Siapa yang tonton AJL semalam dan perasan ayat ini semasa persembahan daripada Kugiran Masdo?

Sebenarnya, inilah kegusaran yang pernah diluahkan oleh Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee dalam Kongres Kebudayaan Kebangsaan 1971.

Bagi beliau, muzik tradisional bukan sekadar hiburan, tetapi jiwa bangsa yang perlu dipelihara. Jika kita tidak menanamnya dalam jiwa generasi muda, ia akan lenyap, digantikan oleh muzik luar yang semakin mendapat tempat.

[P. Ramlee di Kongres Kebudayaan Kebangsaan 1971]

Tahun 1971, Universiti Malaya menjadi saksi kepada perbincangan besar-besaran mengenai budaya Melayu.

Kongres Kebudayaan Kebangsaan yang dirasmikan oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdul Razak menghimpunkan lebih 1,000 tetamu termasuk menteri-menteri, tokoh budaya, dan akademik.

Antara yang paling ditunggu-tunggu, tentunya pembentangan P. Ramlee.

Walaupun kertas kerja beliau hanya satu setengah muka surat, tetapi ucapannya selama satu jam setengah memukau semua hadirin.

Dalam pembentangannya, beliau menegaskan kepentingan menyemai muzik tradisional kepada anak-anak sejak kecil.

Beliau menyeru agar stesen radio tempatan lebih kerap memainkan lagu-lagu asli dan kebangsaan.

Di sekolah pula, lagu-lagu tradisional perlu dimasukkan dalam silibus bagi memastikan generasi muda tidak kehilangan identiti budaya mereka.

Lebih menarik, P. Ramlee turut menyarankan supaya lagu-lagu tradisional dimainkan di hotel, lapangan terbang dan tempat tumpuan umum.

Ini bukan sahaja dapat memperkenalkan warisan kita kepada pelancong luar, tetapi juga mendidik rakyat Malaysia sendiri untuk menghargai muzik asli mereka.

Selain itu, beliau turut menyatakan kebimbangannya terhadap industri filem tempatan yang ketika itu semakin dipinggirkan oleh kehadiran filem asing.

Beliau mencadangkan agar kemasukan filem asing dikawal supaya filem tempatan mendapat lebih banyak ruang untuk berkembang.

[Dibidas Sebab Muzik Tradisional “Membuat Orang Malas”?]

Ketika membentangkan usulnya, ada seorang peserta bangun dan membidas cadangan P. Ramlee.

Individu ini berpendapat bahawa lagu-lagu tradisional terlalu perlahan dan sentimental, menyebabkan orang malas dan tidak produktif.

Namun, P. Ramlee bukan calang-calang orang. Dengan penuh yakin, beliau menjawab, “Jadi saudara mahu lagu-lagu begitu dimainkan ketika waktu tidur? Waktu tidur juga saudara mahu bekerja?”

Jawapan spontan itu mengundang ketawa dari hadirin, manakala individu yang membidas tadi hanya tunduk diam.

P. Ramlee menegaskan bahawa muzik tradisional Melayu tidak semuanya perlahan dan mendayu-dayu. Terdapat juga irama yang rancak seperti Zapin, Joget, dan Inang yang mampu menaikkan semangat.

Beliau juga berpendapat bahawa muzik sentimental mempunyai fungsinya yang tersendiri.

Muzik yang lembut boleh membantu seseorang tidur dengan lebih nyenyak, sekali gus memberikan rehat yang berkualiti untuk bekerja lebih produktif pada keesokan harinya.

Dalam satu temubual yang dirakamkan oleh RTM ketika kongres ini, P. Ramlee pernah berkata,

“Kalau kita tidak semaikan muzik-muzik tradisional asli ini di dalam dada anak-anak kita, anak muda kita, nescaya di satu hari muzik lain akan mengambil tempat, kerana di dalam dada mereka itu kosong, tidak ada apa-apa.”

Kata-kata ini seolah-olah menjadi ramalan yang semakin tepat hari ini. Jika kita melihat keadaan sekarang, berapa ramai anak muda yang masih kenal lagu-lagu tradisional?

Ironinya, banyak negara lain sangat menghargai muzik tradisional mereka. Korea dengan K-pop yang masih menyelitkan elemen tradisional dalam muzik mereka.

Jepun masih mengekalkan muzik Enka dan budaya mereka dalam seni moden.

Indonesia pula terus mengangkat gamelan dan keroncong sebagai sebahagian daripada identiti mereka.

Tetapi di Malaysia? Kita sendiri semakin menjauh daripada warisan muzik kita sendiri.

[P. Ramlee dan Filosofi Filemnya]

Selain memperjuangkan muzik tradisional, P. Ramlee juga seorang pemikir dalam dunia perfileman.

Dalam Seminar Kebudayaan Melayu-Singapura 1962, beliau membentangkan satu kertas kerja mengenai falsafah filem.

Baginya, filem adalah alat yang memegang peranan penting dalam masyarakat, sama seperti muzik.

Beliau mengumpamakan filem seperti kain putih yang boleh dicorakkan mengikut kehendak pengarah dan masyarakat.

Jika dicorakkan dengan unsur yang baik, maka filem itu menjadi baik. Jika dipenuhi unsur negatif, maka filem itu akan memberi kesan buruk kepada masyarakat.

Dalam temubual lain, P. Ramlee juga pernah menyatakan keresahannya terhadap perubahan selera penonton.

Katanya, “Sekarang dah banyak perubahan. Dah banyak orang pandai. Mereka suka tengok filem-filem Barat.”

Beliau menyedari bahawa industri filem Malaysia semakin kehilangan tempat kerana pengaruh filem luar.

Malah, beliau sendiri merasakan bahawa zaman kegemilangannya sudah berakhir kerana perubahan cita rasa penonton.

“Kalau P. Ramlee berlakon, siapa nak tengok? Nanti budak-budak universiti tanya apa kelulusan P. Ramlee tu,” katanya dalam nada berseloroh, tetapi menyelitkan realiti pahit yang beliau hadapi.

Beliau juga mengkritik mentaliti masyarakat yang hidup dalam sistem berkelas-kelas. Katanya, “Kelas satu, kelas dua dan kita ni kelas ketiga.”

Beliau tidak mahu terus menjadi pelakon sahaja, sebaliknya ingin menjadi seorang pengarah dan membawa industri filem ke tahap yang lebih tinggi.

[P. Ramlee Dah Beri Amaran Sejak 50 Tahun Lalu]

Hari ini, apa yang P. Ramlee perjuangkan dulu semakin relevan. Muzik tradisional semakin dipinggirkan, budaya luar semakin mengambil tempat, dan generasi muda lebih mengenali muzik serta filem luar berbanding seni warisan sendiri.

Mungkin sudah tiba masanya kita kembali menghargai muzik tradisional bukan sekadar untuk nostalgia, tetapi sebagai identiti bangsa.

Jika kita tidak menanamnya dalam jiwa anak-anak kita, siapa lagi yang akan mempertahankannya?

Sebagaimana P. Ramlee pernah katakan:

“Filem, macam kain putih, untuk santapan jiwa rohani dan jasmani.”

Begitu juga muzik. Ia bukan sekadar hiburan, tetapi jiwa bangsa yang perlu dijaga agar tak hilang ditelan zaman.

Jadi, apa pendapat anda? Masih relevankah perjuangan P. Ramlee ini dalam dunia moden hari ini?

___

Teringin nak tahu kisah hidup Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee dari awal kelahiran hinggalah hilangnya sebutir permata industri seni negara?

Dapatkan P.RAMLEE, TIADA YANG KEDUA hanya di Shopee kami!

https://s.shopee.com.my/3q4Hd0fmwq


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Penggemar sejarah dan budaya. Kini, mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Pengajian Asia Tenggara Universiti Malaya dan graduan Diploma Sejarah dan Tamadun Islam UniSZA. Bercita-cita melanjutkan pelajaran dalam bidang Arkeologi kerana terpengaruh dengan filem Indiana Jones walaupun tahu arkeologi sebenar tak seperti itu.

Comments are closed.