Walaupun kata pepatah Inggeris mengatakan “don’t judge a book by its cover”, namun pemakaian kita adalah penting kerana ia adalah tanggapan pertama seseorang terhadap kita dan boleh mencerminkan sedikit sebanyak tentang budaya dan keperibadian kita sebagai seorang individu. Pakaian tradisional seperti baju melayu dan baju kurung menjadi kebanggaan si pemakai sehingga ke hari ini. Ia juga relevan dipakai bukan sahaja untuk majlis rasmi dan keramaian, malah sesuai dipakai untuk keluar ke tempat awam asalkan selesa dikenakan. Seperti nenek moyang kita dahulu pun, busana tradisional ini dipakai sehari-hari.

Sebuah buku panduan pemakaian bangsa Melayu ditulis oleh Mejar Dato’ Haji Muhamad Said bin Haji Sulaiman bertajuk “Pakai Patut Melayu” ditulis bagi mengabadikan keindahan tradisi busana Melayu serta ciri-ciri dan cara pemakaiannya. Mejar Dato’ Haji Muhamad Said merupakan antara sasterawan yang tersohor pada tahun 1940an seiring dengan Pendeta Za’ba dan Dato’ Muhammad Ibrahim Munsyi. Beliau bukan sahaja berbakat dalam bidang sastera Melayu malah mahir dalam penulisan bidang lain seperti sejarah dan keagamaan. Sumbangannya yang besar melalui penulisan Bahasa Melayu membuatkan beliau dianugerahi dengan gelaran ‘Pendita Johor’.  Beliau juga berkhidmat sebagai pegawai kanan kerajaan dan pembesar Johor.

Mejar Dato’ Haji Muhamad Said yang berbakat dalam bidang persuratan Melayu.
(Foto kredit : geni.com)

Memang cukup ‘straightforward’ tajuk tersebut. Ini sesuai dengan perkataan ‘pakai’ dalam Bahasa Melayu sendiri yang mempunyai makna yang tersirat tapi meluas. Secara leksikal, perkataan ‘pakai’ itu sendiri membawa maksud penggunaan, amalan, kebiasaan dan mengenakan sesuatu. Fleksibiliti perkataan ‘pakai’ apabila berubah menjadi ‘pakaian’, ia bukan sahaja merujuk kepada busana semata-mata, malah termasuk kelengkapan lain seperti perhiasan dan aksesori yang menjadi pelengkap pakaian tersebut.

Gambar asal muka hadapan buku Pakai Patut Melayu terbitan asal dalam bahasa jawi.
(Foto kredit : jantungmelayu.com)

Buku setebal 50 muka surat beserta 7 bab kesemuanya ini menjelaskan ciri-ciri pakaian tradisional Melayu secara terperinci bagi pemakai dari kanak-kanak sehingga dewasa bagi lelaki dan perempuan. Ia juga menjelaskan tentang cara memakai,  fungsi dan jenis pakaian. Contohnya dalam Bab 1 buku ini, ia jelas menceritakan tentang pemakaian lelaki dari asas pakaian tradisional, pakaian bagi istiadat diraja, termasuk pakaian kepala dan kaki. Ia juga menjelaskan tata tertib pemakaian busana tradisional serta pakaian larangan buat kaum lelaki. Bab lain pula menyentuh tentang perihal pakaian seperti pakaian bagi anak-anak perempuan ketika bersekolah, pakaian bagi anak-anak lelaki dan perempuan, serta baju kurung Teluk Belanga bagi perempuan.

Mejar Dato’ Haji Muhamad Said juga menerangkan tujuan beliau mengarang buku ini. Menurut dalam petikan buku, beliau menyatakan : “Adalah risalah ini dikarang supaya jadi suatu panduan atas mereka yang belum dapat ketahui akan tertib pakaian Melayu. Terutamanya yang dipakai dalam Johor bagi masa yang ada (ketika buku ini ditulis) dan bagi menjadi suatu ingatan pada tempoh yang ada di belakang ( pada masa hadapan), kiranya berlaku apa-apa perubahan atau pindaan ( pembaikan) sama ada sedikit atau banyak”.

Melalui buku ini jugalah kita dapati cara pemakaian orang Melayu mula dipengaruhi oleh fesyen Barat. Terdapat satu bab dalam buku ini yang bertajuk “Pakaian Kehormatan Cara Budaya Barat dan Pengaruhnya Terhadap Cara Berpakaian Orang Melayu”. Menurut Mejar Datuk Muhamad Said, baju ‘kacukan’ ini dipakai oleh semua golongan masyarakat termasuk orang biasa dan penjawat awam terutamanya ketika bergaul dengan orang putih pada awal abad ke-20 khususnya di Johor dan Singapura. Antara pakaian yang dipakai bersama baju Melayu termasuklah jaket yang bertutup leher dan seluar panjang ‘slack’.

Buku ini disudahi dengan nasihat serta peringatan daripada penulis kepada segenap kaum Melayu tentang pemakaian harian yang patut diamalkan serta yang perlu dielakkan. Buku cetakan asal kini telah dirumikan oleh Khatijah Hashim dan diterbitkan menerusi Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 2008.

Pegawai Sejarah Yayasan Warisan Johor (YWJ), Kamdi Kamil bersama cetakan terkini buku Pakai Patut Melayu. ( Foto Kredit : sinarharian.com.my)

Sejauh mana pun kita pergi,  semoden mana peralihan zaman yang kita alami sekarang,  kita tidak boleh lupakan adat Melayu yang menjadi sebahagian daripada identiti kita.  Karya sastera Melayu lebih-lebih lagi mengenai budaya turun temurun perlu diperkenalkan kepada generasi masa kini sebagai panduan.

Rujukan:

1. Syahri, Aswandi (2018) Pakai Patut Melayu, Buku Panduan Pakaian Orang Melayu. Jantung Melayu. http://jantungmelayu.com/2018/03/pakai-patut-melayu-buku-panduan-pakaian-orang-melayu/ 

2. Geni.com (n.d) Mejar (B) Dato’ Hj Mohd Said Bin Sulaiman. https://www.geni.com/people/Mejar-B-Dato-Hj-Mohd-Said-Sulaiman/6000000004994933109


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang pencinta sastera dan perfileman tempatan dan antarabangsa. Mempunyai minat yang mendalam pada kesenian, sejarah dan tradisi lokal. Tak akan berhenti menulis selagi masih ada budaya dan seni nusantara yang belum dibicarakan.

Comments are closed.