Tamadun Mesir Purba tidak pernah lekang dengan warisan yang pelbagai. Relik-relik tinggalan mereka bertebaran di seluruh dunia dan dikagumi ramai manusia – baik piramid mahupun mumia, seni tugu mahupun seni hieroglif, kesemuanya menjadi petanda gemilangnya pencapaian yang diraih oleh peradaban silam di Lembah Sungai Nil.

Bagaimanapun dalam banyak-banyak kegemilangan yang biasa didendangkan, terdapat suatu ciptaan ulung dari Mesir Purba yang sering dikesampingkan – iaitu ketuhar telur, atau boleh juga disebut sebagai rumah pengeraman telur, iaitu tempat di mana telur-telur unggas dieram dan ditetaskan secara massa.

Kewujudan rumah pengeraman telur ini secara langsung membuktikan tahap kemajuan yang dikecapi masyarakat Mesir Purba dalam industri pembiakan unggas, yang tentunya jauh mendahului zaman. Lebih menarik, kaedah silam yang berusia 2,000 tahun ini masih diamalkan oleh masyarakat luar bandar Mesir sehingga ke hari ini. Kebolehgunaannya boleh disifatkan sebagai tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.

Karyawan-karyawan mahir yang mengendalikan rumah pengeraman telur ini banyak bertumpu di kampung Berme dan kawasan sekitar, justeru mereka dijuluki sebagai bermawy. Khidmat bermawy amat diperlukan di kawasan luar bandar Mesir, terutama selepas penduduk-penduduk kampung selesai mengumpulkan kesemua telur unggas yang mahu dieram dan ditetaskan.


Gambaran ruangan di dalam rumah pengeraman telur di Mesir

Rumah pengeraman ini disebut sebagai mamal. Ia kebiasaannya dibina daripada bongkah bata dengan ketinggian 2.4 hingga 2.7 meter. Ruangan tengahnya yang selebar satu meter diapit oleh dua ruangan kecil di kiri dan kanan. Ruangan-ruangan kecil ini pula dibina dua tingkat, digunakan bagi menempatkan telur-telur yang bakal dieram dan ditetaskan.

Memandangkan suhu ruang pengeraman perlu sentiasa dikawal rapi dan telur-telurnya pula perlu diperhati, maka rumah pengeraman ini turut disambung dengan sebuah bilik tempat bermawy berehat dan menetap. Umumnya, sesebuah mamal atau rumah pengeraman mempunyai tiga hingga 12 ruang pengeraman. Sebahagian mamal dicatatkan mampu menetaskan sebanyak 80,000 telur secara serentak.

Dalam proses pengeraman dan penetasan, haba memang menjadi perkara utama. Bagi menggantikan haba dari eraman unggas betina, masyarakat Mesir menggunakan api yang dihidupkan di lubang kecil yang terdapat di ruangan atas.

Sebagai bahan ba-kar, mereka tidak menggunakan arang ataupun kayu kerana khuatir habanya terlampau panas sehingga menjejaskan proses pengeraman. Sebaliknya, mereka memanfaatkan na-jis unta dan lembu yang digaul dengan jerami dan dikeringkan. Asap-asap yang terhasil kemudian dibebaskan menerusi lubang yang terdapat pada atap ruangan tengah.

Lukisan menggambarkan rumah pengeraman telur di Mesir (1833)

Kebiasaannya pada musim panas, api hanya dinyalakan sekali sehari. Namun kala musim sejuk, ia dinyalakan sehingga empat kali sehari. Adakalanya jika api tidak terbakar dengan marak dan hanya mengeluarkan asap, bermawy akan menutup lubang pada bumbung bagi memerangkap haba di dalam rumah pengeraman.

Sambil itu, setiap 10 hingga 12 hari pula, api dipadam kerana haba yang terkumpul di dalam tembok rumah pengeraman sudah mencukupi untuk mengekalkan proses penetasan yang kebiasaannya mengambil masa selama 21 hari. Selepas berlalu 12 hari, sebahagian telur akan dipindahkan ke ruangan atas bagi mengurangkan kesesakan di dalam sesebuah ruangan. Dianggarkan, sesebuah rumah pengeraman boleh menetaskan sehingga 100,000,000 ekor unggas setahun.

Keberkesanan kaedah pengeraman dan penetasan sebegini secara langsung menambahkan lagi kekaguman terhadap tamadun Mesir Purba yang sedia masyhur dengan pelbagai pencapaian agung – penghasilan papirus, pembinaan piramid, pengembangan matematik, dan bemacam-macam lagi.

Aristotle sendiri pernah mencatatkan betapa masyarakat Mesir Purba menetaskan telur dalam jumlah yang banyak dengan menggunakan timbunan na-jis. Dua kurun kemudian, Diodorus Siculus pula menulis  hal yang serupa di dalam karyanya, Library of History.

Bagaimanapun, memandangkan ayam bukanlah sebahagian daripada makanan ruji masyarakat Mesir Purba, timbul persoalan tentang telur haiwan apakah yang dieram dan ditetaskan? Sejarahwan cuba mengaitkan persoalan ini dengan penemuan mumia-mumia yang dikaitkan dengan Dewa Thoth.

Mumia burung sekendi yang dikor-bankan bagi memuja Dewa Thoth

Thoth merupakan salah satu dewa utama dalam jemaah dewa-dewi Mesir, dan ia digambarkan mempunyai kepala burung sekendi. Bagi memujanya, masyarakat Mesir kerap mengorbankan dan memumiakan burung tersebut. Burung sekendi hakikatnya hidup secara liar.

Namun dek kerana permintaan yang meningkat saban waktu, maka ia pun diternak sekali gus mencambahkan satu industri yang tersendiri dalam kalangan masyarakat setempat – sama seperti pemujaan Dewi Bastet yang meningkatkan permintaan terhadap mumia kucing.

IKLAN: Anda sedang mencari novel thriller pembunuhan bersiri? The Patriots baru terbitkan novel keempat kami. Boleh beli di Shopee kami: https://shp.ee/47yzq2k

Sehingga hari ini, lebih 5 juta mumia burung sekendi ditemui di seluruh Mesir. Lima juta merupakan angka yang sangat besar dan dianggap mustahil untuk dicapai hanya dengan pembiakan secara alami. Oleh kerana itu, sejarahwan mengandaikan masyarakat Mesir mengembangkan suatu kaedah yang berupaya mengumpul dan menetaskan telur burung sekendi secara massa sekali gus mewujudkan perkaitan dengan kefungsian rumah pengeraman mamal.

Pada tahun 1750, seorang ahli entomologi Perancis bernama Rene Antoine mengunjungi Mesir dan melihat sendiri kefungsian rumah pengeraman mamal. Kemudian, beliau menulis, “Orang Mesir sepatutnya lebih berbangga dengan rumah pengeraman telur ini berbanding piramid”.

Kenyataan beliau ini tidaklah keterlaluan. Rumah pengeraman telur adalah satu inovasi yang mendahului zaman dan mempunyai kefungsian yang jelas. Sementara itu, semegah-megah piramid pula, ia hanya sekadar simbol kegemilangan dengan kegunaannya masih samar-samar dalam kalangan ilmuwan.

Inovasi rumah pengeraman telur Mesir Purba ini masih digunakan di kawasan luar bandar sehingga hari ini, dengan sedikit modifikasi seperti penggunaan lampu petrol bagi menggantikan na-jis unta dan lembu

TERJEMAHAN

Aleksa Vučković. (9 Mac 2020). Ancient Egyptian Egg Ovens That Are Better Than Modern Tech. Ancient Origins.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.