“Mereka yang berada di syurga diberi pilihan: kegembiraan tanpa kebebasan atau kebebasan tanpa kegembiraan. Tiada pilihan alternatif ketiga.” (Dipetik dari novel We karangan Yevgeny Zamyatin yang diterbitkan pada tahun 1924)

Mungkin ada menggaru kepala mengapa penulis memetik novel ini tetapi itulah gambaran realiti kehidupan di Ozersk, Rusia. Terletak jauh di kawasan belantara Pergunungan Ural dan tidak pernah direkodkan di atas peta secara rasmi oleh Kremlin, ia kelihatan seperti sebuah bandar biasa yang dikelilingi pemandangan semulajadi yang indah. Senario sebegini terlalu sempurna bak menonton satu episod rancangan The Twilight Show.

Hakikatnya, Ozersk atau Bandaraya 40 merupakan tempat permulaan program nuklear Kesatuan Soviet/Rusia selepas P3rang Dunia Kedua. Selama berdekad lamanya, lokasi bandaraya yang mempunyai populasi 100,000 orang ini tidak diketahui dalam mana-mana peta dan semua identiti penduduknya dibuang dalam senarai bancian Soviet.

Sekali pandang, kehidupan di Ozersk kelihatan normal dengan keluarga-keluarga berkelah di tepi tasik manakala warga emas pula lebih selesa menghabiskan masa di taman-taman. Cuma jika hendak membeli barang keperluan termasuk sayur-sayuran dan buah-buahan, usah terkejut jika penjual memeriksa barang dengan alat pengukur Geiger sebelum pembelian dibuat.

Semua ini sebenarnya berkait kembali dengan program nuklear Soviet dan apa yang dianggap sebagai tragedi nuklear ketiga terburuk dalam sejarah. Pada tahun 1946, Ozersk mula dibangunkan sekitar loji nuklear Mayak dan di kawasan pesisir Tasik Irtyash. Kebanyakan penghuni awal Ozersk ialah saintis dan pekerja loji yang datang dari seluruh negara untuk membantu menjayakan cita-cita nuklear Soviet: b0m atom.

Ozersk dikatakan dibangunkan mengikut model bandar Richland, Washington, tempat sama di mana Fat Boy, b0m atom yang digunakan oleh Amerika Syarikat (AS) di Nagasaki pada Ogos 1945. Untuk lapan tahun pertama di Ozersk, penghuninya tidak dibenarkan berhubung dengan dunia luar termasuk menulis surat kepada keluarga. Justeru bagi saudara-mara mereka, mereka hilang secara misteri – satu kebiasaan bagi penduduk Soviet.

Bukan satu rahsia penduduk hilang secara tiba-tiba bila mereka dicari oleh perkhidmatan keselamatan dalam negeri Soviet (MGB) jika mereka didapati berlaku khianat atau tidak setia kepada negara. Tetapi dalam kes penghuni Ozersk, kekurangan ini diganti dengan pelbagai bentuk kelebihan seperti gaji lumayan, perumahan, lambakan makanan dan perkhidmatan kesihatan yang baik.

Rajah 1: Tidak seperti di kebanyakan tempat semasa era Kesatuan Soviet, penduduk Ozersk mendapat banyak kelebihan termasuk akses kepada bekalan makanan yang banyak. Sumber: https://www.theguardian.com/cities/2016/jul/20/graveyard-earth-inside-city-40-ozersk-rus

Sebagai tukaran kepada semua akses kelebihan yang diberikan ini, Kremlin mahukan satu saja iaitu kerahsiaan. Justeru, tidak hairanlah sehingga hari ini, penduduk Ozersk masih berpegang teguh kepada kerahsiaan memandangkan ini antara lokasi program nuklear Soviet/Rusia yang signifikan. Tetapi bagi para penduduk, Ozersk dianggap satu peluang keemasan kerana di sinilah para intelektual Soviet berkumpul dan merencana idea mereka untuk negara.

Selain itu, Ozersk bukan sekadar menawarkan keselamatan berbentuk fizikal tetapi juga kestabilan dan kualiti hidup yang baik kepada para penghuninya. Jika dibandingkan dengan situasi kehidupan di luar Ozersk yang mencabar dan penuh dengan kemiskinan, apa yang diraih di situ dianggap satu kemewahan yang patut disyukuri sebaiknya.

Tetapi seperti mana-mana loji nuklear lain, tiada siapa dapat terlepas daripada pendedahan radiasi dan ini turut berlaku kepada saintis dan pekerja yang bekerja di Mayak. Sejak ia dibuka pada tahun 40-an, bukan sedikit yang jatuh sakit dan m4ti akibat pendedahan radiasi.

Dan ia bertambah pada 29 September 1957, berlaku satu tragedi yang dipanggil Tragedi Kyshtym. Sebelum Chernobyl (1986) dan Fukushima Daiichi (2011), Tragedi Kyshtym merupakan kemalangan nuklear paling buruk dalam sejarah ketika itu. Pada tarikh berkenaan, berlaku satu l3tupan besar di loji Mayak yang menyaksikan 800 PBq radioaktif terlepas ke luar dan menjadi punca pencemaran Sungai Techa.

L3tupan tersebut turut mengakibatkan awan radioaktif sebanyak 80 PBq sekaligus mengakibatkan sisa radioaktif tersebar sejauh ratusan kilometer. Dan antara tempat yang terjejas akibat awan radioaktif ini ialah Sungai Techa, Tasik Karachay (tempat pembuangan sisa radioaktif Mayak) dan petempatan-petempatan yang berhampiran dengan Ozersk.

Disebabkan aspek kerahsian yang menyelubungi Mayak dan Ozersk, penduduk di situ tidak mengetahui tentang kemalangan di loji. Tetapi seminggu kemudian, penduduk Ozersk dan kawasan sekitarnya dipindahkan ke tempat lain tanpa diberitahu sebab pemindahan dibuat. Yang pasti, kisah ini langsung tidak diketahui umum termasuk pihak Barat sehinggalah tahun 1976.

Pada tahun tersebut, seorang ahli biologi dan sejarawan Rusia bernama Zhores Medvedev mendedahkan berlaku satu insiden membabitkan loji Mayak dengan ramai orang mengadu mengalami masalah kesihatan yang berkait dengan pendedahan radiasi. Pada awalnya, pendedahan Medvedev dipandang sepi oleh komuniti akademik Barat dengan sesetengah daripadanya menganggap ia satu penipuan.

Rajah 2: Zhores Medvedev

Namun, pendedahan sejarawan Rusia itu mendapat sokongan ramai ahli fizik dan biofizik. Salah seorang daripadanya ialah Profesor Leo Tumerman, bekas ketua Makmal Biofizik di Institut Biologi Molekular Engelhardt yang berpangkalan di Moscow. Selain itu, Agensi Perisikan Pusat (CIA) turut mengetahui insiden berkenaan sejak 1959 tetapi dirahsiakan bagi mengelak menjejaskan industri nuklear AS.

Bagi mengurangkan isu radiasi yang melanda kawasan berkenaan termasuk Ozersk, tanah-tanah kawasan yang terjejas digali dan disimpan di satu kawasan yang dikenali sebagai kawasan perkuburan Bumi. Demi menjamin kawasan tersebut daripada tidak diceroboh oleh sesiapa, kerajaan Soviet mengumumkan kawasan simpanan ini sebagai Rizab Alam Semulajadi Ural Timur (EUNR) pada tahun 1968.

Di sebalik semua itu, Mayak terus melepaskan sisanya ke dalam air sungai dan tasik berhampiran sehingga mengalir ke Sungai Ob seterusnya ke Lautan Artik. Selama empat dekad, Mayak mengeluarkan sisa sebanyak 200 juta curie atau empat kali ganda sisa radioaktif yang dikeluarkan dari Chernobyl. Malah, ada satu tasik di Ozersk dipenuhi dengan sisa plutonium digelar penduduk tempatan sebagai Tasik Kem4tian atau Tasik Plutonium.

Rajah 3: Tasik Plutonium mempunyai kepekatan radioaktif lebih 2.5 kali ganda berbanding Chernobyl. Sumber: https://www.theguardian.com/cities/2016/jul/20/graveyard-earth-inside-city-40-ozersk-russia-d3adly-secret-nuclear

Tasik tersebut diberi nama sedemikian kerana ia mengandungi kepekatan radioaktif melebihi 120 juta curie, 2.5 kali ganda berbanding kepekatan sisa radioaktif yang dilepaskan di Chernobyl. Justeru, tidak hairanlah mengapa orang luar sama ada warga Rusia atau warga asing tidak dibenarkan melawat Ozersk dan sebarang lawatan perlu mendapat kebenaran Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan Rusia (FSB).

Dan bagi memastikan bahawa tempat ini bukan boleh dilawati sesuka hati, satu papan tanda dwibahasa didirikan di luar Ozersk. Papan tanda tersebut berbunyi, “PERHATIAN!!! Orang luar tidak dibenarkan masuk tanpa sebarang kebenaran khas.” Sebarang usaha merakam di kawasan berkenaan juga turut dilarang.

Bagi penduduk Ozersk, jika mereka mahu keluar ke tempat lain, mereka dibenarkan keluar dengan syarat mempunyai pas khas. Malah, mereka juga turut dibenarkan meninggalkan bandaraya tersebut selama-lamanya sekiranya mereka berhasrat untuk tidak lagi pulang ke situ. Hanya segelintir saja yang berbuat demikian manakala majoriti penduduk memilih untuk kekal dalam ‘syurga’ mereka ini.

Bagi orang luar yang mendengar kisah sebegini, sudah pasti akan wujud pelbagai perasaan yang bercampur-baur seperti sedih, marah dan pelik. Yalah, siapa yang tak rasa pelik bila mendengar penduduk bandaraya sebegini memilih untuk terus kekal di kawasan yang dicemari radiasi ini walaupun ia berpotensi membvnvh mereka secara perlahan-lahan.

Tetapi bagi seorang wartawan tempatan, penduduk Ozersk tidak kisah langsung pandangan dunia luar terhadap mereka dan cara hidup mereka. Pada mereka, mereka merasa aman berada dalam dunia yang dianggap istimewa di hati mereka. Hasrat mereka satu saja, “Biarkan kami hidup bersendirian secara aman di sini.”

RUJUKAN:

Goetschel, Samira. (2016). ‘The gr4veyard of the Earth’: inside City 40, Russia’s d3adly nuclear secret. The Guardian. https://www.theguardian.com/cities/2016/jul/20/graveyard-earth-inside-city-40-ozersk-russia-d3adly-secret-nuclear


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.