Selepas Perang Dunia Kedua, Amerika Syarikat mewujudkan pakatan rasmi dengan beberapa negara Asia Timur. Untuk menyokong Perjanjian Keselamatan AS-Jepun yang ditandatangani pada tahun 1951, Amerika Syarikat sekarang ini menempatkan 35,000 tentera di Jepun, yang sebahagian besarnya adalah tentera udara, pasukan Marin, dan tentera laut.[1]

Walaupun terdapat beberapa pangkalan tentera AS di tanah besar Jepun, majoriti tentera AS di Jepun ditempatkan di pulau kecil Okinawa di hujung selatan. Pulau Okinawa dekat dengan laluan kapal Asia Timur di Laut China Selatan dan berdekatan Taiwan. Ia menempatkan beberapa fasiliti ketenteraan AS, terutamanya pangkalan Kor Marin AS (antaranya ialah Kem Schwab dan Kem Hansen) dan Pangkalan Udara Kadena yang besar.

Kehadiran pasukan tentera AS di Okinawa adalah sesuatu yang menyakitkan bagi ramai penduduk pulau tersebut yang terpaksa hidup dengan bunyi bising, kemalangan, dan jenayah yang dikaitkan dengan pangkalan AS itu.[2]

Sebagai respon kepada aduan tersebut dan dalam usaha-usaha untuk mewujudkan perikatan AS-Jepun yang lebih mapan, Washington merancang untuk memindahkan 8,000 askar Marin dari pulau itu ke Guam, ia juga telah berunding dengan Tokyo untuk memindahkan Stesen Udara Futenma ke tempat lain di pulau itu, dan menggabungkan pasukan tentera AS yang lain. Penempatan semula Stesen Udara Futenma menjadi terhenti kerana menghadapi tentangan yang ketara daripada pihak tempatan; masalahnya–dan masa depan tentera Marin AS di Okinawa secara umumnya–masih belum dapat diselesaikan.[3]

Perjanjian Pertahanan Bersama dengan Republik Korea (ROK) mewajibkan Amerika Syarikat untuk mempertahankan Korea Selatan sekiranya ia diserang. Tujuan asal pakatan itu adalah untuk mencegah serangan daripada Korea Utara yang bermusuhan dengan Korea Selatan, yang mana pada tahun 1950 pernah menyerang Korea Selatan untuk cuba menyatukan semenanjung Korea yang berpecah.

Untuk mencegah serangan yang sedemikian, Amerika Syarikat telah menempatkan anggota pasukan tentera darat dan udara di ROK. Selama bertahun-tahun, sejumlah besar askar Amerika telah ditempatkan berdekatan DMZ sebagai pasukan “tripwire”, dan Amerika Syarikat juga memiliki jejak ketenteraan yang besar di Seoul.

Pasukan tentera AS di Korea telah menyusut dalam beberapa tahun kebelakangan ini.[4] Terutamanya sejak tahun 1990-an, kekuatan ekonomi dan ketenteraan Korea Utara telah berkurang dan ancaman pencerobohan olehnya telah menurun. Bertempur dalam dua peperangan di Teluk Parsi sejak tahun 1991, Amerika Syarikat menarik pasukan tentera dari semenanjung Korea (dan menghantarnya ke Iraq).

Tentera yang masih kekal di Korea Selatan adalah 28,500 askar yang terdiri daripada dua brigade Divisyen Infantri Kedua Tentera Darat Amerika (2ID/Second Infantry Division) dan beberapa skuadron taktikal Tentera Udara AS.

Washington dan Seoul telah merundingkan pengurangan dan penyusunan semula secara bertahap pasukan tentera Amerika, yang akan mengalihkan dan menggabungkan askar dan fasiliti ke kawasan selatan.[5] Amerika juga bersetuju untuk memindahkan kawalan operasi masa perang (“OPCON”) kepada tentera Korea Selatan, walaupun Seoul telah menunda langkah ini beberapa kali.[6]

Di Asia Tenggara, Amerika Syarikat menjamin keselamatan Filipina, Australia, dan New Zealand. Dengan Australia dan New Zealand, Amerika Syarikat telah menyimpulkan perjanjian keselamatan ANZUS pada tahun 1951. Australia sebelum ini hanya menjadi tuan rumah kepada sejumlah kecil anggota tentera AS, tetapi setelah tahun 2012, sebagai sebahagian daripada usaha “pivot” atau “pengimbangan semula” Pentadbiran Obama, Australia bersetuju untuk menjadi tuan rumah kepada 2,500 tentera Marin AS.

Perikatan AS-Filipina ditandatangani pada tahun 1952, dan pangkalan AS di sana (Pangkalan Tentera Udara Clark dan Pangkalan Tentera Laut AS Subic Bay) berfungsi sebagai pusat Perang Dingin yang penting. Kerosakan fizikal pada pangkalan tersebut yang disebabkan oleh letusan gunung berapi Pinatubo, dan rasa tidak puas hati dalam politik domestik Filipina berhubung kehadiran tentera AS, telah membawa Manila kepada mengusir tentera Amerika dari pangkalan-pangkalan ini pada tahun 1991–1992.

Amerika Syarikat walau bagaimanapun terus menjamin keselamatan Filipina; kerjasama ketenteraan antara kedua negara tersebut sejak berakhirnya Perang Dingin diteruskan terutamanya dalam ruang mencegah keganasan. Tetapi baru-baru ini, pertikaian wilayah di Laut China Selatan yang semakin menonjol (di mana Manila adalah pihak yang menuntut wilayah) telah menyebabkan perikatan AS-Filipina dihidupkan semula.[7]

Sementara itu untuk Taiwan, Amerika Syarikat dan Republik China (ROC) menandatangani Perjanjian Pertahanan Bersama pada tahun 1952. Mereka bekerjasama dalam kerangka pakatan ini dalam krisis ketenteraan di Selat Taiwan pada tahun 1950-an. Di bawah kepemimpinan Pentadbiran Nixon, Washington menormalisasikan hubungan diplomatik dengan Republik Rakyat China (PRC) pada tahun 1979 — menyetujui bahawa terdapat satu negara China, mengakhiri perjanjian keselamatannya dengan ROC, dan menarik pengiktirafan diplomatik terhadap Taipei.

Amerika Syarikat sekarang ini tidak mempunyai perikatan keselamatan yang formal (atau hubungan diplomatik) dengan Taiwan, tetapi pada tahun 1979, Kongres AS meluluskan “Taiwan Relations Act,” menyatakan sokongannya untuk menjaga keseimbangan ketenteraan di selat itu, dan mengatakan akan melihat dengan “perhatian yang serius” penggunaan kekerasan apa pun untuk menyelesaikan pertikaian Taiwan. Walaupun kekurangan komitmen pertahanan yang formal, ramai golongan elit dasar luar Amerika berpendapat bahawa hubungan itu merupakan “fungsian yang sama dengan perjanjian pertahanan.”[8]

Akhirnya, wilayah Amerika di Asia Timur juga memberikan kehadiran barisan hadapan ketenteraan. Pesawat jarak jauh mengakses wilayah ini dari Alaska, dan Amerika Syarikat memiliki angkatan laut dan pasukan Marin yang signifikan di Hawaii.

Bahkan lebih dekat lagi, Amerika Syarikat mengekalkan pangkalan tentera laut dan Pangkalan Udara Anderson di Guam yang merupakan pangkalan untuk kapal selam penyerang dan pembom B-2. Selama tempoh beberapa tahun akan datang, Amerika Syarikat merancang untuk menempatkan semula 8,000 askar Marin AS ke Guam dan 9,000 tanggungan mereka dari pulau Okinawa, serta kapal selam Trident, pasukan petugas peluru berpandu balistik, dan jet tempur F-22.[9] Persiapan juga dilakukan di Guam untuk mengakomodasi kapal induk pesawat.

Nota Kaki:

[1] Untuk keterangan yang bermanfaat mengenai pasukan tentera luar negara A.S., lihat Michael J. Lostumbo, et.al., “Overseas Basing of U.S. Military Forces: An Assessment of Relative Costs and Benefits,” RAND Corporation, Santa Monica, Calif., 2012.

[2] Mengenai politik isu pangkalan Okinawa, lihat buku Kent E. Calder, Embattled Garrisons: Comparative Base Politics and American Globalism (Princeton: Princeton University Press, 2007), ms. 166-175. Isu keganasan orang Amerika terhadap penduduk Okinawa mempunyai sejarah yang panjang dan tegang: yang paling terkenal adalah pada tahun 1995, tiga tentera A.S. telah memperkosa seorang gadis sekolah Okinawa, ia telah memicu gerakan anti-pangkalan di pulau itu. Martin Fackler, “Two U.S. Soldiers Arrested in Rape Case,” New York Times, October 16, 2012.

[3] Mengenai perdebatan Stesen Udara Futenma, lihat Shannon Tiezzi, “Beyond Futenma: Okinawa and the US Base Conundrum,” The Diplomat, November 4, 2015; Jennifer Lind, “US-Japan Security Relations After the Storm,” dalam Japan Moves Gorward (Washington, D.C., Maureen and Mike Mansfield Foundation, 2011).

[4] Untuk gambaran keseluruhan, lihat Lostumbo, et.al., “Overseas Basing of U.S. Military Forces.”

[5] Amerika Syarikat telah bersetuju untuk mengembalikan garison Yongsan dan pangkalan lain di Seoul. Pasukan tentera A.S. di Korea akan digabungkan di selatan Seoul di Garison Tentera Darat A.S. Humphreys di Pyeongtaek, dan di Pangkalan Udara Osan. Juga, jelajah di Korea kini akan menjadi jelajah yang diiring. “U.S. Changing Its Mission in Korea,” Washington Times, 5 Mac 2009.

[6] Mengenai “opcon” lihat “Ash Carter Assures South Korea On US Support,” Wall Street Journal, November 1, 2015; “S. Korea, U.S. to Decide Timing of Opcon Transfer Next Year,” Korea Herald, October 14, 2013.

[7] Javier C. Hernandez, “Warily Eyeing China, Philippines May Invite U.S. Back to Subic Bay,” New York Times, September 19, 2015; Prashanth Parameswaran, “Philippines to Revive Former US Naval Base Near South China Sea in 2016,” The Diplomat, July 17. 2015.

[8] Robert J. Art, A Grand Strategy for America (Ithaca, NY: Cornell University Press, 2003), 138.

[9] Gina Harkins, “Marines identify units that will move from Japan to Guam,” Marine Corps Times, October 1,
2015.

Artikel asal oleh Jenifer Lind yang merupakan Profesor Madya Jabatan Kerajaan di Dartmouth College yang diterjemahkan oleh Muaz Malik, penulis kami. Beliau berafiliasi dengan Reischauer Institute of Japanese Studies di Harvard, serta Chatham House, London. Prof. Jenifer Lind juga menulis artikel ilmiah di International Security dan International Studies Quarterly, dan menulis untuk khalayak yang lebih luas dalam penerbitan seperti Foreign Affairs dan National Interest.

RUJUKAN:

Keep, Toss, or Fix? Assessing US Alliances in East Asia oleh Jennifer Lind, dalam buku Sustainable Security: Rethinking American National Security Strategy (2016), diedit oleh Jeremi Suri dan Benjamin Valentino


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pelajar agama yang (entah macam mana) minat hubungan antarabangsa. Buat terjemahan berkaitan subjek IR sebagai hobi masa lapang.

Comments are closed.