(Artikel Asal saya dari Forum CARI pada 2010, dikemaskini untuk era Socmed millennials)

Kebanyakan anak muda remaja Malaysia, terutamanya yang meminati budaya Jepun secara umum seperti manga / J-pop / J-dorama / cosplay serta secara spesifik seperti anime, mereka tidak segan silu mengatakan mereka adalah otaku! Kadangkala, dalam kegairahan menjadi sebahagian dari sub-budaya yang hip, urban (yang juga agak ‘kawaii’), adakah mereka tahu apa itu OTAKU dalam erti kata sebenar?

Post ini dibuka khas membincangkan otaku secara umum, mengupas sub-budaya (sub-culture) yang kini berkembang secara mendadak di Malaysia.

Mari kita kongsikan bersama!

TERMA OTAKU

Tahukah anda, siri animasi SDF Macross yang mempopularkan terma ‘Otaku’?

Apakah maksud otaku? Secara umumnya, mengikut perbendaharaan kata Jepun, otaku merujuk kepada ‘awak / engkau / kamu / anda’ & ‘rumah awak’. Otaku amat jarang digunakan berbanding ‘anata’ (maksud sama seperti otaku), & otaku digunakan sebagai kata ganti diri kedua dalam bentuk penuh hormat / bahasa yang lembut. Namun begitu, frasa otaku tetap jarang digunakan sehinggalah pertengahan 1980an, itupun sebagai bahasa slanga, bukan merujuk pada erti kata sebenar.

Tahukah anda, sejak bila otaku dikaitkan dengan peminat-peminat siri anime?

Sebenarnya frasa otaku mula digunakan dalam bentuk media popular sejurus siri animasi Super Dimension Fortress Macross disiarkan pada 1982-83. Watak Hikaru Ichijoe serta Lynn Minmay, hero serta heroin SDF Macross menuturkan perkataan ‘otaku’ sebagai panggilan kata nama kedua penuh hormat antara satu sama lain. Ini bermula apabila pengasas siri Macross, Shoji Kawamori & perekabentuk ilustrasi watak Macross, Haruhiko ‘HAL’ Mikimoto sering kali menggunakan perkataan ‘otaku’ sesama mereka & sesama staf Studio Nue yang menghasilkan anime SDF Macross.

Penggunaan meluas terma otaku bermula daripada peminat-peminat siri SDF Macross melabel diri mereka sebagai otaku atas tanda hormat pada pencipta & staf siri SDF Macross, & makin bertambah popular apabila filem blockbuster animasi Macross: Ai Oboete Mas Ka (Macross: Do you remember love?) memecah box-office seluruh Jepun pada tahun 1984. Terma otaku makin popular apabila peminat-peminat siri Macross berkumpul di aktiviti-aktiviti sosial seperti festival manga, parti lewat malam, tayangan perdana filem Macross DYRL dll.

Pada waktu itu, terma otaku bukan merujuk pada sekumpulan peminat anime, console game, dsb. Pada waktu 1970an sehinggalah awal 80an, kata terma yang sering digunakan untuk menggambarkn peminat sesuatu sub-budaya adalah zoku. Contoh, bosozoku merujuk kepada kumpulan mat motor yang meminati apa saja tentang motor kuasa besar (versi Mat Rempit Jepun, tapi yang 1st-class samseng, daripada mat rempit kita yang no-class), Hanako-zoku merujuk pada peminat-peminat majalah wanita Hanako & Crystal/kurisutaru-zoku merujuk pada peminat2 novel ‘Somewhat Crystal’.

Tapi SDF Macross serta Macross DYRL mempopularkan terma otaku yang kemudian digunakan seiring dengan terma zoku bagi menggambarkan sub-budaya baru yang mula berkembang di Jepun!

KONOTASI TERMA OTAKU

Ramai yang mungkin tidak tahu bahawa terma otaku, yang mula berkembang sebagai sejenis slanga, merupakan suatu terma negatif. Pada akhir 1980an hinggalah pertengahan 1990an, slanga otaku digunakan oleh media Jepun sebagai menggambarkan sekumpulan peminat anime / sub-culture manga yang ekstrem, anti-social, sering duduk di rumah & terperuk dalam bilik & depan kaca TV menonton anime & bermain game sepanjang masa tanpa mempedulikan kehidupan seharian. Ini termasuk juga dengan kefanatikan mereka terhadap apa saja yang mereka minati.

Tidak hairanlah golongan otaku paling susah mendapat jodoh di Jepun. Ramai yang tergila-gilakan watak-watak wanita animasi (anime-idoru / anime-waifu) kerana dalam kehidupan sebenar, mereka memang dipandang rendah oleh masyarakat awam Jepun. Mengaku diri sebagai otaku di Jepun akan menyebabkan anda dilabel sebagai ‘alien’, atau golongan manusia ‘reject’. Itulah situasi pada masa itu, sehinggakan golongan otaku adalah tersisih daripada golongan masyarakat Jepun.

Dengan perkembangan & ledakan budaya anime di USA & Eropah pada pertengahan & akhir 1990an, terma otaku turut diimport bersama. Pelajar-pelajar kolej di Barat yang meminati sub-budaya ini mula menggelar diri mereka otaku, yang merangkumi peminat-peminat cosplay di perhimpunan anime tahunan (anime convention), peminat siri anime, peminat game buatan Jepun, serta peminat manga. Mereka ini dengan bangga mengaku otaku, tanpa benar-benar mengetahui konotasi sebenar otaku di Jepun.

Kejahilan ini memang ada kebaikannya, kerana kepopularan terma otaku kini melanda buat kali kedua, bukan di Jepun sebagaimana siri Macross, tapi di Asia Timur (Hongkong & Taiwan) & Asia Tenggara (Malaysia & Singapura) serta dunia Barat. Satu generasi yang meminati sub-budaya anime yang tidak malu mengaku mereka adalah otaku, mengagungkan suatu sub-budaya yang unik & eksklusif! Tapi yang lebih menarik, mereka bukanlah orang Jepun.

Saya adalah antara golongan perintis otaku di Malaysia, & tahun itu adalah 1997-99, kebanjiran J-Pop daripada Utada Hikaru, kumpulan MAX, Speed, demam siri J-Dorama dsb serta pendedahan anime kepada pelajar2 kolej yang mendalami bidang multimedia & animasi secara khusus.

Sub-budaya Otaku kini telah bertapak di Malaysia pada akhir 1990an!

OTAKU 2ND WAVE (2000AN) & 3RD WAVE (2010AN ERA SOCMED)

Kepopularan terma otaku di luar Jepun, & perkembangan internet menyaksikan suatu terma, yang dahulunya adalah frasa kata ganti nama kedua yang jarang digunakan, dipopularkan oleh peminat siri Macross, menjadi terma negatif buat masyarakat Jepun untuk mereka yang anti-social, kini melanda Jepun kembali.

Media-media di Jepun menyaksikan perkembangan positif terma ini di peringkat global mula mengurangkan publisiti negatif tentang otaku, malah kini, pada 2000an – 2010an ada beberapa siri dorama Jepun, anime genre ‘slice of life’ mengenai otaku serta filem Jepun yang popular & berkisar tentang golongan otaku ini. Kini golongan otaku di Jepun sudah boleh bersuara & mengaku mereka Otaku, & golongan Otaku Jepun ini mula untuk mengikiskan segala persepsi negatif mengenai diri mereka.

Namun begitu, mengaku Otaku belum tentu boleh membantu mereka mendapatkan pasangan hidup, melainkan pasangan mereka itu sendiri adalah otaku …. tapi, awek otaku tidak akan mencari mamat Jepun otaku, sebab awek Jepun (samada otaku / tidak) adalah secara umum mahukan orang biasa yang kerjanya mencari duit, bukannya menghabiskan pendapatan membeli anime / game.

Otaku setakat dijadikan teman lelaki pergi ke anime-con boleh, tapi bukan “husband-material”. Tapi kalau mamat otaku itu mempunyai pekerjaan stabil, ada pendapatan tetap berjuta-juta yen, maka adalah peluang mendapat jodoh, cuma adalah mereka ini mungkin tidaklah dihormati sangat dan dipandang sebelah mata dalam hierarki sosial masyarakat Jepun.

Nasib baik di luar Jepun, terma otaku takde konotasi negatif. Jadi adakah anda seorang OTAKU?

OTAKU =/= HIKIKOMORI

Hikikomori …. penyisihan seorang otaku dari dunia luar?

Sebelum terma Hikikomori, otaku terlebih dahulu dipandang hina. Malah lebih menyedihkan, pada 1990-an, pernah terjadi kes pembunuhan yang melibatkan pesalahnya adalah seorang otaku. Perkataan Killer Otaku yang dipaparkan media Jepun memburukkan keadaan. Malah kini masih berlaku, media Jepun pula mensensasikan jenayah kebakaran studio animasi Kyo-Ani (Kyoto Animation) pada 18 Julai 2019 dengan menyalahkan penjenayah berkenaan sebagai otaku yang obses.

Hikikomori sendiri adalah simptom bila otaku yang samada ada menyisihkan diri mereka sendiri, atau disisihkan oleh masyarakat menjadi teramat anti sosial.

Sebab itulah tidak ramai otaku sanggup mengaku mereka otaku di khalayak ramai di Jepun satu ketika dulu. Cuma, dengan lebih ramai golongan belia Jepun menerima otaku sebagai satu sub-culture bermusim, barulah otaku mula diterima secara tidak langsung dalam budaya Jepun.

Tapi yang paling dinamik, bukan budaya otaku di Jepun, sebaliknya sub-budaya otaku yang diterimapakai (secara salahfaham bahasa) di luar daripada Jepun!

Budaya Otaku di Malaysia sudah dua dekad lamanya. Perkembangan & penerimaan sub-budaya otaku di Malaysia tidak berbeza dari penerimaan masyarakat Barat.

KAMI OTAKU!!!!

Otaku versi Malaysia tidak sama ngan animu-otaku di Jepun. Otaku di Malaysia sama dengan otaku di luar Jepun, seperti di Amerika, Eropah & negara-negara lain. Secara ruang lingkupnya, terma otaku di luar Jepun lebih umum, sesiapa saja, tidak kisahlah peminat manga, anime, J-dorama, J-Pop, J-gamers hingga kepada cosplayers pun turut mengaku sebagai otaku.

Otaku di Jepun ada banyak segmen … ada gearhead otaku (peminat permotoran), animu-otaku (peminat anime), ada tokusatsu-otaku (peminat siri tokusatsu), ada kaiju-otaku (peminat filem / siri raksaksa kaiju), ada mecha-otaku (peminat hardcore anime / manga genre mecha), gunpla-otaku (peminat model plamo Gundam), ada manga-otaku (peminat manga), ada idoru-otaku (peminat idol) & macam2 lagi. Terma otaku di Jepun lebih spesifik, lebih eksklusif sama seperti terma zoku. Setiap genre ada spesifik otaku termasuk pasocon otaku (computer geeks). Bekas Perdana Menteri Jepun (Taro Aso) pun mengaku sebagai Gunji Otaku (Military Geeks). 

OTAKU VERSI MALAYSIA

Otaku di Malaysia akan berubah dengan sendirinya. Fasa ke-otaku-an hanya kuat masa belajar di Universiti / kolej sahaja. Mungkin bila ada pendapatan sendiri & baru bekerja, mungkin fasa itu akan berterusan tetapi bila keperluan kehidupan seperti ekonomi & bertambah tanggungjawab pada diri seperti keluarga, & komitmen lain maka dengan sendirinya semangat Otaku itu akan jadi lemau.

Sampai satu tahap kita akan panggil sebagai ‘burnt-out’, iaitu kita tidak lagi mengambil peduli perkembangan dunia anime terkini. Tapi minat masih ada, masih layan anime klasik era 1980an-1990an atas dasar nostalgia.

Saya dalam fasa ‘burnt-out’ setelah hampir 25 tahun bergelar Otaku. Maklumlah, sudah banyak tanggungjawab perlu dipikul. Tapi saya masih lagi meneruskan minat ke atas francais anime seperti Macross / Neon Genesis Evangelion / Ghost in the Shell / UC GUNDAM / Berserk / City Hunter / Yamato / Dororo & anime klasik yang lain (zaman 1980-90an).

PS: Ya, saya kini mencecah umur 40 tahun. 1000% Certified dan Verified Otaku Tua Kutuk Tak Sedar Diri.

Artikel dikirimkan oleh Reza Shah untuk The Patriots.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Moving forward as one.

Comments are closed.