Di pentas diplomasi yang biasanya tegang, momen jujur dan lucu begini sangat jarang muncul. Tapi itulah yang berlaku di Kremlin baru-baru ini, apabila Presiden Rusia, Vladimir Putin, dan Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim, bertemu.
Putin membawa PM Anwar melihat tiga takhta diraja yang menjadi lambang sejarah Tsar Rusia. Beliau berkata:
“Tadi, di Dewan St. Andrew, saya memberitahu Perdana Menteri tentang Dewan St. Andrew. Di sana ada tiga takhta. Dan saya bertanya kepada YAB Perdana Menteri: ‘YAB Perdana Menteri, ada tiga takhta. Satu untuk Tsar, satu lagi untuk isterinya, Tsarina. Dan yang ketiga tu untuk siapa?’”
YAB Perdana Menteri, hampir tanpa berfikir, menjawab: “Untuk isteri kedua.”
(Gelak ketawa dalam dewan.)
Putin kemudian menyambung, “YAB Perdana Menteri tentu tidak akan marah saya kerana menceritakan perkara sebegini. Ini adalah jawapan daripada seorang Muslim sejati, wakil kepada budaya Islam. Saya mesti katakan bahawa nilai-nilai tradisional kita mungkin tidak selari dalam beberapa perkara, tetapi pertukaran maklumat sentiasa bermanfaat untuk kedua-dua pihak.”
Anwar pula menjelaskan, “Saya perlu menjawab. Saya hanya ada seorang isteri. Tapi saya rasa ini semacam ujian daripada Presiden, satu helah: ‘Tiga takhta, nampak?’ Saya jawab: ‘Sudah tentu, yang di sebelah kanan untuk isteri, dan di sebelah satu lagi untuk isteri kedua.’ Tapi kemudian saya sedar, sebenarnya itu untuk ibu.”
Putin mengangguk dan menyimpulkan, “Takhta kedua itu untuk ibu. Pertukaran maklumat memang bermanfaat.”
Momen ini membawa makna diplomatik yang sangat dalam. Di sebalik jenaka, ia menyampaikan isyarat bahawa dalam dunia yang semakin “panas”, senyuman dan gurauan masih boleh jadi asas hubungan antara dua negara.
Putin menggunakan peluang ini untuk menunjukkan bahawa Rusia menghormati budaya Islam dan nilai tradisional dunia Muslim. Kenyataan beliau bahawa Anwar ialah “seorang Muslim sejati” bukan pujian kosong, tetapi mesej kepada seluruh dunia bahawa Rusia sedang memperkukuh jalinan dengan komuniti Islam global.
Reaksi Anwar pula tidak hanya menunjukkan kecerdasan dan kebijaksanaan, tetapi juga satu bentuk keseimbangan antara menghormati budaya tuan rumah dan menjaga prinsip sendiri. Ini diplomasi yang matang dalam masa sama menguasai suasana tanpa perlu mendominasi, menjawab tanpa memperlekeh, menyampaikan mesej tanpa menimbulkan pertentangan.
Suasana geopolitik sekarang penuh krisis dari perang Ukraine, tarif hingga tekanan sekatan antarabangsa dan gelak ketawa ini menjadi simbol bahawa hubungan antarabangsa tidak semestinya perlu bermula dengan amaran atau kecurigaan. Ia boleh bermula dengan gurauan kecil di dewan bersejarah.
Menurut kenyataan rasmi Perdana Menteri Malaysia, perbincangan beliau dengan Putin merangkumi pelbagai isu besar dan strategik dari perdagangan, pendidikan, keselamatan siber, pertahanan, teknologi digital hinggalah kepada tenaga dan pelaburan bernilai tinggi seperti AI dan aeroangkasa.
PM Anwar turut membangkitkan tragedi MH17 secara langsung kepada Presiden Rusia dan ianya satu tindakan berani dan berprinsip. Malaysia kekal konsisten bahawa kebenaran dan keadilan mesti ditegakkan secara menyeluruh dan adil.
Beliau juga menegaskan pendirian Malaysia dan ASEAN iaitu menolak tindakan unilateral, menjunjung prinsip integriti wilayah dan menyokong penyelesaian damai dalam segala konflik. Dalam bahasa mudah, Malaysia bukan proksi mana-mana kuasa besar.
Pertemuan ini turut membuka ruang kepada pengukuhan hubungan antara rakyat. Dari kerjasama pengajian Melayu, pertukaran pelajar, TVET, biasiswa, sehinggalah permintaan agar laluan penerbangan langsung Aeroflot ke Malaysia disambung semula.
PM Anwar juga mengalu-alukan sokongan Rusia terhadap aspirasi Malaysia untuk menyertai BRICS. Satu langkah besar ke arah dunia multipolar yang lebih seimbang. Beliau turut menjemput Putin ke Malaysia, sama ada dalam masa terdekat atau bersempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 pada Oktober nanti.
Usai pertemuan bersama Putin, Anwar bertemu pula dengan Mufti Besar Rusia, Sheikh Ravil Gaynutdin. Pertemuan itu menjadi jambatan antara dua komuniti Islam yang hidup dalam keragaman mazhab dan budaya. Mereka bertukar pandangan mengenai pengukuhan institusi Islam, pensijilan halal dan kerjasama dakwah merentas sempadan.
Anwar menghadiahkan senaskhah al-Quran terjemahan Rusia sebagai simbol persahabatan dan dakwah. Sebagai balasan, beliau menerima mushaf Uthmani dari Uzbekistan yang penuh sejarah. Penuh simbolik dan ia adalah lambang bahawa diplomasi tidak hanya berlaku di meja rundingan, tetapi juga dalam sentuhan kerohanian.
Dunia mungkin sedang ditadbir oleh kuasa besar, tetapi ia diwarnai oleh momen kecil yang mampu mengubah arah angin sejarah. Dalam dunia yang terlalu biasa dengan ugutan dan tekanan, momen di Kremlin ini adalah satu peringatan bahawa kekuatan sebenar boleh lahir dari senyuman, kefahaman, dan sedikit jenaka yang tidak dibuat-buat.
Dan seperti gurauan tiga takhta itu, kadang-kadang jawapan yang spontan mampu membuka pintu yang selama ini tertutup.

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Ilmu, inspirasi, makna, ketepatan, dan keindahan.

Comments are closed.