Sambil mendengar pembentangan rakan sekelas dari Turki mengenai Syed Shaykh al-Hadi, tiba pula pada slaidnya membicarakan gagasan Syed Shaykh al-Hadi dalam mengangkat wanita dalam masyarakat Melayu terutamanya dari sudut pendidikan. Perbincangan itu akhirnya terbawa kepada isu feminisme dan hak-hak wanita dalam dunia Islam pascakolonial di beberapa negara Muslim majoritinya.
Kemudiannya Prof. Madya Dr. Elmira Akhmetova mencelah berkenaan hak wanita yang diperjuangkan oleh Syed Shaykh al-Hadi wajarlah diangkat oleh kerana pada zaman selepasnya sehinggalah sekarang ini wanita-wanita Melayu mendapat hak-hak yang hampir sama seperti yang dinikmati oleh para lelaki. Peluang pendidikan, peluang pekerjaan, peluang berpolitik, hak bersuara, dan beberapa perkara lain. Sehinggakan jumlah para wanita di universiti sudah mendominasi para lelaki, setiap kelas kita dapat saksikan nisbah lelaki lebih kurang berbanding wanita. Hal ini jika dibandingkan bersama negara Muslim yang lainnya, ada yang tidak dibenarkan bekerja, tidak dibenarkan bersuara pada hadapan para lelaki, malah ada yang tidak dibenarkan mendapat pendidikan yang kondusif sepertimana para lelaki. Emansipasi wanita dalam kalangan kita, sekilas pandangnya, lebih baik berbanding negara Muslim yang lain.
Tambahnya lagi, wanita Melayu Islam lebih santun budi bahasanya jika dibandingkan dengan wanita Muslim di negara lain. Hal ini mengingatkan diri ini pada syarahan beliau pada tahun lepas dalam suatu seminar. Kenyataan beliau tersebar dalam dada akhbar dan tular media sosial. “Wanita Melayu adalah contoh wanita Muslim dalam dunia Muslim”. Kenyataan ini bukanlah daripada mulut orang tempatan tetapi daripada mulut orang luar apabila menyatakan pandangannya terhadap wanita Melayu.
Hal ini membuatkan diri ini termenung dan melayang ke alam fikiran. “Feminisme, wajarkah ia dihangatkan sepertimana di Barat? Apakah orang Melayu melihat para wanita itu serba hina semata? Hanya sebagai objek seks semata pada kacamata lelaki sepertimana dipamerkan pada mulut-mulut orang Barat?”
Hal ini menarik diri ini kepada alam sejarah Alam Melayu itu sendiri. Kita saksikan pengasas kerajaan Patani daripada para wanita, Ratu Hijau dan dua ratu yang lain. Cik Siti Wan Kembang diangkat sebagai orang tersohor pada kaca mata orang Kelantan. Ratu Sima di Jawa menjadi pemerintah Ho-Ling yang dicatatkan oleh para pedagang Arab sebagai ratu yang adil, sehingga menghukum anaknya sendiri atas kerana mengambil pundi emas di jalanan yang tiga tahun terbiarnya. Empat ratu agung Aceh, Ratu Taj al-Alam Safiatuddin, Ratu Nur al-Alam Nakiatuddin, Ratu Zakiatuddin, dan Ratu Kemalat Syah, dibawah nasihat Shaykh Abdul Ra’uf al-Sinkili, menjadi pemerintah Aceh selama 59 tahun selepas Sultan Iskandar Thani pada abad ke-17.
Tidak lupa juga para wanita diangkat menjadi perwira dan pahlawan menentang penjajah kolonial. Laksamana Malahayati selaku admiral kapal mengetuai ratusan kapal laut di Aceh. Cut Nyak Dhien berjuang di samping suaminya, Teuku Cik Ibrahim Lamnga dan kemudiannya Teuku Umar, menentang Kompeni Belanda. Teuku Fakinah bersama Cut Nyak Dhien mengangkat senjata mencabar kewibawaan Belanda. Cut Meutia serikandi yang syahid menentang Kompeni Belanda. Tidak dikirakan lagi pejuang kemerdekaan di Tanah Melayu seperti Shamsiah Fakeh dan Tan Sri Aishah Ghani.
Tokoh emansipasi wanita, Raden Adjeng Kartini, membawakan pembaharuan dalam hak pendidikan bagi wanita di Indonesia. Nyai Khoiriyah, ulama wanita yang berpengaruh dalam Masyumi dan Nahdatul ‘Ulama dan mendirikan madrasah wanita pertama di Darul Ulum Mekah, yang kemudiannya menjadi Madrasah Banat. Wujudlah akhbar khas wanita oleh Roehanna bertajuk “Soenting Melajoe”. Rahmah el-Yunusiyah di samping memperjuang kemerdekaan Indonesia, turut membawakan panji agama dan pendidikan di Sumatera Barat.
Kita lihat sendiri masyarakat Minangkabau yang bersifat matrilineal dalam jurai keturunan. Harta pusaka diwarisi pada wanita Minangkabau atas menjaga kebajikan wanita sewaktu suaminya diperantauan. Tidakkah wanita ini diletakkan setingginya sehingga layak memiliki harta berbanding wanita di Barat.
Jika kita meneliti lagi lebih dalam dalam lembaran sejarah Alam Melayu, terlalu ramailah para wanita yang berdiri seiringan dengan para lelaki, dalam perjuangan langsung mahupun tidak langsung. Sehingga tidak ternampak wanita ini dipandang sebagai kelas kedua dalam masyarakat Melayu. Maka perkara itu bermain dalam kepala diri ini. Benarkah wanita ditindas seteruknya sepertimana berlakunya di Barat sehingga memerlukan gerakan feminisme untuk mengangkat wanita di sini? Tidaklah diri ini berani masuk ke dalam suatu konklusi, namun yang pastinya wanita Melayu dimuliakan sepertimana dididik dalam agama dan sebahagian adat Melayu itu sendiri.
Artikel daripada Pawaka Legendria Untuk halaman sekutu kami, The Anicient Malay Society.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih