Paris, Marawi, London, Manchester, Jakarta. Apa persamaan semua lokasi yang saya sebutkan ini? Kesemua lokasi ini ialah lokasi serangan pengganas Daish yang mengorbankan berpuluh-puluh nyawa dan mencederakan beratus-ratus orang. Walaupun pelbagai langkah pencegahan telah dilakukan, pengganas-pengganas ini semakin kreatif dalam merencana serangan baru dan memaksimumkan bilangan mangsa yang terkorban serta bilangan yang cedera.
Agak lucu bila ada orang masih mengaitkan agama dengan keganasan walaupun sudah diterangkan beribu-ribu kali. Hanya disebabkan nama pengganas itu punya konotasi Arab dan Islam, terus muncul persepsi agama Islam agama yang mempromosikan keganasan. Padahal ramai ulama telah berfatwa menolak sekeras-kerasnya kelompok ini dan menganggap mereka jauh menyimpang dari landasan sebenar agama. Malah, kumpulan Al-Qaeda sendiri yang punya reputasi menggerunkan di sebelah sana turut menyelar Daish sebagai kumpulan tidak bertanggungjawab dan harus diperangi seharus mungkin.
Sekarang, apa yang mendorong si pelaku melakukannya? Jika dilihat latar belakang si pelaku, mereka punya latar belakang biasa-biasa dan gaya hidup yang bersifat kebaratan. Si pelaku merasakan hidupnya seperti tiada arah pedoman dan tidak ada peluang untuk masuk syurga. Mereka menyangka dengan melakukan pelbagai tindakan keganasan atas nama agama, mereka mendapat tiket ekspres ke syurga. Mereka menyangka bila melakukan pembunuhan atau terbunuh semasa melakukannya, mereka akan terus masuk syurga tanpa perlu dihisab.
Siapa yang berangan nak masuk kumpulan tak tentu hala ini disebabkan ganjaran tiket ekspres ke syurga, baik lupakan saja. Kenapa saya kata begitu? Memang betul orang yang mati syahid, Allah ampunkan semua dosa kecuali soal hutang. Selagi mana hutang si polan tidak dijelaskan, selagi itulah roh si mati tergantung-gantung di langit. Yang berangan nak 70 orang bidadari, nak tanya, ada dapat restu mak ayah semasa berangkat? Masa beberapa orang pemuda nak berangkat ke medan perang, mereka cerita masih ada orang tua di bawah tanggungan mereka. Lalu Rasulullah s.a.w perintahkan mereka kembali semula kepada ibu bapa sebab untuk penuhi kewajipan pada ibu bapa mereka. Niat mati syahid memang bagus tapi kalau niat setakat nak dapat nama di dunia, apa jaminan nak elak kemurkaan Tuhan sampai kena campak dalam neraka dan dilabel penipu dekat sana? Label penipu dan dicampak terus ke dalam neraka bukan cerita dongeng, ini berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Muaz bin Jabal r.a tentang kisah seorang hartawan, ilmuan dan syuhada yang disoal Allah s.w.t pada hari akhirat. Mereka menyatakan mereka melakukan semua kerana-Nya tetapi Dia menempelak mereka dan memanggil mereka penipu kerana mereka melakukan semata-mata atas nama dunia. Sudahlah dilabel penipu, Tuhan campakkan ketiga-tiga individu ini masuk neraka. Dan anda nak kata apa, samdol?|
Bagi yang kata kumpulan Daish ini tawarkan jalan menuju ke syurga, ada satu benda anda harus tahu. Bukan Daish saja yang tawarkan jalan serupa. Semua kumpulan ajaran sesat dan pengganas tawarkan kaedah sama kepada ahli-ahli yang taksub. Dari Nazi Jerman sehingga pelampau kulit putih, semua tawarkan ganjaran syurga kepada ahli-ahli fanatik untuk menjayakan semua agenda beracun mereka. Tiada apa yang istimewa tentang ganjaran ini kerana ia hanya epal beracun bagi sesiapa yang terpedaya. Gara-gara terpengaruh dengan janji sebegini, sudahlah nyawa melayang begitu sahaja. Bukan saja agama diconteng arang berkali-kali angkara petaka individu yang menggelar diri pejuang agama tetapi juga menambah benih kebencian terhadap agama itu sendiri.
Ada yang berfikiran dangkal mengatakan apa yang diperjuangkan Daish itu benar. Jika benar apa mereka katakan itu, apa motif kumpulan Daish memanggil mana-mana individu atau organisasi yang menentang mereka sebagai kafir dan murtad? Mentang-mentanglah mereka kata memperjuangkan sistem khalifah dan melantik Abu Bakar al-Baghdadi sebagai khalifah, maka apakah itu lesen memanggil orang lain kafir? Tahukah anda, tindakan sebegini dilarang sekeras-kerasnya oleh Allah dan Rasul-Nya. Bukan senang nak menuduh seseorang itu kafir melainkan memang ada bukti kukuh bahawa individu itu sendiri memang terkeluar daripada agama. Dalam satu peristiwa, seorang sahabat bernama Usamah bin Zaid r.a bertarung dengan seorang lelaki dalam satu peperangan. Usamah tersebut berjaya mengatasi pesaingnya dan sebelum sempat dia menghayun pukulan maut, lelaki tersebut mengucapkan dua kalimah syahadah dan menyatakan dia seorang Muslim. Tetapi beliau tidak mengendahkan ucapan lelaki tersebut lalu membunuhnya. Bila peristiwa tersebut diketahui Rasulullah s.a.w, baginda bertanya, “Apakah engkau membunuh lelaki tersebut walaupun dia sudah mengucap kalimah La ilaha illallah?” Beliau membalas, “Ya Rasulullah, dia memeluk Islam kerana takut dibunuh.” Baginda menjawab, “Makanya, belahlah hati si polan itu untuk kau ketahui sama ada dia ikhlas atau tidak.” Rasulullah s.a.w mengulanginya beberapa kali sehingga Usamah menyatakan alangkah elok beliau memeluk Islam pada hari itu bagi mendapat keampunan Allah s.w.t. Jika Rasulullah bersikap teliti dalam soal kafir-mengkafir ini, apa hak anda untuk melabel seseorang itu kafir?
Bagi yang kata propaganda sebegini menarik perhatian mereka kerana ia mempromosikan agama, maka itu satu hujah yang patut ditembak dengan mortar. Kenapa? Kerana Daish hanya mempergunakan agama demi menjayakan agenda mereka. Mereka menjadikan wanita tak berdosa sebagai hamba serakah mereka. Mereka menjadikan kanak-kanak sebagai tentera dan bahan propaganda semata-mata. Al-Quran dan hadis dijadikan bahan dagangan dan diperlakukan sesuka hati selagi mana ia bersesuaian dengan naratif propaganda. Dan anda masih kata mereka mempromosikan agama? Ini bukan mempromosi agama, meracun imej agama lagi banyak sehingga ke tahap toksik, yang itu memang betul!
Orang yang mempergunakan agama untuk tujuan dunia terutama keganasan ialah orang yang tiada etika dan tiada moral. Sehebat mana orang sebegini lepas dari kawalan keselamatan dan jaringan perisikan, akhirnya kecundang juga sama ada di muncung senapang atau di tali gantung. Kalau dapat lepas di sini, takkan lepas di sana. Sudahlah kena soal berbakul-bakul depan Tuhan tentang apa yang berlaku di dunia, kemudian dikejar dan dibunuh berkali-kali oleh orang yang mereka bunuh dengan cara yang sama semasa di dunia. Jadi saudara-saudari yang saya kasihi dan hormati, masih kata Daish jalan pantas ke syurga?
Sumber:
- Sheikh Ahmed el-Tayeb, Ucapan Pembukaan Persidangan Liga Islam Sedunia, 22 Februari 2015, http://en.themwl.org/sheikh-al-azhar-speech-opening-conference
- Number of ISIS defectors growing, disillusioned with killing Muslims, 21 September 2015, https://web.archive.org/web/20150925084826/http://www.straitstimes.com/world/middle-east/number-of-isis-defectors-growing-disillusioned-with-killing-fellow-muslims-study
- Hannah Strange, Islamic State leader Abu Bakr al-Baghdadi addresses Muslims in Mosul, 5 Julai 2014, http://www.telegraph.co.uk/news/worldnews/middleeast/iraq/10948480/Islamic-State-leader-Abu-Bakr-al-Baghdadi-addresses-Muslims-in-Mosul.html
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih