“Azizah Terus Jadi Misteri”

Nama Azizah kelihatan mempunyai kaitan rapat dengan P.Ramlee. Pertama kerana nama itu dijadikan tajuk lagu pertama ciptaan P.Ramlee. Kedua nama Azizah dipilih menjadi sebagai nama heroin filem “Penarek Becha” yang merupakan filem sulung arahan P.Ramlee. Lagu Azizah juga turut digunakan sebagai salah satu lagu di dalam filem Penarek Becha.

Lagu Azizah dicipta dan ditulis oleh P.Ramlee dalam tahun 1945. Apabila lagu itu ingin dimuatkan di dalam filem Penarek Becha, liriknya telah diolah semula oleh Jamil Sulong. Ketika P.Ramlee masih hidup Azizah yang menjadi tajuk lagu sulung ciptaan beliau seringkali menjadi bahan perbincangan. Hal ini demikian kerana ramai yang tertanya-tanya siapakah Azizah yang P.Ramlee maksudkan di dalam lagunya?

Kesimpulan daripada perbincangan itu, ramai yang beranggapan bahawa Azizah adalah gadis pujaan P.Ramlee semasa zaman remajanya. Malah, ada juga beberapa pendapat yang datangnya dari teman-teman remaja P.Ramlee di Pulau Pinang yang mengatakan Azizah ini adalah kekasih P.Ramlee semasa zaman remajanya. Namun ada juga beranggapan yang pendapat itu tidak boleh dipegang kerana tidak ada bukti yang sahih.

Jamil Sulong yang pernah diberi tugas oleh P.Ramlee untuk mengolah semula lirik lagu Azizah juga pernah beranggapan bahawa Azizah ini tidak wujud tetapi ianya hanyalah sebagai fantasi P.Ramlee sahaja. Ketika di Jalan Ampas Jamil Sulong serta rakan-rakan rapat P.Ramlee tidak pernah mendengar daripada mulut P.Ramlee tentang apa-apa cerita yang berkaitan dengan Azizah yang boleh disahihkan sebagai kekasih P.Ramlee semasa zaman remajanya.

Apa yang pernah diceritakan oleh P.Ramlee kepada Jamil Sulong berkenaan dengan Azizah ini adalah sebagai satu sumber inspirasi beliau untuk mencipta lagu, dan lagu Azizah ternyata memberi tuah kepada P.Ramlee apabila lagu itu dan filem Penarek Becha telah mendapat sambutan hangat pada ketika itu. Nama Azizah terus menjadi misteri dalam kehidupan P.Ramlee, dan sesiapa pun dapat membuktikan kesahihannya,

10 tahun selepas P.Ramlee meninggal dunia, akhirnya timbul berita tergempar mengenai Azizah ini. Akhbar Berita Minggu bertarikh 26 Jun 1983 telah menyiarkan satu berita di muka hadapan dengan kepala berita bertajuk “BERITA MINGGU TEMUI AZIZAH P.RAMLEE”.

Dalam akhbar itu menyatakan, “Misteri si jelita Azizah yang dipuja oleh P.Ramlee hingga tercipta lagu khusus untuknya di dalam tahun 1950-an, kini terbongkar. Azizah yang bermata bulat, hidungnya mancung dan rambutnya kerinting seperti yang digambarkan melalui senikata lagu Azizah ciptaan P.Ramlee masih hidup dan kini menetap di Pulau Pinang. Ketika membuat filem Penarek Becha P.Ramlee telah menamakan heroinnya dengan nama Azizah yang dilakonkan oleh Sa’adiah. Begitulah hebatnya Azizah di dalam hidup P.Ramlee. Anak Azizah yang bernama Fatimah Embi adalah seorang guru yang bertugas di Johor Bahru menceritakan beliau secara tidak sengaja membongkar rahsia ibunya dan hubungkait ibunya dengan lagu Azizah ciptaan P.Ramlee. Menurut Fatimah Embi, beliau terpaksa memujuk ibunya selama sebulan meminta persetujuan untuk berkongsi kisahnya dengan Berita Minggu ini kerana ibunya itu disifatkan sebagai seorang yang sangat tegas dan berdisiplin. Fatimah Embi menyatakan juga melalui penceritaan ibunya yang ibunya tidak tahu  yang lagu Azizah itu telah dicipta oleh P.Ramlee untuknya. Wanita misteri yang bernama Azizah ini adalah anak golongan bangsawan dan keluarganya sangat disanjung dan dihormati di Pulau Pinang. Dia anak bongsu lapan adik-beradik yang berketurunan Arab Pakistan yang menetap di Kampung Makam, Pulau Pinang. Azizah sering menjaja bunga sutera serata kampung melalui Jalan Senggora, Jalan Pahang, Jalan Siam, Jalan Patani, Jalan Kajang, Jalan Kuantan dan Kampung Jawa. Di Kampung Jawa itulah tempat P.Ramlee yang selalu kelihatan memetik gitar atau menggesek biola bersama rakan-rakannya. Kadang-kadang Azizah sering terserempak dengan P.Ramlee yang menungang basikal tua. Setiap kali bersua, P.Ramlee akan mengukir senyuman manis padanya. Kadang-kadang Azizah diusiknya nakal. Pada satu hari P.Ramlee telah memanggil Azizah, “Hei budak mari sini”. Azizah pergi menghampiri P.Ramlee. P.Ramlee bertanya, “Siapa nama kamu?”, Azizah menjawab sepatah dengan menyebut namanya. P.Ramlee terus berkata, “Besar nanti, kamu kawin dengan aku, nak?”. Azizah tersipu-sipu dan terus berlalu meninggalkan P.Ramlee. Tanpa disedari oleh Azizah, dalam diam-diam P.Ramlee sangat menaruh hati dan memuja beliau. Tanpa diketahui oleh Azizah juga bahawa P.Ramlee telah cuba melamarnya melalui keluarganya sebanyak tiga kali. Tapi ketiga-tiga lamaran P.Ramlee telah ditolak oleh keluarga Azizah. Semasa meningkat dewasa Azizah tidak lagi menjual bunga. Dia hanya berkurung dirumah kerana dikawal oleh keluarganya. Azizah diasuh oleh keluarganya dengan penuh disiplin supaya beliau menjaga nama baik keluarganya yang dipandang tinggi dan dihormati. Azizah juga tidak berpeluang untuk bergaul dengan pemuda-pemuda kampung apa lagi hendak menjalinkan hubungan cinta. Malah Azizah menyerahkan bulat-bulat soal jodohnya kepada keluarganya.”

Setelah P.Ramlee menjadi pelakon dan penyanyi yang popular pada awal tahun 1950-an. Azizah sangat meminati lagu-lagu nyanyian dan ciptaan P.Ramlee. Satu hari beliau telah mendengar lagu Azizah berkumandang di corong radio. Apabila beliau amati betul-betul bait-bait lirik lagu itu, nyatalah tepat mengenai dirinya – matanya bulat, rambutnya kerinting, hidung mancung. Azizah terkenang kembali kepada pemuda yang pernah mengusiknya dahulu yang ketika ini telah menjadi penyanyi dan pelakon sanjungan ramai. “Ya tidak salah lagu itu dirujuk kepada diriku, bisik hati kecilnya.” Tetapi Azizah tidak pernah memikirkan dengan lebih jauh makna yang terkandung di dalam lagu itu.

Azizah hanya tahu tentang peminangan P.Ramlee ke atas dirinya hanya selepas seniman agung itu meninggal dunia. Itu pun secara kebetulan ketika beliau terserempak dengan rakan wanitanya ketika remaja dahulu di pasar. Rakannya itu mencuit Azizah dan berkata, “Eh, dah meninggal dia, ya?”. Azizah terpinga-pinga, “Siapa?” dia bertanya, kehairanan. “Eh, P.Ramlee-lah. Dulukan dia pernah masuk meminang kau. Tiga kali dia masuk meminang, semuanya ditolak,” jawabnya. Azizah menerima berita itu antara percaya dengan tidak. Bisik hati Azizah, “Mungkin ditakdirkan tidak ada jodoh.”

Azizah berkahwin dengan seorang pemuda Pakistan yang bernama Embi bin Abu Bakar. Azizah berkahwin ketika usianya 16 tahun. Suaminya pernah menjadi kerani kanan di Majlis Perbandaran Pulau Pinang. Suami Azizah meninggal dunia pada tahun 1976. Hasil perkahwinan Azizah dan Embi, mereka dikurniakan 10 orang anak, empat lelaki dan enam perempuan.

LIRIK LAGU AZIZAH

Rupa kamu yang cantik
Mata kamu yang bulat
Membikin pemuda jadilah gembira
Senyumanmu yang manis
Gigi kamu yang putih
Oh nonaku Azizah
Oh nonaku Azizah
Hidungmu yang mancung
Rambutmu kerinting
Membikin pemuda sehari-hari menaruh cinta padamu
Oh Azizah
Cantik rupamu
Cantik rupamu
Dipandang mata
Bagai biduan
Bagai biduan
Dari Shorga
Tidur malam terbayang
Teringa kamu seorang
Membikin hati pemuda
Menjadi bimbang
Oh Azizah

 

Sumber :

Gagak Di-Rimba – Abdullah Hussain 1966

P.Ramlee Legenda Yang Terus Hidup – Aimi Jarr 1999

Kenangan Abadi P.Ramlee – Ramli Ismail 1998

Erti Yang Sakti – Tun Ahmad Sarji 1999

Dato’ Ahmad Fauzee

Kelab Filem & Muzik Melayu Klasik

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Hidir Ali Razali seorang peminat tentang sejarah perfileman Melayu klasik. Beliau telah memulakan pengkajian dan mendalami perkembangan sejarah berkaitan sejak 25 tahun yang lalu.

1 Comment

  1. Jgn cuba mgaku azizah p ramlee..azizah p ramlee sudah meninggal dunia tahun 1967..nama sebenar azizah bt hj mohd..berasal dari kg jawa bayan lepas..kg asal p ramlee..rumah p ramlee yg di jadikan pustaka sekarang adalah rumah sewa..azizah p ramlee adalah nenek sy..

Leave A Reply