan apatah lagi mereka langsung tidak mempunyai pengalaman bertempur. Jika dibandingkan dengan tentera British, majoriti dari mereka begitu berpengalaman dan handal dalam pertempuran.
Oleh itu kebanyakan pertempuran dimenangi dengan mudah oleh pasukan tentera British. Selepas kejayaan menawan Goose Green pada 28 Mei, pasukan British bersiap pula untuk melaksanakan operasi menawan Pelabuhan Stanley. Seterusnya, Pasukan tentera British akhirnya berjaya mengepung pasukan tentera Argentina di Pelabuhan Stanley dan memaksa mereka untuk menyerah kalah. Argentina akhirnya menyerah kalah.
Sepanjang tempoh pepe.rangan yang mengambil masa lebih kurang 74 hari ini, beberapa siri pertempuran telah tercetus di antara tentera British dengan tentera Argentina. Dalam banyak-banyak pertempuran, pertempuran yang paling diingati ialah pertempuran Goose Green. Pertempuran Goose Green dianggap sebagai pertempuran yang penting. Hal ini demikian kerana, pertempuran ini telah merubah haluan dan rentak per.ang yang awalnya berpihak kepada pasukan tentera Argentina yang kemudiannya berpihak kepada tentera British.
Pertempuran Goose Green ialah sebuah pertempuran yang berlaku pada 28 sehingga 29 Mei 1982. Nama Goose Green diambil sempena nama sebuah petempatan di mana berlakunya pertempuran ini. Pertempuran ini merupakan pertempuran darat pertama yang tercetus di antara tentera British dengan tentera Argentina dalam peristiwa Pe.rang Falkland.
Untuk pengetahuan pembaca, pada tarikh 27 Mac iaitu sehari sebelum ser.angan ke atas Goose Green dilancarkan, satu insiden yang tidak diduga telah berlaku. Perbadanan Penyiaran British atau lebih dikenali sebagai BBC, tanpa sengaja telah ‘membocorkan’ maklumat berkenaan rancangan dan strategi tentera British kepada musuh. Hal ini demikian kerana, semasa membuat liputan harian berkenaan pepe.rangan ini, BBC telah menyiarkan berita melalui radio berkenaan rancangan dan strategi tentera British yang akan meny.erang Goose Green.
Walhal maklumat mengenai ser.angan ini adalah sulit dan tidak sepatutnya disebarkan kepada umum. Insiden ini ternyata telah merosakkan rancangan tentera British untuk melancarkan se.rangan secara mengejut ke atas musuh. Namun pasukan tentera British bernasib baik kerana tentera Argentina tidak berbuat untuk meningkatkan pertahanan di Goose Green. Kerana tentera Argentina meragui kesahihan berita yang disiarkan BBC itu.
Tentera British membawa saki baki tentera Argentina yang ditawan keluar daripada Goose Green
Pertempuran Goose Green berakhir dengan kemenangan berpihak kepada tentera British setelah Argentina secara rasminya menyerah kalah. Menurut sumber, seramai 18 orang tentera British dan 47 orang tentera Argentina terbu.nuh sepanjang pertempuran ini berlangsung. Lebih 900 orang tentera Argentina telah berjaya ditawan.
Seterusnya, kemenangan tentera British di Goose Green dilihat telah memberikan impak yang positif kepada UK. Hal ini demikian kerana, kemenangan ini telah berjaya meningkatkan moral dikalangan tentera British dan sekaligus menjadi penyumbang kepada kemenangan mereka dalam pertempuran seterusnya.
Selain itu, kemenangan di Goose Green juga telah berjaya menaikkan sokongan serta kepercayaan rakyat terhadap usaha kerajaan Margaret Thatcher untuk merampas kembali Pulau Falkland daripada Argentina.
Kemenangan yang diidamkan
Peper.angan ini berakhir sejurus gencatan senjata di antara Argentina dan UK diumumkan pada 14 Jun. Seterusnya, Margaret Thatcher membuat tawaran kepada Argentina untuk menyerah kalah secara terhormat dan meminta menyerahkan kembali Pulau Falkland kepada UK. Briged Jeneral Mario Menéndez yang merupakan Komander Argentina akhirnya akur dengan tawaran UK lalu menyerah diri kepada tentera British pada hari yang sama.
Selepas berakhirnya pe.rang, status Pulau Falkland kekal sebagai salah sebuah Wilayah luar Negeri British. Seterusnya, tempoh selepas pera.ng menyaksikan populariti Kerajaan Konservatif pimpinan Margaret meningkat dengan mendadak.
Ramai pihak mengaitkan peningkatan populariti ini berpunca daripada kejayaan menewaskan Argentina dalam Per.ang Falkland. Berikutan kedudukan Perdana Menteri Margaret Thatcher yang semakin mendapat tempat di hati rakyat, Parti Konservatifnya telah menang besar dan berjaya menewaskan parti pembangkang dalam pilihan raya parlimen pada tahun 1983.
Seterusnya, Bagi meningkatkatkan lagi kesetiaan dan hubungan penduduk Pulau Falkland dengan UK, Kerajaan pusat di United Kingdom telah memperkenalkan beberapa dasar dan polisi baru yang dipercayai mampu memberi manfaat kepada penduduk di pulau tersebut. Salah satu dasar yang diperkenalkan ialah berkaitan hak kerakyatan penduduk Pulau Falkland.
Kerajaan pusat di UK telah memberikan hak kerakyatan British kepada penduduk Pulau Falkland sekaligus menjadikan status mereka setaraf dengan rakyat biasa di United Kingdom. Tambahan lagi, Margaret Thatcher sendiri turun padang membuat lawatan ke Pulau Falkland bagi meninjau sejauh mana polisi yang diperkenalkan kerajaannya membantu kehidupan penduduk di pulau itu.
Margaret terkejut apabila melihat gaya hidup penduduk Pulau Falkland yang hampir serupa dengan penduduk di UK. Ini jelas membuktikan bahawa kesetiaan penduduk Pulau Falkland kepada UK amat tinggi.
Tamparan buat kerajaan tentera Argentina
Selepas menderita selama enam minggu menerima tentangan hebat dari pasukan tentera British, Argentina secara rasminya menyerah kalah kepada UK. Sekaligus menamatkan per.ang Falkland. Kekalahan ini merupakan tamparan hebat kepada kerajaan tentera yang dilihat gagal dalam melaksanakan tugas merampas Pulau Falkland daripada UK.
Sehari selepas Argentina menyerah kalah, Ribuan rakyat berpusu-pusu memenuhi setiap jalanan di Ibu kota, Buenos Aires. Rakyat berhimpun mengadakan protes mendesak Presiden Jeneral Leopoldo Galtieri dan seluruh kakitangan kerajaan tentera untuk letak jawatan.
Melihatkan kemarahan serta kekecewaan rakyat yang sudah tidak dapat dibendung, Presiden Jeneral Leopoldo Galtieri akhirnya akur dan meletakkan jawatan beliau. Perletakan jawatan oleh presiden sekaligus mengakhiri pemerintahan tentera di Argentina. Seterusnya, demokrasi di Argentina kembali berfungsi apabila pilihan raya umum diadakan pada 1983 dan Raúl Alfonsín dipilih sebagai presiden yang baru.
Penutup
Secara keseluruhannya, Konflik ini merupakan klimaks kepada krisis pertikaian hak milik Pulau Falklands di antara UK dan Argentina. Konflik pepe.rangan yang berlangsung selama 74 hari ini berakhir pada tanggal 14 Jun setelah Argentina secara rasminya menyerah kalah dan menyerahkan kembali Pulau Falkland kepada UK.
Menurut sumber, Argentina kehilangan seramai 649 orang tenteranya berbanding Britain yang hanya kehilangan 255 orang anggota. Hasil daripada Pera.ng Falkland, UK berjaya menegakkan kembali kedaulatannya ke atas Pulau tersebut.
Selepas per.ang ini berakhir, kedua-dua buah negara mempunyai pandangan mereka yang tersendiri berkenaan konflik ini. Menurut Argentina, mereka menegaskan bahawa Pulau Falkland itu merupakan wilayah mutlak mereka dan bukannya milik UK. Mereka bertegas lagi bahawa tindakan mereka menceroboh Pulau Falklands pada 2 April 1982 itu adalah tindakan yang wajar kerana Pulau Falkland merupakan sebahagian daripada wilayah mereka.
Dari sudut pandang UK pula, mereka mengganggap tindakan Argentina itu sebagai pencabulan ke atas hak wilayah mereka yang telah menjadi sebahagian daripada tanah jajahan Mahkota sejak 1841.
Tambahan lagi, menurut penduduk Pulau Falkland yang telah mendiami pulau itu sejak awal abad ke-19, majoritinya lebih suka untuk hidup di bawah kekuasaan UK berbanding ditadbir oleh Argentina. Hal ini demikian kerana, kebanyakan penduduk di Pulau Falkland adalah keturunan peneroka British.
Hubungan diplomatik di antara Britain dan Argentina semakin pulih setelah kedua-dua buah negara tersebut mengadakan mesyuarat di Madrid pada tahun 1989. Mesyuarat tersebut berjaya mendapatkan kata sepakat di antara kedua-dua buah negara tersebut berkenaan Pulau Falkland.
Namun pada tahun 1994, Argentina telah menerima pakai sebuah Perlembagaan baharu. Perlembagaan tersebut mengisytiharkan bahawa Pulau Falkland adalah sebahagian daripada wilayahnya .Walau bagaimanapun, sehingga ke hari ini Pulau Falkland terus berada di dalam tangan UK.
Kesimpulannya, walaupun UK menghadapi pelbagai kesukaran dan kerugian sepanjang usahanya bagi merampas kembali Pulau Falkland daripada Argentina. Namun, segala usaha mereka itu tidak sia-sia kerana kemenangan di Pulau Falkland tetap dianggap dan diangkat sebagai salah sebuah kemenangan terhebat sepanjang sejarah ketenteraaan British.
Rujukan
-Buku
Greig, R., Parrett, T., & Bankes, S. (2019). Britain’s greatest victories: Discover the makings of a nation. Future PLC.
-Internet
Wikimedia Foundation. (2021, November 23). Falklands W.ar. Wikipedia. Retrieved from https://en.wikipedia.org/wiki/Falklands_W.ar.
Wikimedia Foundation. (2021, July 6). Events leading to the Falklands W.ar. Wikipedia. Retrieved from https://en.wikipedia.org/wiki/Events_leading_to_the_Falklands_W.ar.
Falklands W.ar 1982 documentary. YouTube. (2019, March 17). Retrieved from https://youtu.be/3e8Ms0pbPcw.
The Falklands W.ar (1982). YouTube. (2018, January 6). Retrieved from https://youtu.be/TV0h-aLrOCg.
Artikel oleh Fakhry Harraz untuk The Patriots,
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih