Tampak sama. Kesemuanya adalah perkataan-perkataan yang kita biasa gunakan untuk menerangkan konsep-konsep ketaatan dan kesetiaan dalam konteks sebuah negara. Tetapi, apakah perkataan-perkataan ini membawa maksud sama? Atau ada perbezaan ketara antara perkataan-perkataan ini?

Patriotisme merujuk kepada semangat cintakan negara dan institusi-institusi yang menjadi lambang kepada negara berkenaan. Seseorang yang patriotik bukan sahaja mencintai negaranya malahan institusi-institusi penting dalam negara tersebut.

Dalam konteks Malaysia, ini merujuk kepada institusi Majlis Raja-Raja serta lambang-lambang berkaitan, serta sistem kerajaan Malaysia seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Individu terbaik dalam melambangkan patriotisme adalah Laksamana Hang Tuah. Beliau bersedia dihukum mati walaupun difitnah, dan bersedia menentang saudaranya Hang Jebat apabila diarahkan bagi mempertahankan institusi yang beliau sayangi.

Patriotisme itu tidak statik. Tetapi berubah mengikut zaman berdasarkan kepada institusi-institusi yang melambangkan negara tersebut. Dalam konteks ini, entiti kuasinegara dengan institusi-institusinya sendiri boleh jadi menjadi sandaran taat setia kepada mereka yang mengelarkan diri mereka sebagai patriot. Dan dari sinilah munculnya konsep yang biasanya dibahasakan dalam Bahasa Inggeris sebagai one man’s patriot is another man’s terrorist, atau seseorang adalah patriot kepada individu itu adalah pengganas kepada individu lain.

Konsep taat setia bagi Malaysia sendiri sepanjang zaman semenjak zaman kesultanan Melaka dan kesultanan Kedah perlu dilihat dalam konteks yang jauh lebih besar dan terbuka. Apa yang kita ada hari ini sebenarnya agak jumud, yakni menafsirkan taat setia penduduk zaman tersebut mengikut konteks kenegaraan kita.

Sebaliknya, kita perlu faham bahawa sepanjang zaman itu sehingga ke hari ini, institusi-institusi yang kita kenali hari ini telah melalui pelbagai peringkat evolusi, daripada sebuah kerajaan kecil di muara sungai, sehinggalah pelbagai kesultanan yang mempunyai pertindihan sempadan antara satu sama lain, dengan sempadan kuasa politik yang jauh berbeza daripada apa yang kita kenali hari ini.

Kehadiran kaum bukan Melayu, yakni Cina dan India ke bumi ini menambahkan lagi kerumitan dalam penafsiran patriotisme, di mana taat setia generasi-generasi awal adalah khusus kepada tanah asal mereka iaitu China dan India.

Hanya selepas konsep kenegaraan yang merangkumi kedua-dua kaum ini bermula selepas 1 Februari 1948 barulah patriotisme kepada Persekutuan Tanah Melayu mula terbentuk. Itu pun pada hari ini, patriotisme ini sedikit sebanyak terhakis akibat kegagalan memahami dan menerima institusi-institusi penting negara yang perlu dipertahankan.

Mungkin perkataan terhakis itu kurang tepat, tetapi lebih kepada evolusi konsep itu sendiri dan juga masalah identiti budaya, yang kita akan bincangkan sebentar lagi.

Nasionalisme merujuk kepada kebanggaan seseorang itu terhadap kebudayaan yang mana dia merupakan ahli kepada kebudayaan tersebut. Dalam konteks kenegaraan, semangat inilah yang membentuk negara bangsa seperti yang kita lihat di Jepun, di Jerman, dan di Perancis di awal abad ke-20. Dan kita masih lagi boleh lihat semangat ini ketara di Jepun dan Korea Selatan. Di negara-negara tersebut, semangat kebangsaan ataupun nasionalisme adalah sinonim kepada patriotisme.

Tetapi dalam konteks Malaysia, semangat kebangsaan merujuk kepada semangat bangga kepada kebudayaan, seperti disebut awal tadi.

Semangat inilah yang mencorak penglibatan politik bagi hampir setiap kaum di Malaysia di mana orang Melayu dengan pergerakan UMNO yang berjaya menumbangkan Malayan Union, Cina dengan pergerakan yang akhirnya membawa kepada Dr Sun Yat Sen menjadikan Pulau Pinang pusat operasi beliau dalam membawa revolusi ke China, dan juga yang membawa semangat kepada orang India untuk menyertai Subash Chandra Bose dalam Indian National Army yang dilihat sebagai sebab sebenar kebangkitan semangat nasionalisme di India sehinggalah India mencapai kemerdekaan daripada British.

Namun, semangat kebangsaan atau nasionalisme ini seperti pisau bermata dua. Jika tidak digunakan secara berhati-hati, maka boleh menjadi pisau yang menoreh tangan sendiri.

Kita boleh lihat dalam kebangkitan fahaman fasisme, yang terbit daripada semangat nasionalisme melampau sehingga menganggap kaum sendiri sebagai kaum terulung dan memandang rendah serta menindas kaum lain.

Pada masa sama, kita juga berhadapan dengan masalah identiti kebangsaan. Dengan China, Taiwan dan Singapura yang beridentitikan budaya Cina, serta India yang beridentitikan budaya India, berlaku kecelaruan identiti semangat nasionalisme ini.

Mungkin ada yang ingin menyangkal pendapat ini, tetapi apabila ada yang melafazkan kebanggaan terhadap kejayaan negara China, serta ada individu memegang kad pengenalan biru yang melaungkan kata-kata “Jai Hind”, ini bermakna pengaruh identiti nasionalisme negara-negara tersebut telah meresap ke dalam negara kita.

Apabila kita membicarakan tentang fasisme, yang kebetulan saya sentuh awal tadi, seorang rakan pernah meluahkan persoalan. Apakah jika seseorang yang bangga akan asal-usulnya, yang mempertahankan penggunaan bahasa ibundanya, mempertahankan pakaian kebudayaannya, mempertahankan agamanya, dianggap fasis dan perkauman?

Saya menjawab kepada rakan tersebut, bukan. Tidak salah berbangga dengan budaya, bahasa, pakaian tradisional sendiri. Itu bukan fasisme, ataupun perkauman langsung. Dan itu bukan fasisme.

Tetapi apabila seseorang itu terlalu mengagungkan budaya, bahasa dan agama sendiri sehinggalah menghina dan menjatuhkan budaya, bahasa dan agama orang lain selain daripada yang dipegangnya sendiri, barulah seseorang itu boleh dianggap sebagai bersikap perkauman. Apatah lagi sekiranya seseorang itu cuba menerapkan budaya, agama dan bahasanya ke atas individu lain secara paksaan.

Untuk membicarakan hal ini lebih mendalam, mungkin satu penulisan lain diperlukan. Dan kita pasti akan keluar tajuk daripada apa yang ditulis hari ini.

Jadi, kembali kepada topik perbincangan. Apakah patriotisme? Apakah nasionalisme? Dan apakah implikasi maksud perkataan-perkataan ini terhadap taat setia dan konteks kenegaraan Malaysia?

Bagi saya, sebagai seorang individu, saya menganggap diri saya seorang patriot kerana saya mencintai negara kita, serta institusi-institusinya. Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong adalah raja saya, dan saya menjunjung Majlis Raja-Raja.

Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan dan saya cuba memastikan saya cukup fasih dengan bahasa ini.

Parlimen adalah institusi perundangan negara dan ditadbir melalui Perlembagaan Persekutuan, memetik kata-kata mendiang Tan Sri Yuen Yuet Leng, adalah adil dengan bertindak tidak adil kepada semua orang.

Sebagai bukan Melayu, saya masih lagi boleh mengamalkan kebudayaan saya sendiri dan boleh berbangga dengan susur galur saya sendiri. Malahan mengamalkan bahasa Mandarin dan Hakka (yakni bahasa ibunda saya sendiri).

Tetapi, apakah saya cukup patriotik? Saya tidak tahu. Dan ada kalanya, saya sendiri merasakan saya tidak cukup dan tidak layak menggelarkan diri saya sebagai seorang patriot.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang pemalas dari Sarawak. Royalist, Federalis, pemerhati dunia pertahanan, ekonomi dan geopolitik. Seorang pengumpul buku. Memiliki PHD (permanent head damage) selepas kepalanya jatuh terhantuk di atas jalan raya. Memegang ijazah Sarjana Muda Perakaunan dari Universiti Sains Malaysia serta merupakan seorang Akauntan Bertauliah dari Institut Perakaunan Malaysia.

Comments are closed.