Dalam lingkungan literasi lokal mahupun global, Paulo Coelho merupakan satu nama yang tidak asing lagi. Sebagai seorang novelis, karya beliau banyak menyentuh perihal perjalanan rohani, pencarian makna, dan pembaikan diri dengan bermuarakan nilai sejagat.
Tumpahan tintanya boleh dikatakan sarat dengan sari ajaran pelbagai agama dan budaya hinggakan pembacanya yang datang dari ceruk mana sekalipun jarang berasa canggung dalam melumati pesan-pesan spiritual yang dimuatkan di dalamnya – walaupun masih, ia tetap tidak bebas daripada kri.tikan dan keca.man.
Perkongsian kali ini bagaimanapun lebih bermaksud mengimbau secara ringkas riwayat hidup seorang Paulo Coelho yang melewati penghujung usia remajanya di pusat psikiatri untuk kemudian harinya berdiri di pentas persada sebagai penulis hidup yang karyanya paling banyak diterjemahkan di dunia.
Paulo Coelho de Souza memulakan perjalanan hidupnya pada 24 Ogos 1947 di Rio de Janeiro, bandar sama yang melahirkan beberapa bintang bola sepak tersohor seperti Zico, Thiago Silva dan Marcelo. Beliau lahir sebagai cahaya mata Lygia Araripe dan Pedro Quiema yang masing-masing merupakan penganut Kristian-Katolik yang taat.
Semenjak kecil, Coelho dilenturkan dengan pembawaan beragama yang sihat. Beliau sendiri mendapatkan pendidikan awal di sekolah Jesuit (Our Lady Victorious School. Botafogo dan St. Ignatius College, Rio de Janeiro). Suasana sebegini banyak mempengaruhi kehidupan dewasanya kelak, baik dalam penulisan karya mahupun perjalanan suci merentasi Jalan Santiago.
Beliau semasa usia remajanya bagaimanapun kurang sehaluan dengan penerapan sedemikian. Tradisi Katolik yang diamalkan oleh keluarga beliau tidak begitu serasi dengan peribadinya. Coelho juga bersilang arah dengan orang tuanya dalam hal pemilihan cita-cita.
Sedari kecil, beliau berimpian mahu menjadi seorang penulis. Namun, impian ini tidak direstui ibunya yang menginginkan beliau menjadi peguam – satu kerjaya yang setidak-tidaknya sama stabil dengan jurutera, seperti ayahnya.
Perbezaan ini membibitkan kerenggangan antara mereka. Ditambah pula dengan personalitinya yang cenderung anti-sosial, Coelho lantas dimasukkan ke dalam pusat psikiatri sebanyak tiga kali sejak usia 17 tahun.
Pengalaman ini tentunya meninggalkan calit pahit yang tentunya bukan sedikit dalam dirinya. Masa-masa yang diluangkan di pusat psikiatri ini diabadikan ke dalam bukunya yang berjudul Veronica Decides to Die.
Pada umur 20 tahun (tahun 1967), Coelho dilepaskan setelah akur untuk melanjutkan pengajian dalam bidang perundangan. Keadaan ini tidak bertahan lama. Tahun 1970 (umur 23), beliau membawa diri ke pelbagai ceruk Amerika Selatan dan Mexico. Sekitar masa ini, Coelho banyak bergelumang dengan sub-budaya hippie.
Dua tahun kemudian, Coelho pulang untuk menceburi industri seni. Beliau menjadi seorang penulis lirik untuk beberapa orang penyanyi, antaranya Rita Lee, Elis Regina, dan Raul Seixas. Coelho juga sempat menimba pengalaman menjadi jurnalis, pelakon, dan pengarah teater.
Boleh dikatakan, kariernya sebagai lirikis meniti hari-hari manis selepas kolaborasinya dengan Raul Seixas melahirkan sebuah album berjudul Krig-ha, Bandolo’ (1973). Album ini memuatkan 11 buah lagu, antaranya ‘Mosca na Sopa’, ‘As Minas do Rei Salomao’, ‘Al Capone’, dan ‘Rockixe’ yang sebahagiannya turut dinyanyikan oleh beliau sendiri bersama Seixas.
Sayangnya, kejayaan yang disangka panas hingga ke petang ini ternyata hujan di tengah hari. Pembawaan haluan kiri di dalam bait-bait liriknya membuatkan Coelho ditang.kap dan dipen.jarakan oleh rejim kerajaan pada 1974.
Tempoh pemen.jaraan ini diakui sendiri oleh beliau sebagai detik paling menya.kitkan dalam hidupnya. Ia tidak menghairankan. Beliau dide.ra dan diberi ren.jatan elektrik sepanjang berada di sana.
Apapun, bak kata beliau, “Rahsia kehidupan adalah jatuh tujuh kali dan bangun lapan kali.” Selepas dibebaskan, Coelho bekerja di sebuah syarikat rakaman bernama Polygram and CBS Records sehingga tahun 1980. Tahun sama, beliau mendirikan rumahtangga bersama Christina Oiticica setelah dua perkahwinan lamanya ga.gal (1971-1974 bersama Gisa dan 1976-1977 bersama Cissa).
Jika diimbau kembali, empat dekad awal dalam hidup Coelho cukup berliku. Sejak kecil, beliau menghidap asma, di samping mengalami kri.sis dengan keluarga. Meningkat dewasa, beliau terlibat pula dengan da.dah, mistisisme, dan gerakan ‘sub.ve.rsif’.
Kolam pengalaman ini banyak mengilhami dan melatari karya-karyanya; bermula dari The Pilgrimage (1987) hingga ke Hippie (2018). Kebangkitan ini sesuai dengan kata-katanya, “Pujuk dan beritahu hati yang takutkan kesa.kitan itu lebih menya.kitkan berbanding kesa.kitan itu sendiri. Cuma ada satu perkara saja yang boleh memustahilkan sesebuah impian; iaitu takutkan kegagalan.”
Menginjak usia 40-an, kehidupan Coelho mula stabil. Selepas menghasilkan Hell Archives (karya pertamanya) pada 1982, Coelho bersama Oiticica membawa diri ke Perancis (sebelum berpindah ke Geneva, Switzerland yang menjadi latar bagi novel Adultery). Empat tahun berikutnya, Coelho melakukan perjalanan ‘suci’ yang dianggap mengubah sepenuhnya hidup beliau.
Perjalanan ini disebut sebagai ‘Perjalanan ke Santiago’ dan melibatkan jarak sejauh 500 batu; dari St. Jean –Pied-du-Port, Perancis menuju ke Santiago de Compostela, barat laut Sepanyol. Perjalanan ini banyak menghidupkan kembali sisi spiritual dalam diri Coelho.
Semenjak itu jugalah Coelho memberikan komitmen penuh dalam dunia penulisan. Novel The Pilgrimage (O Diário de um Mago) menjadi karya sulung beliau yang diraikan. Setahun kemudian (1988), The Alchemist pula diterbitkan. Cetakan awalnya cuma sebanyak 900 naskhah sahaja, tanpa sebarang cetakan ulangan. Setelah karya berikutnya, Brida memasuki pasaran, barulah The Alchemist mendapat tempat di rumah penerbitan yang lebih berkaliber.
Karya yang ditulis dalam tempoh dua minggu suntuk ini dianggap sebagai magnum opus Coelho, dengan rekod jualannya sehingga hari ini mencecah 65 juta naskhah dan telah pun diterjemahkan ke dalam lebih 80 buah bahasa – sekali gus membuatkan Paulo Coelho diiktiraf oleh Guinness World Record sebagai penulis hidup yang karyanya paling banyak diterjemah.
Novel-novel lain juga tidak kurang hebat. The Zahir misalnya menerima anugerah Kiklop Literary Award Hit of the Year, Croatia (2006). Begitu juga dengan The Fifth Mountain (International IMPAC Literary Award Finalist, Ireland – 2000) dan Eleven Minutes (Ex Libris Award, Serbia – 2004).
RUJUKAN
Biography.com. (1 April 2014). Paulo Coelho Biography.
https://www.biography.com/writer/paulo-coelho
Sarkar, Somnath. (13 Februari 2016). Interesting Facts about Paulo Coelho, an International Best Selling Novelist. English Literature.
https://www.eng-literature.com/2016/02/biographical-sketch-of-paulo-coelho.html
Bodenheimer, Rebecca. (12 Ogos 2019). Biography of Paulo Coelho, Brazilion Writer. ThoughtCo.
https://www.thoughtco.com/paulo-coelho-4767086
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih