Perkahwinan merupakan suatu pelengkap dalam kehidupan seorang lelaki dan perempuan kerana Allah telah menjadikan manusia saling memerlukan serta mempunyai pasangan. Dengan sebuah perkahwinan diantara lelaki dan peremuan maka manusia akan berkembang biak dan menghasilkan zuriat.

Pemilihan seorang wanita untuk dijadikan isteri adalah sangat penting bagi seseorang lelaki kerana bukan sahaja wanita tersebut akan menjadi peneman hidupnya, bahkan akan menjadi ibu kepada anak-anak serta pendamping tatkala susah dan senang. Memilih selipar sahaja sudah melihat kepada pelbagai kritirea apatah lagi hendak memilih seseorang untuk diletakkan di dalam hati.

Maka disinilah baginda Saw telah memberi panduan kepada seorang lelaki dalam mencari calon isterinya. Sabda baginda:

تُنْكَحُ الْمَرْأَةُ لِأَرْبَعٍ لِمَالِهَا وَلِحَسَبِهَا وَجَمَالِهَا وَلِدِينِهَا فَاظْفَرْ بِذَاتِ الدِّينِ تَرِبَتْ يَدَاكَ

Maksudnya :”Perempuan dinikahi kerana empat perkara kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka peganglah dengan yang mempunyai agama. Maka engkau akan bahagia.” (HR Bukhari dan Muslim).

Adalah menjadi satu keperluan untuk seorang lelaki memilih wanita yang mempunyai asas agama kerana agama menjamin kehidupan serta rumah tangga yang bahagia.

Kata Ibnu Hajar bahawa ungkapan فَاظْفَرْ بِذَاتِ الدِّينِ  adalah suatu saranan yang wajar diambil kira oleh seorang lelaki dalam memilih pasangannya yang mempunyai agama dan memiliki maruah(adab).

Ini kerana agama akan menjadi pedoman dalam setiap perkara yang dilakukan oleh calon isteri apatah lagi dalam kehidupan bersama melayari bahtera rumah tangga.

Namun demikian, ini tidaklah bermaksud bahawa pemilihan calon isteri dalam Islam mengabaikan faktor kecantikan, keturunan  dan harta.

Faktor-faktor ini juga perlu diambil kira oleh seorang lelaki namun agama adalah suatu faktor yang paling utama dalam mencari pasangan hidup. Jika kesemua ciri ini wujud pada seorang wanita, maka sudah tentu dialah yang paling ideal dan terbaik untuk dilamar sebagai teman hidup sejati.

Suatu hikmah yang besar dalam mendepani faktor agama dalam pemilihan calon isteri adalah agama akan terus kukuh tanpa luput dikikis peredaran masa dan zaman.

Manakala akhlak pula akan terus mapan serta menjamin suatu hubungan yang baik dalam interaksi antara suami dan isteri. Apabila setiap pasangan menjadikan agama dan akhlak sebagai asas pemilihan, sudah tentu akan menjamin kelangsungan cinta dan kasih sayang yang berkekalan.

Harta mungkin akan berkurang pada masa depan, kecantikan pula mungkin akan hilang namun agama tidak pernah hilang selagi digenggam sebagai pegangan. Benarlah sabda baginda Saw yang bermaksud:

“Dunia adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita yang solehah.”

(HR Muslim).

Wanita solehah yang dimaksudkan ini adalah merujuk kepada wanita yang menggembirakan dan menghiburkan suami apabila dilihat, mentaatinya perintah suami apabila disuruh, dan memelihara kehormatan suaminya.

Mana mungkin wanita solehah dapat dijana dengan harta, keturunan dan kecantikan namun pasti akan ditemui dalam setiap mereka yang memegang teguh kepada pegangan agama.

Faktor kecantikan jangan dilupakan kerana Syeikh Daud berkata bahawa wanita yang yang cantik dari segi rupa parasnya akan membuat suami suka melihatnya dan akan menumbuhkan rasa cinta yang menjadi asbab kepada harmoninya sebuah rumah tangga.

Begitu juga keturunan dan harta yang akan memberi nilai tambah kepada harmoni dan kasih sayang dalam rumah tangga. Namun perlu diingatkan bahawa agama menjadi kritirea utama dalam pemilihan calon isteri berbanding yang lainnya.

FAKTOR –FAKTOR LAIN:

  • Mencari wanita yang masih dara.

Sabda baginda Saw yang bermaksud:

“Hendaklah kamu memilih perempuan-perempuan yang masih dara, kerana mereka lebih lembut kata-katanya, lebih mudah melahirkan anak yang ramai dan lebih rela dengan sedikit kesenangan.”

(HR Ibnu Majah).

Oleh yang demikian, adalah menjadi suatu galakan bagi umat Islam lelaki berkahwin dengan perempuan yang masih dara kerana mereka jinak dan manja dengan orang pertama yang digaulinya. Tambahan pula lebih lembut tutur kata mereka akan menyejukkan hati suami serta lebih mudah bagi mereka berbanding janda untuk memberi zuriat yang banyak.

  • Memilih wanita subur dan penyayang.

Dalam memilih pendamping hidup adalah menjadi suatu keperluan untuk memilih seorang wanita yang subur dimana tahap kesuburan itu boleh diketahui dengan melihat keluarganya seperti adik-beradik perempuan, ibu saudaranya dan kaum kerabatnya. Syeikh Daud berpendapat bahawa makruh berkahwin dengan anak zina, anak yang tidak diketahui bapanya dan anak orang fasiq. Rasulullah Saw bersabda yang bermaksud:

“Nikahilah wanita yang penyayang dan ramai anak kerana sesungguhnya aku berbangga dengan ramainya kamu (sebagai umatku).” (HR Abu Daud).

Wanita yang subur akan dapat memberi  keturunan  yang merupakan  tujuan  utama  bagi  setiap  keluarga  dan menjadi  penyambung  warisan  kekeluargaan  serta  faktor  kelangsungan umat Nabi Muhammad Saw.

Penyayang yang dimaksudkan pula merujuk kepada sentiasa  mencari keredaan serta menghiburkan suaminya, sanggup berkorban demi membahagiakan suaminya serta memastikan  suaminya  sentiasa  sayang  terhadapnya.  Di sinilah  Islam membenarkan agar wanita  yang hendak dikahwini  diselidiki terlebih dahulu oleh calon suami akan latar belakangnya.

  • Sekufu (setaraf)

Sekufu menurut istilah merujuk kepada persamaan di antara suami isteri daripada aspek kehidupan. Dari aspek sosial, sekufu bertujuan bagi memastikan kebahagiaan rumah tangga serta menjadi jaminan keselamatan daripada kegagalan serta kepincangan dalam rumah tangga.

Jumhur ulama berpendapat bahawa sekufu ialah persamaan daripada aspek agama, keturunan, merdeka  dan pekerjaan. Mazhab Hanafi dan Hambali pula menambah aspek harta dan berlainan pula dengan  mazhab Maliki yang menyatakan bahawa sekufu itu hanya merangkumi aspek agama dan tiada kecacatan.

Namun demikian, tidaklah bermakna bahawa Islam itu  menolak persamaan taraf dan darjat sesama manusia akan tetapi kritirea sekufu ini diambil kira sebagai jaminan kebahagian alam perkahwinan seterusnya memelihara hubungan kekeluargaan.

Dalam kerangka inilah, seorang lelaki perlu melihat kepada banyak faktor seperti umur, tahap keintelektualan serta bangsa sebagai misalan.

Sebahagian lelaki lebih selesa bersama dengan wanita yang lebih muda dan ada juga yang lebih selesa dengan yang sedikit berusia. Ini tidaklah menjadi masalah asalkan perbezaan ini tidak menyebabkan jurang di antara suami dan isteri yang memungkinkan keretakkan rumah tangga.

Taraf pendidikan juga perlu diambil kira kerana perbezaan yang ketara akan memberi suatu kesan kepada anak-anak. Perbezaan ini juga memungkinkan anak-anak mendapat didikan ilmiah dan akhlak yang kurang sempurna.

Manakala perbezaan bangsa terkadang membawa kepada pergaduhan kerana perbezaan adat dan budaya di antara suami dan isteri. Oleh kerana itu, adalah amat penting untuk lelaki memilih wanita yang cenderung mempunyai persamaan agar mudah difahami. Namun demikan, ini bergantung kepada individu tersebut kerana wujud juga lelaki yang tidak kisah dengan perbezaan tersebut.

Sebagai kesimpulan, pemilihan calon isteri perlulah mempunyai kritirea tambah dengan agama sebagai faktor dominan agar mewujudkan keluarga yang sakinah. Perlu diingatkan bahawa wanita yang dipilih sebagai isteri bukan sahaja menjadi peneman sehidup semati seorang lelaki tetapi juga akan menjadi ibu serta guru pertama kepada anak-anak. Maka disini, penulis mengakhiri artikel ini dengan suatu doa agar termakbul keluarga bahagia hendaknya:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.” (Surah al-Furqan: 74)

A.R. KASA
MAHASISWA JABATAN SEJARAH DAN TAMADUN ISLAM
UNIVERSITI MALAYA

RUJUKAN:

Kuliah “Parenting Education” di Universiti Malaya. 27 Feb 2020.

Hajah Jawiah Dakir, Asas Pembentukan Keluarga Menurut Perspektif al-Quran dan al-Sunnah, Jurnal Islamiyyat, 17, 1996. 3-18.

Syeikh Daud, I’dah al-Albab li Murid an-Nikah bi al-Sawab, Pulau Pinang: Percetakan al-Mu’arif Sdn. Bhd.

Walid Bin Mohd Said, Ahmad Kamil Bin Jamilin & Syed Najihuddin Bin Syed Hassan, Mencari Jodoh: Motivasi Dari Teladan Rasulullah Sallallahu  Alaihi Wasallam. https://www.researchgate.net/publication/326647600_MENCARI_JODOH_MOTIVASI_DARI_TELADAN_RASULULLAH_SALLALLAHU_ALAIHI_WASALLAM

Zamali Tarmudi, Razizi Tarmuji dan Nor Alhana Abd Malik, Pemilihan Pasangan Hidup Bercirikan Nilai-Nilai Islam: Pendekatan Kabur. http://einspem.upm.edu.my/journal/fullpaper/vol8/9.%20zamali%20tarmudi.pdf

Ciri-Ciri Wanita Solehah Dan Kelebihannya, https://muftiwp.gov.my/en/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/3270-al-kafi-1192-ciri-ciri-wanita-solehah-dan-kelebihannya


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Mahasiswa Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, Universiti Malaya. "Cinta kepada Tamadun diiringi kebenaran Sejarah."

Comments are closed.