Kalau berbicara tentang syarikat penerbangan terbaik di dunia, nama Qatar, Singapura, dan Jepun memang mengungguli carta. Tetapi kalau soal syarikat penerbangan paling besar, tiada siapa dapat menandingi American Airlines.

Dengan sejarahnya yang berusia hampir seabad (ditubuhkan pada 1926), American Airlines saban tahun konsisten menerbangkan ratusan juta penumpang. Statistik tahun lepas misalnya mendapati bahawa secara purata, ia mengangkut seramai 198.7 juta penumpang setiap tahun menggunakan 956 buah pesawat.

Data harian pula memaparkan betapa ia mengendalikan sejumlah 6,700 penerbangan pada setiap hari, atau satu penerbangan bagi setiap 13 saat. Laluan penerbangannya juga agak besar, merangkumi 350 destinasi di 56 buah negara dengan kapasiti keseluruhan mencecah 260 juta kerusi.

Walaupun memiliki saiz dan pengalaman sebegitu luas, American Airlines pada satu ketika dahulu pernah melakukan satu kesilapan yang cukup merugikan.

Ia bermula pada tahun 1981. Ketika itu, Akta Deregulasi Syarikat Penerbangan 1978 baru sahaja dipinda. Ia bertujuan memperkenalkan sistem pasaran bebas ke dalam industri tersebut, di mana kerajaan tidak lagi campur tangan dalam beberapa perkara seperti tambang dan laluan penerbangan.

Contoh imej pas penerbangan seumur hidup yang dikeluarkan oleh American Airlines

Dasar ini sememangnya berjaya meningkatkan persaingan, merendahkan harga, dan menambahkan pilihan buat pengguna. Cuma dalam tempoh terdekat, beberapa syarikat mengalami kerugian yang agak besar. American Airlines misalnya menanggung kerugian sebanyak $76 juta (bersamaan $250 juta hari ini) menjelang 1980-an.

Tambahan, pada masa itu harga tiket masih agak mahal. Justeru, ia hanya terhad dalam kalangan orang berada sahaja. Untuk tahu mahal tidak mahal, cuba lihat perbandingan ini: Pada tahun 1941, harga tiket dari Boston ke Los Angeles adalah $4,810 bagi setiap seorang (telah diselaras dengan inflasi). Sementara pada 2015, tiket bagi perjalanan sama hanya berharga $480. Ini belum lagi kita sentuh tentang masa perjalanan: dari 15 jam 15 minit berkurang kepada 6 jam.

Oleh kerana itu, bilangan penumpang yang diterima tidak cukup ramai untuk menampung kerugian yang ditanggung oleh American Airlines. Bagi menangani masalah tersebut, mereka lantas memperkenalkan satu program iaitu AAirpass.

AAirpass secara asasnya merupakan pas penerbangan sepanjang hidup. Yakni dengan sekali bayar, pemegang pas akan menerima layanan kelas pertama untuk terbang ke mana sahaja pada bila-bila masa.

Pas ini hadir dalam dua pakej, iaitu pakej solo dan pakej duo. Pakej solo berharga $250,000 dan tambahan $150,000 perlu dibuat untuk menaik taraf pakej. Saban tahun, harganya meningkat – $600,000 pada 1990 dan $1.01 juta pada 1993.

Bercakap tentang program langganan premium, kami di The Patriots juga ada menawarkan program kesetiaan bernama Patron yang boleh dilanggan di sini: t.ly/vCSx

Dalam tahun pertama sahaja, mereka menerima seramai 28 keahlian. Tuntas, hampir $10 juta juga berjaya dijana. Ini kerana kebanyakan mereka turut mengambil pas tambahan. Cuma 13 tahun selepas ia diperkenalkan, American Airlines memutuskan untuk menghentikan penjualan pas berkenaan.

Hal ini kerana mereka menyedari kos penerbangan bagi rata-rata pemegang pas melebihi nilai yang dijana. Erti kata lain, mereka menanggung rugi. Jumlah kerugian bagaimana pun hanya diketahui pada tahun 2007, setelah pasukan penganalisa kewangan membuat penilitian.

Menurut mereka, dalam ramai-ramai ahli, ada dua orang yang mengakibatkan kerugian paling besar. Mereka ialah Steve Rothstein dan Jacques Vroom.

Untuk memberikan layanan kelas pertama kepada mereka berdua sahaja – bersama pengguna pas tambahan –  American Airlines perlu berbelanja sebanyak $40 juta. Ini termasuk biaya cukai dan kos kerugian akibat tiket yang tidak terjual (kerana mereka menempah lalu membatalkannya pada saat akhir).

Menurut anggaran, jarak penerbangan masing-masing mencecah lebih 30 juta batu. Jarak untuk mengelilingi bumi pun baru 25,000 batu. Jadi bayangkan, ia seumpama mereka mengelilingi bumi sebanyak 1,200 kali!

Dalam tempoh 21 tahun sejak membeli AAirpass, Rothstein dipercayai melakukan lebih 10,000 penerbangan. Ini merangkumi 1,000 penerbangan ke New York, 500 ke San Francisco, Los Angeles dan London, dan lebih 100 kali ke Tokyo, Paris, Sydney, dan Hong Kong.

Bukan semua dilakukan atas urusan penting. Kadangkala, dia akan terbang ke Ontario hanya untuk membeli sandwic, atau ke London untuk membeli syampu, dan kemudian pergi ke Paris untuk makan tengahari.

Kiri: Steve Rothstein. Kanan: Jacques Vroom

Begitu juga halnya dengan Vroom. Setiap hujung minggu, dia akan terbang ke Maine untuk melihat anaknya bermain bola di kolej. Dia juga kerap terbang ke Washington DC untuk mengambil bapa mertuanya supaya jagakan anaknya di rumah.

Selain mereka berdua, ramai juga pengguna pas yang melakukan hal sama. Contohnya Mike Joyce yang terbang ke London sebanyak 16 kali dalam masa 25 hari – jumlah yang sepatutnya boleh menjana jualan setinggi $125,000.

Di samping terbang terlalu kerap, mereka juga menempah terlalu banyak tiket hanya untuk membatalkannya pada saat-saat akhir. Rothstein sebagai contoh membuat 3,009 tempahan dalam tempoh kurang 4 tahun, rata-rata melibatkan dua kerusi. Namun, hanya 486 tempahan sahaja yang benar-benar diisi. Selebihnya dibatalkan.

Memang Rothstein dan Vroom kerapkali gunakan pas mereka untuk tujuan kebaikan. Misalnya, membawa penumpang tidak dikenali untuk berjumpa keluarga mereka yang tinggal jauh. Atau, menerbangkan pesakit bagi mendapatkan rawatan.

Tetapi, ini menimbulkan spekulasi konon mereka menjual pas tersebut (kerusi kedua) lalu mengaut untung (yakni beli dua tiket; satu untuk kegunaan sendiri dan satu lagi untuk dijual kepada orang lain).

Perkara tersebut dibangkitkan oleh American Airlines. Ia dijadikan alasan untuk mendakwa dan membatalkan pas milik Rothstein dan Vroom. Namun, kedua-duanya menafikan. Menurut mereka, tiada terma dan syarat yang dilanggar. Ini kerana perjanjian asal langsung tidak menyebut perihal larangan menjual pas kepada pihak ketiga.

Kronologi kes antara Rothstein dan American Airlines. Sumber: The Guardian

Saman kemudian difailkan oleh kedua-dua pihak. Tentunya, melawan syarikat gergasi bukan satu kerja mudah. Apatahlagi bila America Airlines sanggup menjejak orang-orang yang pernah terbang bersama Vroom dan Rothstein – untuk dapatkan pengakuan bahawa mereka pernah membayar sejumlah harga untuk membeli tiket (kerusi) daripada dua individu itu.

Telus ataupun tidak permainan kedua-dua pihak, tiada siapa dapat sahkan. Tetapi apa yang pasti, pas milik Rothstein dan Vroom akhirnya dibatalkan pada tahun 2008 – setelah American Airlines menanggung puluhan juta dollar akibat salah percaturan.

RUJUKAN:

Asquith, James. (2019, 13 November). Unlimited First Class Flights for Life – How American Airlines Made the Most Expensive Mistake in Aviation History. Forbes.

Bailey, Liam Hunter. (2021, 12 July). American Airlines’ $40 Million Mistake Which Still Haunts Them Today. History of Yesterday.

Logie, Jamie. (2021, 27 October). The Disaster of the American Airlines AAirpass. Medium.

Singh, Jay. (2021, 30 October). Making the World’s Largest Airline: The History of American Airlines. Simple Flying.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Leave A Reply