Sebaik sahaja selepas 31 Ogos 1957, Tunku Abdul Rahman telah mengarahkan supaya risalah ini diedarkan bermula 1 September 1957. Risalah ini digugurkan di kawasan hutan dan pinggiran-pinggiran penempatan di sekitarnya, ditujukan khusus kepada pengganas komunis dan penduduk Tanah Melayu ketika itu.
Ia merupakan risalah 2 dalam 1; pertama untuk menyebarkan hasil Rundingan Baling bilamana Chin Peng berjanji akan meletakkan senjata, keluar dari hutan sebaik sahaja Tanah Melayu telah Merdeka.
Kedua, ia berfungsi sebagai “pas laluan selamat” kepada sesiapa sahaja yang membawanya (pengganas komunis) untuk diserahkan kepada sesiapa yang akan membantu pula mereka untuk menyahut seruan “Tawaran Pengampunan Merdeka”.
Pengganas komunis yang bersetuju untuk menerima tawaran ini perlu menyerahkan atau memberitahu kedudukan senjata mereka sebelum diberi pengampunan. Mereka juga dibenarkan untuk kembali kepada keluarga dan masyarakat, menjalani kehidupan normal selagi mereka kekal taat setia kepada pemerintah dan kerajaan Tanah Melayu yang Merdeka.
Tawaran sama juga terbuka kepada mereka yang tetap tidak mahu meninggalkan ideologi dan kiblat Komunis, namun mereka ini akan dihantar pulang ke China, dengan janji oleh Tunku Abdul Rahman ini bahawa mereka tidak akan ditahan atau disoalsiasat tentang kegiatan subversif mereka di Tanah Melayu.
Risalah dan tawaran di dalamnya ini berkuatkuasa mulai 1 September 1957 sehingga 31 Disember tahun yang sama.
Tunku menyatakan bahawa barangsiapa yang masih kekal berada di dalam hutan dan mengangkat senjata, menggerekkan aktiviti subversif komunis dan Parti Komunis Malaya (PKM) selepas tamat tawaran ini adalah dengan sengaja menentang sebuah kerajaan sah Tanah Melayu yang Merdeka.
Seperkara yang menarik dan tak ramai yang tahu, pemakluman tentang Pas Laluan Selamat dalam risalah ini turut menggunakan Bahasa Shona. Ia merupakan bahasa yang dipertuturkan oleh anggota tentera dari Rhodesia Selatan, koloni British di Afrika.
Jadi maksudnya, jika ada anggota tentera Rhodesia Selatan ni didatangi mana-mana pengganas komunis atau ahli PKM yang mahu diampunkan, mereka akan faham butiran risalah yang diberikan nanti.
Ada dua unit tentera mereka yang turut menyertai penentangan terhadap Malayan National Liberation Army (MNLA), atau PKM di Tanah Melayu. Tentera dari Rhodesia Selatan ini merupakan sebahagian dari pasukan negara Komanwel, yang berkhidmat di Tanah Melayu untuk memastikan proses kemerdekaan Tanah Melayu berjalan lancar, sejak 1956 sehingga 1958.
Risalah ini jelas menunjukkan bahawa selain perjuangan bersenjata menentang keganasan Komunis dan PKM, Tunku tetap optimis dengan hasil Rundingan Baling (walaupun diketahui umum ia gagal). Beliau tetap mahu memberi peluang, memenangi hati dan fikiran rakyat, terutamanya pengganas komunis ini kembali kepada kehidupan normal, sekaligus memberi mereka peluang untuk sama-sama menyokong Tanah Melayu yang telah Merdeka.
Namun dalam kelembutan Tunku ini, beliau tetap menegaskan bahawa usaha memerangi dan operasi membasmi dan menghapuskan ancaman komunis akan tetap diteruskan tanpa henti bagi memastikan negara ketika itu terus aman selepas Merdeka.
Sejarah membuktikan bahawa Chin Peng sendiri enggan akur dan menolak tawaran ini selepas itu. Dia bersama pengikutnya, saki baki ahli PKM melarikan diri berundur ke hutan Thailand dan terus menerus melancarkan s.era.ngan, mengancam keselamatan dan kesejahteraan rakyat Tanah Melayu yang Merdeka.
Usaha mereka untuk terus memerangi sebuah kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dan kemudian Malaysia yang sah dan dipilih rakyat bahkan diteruskan bahkan mencetuskan pula Darurat Kedua sejak tahun 1968 sehingga 1989.
Betapa ramai sekali anggota keselamatan dan orang awam yang terkorban sepanjang tempoh tersebut, membuktikan bahawa komunis dan PKM tidak pernah mahukan sebuah negara yang bebas Merdeka dan bukanlah pejuang kemerdekaan, tetapi tamak mahukan sebuah negara yang tunduk kepada pengaruh dan ideologi komunis yang mereka anuti.
Selamat Hari Malaysia!




No comments yet