1. FESTIVAL MABUK
Berdasarkan kajian arkeologi yang dijalankan di Kuil Mut di Luxor, Mesir, mereka mendapati penduduk pada zaman Mesir purba menganjurkan Festival Mabuk yang diadakan sekali setiap tahun semasa pemerintahan Ratu Hatshepsut. Sambutan ini mempunyai pengaruh keagamaan membabitkan Dewi Sekhmet. Mengikut kepercayaan masyarakat ketika itu, Sekhmet merupakan dewi pahlawan wanita dengan kepala berbentuk singa betina dan mempunyai tubuh manusia. Nafasnya dikatakan membentuk padang pasIr dan bertanggungjawab sebagai pelindung pemerintah Mesir, Firaun.
Dalam mitos ini, Sekhmet dikatakan hampir-hampir memusnahkan umat manusia sebelum minum terlalu banyak arak dan pengsan. Oleh sebab itulah, pesta ini dianjurkan untuk masyarakat bersuka-ria tanpa had. Untuk mengenang semula penyelamatan mereka akibat arak yang diminum Sekhmet, masyarakat Mesir purba akan menghabiskan malam mereka dengan menari, mengadakan hubungan seks kasual dan minum arak sebanyak mungkin sehingga ke tahap mabuk. Pesta ini akan berakhir pada waktu pagi di mana para pengunjung yang masih mabuk akan dikejutkan dengan bunyi gendang.
2. PARTI PEMBUNUH!
Ini bukan rujuk mana-mana parti politik ya tapi merujuk kepada satu insiden dalam satu majlis yang dianjurkan Permaisuri Perancis, Isabeau dari Bavaria. Majlis yang diadakan pada 28 Januari 1393 ini diadakan bagi meraikan perkahwinan salah seorang dayang Isabeau. Tumpuan utama majlis ialah tarian membabitkan Raja Charles VI dan lima bangsawan Perancis. Mereka memakai kostum lelaki liar yang diperbuat daripada linen, flaks dan tali pakal. Baru beberapa minit Charles VI dan bangsawannya menari, datanglah adindanya yang juga Duke dari Orleans, Louis I dalam keadaan mabuk dengan membawa sebuah pelita.
Malangnya apabila Louis I terlalu rapat dengan kumpulan penari, baginda terbakar salah seorang penari yang dipenuhi dengan resin dan ia mula merebak kepada penari-penari lain. Raja Charles VI terselamat selepas ibu saudaranya segera menutup dirinya untuk memadamkan api. Sementara seorang lagi lelaki berjaya memadamkan api dengan terjun ke dalam tangki logam yang mengandungi wain. Bagaimanapun empat lagi penari disambar api dan mati terbakar.
3. MAN HAN QUAN XI
Pesta Man Han Quan Xi atau Pesta Makan Diraja Han Manchu ini sebenarnya boleh dikatakan sambutan ulangtahun kelahiran Maharaja Dinasti Manchu Ke-66, Kangxi tetapi juga peluang menyatupadukan rakyat berbangsa Han dengan pemerintah Manchu. Selama tiga hari, 2,500 tetamu makan 300 hidangan dan kudapan yang lazat dan pelik dalam sesetengah kes seperti tapak kaki beruang, anak harimau kumbang dan otak monyet. Pesta ini berlaku pada kemuncak kemewahan dinasti tersebut dan ia amat popular sehingga diteruskan beberapa kali semasa era pemerintahan Qing. Dan hari ini, sesetengah restoran mewah China menyediakan hidangan-hidangan yang diinspirasikan daripada menu Manchu-Han.
4. ULANGTAHUN KELAHIRAN SHAH IRAN
Pada tahun 1971, Shah Iran, Muhammad Reza Pahlavi mengadakan satu pesta untuk meraikan ulangtahun ke-2,500 penubuhan Empayar Parsi oleh Cyrus Yang Agung. Sambutan meriah ini diadakan di sebalik bayang-bayang bandar tinggalan lama Persepolis. Sebagai sebahagian daripada persiapan, baginda mendirikan khemah oasis yang diperbuat daripada sutera sepanjang 20 batu, membawa masuk makanan dan tukang masak dari Eropah serta mengimport 50,000 ekor burung. 600 tetamu diberi penghormatan menghadiri majlis tersebut. Antara yang hadir ialah Maharaja Ethiopia Haile Selassie, putera dan puteri Monaco serta lebih 60 orang raja dan ketua negara. Antara hidangan dan minuman yang dinikmati mereka ialah burung merak panggang, telur puyuh dan 5,000 botol champagne.
Selain makan, para tetamu turut dihiburkan dengan pertunjukan bunga api, persembahan tarian dan perarakan askar di mana mereka memakai kostum seperti askar-askar hebat dari sejarah Parsi. Sambutan ini seharusnya digunakan untuk menonjolkan kehebatan Shah Iran bukan saja di mata rakyat Iran tetapi juga di mata dunia sehingga ia dijadikan subjek filem propaganda bertajuk Api Parsi. Tetapi sebaliknya ia menjadi petanda akhir hayat dinasti diraja Iran di mana pada akhir dekad itu, Shah Iran digulingkan.
5. PERTANDINGAN PALING REMEH
Apabila Raja Henry VIII dari England dan Raja Francis I dari Perancis mengadakan satu persidangan bersama di satu lembah berhampiran Calais, ia seharusnya menjadi peluang kedua-dua negara untuk buang yang keruh dan ambil yang jernih serta mewujudkan pakatan baru untuk berhadapan dengan ancaman Empayar Turki Uthmaniyyah. Malangnya kedua-dua negara terlibat dalam persaingan yang paling remeh untuk menunjukkan siapa yang lebih handal. Untuk tempoh dua setengah minggu, kedua-dua raja berusaha mengatasi antara satu sama lain dengan penganjuran boros membabitkan minuman, sukan jousting, memanah dan pesta makanan. Pesta makanan ini diadakan dengan menampilkan khemah dan astaka, daging daripada 4,000 jenis anak kambing biri-biri, anak lembu dan lembu jantan serta pancuran yang boleh memancutkan wain.
Tetapi kemuncak untuk semua ini ialah apabila Henry VIII dan Francis I berhadapan dalam satu perlawanan gusti. Francis dikatakan berjaya menjatuhkan Henry ke gelanggang. Walaupun kos penganjuran majlis-majlis ini amat mahal dan dikatakan menghabiskan perbendaharaan negara, ia masih gagal mengeratkan hubungan kedua-dua negara. Malah setahun selepas penganjuran majlis itu, kedua-dua negara sekali lagi berperang apabila Raja Charles V dari Sepanyol mengisytiharkan perang terhadap Francis I. Henry VIII cuba mendamaikan kedua-dua pihak tetapi tidak berhasil sehinggalah Francis ditewaskan dan ditawan oleh Raja Sepanyol itu di Pavia. Sedar situasi ini boleh dicapai setahun sebelumnya, Henry memeterai perjanjian damai dengan Sepanyol melalui Perjanjian More.
6. PARTI TERHEBAT ABAD KE-20!
Selepas bukunya Cold Blood laris di pasaran, penulis terkenal Truman Capote menganjurkan Malam Hitam Putih di Grand Ballroom, Hotel Plaza New York. Majlis diadakan untuk meraikan penerbit Washington Post, Katharine Graham dan mengundang 540 tetamu paling dikenali untuk parti peribadi seperti penyanyi Frank Sinatra, pelakon Lauren Bacall, pelukis Andy Warhol, anggota keluarga berpengaruh Vanderbilt, Rockefeller dan Astor.
Tetamu yang datang perlu memakai topeng menurut Capote dan hanya dibenarkan menanggalkannya sehingga tengah malam. Mereka menghabiskan masa dengan menari dan minum 450 botol champagne Tattinger. Bagaimanapun, majlis Capote hampir berakhir dengan pergaduhan apabila penulis Normal Mailer mencabar bekas penasihat keselamatan negara, McGeorge Bundy berkenaan Perang Vietnam. Tetapi selain daripada itu, ramai tetamu mengingati majlis tersebut sebagai glamor dan berprestij.
7. MAJLIS MERAIKAN ANDREW JACKSON
Majlis angkat sumpah selalunya satu urusan biasa saja tapi dalam kes Andrew Jackson, ia hampir-hampir mengundang bencana. Selepas selesai memberi ucapan, Jackson berangkat ke Rumah Putih untuk berehat. Pada masa sama, Rumah Putih turut menganjurkan sambutan untuk memberi peluang kepada orang ramai bertemu dengan presiden baru mereka. Dan tak berapa lama selepas itu, Rumah Putih dipenuhi dengan orang ramai, ada yang cuba memanjat perabot atau melanggar barangan kaca semata-mata ingin bertemu dengan Jackson. Cubaan staf beliau untuk mengawal orang ramai dengan memberi mereka minuman alkohol memburukkan lagi keadaan. Kekecohan hanya berakhir selepas tab minuman wiski dipindahkan ke laman Rumah Putih. Bagi Jackson pula, untuk mengelak situasi yang tidak diingini, berpindah ke sebuah hotel berhampiran.
SUMBER
Andrews, Evan. (2017). History.com. 8 Parties So Wild They Made It Into History Books. https://www.history.com/news/8-parties-so-wild-they-made-it-into-history-books
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih