Pada satu malam November 1944, tatkala tentera Bersekutu (Amerika, Britain dan Perancis) meneruskan kemaraan di Perancis, tiga pakar perang biologi pihak berkenaan berkumpul di sebuah apartmen besar di Strasbourg dan meneliti dokumen-dokumen yang ditinggalkan Dr Eugen Haagen. Haagen yang kini dikenali sebagai pencipta vaksin demam kuning sebenarnya antara dalang penting dalam eksperimen perubatan rejim Nazi Jerman dan kini dimahukan negara Uncle Sam itu atas sebab pengetahuannya. Ya, Haagen merupakan sebahagian dari ribuan saintis Jerman yang direkrut US menerusi Operasi Klip Kertas (Operation Paperclip).

Kembali ke apartmen itu, kumpulan pakar yang diketuai Samuel Goudsmit menemui satu memo mengejutkan dari Haagen terhadap pegawai atasannya. Memo tersebut berbunyi, “Daripada 100 banduan yang kamu hantar, 18 mati semasa dihantar. Hanya 12 sahaja yang sesuai untuk eksperimen saya. Dengan ini, saya meminta kamu menghantar 100 banduan lagi yang berumur antara 20 hingga 40 tahun, sihat dan mempunyai keadaan fizikal sama seperti tentera. Heil Hitler.” Jika anda anggap pendedahan ini sesuatu yang mengejutkan, reaksi anda tidaklah sehebat reaksi kepimpinan tertinggi pihak Bersekutu melihat senjata baru dan canggih yang dihasilkan rejim walaupun terus diasak kiri (Kesatuan Soviet) dan kanan (pihak Bersekutu).

Reaksi sebegini yang mendorong Jabatan Pertahanan menubuhkan satu pasukan petugas khas elit sulit yang dipanggil Agensi Objektif Perisikan Bersama (JOIA) di mana laporan mereka diserahkan kepada Jawatankuasa Perisikan Bersama (JIC) bagi membolehkan mereka menasihati Ketua-Ketua Staf Bersama berkenaan ancaman keselamatan negara. Dalam satu laporan mereka kepada Ketua-Ketua Staf Bersama, JIC menyebut tentang keperluan US bersedia berhadapan prospek perang dengan Soviet termasuk perang biologi dan kimia serta tarikh permulaan konflik sekitar tahun 1952. Dan orang pertama dalam senarai teratas tentera Amerika ialah pereka roket V-2 Wernher von Braun. Von Braun dan pasukan saintis roket Nazi menyerah diri kepada pihak Bersekutu pada 2 Mei 1945 dan mendapat layanan baik dari penawan mereka seperti sarapan berat berupa telur, kopi dan roti serta katil empuk untuk mereka berehat.

Amerika amat terdesak mendapatkan pakar-pakar sebegini berada di bawah kawalan mereka. Ini kerana sekutu perang ketika itu iaitu Soviet turut melancarkan operasi perekrutan mereka yang dikenali sebagai Operasi Osoaviakhim. Antara individu penting yang berjaya dicuri pihak Soviet ialah Ferdinand Bradner, pembina enjin pesawat Luftwaffe dan pengurus program V-2 merangkap kenalan von Braun, Helmut Grottrup. Dan melihat kepada kesungguhan Britain dan Perancis mendapatkan aset-aset Nazi Jerman ini untuk program saintifik dan awam mereka, tidak hairanlah mengapa pihak tentera sanggup menawarkan apa sahaja termasuk perlindungan dari tindakan undang-undang terutama membabitkan jenayah perang dan kemanusiaan.

Satu kebenaran pahit tentang Paperclip ialah kesanggupan satu negara memandang sebelah mata masa silam gelap figura-figura ini atas nama kemajuan. Dan ini membuatkan ramai figura tentera yang terlibat dengan Paperclip merasa tidak selesa. Ini didedahkan dalam satu transkrip mesyuarat Jabatan Perang dalam satu buku bertajuk Operation Paperclip: The Secret Intelligence Program to Bring Nazi Scientists to America” (Little, Brown and Company) oleh penulis Annie Jacobsen. Transkrip sulit ini mendedahkan situasi tegang dalam mesyuarat berkenaan status saintis dan cendekiawan Nazi Jerman di mana seorang jeneral berkata, “Salah satu peraturan operasi ini ialah ia bersifat sementara dan sebaik kita selesai dengan mereka, mereka akan dihantar pulang.” Bagaimanapun, usul itu ditolak seorang jeneral lain yang berkata, “Aku tolak cadangan itu. Pop Powers (gelaran bagi seorang pegawai tidak dikenali) menolak dan seluruh Jabatan Perang juga menolak.” Jeneral itu berbuat demikian kerana mengikut polisi tidak rasmi US, saintis-saintis ini merupakan aset yang tidak ternilai harganya dan boleh membantu mempercepat capaian negara berkenaan dari segi kemajuan saintifik, ekonomi dan teknologi.

Operasi sebegini bukan sesuatu yang mudah lebih-lebih lagi dengan pendedahan jenayah-jenayah kejam rejim Nazi dalam media ketika itu. Majalah Life misalnya menerbitkan siri gambar tentang keadaan di kem-kem tahanan seperti Buchenwald dan Auschwitz. Dan mengikut dasar rasmi negara itu, mana-mana negara yang melindungi pelarian-pelarian Nazi seperti Argentina dan Uruguay perlu menghentikan tindakan tersebut dan mengekstradisi mereka ke muka pengadilan. Tetapi seperti Amerika dan Soviet, negara-negara yang menjadi tumpuan pelarian-pelarian ini turut menjalankan Paperclip versi mereka bagi meningkatkan kemajuan ekonomi, saintifik dan teknologi di negara mereka. Ada pula yang memang dikenali bersimpati dengan Nazi dan membenarkan mereka berlindung seperti kes Juan Peron di Argentina.

Yang pasti, sesetengah saintis ini bukanlah malaikat seperti yang cuba dipaparkan dalam propaganda yang dicanang Presiden Harry Truman ketika itu. Ketua penyelidik kanser Nazi Dr Kurt Blome mengakui beliau melihat sendiri pelbagai bentuk penghapusan etnik yang dijalankan rejim termasuk kebuk gas dan proses pemandulan secara besar-besaran. Von Braun dan rakannya Arthur Rudolph dikatakan memilih tahanan-tahanan dari kem tahanan Buchenwald untuk dijadikan buruh paksa untuk kilang pembuatan roket mereka. Ada ketikanya, bila latar belakang gelap ini diketahui, tindakan paling tegas dikenakan ialah diusir keluar dan ini menimpa beberapa figura termasuk Rudolph. Tetapi ada yang terus dikekalkan walaupun dibantah Jabatan Keadilan Amerika Syarikat atas alasan ia boleh menjejaskan keselamatan negara.

Menerusi propaganda Jabatan Perdagangan, perekrutan saintis-saintis Nazi ini dikatakan banyak menyumbang kepada kemakmuran Amerika termasuk kemajuan dari segi teknologi dan ekonomi. Tetapi propaganda ini sengaja tidak menyelitkan sumbangan Paperclip dalam bentuk persenjataan terutama perang kimia. Buktinya, pembabitan Blome bersama Kor Tentera Kimia. Semasa bersama rejim Nazi Jerman, beliau merupakan ketua program perang biologi mereka dan menggunakan eksperimen penawar kanser sebagai samaran untuk eksperimen serangga sebagai ejen penyebar penyakit.

Rajah 1: Ejen Oren yang disembur tentera Amerika semasa Perang Vietnam

Ideanya menggugurkan racun serangga dan bom kimia digunakan semasa Perang Vietnam dengan salah satu hasil kerjanya ialah Ejen Oren, racun serangga paling merbahaya dalam kempen berkenaan. Selain Ejen Oren, Blome juga turut bereksperimen dengan dadah seperti LSD untuk tujuan pengubahsuaian tingkah laku dan kawalan minda.

Di sesetengah negara, LSD turut digunakan sebagai serum kebenaran dan eksperimen ke atas manusia masih lagi dibenarkan. LSD seperti semua sedia maklum merupakan dadah yang digunakan sebagai bahan kawalan minda untuk projek sulit Agensi Perisikan Pusat (CIA) di bawah nama awal Projek Articok sebelum dikenali dengan nama MKULTRA. Salah seorang mangsa operasi ini ialah seorang doktor tentera bernama Frank Olson di mana dia diberi dadah LSD tanpa pengetahuannya.

Ini mengakibatkan Olson kemudiannya membunuh diri dengan melompat dari sebuah bangunan. Terima kasih kepada kontroversi kematian Olson dan skandal Watergate yang melanda Presiden Richard Nixon ketika itu, pengarah agensi iaitu Richard Helms mengarahkan semua fail berkenaan MKULTRA dimusnahkan. Ini menyebabkan kematian doktor tentera itu masih lagi menjadi kontroversi sehingga hari ini.

Tetapi tidak semua termakan dengan propaganda yang dikeluarkan. Lama-kelamaan operasi yang diklasfikasikan sebagai rahsia ini akhirnya terbongkar pada November 1946. Satu laporan mendedahkan tindakan Amerika menyeludup ratusan anggota Nazi ke negara itu dan 1,000 lagi dalam perjalanan ke sana. Pihak kerajaan cuba membuat kawalan kerosakan tetapi dianggap sudah terlambat.

Ramai figura terkenal menyifatkan Paperclip sebagai satu pengkhianatan seperti Eleanor Roosevelt dan Albert Einstein. Bila kontroversi operasi ini mencapai kemuncak pada tahun 1947, ketua staf tentera dan bakal presiden Dwight Eisenhower mahukan satu sesi penerangan diadakan. Sesi penerangan itu berlangsung selama 20 minit dan selepas selesai, Eisenhower bersetuju projek berkenaan memberi faedah kepada Amerika.

Legasi Paperclip terkenal sudah tentu roket Saturn, versi baru V-2 yang bertanggungjawab membawa Neil Armstrong, Edwin Aldrin dan Michael Collins ke bulan. Dan ia seolah-olah melegitimasikan sebab mengapa Amerika beria-ia mahukan mereka menjadi sebahagian daripada jentera teknologi dan saintifik mereka. Bagaimanapun, jika von Braun dan rakan-rakannya merasakan dosa silam mereka sudah terhapus menerusi pencapaian manusiawi ini, mereka salah.

Semasa era Presiden Gerald Ford, beliau sudah berkira-kira mahu menganugerahkan pelopor teknologi roket itu dengan Pingat Kebebasan Presiden. Tetapi hasrat Ford terbantut selepas seorang penasihatnya bernama David Gergen mengingatkannya akan masa silam von Braun semasa bersama rejim Nazi Jerman.

SUMBER

1. Lewis, Danny. (2016). Smithsonian Magazine. Why the U.S. Government Brought Nazi Scientists to America After World War II. https://www.smithsonianmag.com/smart-news/why-us-government-brought-nazi-scientists-america-after-world-war-ii-180961110/

2. Gaia Staff. (2017). Gaia.com. Operation Paperclip. https://www.gaia.com/article/operation-paperclip

3. Watkins, Jay. (2016). CIA. Operation Paperclip: The Secret Intelligence Program to Bring Nazi Scientists to America. https://www.cia.gov/library/center-for-the-study-of-intelligence/csi-publications/csi-studies/studies/vol-58-no-3/operation-paperclip-the-secret-intelligence-program-to-bring-nazi-scientists-to-america.html

4. Callahan, Maureen. (2014). New York Post. Behind the secret plan to bring Nazi scientists to US. https://nypost.com/2014/02/01/behind-the-secret-plan-to-smuggle-nazi-scientists-to-america/

5. Harnden, Toby. (2010). The Telegraph. Secret papers reveal Nazis given ‘safe haven’ in US. https://www.telegraph.co.uk/history/world-war-two/8132550/Secret-papers-reveal-Nazis-given-safe-haven-in-US.html


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.