Pantun merupakan suatu bentuk puisi tradisional peradaban Melayu yang kebiasaannya terdiri daripada empat baris serangkap. Saya yakin, inilah puisi yang paling asas atau ‘basic’ dipelajari pembaca The Patriots di bangku sekolah. Keberadaan pantun dalam kehidupan masyarakat Melayu khususnya tidak terhenti di zaman persekolahan. Di gerbang perkahwinan dan majlis rasmi – rima pantun turut menghiasi acara. Dalam era serba moden ini, ada yang rimas atau gelisah dengan pantun. Ironisnya haiku Jepun pula diangkat sebagai penanda aras hipster atau urban. Tak salah meminati haiku atau kesusasteraan peradaban lain, cuma aku terguris kalau haiku ditatang dan pantun kau pandang serong.
Pantun mempunyai tempat yang khas dalam peradaban Melayu kerana menurut sarjana Belanda De Hollander (1893), pantun merupakan ciptaan asli kaum Melayu, berbeza dengan seloka yang disadur dari peradaban India dan syair yang disadur dari peradaban Arab. Keaslian alam Melayu inilah yang dikatakan sangat mengasyikkan oleh Victor Hugo (d’une délicieuse origanlité – a delicious originality).
Siapa tidak kenal Victor Hugo – sasterawan terkemuka Perancis yang melahirkan mahakarya Les Misérables. Namun selain daripada Les Misérables, beliau turut menerbitkan sebuah buku yang bertajuk Les Orientales pada tahun 1829, iaitu antalogi sajak dan puisi bertemakan Timur. Antara puisi yang termaktub di dalam antologi ini termasuklah ‘Pantun Melayu’ (Pantoum Malais) yang diterjemahkan oleh Ernest Fouinet, salah seorang sasterawan Perancis yang giat mempelajari bahasa-bahasa Timur termasuk Bahasa Melayu. Berikut merupakan pantun yang telah mempesonakan Victor Hugo:
Kupu-kupu terbang melintang,
Terbang di laut di hujung karang;
Hati di dalam menaruh bimbang,
Dari dahulu sampai sekarang.
Terbang di laut di hujung karang,
Burung nasur (nasar) terbang ke Bandan;
Dari dahulu sampai sekarang,
Banyak muda sudah kupandang.
Burung nasar terbang ke Bandan,
Bulunya lagi jatuh ke Patani;
Banyak muda sudah kupandang,
Tiada sama mudaku ini.
Bulunya jatuh ke Patani,
Dua puluh anak merpati;
Tiada sama mudaku ini,
Sungguh pandai membujuk hati
Karya Les Orientales laris di serata Eropah hingga ke benua Amerika, lantas memulakan kegilaan orang Eropah terhadap pantoum – situasi yang tidak kurang beza dengan kegilaan terhadap haiku. Hampir 30 tahun selepas penerbitan Les Orientales, seorang lagi sasterawan Perancis iaitu Charles Baudelaire mempopularkan pantun dengan menerbitkan Harmoine de Soir (Kedamaian Dinihari) pada tahun 1857. Bezanya dengan Hugo, kali ini Baudelaire menerbitkan pantun dalam Bahasa Perancis – dengan format yang tersendiri! Sungguh, benih kegilaan pantun, atau pantoum yang disemai Victor Hugo menjadi kegilaan dan digubah oleh ramai lagi sasterawan Perancis yang bergiat aktif dalam Parnassian movement di Perancis seperti Arthur Rimbaud, Leconte de Lisle, Théodore de Banville dan Paul Verlaine. Ya, kalau nak jadi hip di Paris pada abad ke-19, anda perlu tahu berpantun!
Memandangkan Paris merupakan bandaraya utama kebudayaan dan kesusasteraan tamadun Barat, populariti pantun juga turut merebak ke seantero kotaraya utama Barat. Populariti pantun tidak terhenti pada abad ke-19 tetapi masih lagi berterusan hingga kini, dengan nama-nama gah sasterawan Amerika seperti John Ashbery, Donald Justice dan Carolyn Kizer merangka bait-bait pantun kontemporari diiringi Caitríona O’Reilly yang menyusun rima pantun beliau di kota Dublin, Ireland. Pantun juga menerpa sejarah utama Amerika Syarikat apabila digunakan oleh Donald Justice untuk menggambarkan situasi The Great Depression (1929-1939) dengan pantun beliau yang bertajuk “Pantoum of the Great Depression”.
Dalam perenggan ini, mungkin ramai yang tersentak sekiranya diberitahu bahawa karya puisi dalam bentuk pantun pernah melonjakkan seorang sasterawan Czech, Jaroslav Seifert untuk memenangi Nobel Prize in Literature pada tahun 1984. Antara karya agung beliau adalah buku “Jaro, sbohem” (Selamat Tinggal Musim Bunga) yang diterbitkan pada tahun 1937, yang turut merangkumi “12 Pantun Cinta”.
Biarpun sudah berevolusi jauh, Pantun Melayu tetap mendapat hati di kalangan sasterawan Perancis. Georges Voisset misalnya, seorang sasterawan Perancis yang menjadikan pantun sebagai subjek utama kepakaran beliau. Antara penerbitan beliau yang mampu menjentik perasaan malu dan bangga serentak adalah 250 Pantoums – Le Trésor Malais, yang bermaksud “Khazanah Melayu – 250 Pantun”. Begitu orang Barat mengagumi puisi kita sehingga dijadikan bidang akademik agung tetapi kita sendiri memandang enteng kebudayaan kita.
Dengan sejarah dan naratifnya sendiri setelah dipopularkan oleh Victor Hugo kepada peradaban Barat, pantun-pantun karya Baudelaire dan lain-lain ‘pulang’ semula ke Malaysia pada tahun 2014. Yang membawa ‘pulang’ pantun ini tidak lain tidak bukan merupakan cicit kepada Victor Hugo sendiri iaitu Marie Hugo, seorang sculptural artist yang membina arca Pantun Forest – di mana dedaunan arca ‘hutan pantun’ dipenuhi dengan pantun-pantun yang ditulis dalam tulisan rumi Bahasa Melayu, tulisan Jawi, Perancis dan Inggeris.
Penggunaan bahasa sebagai modal diplomasi budaya (cultural diplomacy) Perancis tidak terhenti setakat itu. Dalam kaedah diplomasi awam Perancis, persamaan peribahasa di antara Bahasa Melayu dan Perancis sering ditekankan. Grafik seperti berikut sering ditayangkan di laman media sosial:
Pada tahun 2017, laman sosial Kedutaan Besar Perancis di Malaysia, ‘France in Malaysia’ telah mengenengahkan Georges Chapouthier, seorang polymath Perancis (pakar neurosains dan falsafah) yang begitu menjiwai dan meminati pantun Melayu.
Perancis juga turut menyokong gerakan pencinta pantun di Alam Perancis iaitu Amis Francophones du Pantoun (French Speaking Friends of Pantun). Jaringan penggiat pantun di serata dunia ini turut mempunyai majalah suku tahunan, Pantoun. Gerakan yang dimulakan oleh Georges Voiset pada tahun 2012 ini saban hari semakin meriah dengan partisipasi dari masyarakat di luar Alam Melayu yang giat berkongsi pantun dalam pelbagai bahasa. Impetus ataupun galakan juga turut diberikan oleh tokoh tempatan seperti Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh melalui penglibatan beliau dalam aktiviti anjuran jaringan tersebut – khususnya dalam mempromosikan pantun dan kesusasteraan Melayu.
Sebenarnya Malaysia mempunyai khazanah yang agung dalam bentuk pantun. Sejarah dan tarikannya besar – namun diperlekehkan sendiri oleh anak bangsa dek kerana sifat defeatist dan perasaan rendah diri yang melampau. Identiti pantun yang menjadi sinonim dalam pembinaan bangsa Malaysia kita anggap sebagai bahan picisan, tanpa sedar meludah maruah sendiri. Tiada gunanya pantun diagungkan oleh Victor Hugo atau sesiapa sekalipun sekiranya kita sendiri selaku anak watan tidak menghargai warisan dan kesenian kita sendiri.
Kenyang buaya ikan gelama,
Selipar hanyut di hujung titi;
Hilang budaya hilanglah nama,
Hampir luput menunggu mati.
Sumber:
About Lettres de Malaisie. (2016, January). Retrieved January 9, 2018, from https://lettresdemalaisie.com/apropos/
Hass, R. (n.d.). A Poem by Donald Justice. Retrieved January 09, 2018, from http://www.washingtonpost.com/wp-srv/style/books/features/19980920.htm
Hugo, V. (1829). Les Orientales. Paris: Hetzel.
ITAR, A. A. (2016, June 19). Bangsa Perancis berjiwa Melayu. Retrieved January 09, 2018, from http://www.utusan.com.my/pendidikan/sastera/bangsa-perancis-berjiwa-melayu-1.344499
James, J. (2012). Rimbaud in Java: the lost voyage. Singapore: Didier Millet.
Pantun Sayang – Amis Francophones du Pantoun. (n.d.). Retrieved January 09, 2018, from https://www.facebook.com/PantunSayangAFP/posts/878195028976205
Voisset, G. (2015). Khazanah Melayu: 250 pantun – 250 pantouns: Le Tresor Malais. Kuala Lumpur: Institut Terjemahan dan Buku Malaysia.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih